BAB 16 | TAKDIR
HARI berganti hari, sudah hampir dua minggu Ivy berada di bumi Perancis ini. Tidak dinafikan sepanjang dia berada di sini, pelbagai cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Mujur kehadiran Amirul dan Zahra yang sentiasa ada di sisi banyak membantunya untuk terus berdiri.
Dia sangat-sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan dua orang insan yang berhati murni itu. Walaupun berbeza sikap dan perangai, mereka berdua tidak pernah meninggalkan Ivy keseorangan walaupun hubungan Zahra dengan Amirul sangat dingin. Kalau bukan Zahra yang berada di sisi, Amirul pasti akan menemaninya.
"Kau termenung apa, Ivy?" tanya Zahra yang duduk berhadapan dengannya.
Dia terus tersentak daripada lamunan panjang. Kelihatan gadis itu sibuk menulis sesuatu di atas kertas. Bukunya yang berada di atas meja tidak lagi menjadi tumpuan utama.
"Oh... Saya terfikir juga, tak sangka dah dua minggu saya di sini. Nasib awak dan Amirul sentiasa menjadi penyelamat saya. Saya terhutang budi. Thanks," ucap Ivy ikhlas.
"Apa benda yang kau cakap ni? Dah kau tu kawan aku, tak kan aku nak biarkan kau dibuli?" Zahra membalas bersama kerutan di dahi. Ivy hanya tersenyum nipis.
"Ya. Saya tahu. Tapi boleh saya naktanya something tak?"
"Tanyalah," jawab Zahra, ringkas.
"Tapi janji jangan marah tau," tutur Ivy, polos. Zahra hanya menganggukkan kepala.
"Ya."
Ivy menarik nafas panjang, berharap sangat yang Zahra tidak akan berkecil hati dengan soalannya yang agak sensitif.
"Kenapa awak tak nak pakai macam perempuan lain? Awak cantik Zahra. Kalau awak pakai baju-baju yang cantik, awak pasti akan ada ramai kawan." Akhirnya, terluah juga persoalan itu daripada bibirnya.
Tangan Zahra terus berhenti menulis, sedikit terkejut dengan soalan yang diberikan oleh Ivy. Dia membisukan diri selama beberapa saat sebelum memberikan jawapan atas persoalan yang diajukan oleh gadis itu, terlalu sukar untuk dia melafazkan semua rahsia yang selama ini hanya terpendam di hati. Riak wajahnya kelihatan muram.
"Bukan aku tak nak jawab tapi..." tutur Zahra. Keluhan berat dilepaskan.
"Its okay. Kalau awak rasa sukar nak jawab tak apa. Saya tahu, semua orang pasti ada kisahnya yang tersendiri. Maafkan saya sebab dah buat awak terasa. Saya minta maaf," balas Ivy perlahan, serba-salah.
"Maaf, Ivy. Terlalu berat untuk aku ceritakan semula. Aku tak kuat. Kalau boleh, aku tak nak ingat dah semua kenangan pahit aku. Dan disebabkan peristiwa ni, aku bencikan semua lelaki termasuk Amirul..." luah Zahra perlahan. Buat pertama kalinya, air matanya menitis di hadapan gadis itu.
Ivy terus bangun dan duduk bersebelahan dengan gadis itu lalu dipeluk tubuh itu dengan erat. Tindakan Ivy mengundang rasa sebak dalam diri Zahra lalu air matanya deras mengalir ke pipi, membasahi tudung yang tersarung di kepala gadis itu.
"Ma... Maafkan aku, Ivy..."
"Tak apa. Kalau awak tak boleh nak jadikan saya sebagai tempat untuk awak bercerita, bahu saya sentiasa ada untuk awak melepaskan tangisan dan segala kesakitan. Saya akan sentiasa ada dengan awak, Zahra..."
•¤•
IVY membuka peti ais, mencari sesuatu yang boleh dimakan pada waktu malam-malam sebegini. Diambil sekotak susu lalu dituangkan ke dalam gelas. Namun, yang keluar hanyalah beberapa titis. Matanya terus membesar.
"Oh no! Tak kan dah habis?" Kotak susu itu terus dibuang ke dalam tong sampah.
Dia membuka almari, mencari bahan-bahan untuk dimasak kerana dari tengah hari tadi, dia langsung tidak menjamah apa-apa makanan. Keluhan berat dilepaskan apabila pandangan matanya dijamu dengan almari yang kosong tanpa apa-apa stok makanan. Kalau begini, memang mati kebuluranlah dia nanti.
Dia menghalakan pandangan ke luar tingkap. Dengan keadaan jalan yang sedikit licin dan bersalji, menambahkan lagi rasa malas di hati Ivy untuk keluar membeli makanan. Perutnya yang semakin berkeroncong hebat itu disentuh.
"Ya, aku tahu kau lapar tapi tu la... Aku malas nak keluar. Dah la sejuk. Malam-malam pula tu," balas Ivy bersama wajah yang muram.
'Itula... Siapa suruh kau buat assignment sampai tak tengok jam. Inilah jadinya!' Dia terus memarahi diri sendiri.
"Tak apalah. Baru pukul sembilan. Rasanya pasti ada kedai yang buka malam-malam macam ni." Dia berbisik seorang diri.
Dia terus berlalu masuk ke dalam bilik lalu dipakai kot labuh dan sarung tangan. Tudung sarung hitam turut disarungkan ke kepala. Bersiap sedia menjalankan misi untuk mencari makanan! Pintu segera dikunci lalu dia terus keluar dari perkarangan rumah.
Malam ini, jalan di kawasan perumahannya agak lengang tidak seperti kebiasaan. Mungkin disebabkan cuaca yang agak sejuk telah melanda tempat yang diberi nama Kota Cinta itu, telah mengundang rasa malas dalam diri semua penduduk untuk keluar dari rumah.
Ivy menghentikan langkah. Langit malam yang selama ini kelihatan kelam dan gelap, kini dihiasi dengan pelbagai jutaan bintang. Dia terpukau. Bibirnya lantas mengukirkan senyuman. Kagum dengan hasil ciptaan Tuhan yang sangat indah umpama kertas kanvas yang dicorakkan dengan pelbagai lukisan takdir sebuah kehidupan.
Daripada jutaan bintang yang menghiasi dada langit, terdapat satu bintang yang menarik perhatian Ivy. Tidak seperti bintang-bintang lain yang duduk secara berkumpulan, bintang itu kelihatan 'keseorangan'.
Fikirannya terus teringatkan seorang jejaka bernama Danial Faiz. Apabila difikirkan semula, entah bagaimana dia boleh menyukai lelaki itu pun tidak tahu. Beku, sinis, tidak peramah dan selalu menyendiri. Dia sendiri pelik dan tidak faham dengan dirinya sendiri. Memikirkan hal itu, Ivy sekadar ketawa kecil.
"Alahai... itu Ivy yang dulu. Tak matang. Tak boleh bezakan mana yang sudi dan mana yang tidak. Kau buta, Ivy... sebab sukakan dia," luah Ivy perlahan.
Matanya terus beralih memandang ke hadapan dan dia terus melangkah semula. Tangan dibawa masuk ke dalam poket. Menyesal pula dia berdiri di situ lama-lama. Sejuk!
Bunyi enjin motosikal yang berada di belakang membuatkan Ivy menoleh. Kelihatan seorang lelaki bersut hitam sedang menunggang motosikalnya dengan kelajuan yang agak tinggi. Muka lelaki itu tidak jelas dek cahaya yang terpantul daripada motosikal tersebut. Mata dipejamkan sedikit. Silau.
Dia bergerak ke tepi, memberi laluan kepada lelaki itu. Namun, arah motosikal itu seolah-olah sengaja dibawa ke arahnya. Ivy perasan akan hal itu lalu dia terus melarikan diri, mencari tempat yang sesuai untuk menyelamatkan diri. Jarak antara mereka berdua semakin dekat. Dia tidak akan sempat!
"Argghh!"
Dia terus menjerit kuat apabila tangannya secara tiba-tiba ditarik oleh seseorang, memasuki sebuah lorong yang berada di sebelah kanan. Nasib baik dia tidak jatuh tersungkur seperti buah nangka. Kalau tidak, bukan setakat mendapat sakit tetapi juga malu!
Kedengaran penunggang motosikal tadi menyumpah seranah dalam Bahasa Perancis, kecewa apabila rancangannya sudah gagal. Lelaki itu terus membawa motosikal itu pergi. Ivy menghela nafas lega.
"Thank you so much, sir."
Dia terus berpaling menghadap jejaka itu. Matanya terus membesar tatkala raut wajah yang amat dikenalinya menyapa pandangan mata. Senyuman manisnya terus mati. Terkejut besar.
"Danial?" Sebaris nama itu terus dilontar tanpa sedar. Mulutnya sedikit ternganga. Lelaki itu sekadar memandang hairan.
"Ish! Aku mimpi apa malam-malam ni! Kau rabun ke Ivy!" Dia menampar pipinya sendiri. Tidak mahu kejadian yang sama berlaku tatkala dia berada di rumah Amirul.
"Kau ni gila ke? Tampar muka sendiri?" Jejaka itu terus membuka mulut. Ivy ketawa hambar.
"Hahaha! Mesti awak ni pelanduk dua serupa kan! Alahai, apalah! Saya ingatkan yang awak ni ex crush saya."
Jejaka itu mengangkat kening lalu satu senyuman senget terus meniti di hujung bibirnya. Tangan kananya dimasukkan ke dalam poket, memerhati Ivy yang kelihatan resah.
"Kalau betul aku Danial kenapa? Bukan dulu kau confess dekat aku ke?" Dia sengaja menguji.
Senyuman Ivy mati. Darah terus menyerbu naik ke muka lalu dia terus membuang pandangan matanya ke arah lain. Terkedu.
"Arrgghh! Kenapa aku cakap yang dia ni ex crush aku! Tak sangka dia ingat lagi kejadian tu! Aduh! Matilah kau Ivy!" bisik Ivy perlahan sambil mengetuk kepalanya sendiri.
"Tak apa, Ivy. Kau berlakon je seolah-olah tak ada apa-apa. Tunjuk yang kau dah move on! Kau kuat, Ivy!" katanya lagi.
Sekali lagi Danial mengangkat kening. Ingat dia tidak boleh dengar ke?
"Oh... Entah. Tak ingat la pula. Dah lama dah kejadian tu." Ivy membalas dengan raut wajah dibuat selamba padahal mukanya itu sudah kemerah-merahan dek menahan malu!
"Oh... Haahkan. Aku pun dah tak ingat muka kau macam mana. Aku ingatkan kau ni mak cik yang jaga gerai di tepi jalan sekolah tu," kata Danial selamba. Tangan dimasukkan ke dalam poket lalu dia terus berjalan ke hadapan. Ivy ternganga.
"What! Betul ke dia tak ingat aku? Nampak sangat yang dia bencikan kau, Ivy. Tak apa tak apa. Kau pun boleh bencikan dia," bebel Ivy geram. Dia segera membawa langkah mendahului Danial.
"Saya pun tak kisahlah awak nak lupakan saya ke tak! Sebab sayapun dah lupakan awak."
"Really? Tak silap kau sebut nama aku tadi. Tapi maaflah kalau kau berkecil hati sebab aku tak ingat kau. Ramai sangat perempuan yang confess dekat aku. Jadi, aku tak cam muka kau. Maaf," ujar Danial sambil tersenyum sinis.
Ivy mengetap bibir. Tangannya digenggam lalu dia terus membawa langkah laju, menjauhi Danial. Geram! Sakit hati!
•¤•
PINTU kedai serbaneka itu ditolak ke dalam bersama bibir yang diketap rapat. Dia terus membawa langkah ke arah ruang makanan segera. Kehadiran Danial tidak diendahkan lalu beberapa bekas mi segera diambil.
"Mi segera tak elok untuk kesihatan," kata Danial yang sedang mengambil air kotak. Ivy menjeling tajam. Penyibuk!
"Yang awak ni dari tadi ikut saya kenapa? Tak ada tempat lain ke nak pergi?"
"Kau je yang perasan. Aku memang berniat nak datang ke sini dari awal-awal lagi." Sekali lagi Danial menjawab selamba lalu dibawa langkahnya ke arah kaunter. Air minuman itu dibayar sebelum dia terus keluar dari kedai itu.
"Apa kena dengan mamat tu! Ergh! Sakitnya hati! Tak pernah berubah!" teriak Ivy perlahan. Geram dan malu!
Assalamualaikum semua. Hai!
Haaa.... Dah masuk dah part Danial. Tiba tiba je ada kat Paris. Ada apa-apa ke? 🤣
Btw sis nak belanja satu teaser untuk bab yg akan dtg.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro