Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 20 | HERO

DISEBABKAN kaki kanannya masih sakit, Rita membawa langkah perlahan ke arah dapur dengan berhati-hati. Tudung sarungnya dibetulkan sedikit agar auratnya tidak didedahkan tanpa dirinya sedari. Puan Zulaikha yang sedang memasak itu didekati.

"Assalamualaikum, mak cik..." Rita menyapa dengan sopan. Puan Zulaikha pantas menoleh.

"Eh? Kenapa bangun? Kamu kan perlukan rehat. Keadaan Rita masih lagi tak stabil ni," kata Puan Zulaikha, risau. Rita hanya mengukirkan senyuman.

"Rita bosanlah, mak cik. Daripada duduk dalam bilik tu tak buat apa, baik tolong mak cik memasak," kata Rita. Puan Zulaikha mengukirkan senyuman nipis.

"Kalau macam tu, Rita tolong hidangkan lauk-pauk untuk makan tengah hari kita boleh? Sekejap lagi suami mak cik dah nak balik."

Rita pantas menganggukkan kepala. Beberapa pinggan diambil lalu dia terus mengisinya dengan beberapa ikan goreng dan kuah gulai. Tidak dilupakan juga sambal belacan, pelengkap menu yang ringkas tetapi amat menyelerakan.

"Assalamualaikum!" ujar satu suara lelaki.

Rita dan Puan Zulaikha menoleh. Rita pantas menundukkan kepala, malu apabila bertentangan mata dengan jejaka yang telah menjadi penyelamatnya itu. Wajah yang ditayangkan tanpa purdah membuatkan dia bertambah segan.

"Laaa Nurhan. Awal balik? Selalunya kamu balik waktu petang," tanya Puan Zulaikha, memecah suasana yang tadinya sunyi.

"Hari ni saja nak bekerja separuh masa je. Nak rehat. Rasa letih sikit," kata Nurhan sambil kakinya dibawa ke meja makan.

"Oh... Habis, macam mana dengan kebun buah kamu? Tak kan nak tinggal macam tu je?" Puan Zulaikha bertanya lagi. Cawan yang berisi air teh'o panas diberikan kepada anak terunanya yang seorang itu.

"Mat dan Fikri kan ada. Biarlah dia orang pula jaga. Nanti Nurhan tambah gaji dia orang bulan ni. Alhamdulillah. Hasil jualan agak menguntungkan." Nurhan menuturkan dengan tenang.

Wajah Nurhan yang kemerah-merahan itu dipandang lama oleh Rita. Jelas terpancar riak wajah yang letih dan penat. Seharian duduk di bawah terik panas matahari pasti menjadi tugas yang sangat mencabar. Rambut jejaka itu kelihatan basah akibat peluh yang mengalir keluar.

"Err... Abang Nurhan nak makan ke? Mesti abang letih seharian bekerja. Kalau nak, Rita boleh tolong ambilkan?" tanya Rita sedikit gugup. Mata lelaki itu tepat memanah anak matanya. Dia terus melarikan pandangan. Darah pantas menyerbu ke muka. Malu.

Bukan niatnya ingin menggatal dengan lelaki itu tetapi disebabkan dirinya terhutang budi dengan Nurhan, apa salahnya dia membantu sedikit, bukan? Tambahan pula dia cuma tetamu yang tidak diundang dan hanya duduk menumpang di rumah itu.

"Boleh ke? Tak susahkan Rita ke?" ujarnya lembut. Rita mengukirkan senyuman nipis lalu kepala digeleng perlahan.

"Tak pun. Rita ambilkan ya?"

Nurhan sekadar menganggukkan kepala. Puan Zulaikha hanya memerhati dan mengulum senyuman. Tidak lama lagi, semakin meriahlah rumah ini dengan kehadiran orang-orang baharu.

Selesai sahaja meletakkan nasi ke dalam pinggan, Rita terus membawanya lalu diberikan kepada Nurhan. Jejaka itu mengukirkan senyuman sebagai tanda berterima kasih. Puan Zulaikha yang sedang tersenyum itu dipandang.

"Hmm... Rita masuk bilik dululah ya. Nak solat Zuhur," kata Rita malu-malu apabila melihat pandangan Puan Zulaikha yang seperti mengusiknya. Wanita itu sekadar menganggukkan kepala. Rita terus berlalu pergi.

"Macam mana Nurhan? Ada ciri-ciri idaman kamu tak?" Laju saja wanita itu bertanya. Nurhan terus ketawa kecil.

"Apa mak ni? Kalau adapun, mustahil dia nak kat Nurhan. Nurhan ni pekebun je. Lainlah dia, gaya macam anak orang senang. Berpelajaran tinggi. Usia Nurhan pun dah nak masuk 33 tahun. Dia tu muda lagi. Ramai lagi lelaki di luar sana yang lebih layak," kata jejaka itu dengan berhemah.

Bukan dia tidak nampak muka Rita yang kemerah-merahan menahan malu apabila direnung sebegitu tadi. Dia yakin niat gadis itu hanya untuk membalas budinya sahaja. Bukan kerana sebab-sebab lain.

"Yelah. Mak ni cuma harap kamu dapatlah berkahwin cepat. Kalau tak dapat nak cari bakal isteri di luar sana, yang dah ada di depan mata ni, apa salahnya dipetik cepat." Puan Zulaikha menambah lagi. Nurhan sekadar menggelengkan kepala.

"Ada ada je mak ni."

"Hmm yelah. Ikut kamulah. Kalau dah suka apa salahnya berterus-terang. Ni nanti kamu pergilah ke hospital si Nana tu bertugas. Bawa bekal, bagi dekat dia. Jimat sikit duit tu," kata Puan Zulaikha.

"Ya. Baiklah," kata Nurhan, patuh dengan arahan ibunya.

Tanpa menunggu masa, Nurhan terus membaca doa lalu dia terus makan hidangan tersebut dengan penuh selera. Air tangan ibu sentiasa yang terbaik. Walaupun hidangan yang disediakan tidak mewah, kebahagiaan itu tetap boleh dikecapi dalam keadaan sederhana.

Puan Zulaikha tersenyum. Gembira dan seronok tatkala melihat anaknya itu makan seolah-olah penat lelahnya terus menghilang dan dibawa pergi. Walaupun tiada bait-bait pujian dilontarkan daripada bibir itu, dia tetap rasa bahagia.

Pada masa yang sama, hatinya turut berasa sedih dan rindu kepada seseorang yang pasti tidak akan boleh kembali lagi ke pangkuan mereka. Takdir, tidak akan sesekali boleh diubah. Dia reda.




•¤•




KEADAAN cuaca yang semakin sejuk membuatkan keadaan tubuh badan Ivy sedikit menggigil berbanding kebiasaan. Kendatipun suhu di bumi Perancis ini tidak berada di bawah takat beku, gadis itu tetap berasa sejuk kerana mungkin badannya masih belum mampu menerima perubahan cuaca yang sentiasa berubah.

Tapak tangan yang terasa beku itu pantas digosok dan ditiup laju, berusaha menghasilkan sedikit haba agar rasa sejuk itu menghilang sedikit demi sedikit. Semua tugasan yang berada di atas meja tidak lagi menjadi fokus utama.

Suasana perpustakaan yang dipenuhi para pelajar di universiti itu diperhati setiap seorang. Mereka tetap fokus dan tenang membuat kerja masing-masing. Ivy hairan.

"Dia orang ni tak sejuk ke? Ke aku seorang yang rasa sejuk? Aku ni reptilia ke?" bisiknya perlahan.

Zahra yang menemani Ivy hari ini terus mengangkat pandangannya daripada buku rujukan. Keadaan Ivy yang menggigil kesejukan itu dipandang lama. Tidak semena-mena, dia ketawa kecil.

"Kau sejuk ke?" Zahra bertanya walaupun dia sudah tahu jawapan yang akan diberikan. Ivy pantas menoleh dan menganggukkan kepala.

"Sejuklah. Awak tak sejuk ke?"

"Waktu first first aku masuk sini, sejuklah. Tapi bila dah lama-lama tu dah makin biasa," kata Zahra lagi.

"Oh ye ke? Ataupun alat pemanas di library ni yang rosak?"

"Rasanyalah. But suhu yang dipasang mungkin pada tahap yang agak rendah hari ni. So, mungkin sebab tu kau masih rasa sejuk lagi. Kalau kau nak duduk di tempat yang panas, kita boleh ke kafe di tingkat bawah. Di situ panas sikit," balas Zahra sambil membetulkan topinya. Ivy pantas menganggukkan kepala.

"Boleh boleh. Jom, kita pergi."

Dia pantas mengemas semua barangnya dalam keadaan tergesa-gesa. Zahra sekadar menggelengkan kepala melihat kerenah Ivy yang sememangnya langsung tidak boleh bawa bertenang.

"Kalau ya pun, relakslah. Kafe tu bukannya ada kaki nak lari tinggalkan kau," seloroh Zahra dalam nada yang serius.






•¤•





"IVY, aku nak pergi tandas sekejap tau. Tak lama. Sekejap je," ujar Zahra lalu bangun berdiri. Buku rujukannya ditutup lalu diletakkan ke tepi.

"Hmm okey. Saya tunggu di sini," balas Ivy sambil membetulkan cara duduknya di atas kerusi. Senyuman diberikan.

Zahra menunjukkan isyarat 'okey' lalu dia terus melangkah keluar dari kafe dan menuju ke tandas. Pemergian gadis itu dihantar dengan pandangan mata lalu dia terus berpaling dan melihat bukunya semula. Fokus.

"Ehem! Ehem! Fokusnya buat kerja sampai tak sedar apa yang ada di depan mata?" ujar satu suara perempuan.

Dia melepaskan keluhan berat. Kepala diangkat lalu dia terus memandang Cassandra dengan malas. Rakan-rakannya yang berada di sisi sedikit pun tidak dikerling.

"Awak nak apa Cassandra? Tak puas lagi ke nak kacau saya? Saya malaslah nak bergaduh. Tolonglah jadi matang," tegasnya dengan intonasi suara yang agak kuat.

"Well... Well... I akan puas hati bila you rela hati angkat semua barang you dan pergi dari sini. Kehadiran you di sini sangat menyakitkan hati kami semua. I cuma bersuara mewakili pihak mereka," ujar Cassandra bersama senyuman senget.

Dia bangun daripada duduk lalu kedua-kedua tangannya disilangkan ke dada, bertentangan mata dengan Cassandra yang seakan-akan tercabar dengan tindakannya. Semua orang yang berada berdekatan situ terus memandang ke arah mereka.

"Kalau saya tak nak? Awak akan buat apa?" tanya Ivy dengan berani bersama senyuman yang terlakar di bibir. Semua orang yang berada di situ terus berbisik-bisik.

"You semakin berani ya lawan I?" tanya Cassandra dengan rahang yang diketap.

Mukanya merah menahan malu. Belum pernah ada lagi mangsa yang berani melawan cakapnya di tempat umum sebegini. Segala perintahnya wajib dipatuhi. Tidak ada seorangpun yang terkecuali!

"Yes. If you think that I'am a weak person, you're exactly wrong, Cassandra," balas Ivy dengan tenang.

Buku-bukunya dikemas lalu dimasukkan ke dalam beg galas. Dia terus melangkah meninggalkan Cassandra dan menuju ke arah pintu kafe. Mengenai Zahra, nantilah dia akan menjelaskan hal yang sebenar. Gadis itu pasti akan memahami situasinya.

Lizzy yang berada di luar kafe itu tersenyum sinis. Sebaik sahaja pintu kafe itu dibuka, dia terus menghalang langkah Ivy dengan kaki kanannya. Gadis itu terus tersungkur jatuh ke hadapan.

"Hahahaha!" Sebahagian besar yang berada di situ ketawa suka manakala yang selebihnya hanya sekadar memandang simpati. Hendak membantu, mereka langsung tidak berani.

"Ops, sorry!" kata Lizzy dengan gedik. Tangan kanannya menyentuh bibir, berpura-pura terkejut dan serba-salah.

"Girls, let's take some pictures! Sorry, Ivy. Ini ialah kenangan yang paling manis bagi I. I kalau boleh nak simpan kenangan ni sampai I mati," ujar Cassandra dengan nada yang mengejek lalu dia terus mengeluarkan telefon pintarnya. Beberapa keping gambar Ivy yang masih terduduk itu ditangkap dari pelbagai arah dan sudut.

Klik!

Klik!

Klik!

"Come on, Ivy. Please smile. Say cheese!"

Ivy menundukkan kepala. Air mata yang selama ini ditahan akhirnya mengalir keluar jua. Jiwanya seakan-akan menghilang. Semangatnya seolah-olah sudah melayang jauh daripada dirinya. Dia lemah. Perasaannya bercampur-baur. Sedih, kecewa, marah dan malu.

Dengan segala kudrat yang masih bersisa, dia segera mencapai buku-bukunya yang sudah bertaburan di atas lantai dan melangkah pergi dari situ. Cassandra pantas menghalangnya.

"Are you crying, Ivy? Aww... So sad!" ejek Cassandra dengan nada yang kuat.

Sekali lagi mereka semua ketawa besar. Cassandra laju mengangkat telefon pintarnya lalu diambil gambar Ivy yang hanya berdiri dan membisukan diri. Bibir merahnya mengukirkan senyuman sinis.

Secara tiba-tiba, tangannya dicengkam dengan kuat oleh seseorang. Telefon pintar yang berada dalam pegangan dirampas lalu dilempar ke dinding sehingga pecah berderai. Cassandra dan mereka yang lain tergamam, malah ada juga yang ternganga.

"OMG! My Iphone!"

"Aku beri kau amaran. Jangan kacau dia lagi."

















Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro