BAB 2 | PECAH MASUK
ESAK tangis memenuhi segenap ruang bilik itu. Awan mendung turut kelihatan berduka cita lalu menghamburkan deraian air mata yang semakin lebat membasahi bumi. Langit seolah-olah sedang bermuram durja melihat seksaan demi seksaan yang dihidapi oleh hamba Allah itu.
Air mata tangisan Andrea masih tidak henti-henti mengalir ke pipi. Mukanya yang cantik itu dipenuhi lebam dan luka yang sengaja dilakukan oleh manusia yang sememangnya tiada hati perut. Sedang dia asyik melayan perasaan sedih, pintu bilik itu tiba-tiba dibuka dari luar. Matanya mengerling sedikit, hanya melihat kaki yang putih itu melangkah ke sini bersama perasaan benci dan dendam yang meluap-luap.
"Ambil ni!"
Mop dan baldi terus dilontar kasar sehingga terkena pada wajah Andrea. Bibir gadis itu mendesis sakit. Luna hanya mengukirkan senyuman sinis lalu dia merendahkan badan. Diraih dagu gadis itu supaya dia dapat melihat wajah Andrea sepenuhnya.
"Sakit? Hm?"
Tangan gadis yang berpakaian seksi itu ditepis kasar oleh Andrea. Gadis itu hanya tergelak kecil dan bangun berdiri. Tangan disilangkan ke dada sambil matanya merenung lama wajah Andrea yang sedang terduduk di atas lantai. Baginya, Andrea tidak ubah seperti seorang hamba.
"Tolonglah, Andrea. Kalau kau ikut cakap Alex, kau tak akan dapat sakit yang macam ni. Bukankah ini sememangnya jalan yang kau pilih?" ujar Luna lembut.
Andrea terus memandang tajam.
"Ini bukan jalan yang aku nak! Dan aku tak perlukan nasihat daripada orang macam kau lah!"
Luna menggelengkan kepala dan ketawa kecil. Kasihan dia melihat nasib Andrea yang hanya mampu meraih simpati dengan rayuan dan tangisan. Entah kenapa hatinya seronok menyaksikan semua itu.
"Andrea... Andrea. Nampaknya, kau masih belum matang dalam menilai semua aspek dalam kehidupan kau. Hidup hanya sekali. Sampai bila-bilapun, kau tak perlu susah-susah cari duit. Gunakan sahaja tubuh, kau akan ada dapat pulangan yang lumayan."
"Aku bukannya hamba!" Andrea menegaskan. Luna mengukirkan senyuman senget.
"Ops! Nampaknya kau dah pilih jalan ni, Andrea. Kau tak boleh kembali lagi. Jadi, belajarlah apa itu erti reda," balas Luna bersama senyuman dan dia terus melangkah pergi.
"Oh ya. Sebelum kau buat perancangan nak larikan diri sekali lagi, lebih baik kau fikir terlebih dahulu. Takut pula nyawa kau sekeluarga melayang. Kalau tidak, hiduplah kau sebatang kara."
Andrea hanya memandang tajam lalu dialihkan mukanya memandang ke tempat lain. Benci sungguh dia melihat Luna. Begitu juga lelaki yang bernama Alex itu. Jika dahulu kepercayaannya kepada mereka berdua setinggi puncak gunung, kini kepercayaan itu musnah berkecai dihambat pisau pengkhianatan.
Tiada gunanya lagi dia meratap sedih semua kisah silam yang sudah jauh ditinggalkan kerana perasaan menyesalnya sekarang langsung tidak akan mampu mengubah keadaan. Air matanya yang lebat mengalir juga sudah tidak ada makna dan ertinya. Segalanya hanyalah sia-sia.
───•¤•───
IVY menatap lama rumah dua tingkat yang berada di hadapannya itu. Dipandang juga alamat yang tertera pada pintu pagar dan kertas yang dipegangnya secara silih berganti. Setelah kapal terbang mendarat di landasan, dia terus mendapatkan teksi dan bergerak ke sini.
Dia tersenyum sendiri, tidak sangka yang ayahnya sanggup membelikan rumah yang besar ini sebagai tempat tinggal. Benarlah madah bicara yang selalu dia dengar, kasih sayang seorang ayah itu berdasarkan perilaku dan pengorbanannya, bukan pada manisnya mulut menuturkan kata-kata sayang.
Walaupun rumah ini tidaklah sebesar rumahnya di Kuala Lumpur, dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya dia ada tempat untuk berteduh sepanjang keberadaannya di bumi Republik Perancis ini.
Tanpa membuang masa, Ivy terus meluru masuk ke dalam rumah menggunakan kunci yang telah diberikan sejak awal-awal lagi. Teruja. Semangat untuk menuntut ilmu kian membara.
Beg roda besarnya terus dibawa masuk ke dalam. Halaman rumah itu diperhati lama. Ringkas tetapi cantik dan bersih. Pasti ada seseorang yang menjaga taman ini. Setelah membuka pintu, ruang tamu yang telah pun disusun atur dengan pelbagai perabot itu menjamu pandangannya. Setelah agak lama memerhati, dia terus bergerak ke biliknya yang terletak di tingkat atas.
"Akhirnya! Setelah berlama-lama duduk dalam kapal terbang, bolehlah aku berehat," gumam Ivy sebelum dia menghempaskan diri ke atas katil.
Beg rodanya yang ditinggalkan di tepi pintu bilik dikerling sebelah mata. Bantal yang berada di sisi terus dipeluk erat. Nanti-nantilah dia kemas semua pakaian. Perkara yang paling penting ialah tidur!
───•¤•───
PANG!
Bunyi kaca pecah memyebabkan Ivy Azrin tersentak dan terjaga daripada lena. Dalam keadaan mamai, dia terus bangun daripada pembaringan dan memerhati sekeliling. Pandangan matanya jatuh pada pasu bunga yang sudah pun pecah di sisi katilnya itu.
"Patutlah aku rasa macam terlanggar sesuatu. Pasu rupanya. Buas sangat ke aku tidur?" fikir Ivy sambil menggaru kepala.
"Err... are you okay?" sapa satu suara. Ivy terus mengalihkan pandangan. Tidak semena-mena matanya terus terbuntang luas.
"Arrghh! Siapa awak! Macam mana awak boleh masuk ke dalam bilik saya!" jerit Ivy tidak percaya. Kepalanya terus disentuh dengan kedua-dua belah tangan. Panik.
'Fuh! Nasib baik aku tertidur dengan pakai tudung sekali! Kalau tak, memang rezeki mamat ni tengok rambut aku!' bisik hati kecil Ivy.
"Err... relaks. Bertenang. Sebenarnya saya..."
Tidak sempat lelaki itu mahu membela diri, Ivy terus mengambil kaca yang pecah di atas lantai tadi lalu dibaling ke arah lelaki itu. Apa lagi, jejaka itu pantas mengelak. Jantung berdegup kencang melihat tindakan gila gadis itu.
'Gila betul perempuan ni! Tak pasal-pasal tamat riwayat hidup aku!' monolognya.
"Keluar! Kalau tak, saya jerit yang awak ni perogol!" Ivy mengugut. Pandangan matanya kelihatan menyinga.
Muka lelaki itu usah dikatakan. Memang cuak habis! Sudahlah gadis itu sedang memegang kaca, bersiap sedia untuk menyerang buat kali kedua. Sekiranya nasib perempuan itu baik, memang hodoh terus muka dia ni!
"Ehh bukan! Saya bukan perogol! Jangan salah faham!"
Lelaki itu berusaha untuk menafikan, namun Ivy sedikitpun tidak percaya dengan kata-kata yang keluar daripada bibir itu. Dia berlalu ke arah tingkap lalu diselak langsir itu ke tepi.
"Tolong! Tolong! Ada perogol! Tolong saya! Help me!" Ivy menjerit sekuat hati. Lelaki itu semakin kalut.
"Bukan! Aku sebenarnya..."
Ivy tidak peduli dengan kata-kata lelaki itu. Berbekalkan keberanian yang entah datang dari mana, dia berlari ke arah lelaki itu dengan kaca yang dihunuskan sebagai senjata. Jejaka itu semakin panik, terus dia melarikan diri turun ke bawah sambil dikejar Ivy.
"Ya! Ya! Saya pergi!" ujar lelaki itu yang sudahpun tiba di luar.
"Bagus! Jangan datang lagi kalau awak tak nak saya penjarakan awak! Dasar lelaki tak guna! Semua sama je!" herdik Ivy sepenuh hati. Matanya tajam memerhati figura jejaka itu yang sudahpun menjauh. Geram!
Insya Allah. Mulai hari ini, saya akan cuba update sedaya upaya saya ya. Stay tune! Jangan lupa vote! ❤
- Aira -
🌼🌼🌼
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro