BAB 29 | PLEASE
TUBUH yang bersarungkan baju dress labuh berwarna merah itu dipandang lama oleh Amira. Dia tergamam melihat penampilannya sendiri. Jari-jemarinya ligat membetulkan bahagian leher baju yang lebar sehingga menampakkan bahu dan bahagian atas dadanya yang terdedah agar sedikit tertutup.
Jelas riak wajahnya kelihatan janggal dan tidak selesa. Luna yang dari tadi hanya memerhati terus menarik kedua-dua belah tangan gadis itu lalu diperhati anak mata Amira yang kelihatan resah bersama senyuman manis.
"Andrea, I tahu you tak selesa dengan baju tu but don't worry, lama-lama nanti you akan selesa juga okay? Lagipun you nampak cantik sangat!" tutur Luna lembut.
"Tak ada baju lain ke Luna? Saya tak selesa la pakai baju macam ni. Labuh memang labuh tapi ketat. Saya rasa tak selesa." Amira membalas bersama riak wajah yang risau. Luna tetap kelihatan tenang, dia sudah terbiasa dengan sikap-sikap orang seperti Amira.
"Ya, I tahu you tak selesa tapi percayalah... lama lama nanti you akan rasa selesa juga. Hidup memerlukan pengorbanan. Ubah tanggapan hina orang terhadap you. Sampai bila you nak jadi lemah? You perlukan perubahan, Andrea..." kata Luna penuh keyakinan.
Amira sekadar mendiamkan diri, mula termakan dengan kata-kata penipuan Luna yang kelihatan yakin dan jujur. Matanya terus memerhati figuranya yang terpantul di cermin. Luna terus beralih dan berdiri di belakang gadis itu. Kedua-kedua bahu Amira disentuh lalu dia turut memerhati figura gadis itu.
"See? Kan betul I cakap. You nampak lebih cantik dari sebelum ni. Terserlah keyakinan dan kejelitaan you selama ini. Macam yang I cakap, kalau you nak ubah hidup you... you kena ubah diri you dulu. Biar nampak berkelas dan berfesyen. Lama-lama, orang akan mula sukakan you," hasut Luna lagi. Sekali lagi Amira masih membisukan diri, tidak bersetuju mahupun membantah.
"Are you ready?" Kata-kata Luna terus mengundang kerutan dahi di wajah Amira. Dia hairan.
"Nak pergi mana?" Dia terus bertanya. Luna mengukirkan senyuman lebar.
"You mesti dah lupa dengan apa yang I cakap tadi kan? Kita kan ada parti..." Luna terus mengingatkan manakala Amira kelihatan berfikir. Jam mewah yang berada pada dinding diperhati dengan hanya lirikan mata.
"Tak solat Maghrib dulu ke?" Amira bertanya lagi. Demi meyakinkan Amira, Luna terpaksa juga mengukirkan senyuman walaupun kelat. Pergelangan tangan gadis itu dipegang lalu ditarik keluar dari bilik itu.
"Alaa... Awal lagi. Nanti bila kerja you dah selesai, you solatlah." Terselit nada menyampah dalam tutur bicara Luna.
Amira hanya mengangguk perlahan lalu bibirnya terus dikunci. Tidak mahu gadis itu terasa hati dan berasa tidak selesa dengan kata-katanya. Sampai sahaja di hadapan sebuah lif, Luna terus menekan satu butang. Amira kagum.
"Wah... Ada lif. Agaknya betapa besarnya rumah ni kan?"
"Besar. Sangat besar. Kalau you nak tahu, rumah ni ada ruang bawah tanah. Khas untuk kita dan kawan-kawan Alex melepak. Macam-macam ada." Mata Amira terus membesar.
"Ruang bawah tanah? Berapa tingkat sebenarnya rumah ni?"
"Empat tingkat," jawab Luna lagi.
"Tapi kenapa rumah ni macam terpencil? Saya tengok tak ada langsung rumah lain." Amira terus meluahkan keraguannya. Dalam diam, Luna memutarkan bebola matanya lalu bibir dicebikkan. Menyampah dengan sifat ingin tahu Amira yang baginya terlalu keterlaluan.
"Saja. Privacy." Dia menjawab ringkas. Pergelangan tangan Amira ditarik lalu mereka berdua terus masuk ke dalam lif setelah pintu itu terbuka. Wajah tetap dimaniskan. Berlakon.
Sampai sahaja di ruangan bawah, mereka berdua terus keluar dari lif. Melopong mulut Amira dibuatnya apabila melihat rekaan dan keluasan ruangan bawah tanah itu. Luna tersenyum lalu dia terus menarik pergelangan tangan Amira dan menuju ke satu arah.
"Hi, Luna! Dari tadi kami tunggu you, you pergi mana?" sapa salah seorang gadis yang berpakaian seksi.
"Hi, Lixia. inilah yang I nak beritahu you semua. Kita ada orang baru! Kenalkan, ini Andrea." Luna mengukirkan senyuman teruja lalu bahu gadis itu terus dipeluk erat.
"Hmm... boleh tahan. Cantik," puji seorang lelaki di sisi gadis seksi itu. Amira hanya mengukirkan senyuman kelat apabila dia mula perasan mata lelaki itu asyik memandang tubuhnya dari atas hingga bawah. Tidak selesa.
"You ni... dia atau I yang paling cantik? Pilih salah satu!" Gadis seksi yang berambut pendek itu mencebik manja. Lelaki itu terus ketawa kecil lalu dicuit hidung teman wanitanya, ingin memujuk kembali hati Lixia yang diusik perasaan cemburu.
"Mestilah you lagi cantik..." balas lelaki itu dengan nada yang meleret.
Amira terus melarikan pandangan matanya daripada terus melihat aksi yang kurang sopan dan menggelikan itu. Matanya ligat mencari kelibat abangnya yang mungkin berada di ruangan itu, namun keadaan lampu yang sengaja dipasang malap menyebabkan pandangan matanya terbatas. Dia mula berasa resah.
"Andrea... jomlah join. Kita melepak dan berborak-borak," ajak Luna lembut. Amira tersentak lalu matanya terus melilau mencari idea agar dia mempunyai alasan untuk melepaskan diri daripada ajakan Luna.
"Err... Tak apalah. Saya tak biasa lagi. Awak lepaklah dulu. Saya nak pergi minum air di meja sana. Dahaga." Amira pantas memberikan alasan sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah satu meja kosong. Luna turut melihat.
"Oh... Okey. Pergilah." Amira tersenyum lalu dia terus pergi dari situ. Helaan nafas lega dilepaskan. Selamat!
Jug besar yang sememangnya telah disediakan di atas meja diraih lalu dituang air kosong ke dalam gelas kaca. Dia melabuhkan duduk sambil memerhati gelagat manusia yang sedang berseronok di ruangan mewah itu. Sebuah filem Inggeris yang terpapar pada skrin besar ditonton sambil dagunya ditongkatkan dengan tangan kanan.
"Hmm... best juga cerita ni," bisiknya perlahan.
Keadaan dirinya yang susah dari kecil hingga kini menyebabkan dia langsung tidak pernah menonton filem mahupun cerita-cerita televisyen yang lain. Duit yang diperoleh oleh ibu bapanya sekadar cukup untuk memenuhi keperluan asas mereka dan bukannya keperluan yang berlandaskan nafsu. Mereka langsung tidak mampu.
Ketika dia sedang ralit menonton filem itu, suara seorang lelaki tiba-tiba saja menyapanya. Dia tersentak lalu terus menoleh. Serta-merta matanya membulat apabila melihat wajah jejaka yang amat dikenalinya itu.
"Haffaz?" Nama itu terus diluahkan dari bibirnya. Lelaki itu juga turut kelihatan terkejut.
"Are you Amira, right? Betul ke awak ni Amira?" tanya Haffaz yang masih tidak percaya. Dia begitu terkejut.
"Ya, betullah tu. Saya Amira. Tapi, nama saya sekarang ialah Andrea. Jadi, panggil saya Andrea." Tiba-tiba saja panggilannya kepada lelaki itu bertukar. Sebab apa? Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu.
Haffaz tergelak kecil lalu dia terus melabuhkan duduk di sisi gadis itu. Agak rapat dan memberi ketidakselesaan kepada Amira, namun tidak pula dia beralih mahupun membantah, tidak mahu jejaka itu terasa hati.
"Patutlah pelik. Saya ingatkan saya tersalah orang dan mungkin ada pelanduk dua serupa. Tapi, tak sangka pula yang awak memang Amira," kata Haffaz bersama senyuman manis. Gadis itu turut tersenyum.
"Saya tak sangka kita bertemu lagi..." ujar Amira malu-malu.
"Jodoh kut..." Haffaz sengaja mengusik bersama senyuman nakal.
Kata-kata jejaka itu membuatkan wajah Amira terasa berbahang dan menjadi kemerah-merahan kerana menahan malu, namun entah mengapa hatinya berbunga-bunga apabila mendengar ayat manis itu.
"By the way, kenapa awak boleh berada di sini? Bagi saya, ini bukan tempat yang sesuai untuk awak, Amira. Awak tak kan berasa selesa," tutur Haffaz bersama perasaan risau. Amira hanya tergelak kecil.
"Saja. Sekali-sekala saya nak juga perubahan dalam hidup saya. Awak janganlah risau. Nanti lama-lama saya terbiasalah." Haffaz hanya mengangguk perlahan, menghormati keputusan Amira meskipun dia langsung tidak bersetuju dan ingin membantah.
"Amira..." Nama Amira ditutur lembut. Amira terus mengangkat wajah dan menatap lama mata Haffaz yang turut memandangnya. Jantungnya semakin berdegup kencang tatkala menerima sentuhan jejaka itu pada rambut panjangnya.
Butang bahagian atas baju kemeja Haffaz yang sengaja tidak dipasang bersama lengan baju yang disinsingkan menyebabkan Amira berasa sedikit terpikat dan tergoda. Tambahan pula mata tajam lelaki itu tepat memanah anak matanya, menyebabkan dadanya terasa sesak dan sempit untuk bernafas. Air liurnya ditelan dengan payah.
"Ke... kenapa?" Tergagap-gagap Amira membalas. Lelaki itu mengukirkan senyuman senget.
"See? Saya baru usik awak sikit, tapi awak dah lemah dan tergoda." Amira terus terdiam dan menundukkan kepala. Sekarang, barulah dia faham dan tahu motif sebenar lelaki itu berbuat sedemikian. Dia termalu sendiri.
"Tempat ni tak sesuai untuk awak, Mira. Please, jangan datang lagi ke sini. Awak terlalu baik. Lagi baik daripada saya yang jahat. Jadi, jaga diri awak baik-baik..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro