Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 11 | DUA PILIHAN

DI sebuah kawasan pedalaman yang sunyi dan sepi, terletak sebuah markas atau tempat persembunyian mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang sememangnya melanggar undang-undang negara. Terdapat beberapa orang lelaki yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun di situ.

Kelihatan meja yang besar itu dipenuhi botol-botol arak dan pelbagai jenis dadah. Kawasan itu juga dipenuhi bau-bauan asap rokok yang sememangnya menyesakkan dada dan salur pernafasan.

Walaupun sudah jelas tertera gambar kesan buruk akibat merokok pada kotak rokok tersebut, manusia seolah-olah tidak peduli dan sanggup menghabiskan duit demi nafsu. Spesies manusia begini selalunya tidak bersedia menghadap pintu kematian tetapi nampaknya tindakan mereka seperti sudah bersedia untuk mati.

Air kencing syaitan pula sanggup diminum sedangkan arak itu ialah raja segala kemaksiatan, permulaan bagi mereka melakukan semua dosa besar sekali gus tanpa kawalan minda dan fikiran.

Bagi mereka, inilah keseronokan yang patut mereka rasakan kerana pada malam ini, mereka akan memperoleh 'makanan' yang mereka inginkan dan paling ditunggu-tunggu iaitu...

Perempuan.

"Haish, mana Kerol ni. Lamanya..." rintih Zian dalam dunia khayalnya akibat pengaruh dadah yang berlebihan.

"Itulah! Aku dah tak sabar ni! Dia kata perempuan tu lawa," ujar seorang lelaki bersama sengihan.

"Bukan biasa-biasa Kerol ni. Dapat perempuan berpurdah kot! Mahal ni!"

"Senang betul perempuan tu kena tipu. Ingatkan iman kuat sangat, rupanya sekali tabur ayat-ayat manis dah jatuh," kata Zian lagi, sinis.

"Hahaha betul! Aku setuju!"

"Weh, Lian! Ambilkan minuman baru! Dah habis pula arak dalam gelas aku ni." Zian terus mengarah dengan nada yang kuat.

"Cis! Yelah!"










•¤•









"AWAK... Kita nak pergi mana ni? Jauh lagi ke?" tanya Rita penuh ketakutan.

Beg baju dipegang erat sambil matanya meliar memandang kawasan sekeliling yang hanya dipenuhi pokok-pokok dan semak-samun. Jantungnya usah dikatakan, berdegup kencang.

"Saya nak tunjuk awak satu tempat. Tempat tu best," kata Khairul bersama senyuman manis.

Namun, senyuman itu langsung tidak dapat menghilangkan perasaan takut teman wanitanya itu. Rita teringatkan wajah tua umi dan abahnya. Terbit pula perasaan serba salah kerana bertindak kasar dan biadap terhadap mereka.

Tambahan pula pada malam ini, dia mengambil keputusan untuk melarikan diri lantaran kehendaknya tidak mendapat persetujuan daripada mereka berdua. Darah muda, akan panas dan mudah untuk memberontak apabila keinginannya tidak dapat dipenuhi.

Seminggu yang lalu,

"Abah..." seru Rita dari dapur, disuakan secawan air teh'o panas kepada abahnya itu. Uminya pula, Hajah Zarina meletakkan sepinggan kuih di atas meja.

"Terima kasih," ucap Haji Rahman bersama senyuman. Dibuka kopiah lalu diletakkan di sisi, terlupa nak buka walaupun sudah habis menunaikan solat Maghrib sejak dari tadi.

Rita turut tersenyum. Dia terus melabuhkan duduk bersebelahan Hajah Zarina sambil matanya menonton siaran televisyen yang memaparkan berita semasa. Tangannya yang mula berpeluh menunjukkan dia terlampau gementar ingin memberi tahu niat di hati.

"Kakak bila nak balik Mesir? Cuti semester habis bila?" Haji Rahman tenang bertanya. Rita pula yang berasa takut.

"Hmm... Dalam dua minggu lagi," kata Rita sedikit gugup.

"Kamu di sana macam mana belajar? Okey ke? Ada masalah kewangan ataupun hal-hal lain?" tanya Hajah Zarina pula. Rita pantas menganggukkan kepala.

"O-okey je. Semua berjalan dengan lancar. Abang Rusdi ada beritahu tak, dia nak balik ke sini bila? Teringin nak tengok anak buah Rita. Mesti comel kan?" Rita bertanya, sengaja mengalih topik perbualan.

"Mungkin lusa kut sebab kakak ipar kamu tu baru je habis berpantang. Takut dia tak larat pula." Hajah Zarina segera menjawab.

Rita hanya menganggukkan kepala lalu membisukan diri, mengumpul keberanian terlebih dahulu sebelum memberitahu abah dan uminya suatu perkara. Mereka berdua pula tekun melihat berita.

"Kamu ada benda nak cakap ke? Dari tadi umi tengok macam gelisah je?" Hajah Zarina terus bertanya lembut. Dari tadi dia tengok Rita asyik tidak senang duduk.

Rita tersentak, hanya mampu tersengih dan memperlihatkan giginya yang putih dan tersusun rapi itu. Manis dan cantik bak bidadari syurga. Mana-mana lelaki pasti akan terpaut dan cuba untuk mendekatkan diri. Walau bagaimanapun, Rita bukannya gadis yang mudah untuk didekati kerana dia sangat menjaga batas-batas pergaulan.

Akhirnya, keikhlasannya menjaga diri dan hati diuji. Dia dipertemukan dengan Khairul sehingga sinar sifat malunya sebagai seorang muslimah memudar lalu menghilang, hanya kerana tertawan dengan wajah kacak dan kebaikan lelaki itu.

"Janganlah risau. Abah dan umi akan cuba bantu kalau benda tu tak melanggar batas-batas agama," kata Haji Rahman lagi. Rita hanya tersenyum kelat.

'Hmm... Beritahu jelah, Rita! Kau nak berkahwin dengan Khairul kan? Lagipun kahwin kan perkara yang baik, dapat elakkan dosa dan maksiat. Mesti umi dan abah akan setuju,' bisik hatinya yang sudahpun digoda syaitan.

Rita menarik nafas sedalam-dalamnya. Dipandang umi dan abahnya yang sejak tadi hanya menunggu dan melihat.

"Abah... Umi... Kalau adik nak kahwin boleh?" luah Rita setelah mengumpul keyakinan.

"Haa? Kahwin?" tanya Hajah Zarina, terkejut.

"Ya. Adik rasa, jodoh adik dah sampai," kata Rita lagi.

"Siapa lelaki yang pikat kamu tu? Macam mana perangai dia? Bila kamu berkenalan dengan dia?" Kali ini, Haji Rahman bertanya pula. Nada suara kelaki tua kedengaran agak serius.

Rita mengetap bibir apabila mendengar suara ayahnya yang mula mengalami perubahan. Dia sekadar menundukkan kepala apabila umi dan abahnya memandang tajam.

"Emm... Nama dia Khairul. Baik orangnya, abah. Rita mula berkenalan dengan dia dalam sebulan yang lepas," tambah Rita lagi.

"Kamu baru kenal dia sebulan terus nak kahwin?" Sekali lagi Hajah Zarina bertanya. Dia tidak mahu anak gadisnya terlalu terburu-buru mengikut perasaan.

"Apa salahnya, umi. Bukankah kita patut singkatkan perkenalan, percepatkan pernikahan?"

"Tapi kenapa dia tak berjumpa dengan abah? Minta keizinan nak berkenalan dan melangsungkan pernikahan? Itu bukan akhlak yang abah mahu daripada lelaki tu," ujar Haji Rahman tegas.

"Mungkin dia malu dan tak bersedia lagi."

"Kalau dia tak bersedia, maksudnya dia tak bersedialah nak terima kamu sebagai isteri. Abah tahu dia langsung tak serius dengan niat dia." Rita terus terdiam. Sepi.

"Kalau kamu berkahwin, macam mana dengan study kamu di Mesir?" tanya uminya pula.

"Tentang tu... Sebenarnya... Rita dah berhenti." Lambat-lambat Rita menjawab. Haji Rahman dan Hajah Zarina amat terkejut, tidak sangka Rita akan membelakangkan mereka.

"Apa yang kamu dah buat ni, Rita? Kenapa kamu berhenti?"

"Khairul kata dia boleh tanggung Rita, umi. Dan dia pun tak larang Rita untuk sambung belajar di Malaysia. Rita jujur," jawab Rita cuba menyakinkan umi dan abahnya.

"Tapi kenapa tak bincang dengan abah dan umi? Kenapa sekarang kamu membelakangkan kami? Siapa yang suruh kamu berhenti? Cakap!" ujar Haji Rahman dengan tegas.

"Khairul, abah..." jawab Rita perlahan. Haji Rahman terus berdiri.

"Baiklah kalau macam tu, abah tak kan izinkan kamu berkahwin dengan dia! Kamu kena dengar cakap kami!" Rita lantas berdiri. Geram kerana keputusannya langsung tidak dipertimbangkan.

"Sampai bila Rita kena dengar cakap abah dan umi? Sampai bila abah dan umi nak kongkong hidup Rita? Rita pun ada hak nak bebas, buat apa yang Rita suka! Semua benda yang Rita nak buat, semua tak boleh!" Tanpa sedar tahap suaranya mulai meninggi.

"Kamu jangan jadi anak derhaka, Rita! Hormat abah," kata Hajah Zarina dengan nada suara yang sudah naik seoktaf.

"Selama ni, tak pernah ke Rita tak hormat abah? Selama ni... Pernah ke Rita berdiri nak pertahankan hak Rita? Tak pernah lagi, kan? Jadi, please. Tolonglah perkenankan hasrat Rita ni. Satu je yang Rita minta... Rita nak berkahwin dengan Khairul," ujar Rita bersama air mata yang sudah mengalir.

"Tak boleh! Abah tak kan benarkan!"

"Baik! Kalau Rita pergi dan hilang daripada hidup umi dan abah, jangan cari Rita lagi! Abah dan umi jangan menyesal!" kata Rita lalu masuk ke dalam bilik.

Buat pertama kalinya, dia telah meninggikan suara kepada abah dan uminya. Siapa sangka, anak yang diacu dengan didikan agama sudah terpengaruh dengan tipu daya dunia. Dan itulah ketakutan dan kebimbangan yang dialami oleh setiap ibu bapa apabila anak-anak mereka sudah mulai meningkat dewasa.

"Rita? Are you okay?" tanya Khairul. Gadis itu terus tersentak.

Pipi Rita disentuh dengan lembut. Rita hanya tersenyum kelat bersama air mata yang sudahpun mengalir. Disentuh tangan Khairul perlahan lalu dijauhkan daripada pipinya.

'Ya Allah... Apa aku dah buat ni, Ya Allah...' bisik hatinya penuh penyesalan.

"Sorry, Khairul. Saya tak boleh nak teruskan semua ni."

"Tapi kenapa? Kan kita dah sama-sama berjanji nak hidup bersama? Kalau awak rasa saya tak boleh jadi suami yang baik, saya akan usaha sebaik mungkin sehingga awak percayakan saya," janji Khairul penuh yakin.

Rita pantas menggelengkan kepala. Air matanya lebat mengalir jatuh ke pipi. Pada saat ini, barulah dia tersedar daripada segala mimpi. Mimpi yang membuatkan mata hatinya buta untuk melihat kebenaran.

"I'm sorry, Khairul. Saya tak kan berkahwin dengan awak. Cara kita salah, Khairul. Saya tak nak derhaka dengan ibu bapa saya. Bodohnya saya kerana terlampau ikut kata hati dan memilih cinta yang penuh dengan kepalsuan. Saya menyesal dengan pilihan saya," tutur Rita dengan nada yang sebak.

"Ohh... Baru sekarang kau menyesal. Aku akui, kau memang bodoh!" Khairul pantas menarik tangan Rita dan memaksa gadis itu mengikutnya.

"Lepas, Khairul! Saya tak nak!"

"Aku tak peduli. Yang penting aku dapat kau untuk puaskan hati aku!"

"No! Saya tak nak! Lepas!" Rita meronta sekuat hati. Tanpa berfikir panjang, tangan jejaka itu digigit sekuat hati!

"Argghhh!"

Pegangan serta-merta terlepas. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Rita untuk melarikan diri. Dengan sepenuh kekuatan yang masih bersisa, dia cuba untuk mempercepatkan larian.

"Tak guna! Kau tak kan boleh lari daripada aku, Rita!" Khairul berkata lantang lalu dia terus mengejar gadis itu. 

Perasaan Rita usah dikatakan, terlampau takut dengan pelbagai bayangan yang menjengah fikiran. Dia berharap sangat bayangan-bayangan menakutkan itu tidak menjadi cerita realiti dalam hidupnya.

Kawasan curam yang berada di hadapannya serta-merta membuatkan lariannya terhenti. Dia memandang ke bawah, sukar untuk mengagak dasar curam itu sama ada tinggi ataupun tidak ketika waktu malam sebegini.

"Mana kau nak lari, Rita? Nampaknya daya ingatan kau memang lembab. Kau lari pun salah arah! Masuk perangkap aku!" Khairul berkata lalu dia ketawa terbahak-bahak. Rita hanya membisu.

"Aku bagi kau dua pilihan. Ikut aku, kau akan hidup. Turun bukit yang curam tu, kau akan mati. Peratus untuk kau hidup sangat rendah. Jadi, aku nak kau pilih." Rita terus mengukirkan senyuman.

"Jadi, aku akan pilih mati," kata Rita lalu dia terus menuruni kawasan yang curam itu.

Khairul mengukirkan senyuman sinis. Langkah dibawa mendekati satu kawasan. Dahan besar yang sudah pun ditebang dan dikumpul sejak awal-awal lagi diangkat lalu dilontarkan ke bawah.

"Kalau macam tu, selamat tinggal," ujar Khairul, sinis apabila telinganya mula menangkap jeritan gadis itu.

























By the way, sy nk ucapkan terima kasih kpd yg sudi vote dan komen. Hahaha komen korang semua buat saya terhibur. 🤣

Terima kasih sbb sembuhkan hati sy yg berduka ni sedikit demi sedikit. Cehh. Ayattt 😝

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro