Bab 7
LAJU kakinya melangkah keluar dari biliknya. Gara-gara terbangun lambat, kelam-kabut jadinya dia pagi ini. Rambut yang masih belum berikat dibiarkan lepas. Takut jika sampai ke sekolah agak lewat nanti.
Jarak dari rumah ke sekolah hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Kebiasaannya dia akan ke sekolah dengan menaiki basikal jika hari tidak hujan. Sekarang hanya tingga 15 minit sahaja lagi sesi persekolahannya akan bermula.
“Ibu! Adik nak pergi dulu sekolah. Dah lambat sangat ni.” Jerit Sakinah sambil memakai stokin dan kasutnya.
Syamil pula sudah lama ke sekolah kerana mereka berlainan sekolah. Kini Syamil sudah berada di tingkatan dua.
“Ya Allah, adik ni kenapa kelam kabut sangat ni? Sarapan tak nak jamah dulu ke?” Tanya Dahlia yang baru keluar dari dapur.
“Tak apa ibu, adik makan kat sekolah. Lambat sangat dah ni. Salam ibu.”
Segera tangan ibunya dicapai dan diciumnya. Kedua-dua belah pipi ibunya dicium mesra.
“Eh, budak ni. Dengan abah tak salam ke?” Dahlia sudah mula mencekak pinggang.
“Ibu kirim salam kat abah jelah. Tak sempat kalau adik tunggu.”
Tersengeh-sengeh Sakinah memandang ibunya. Selepas kelibat Sakinah hilang dengan basikalnya, barulah Dahlia masuk semula ke dalam rumah.
Tergeleng kepala Dahlia melihat sarapan pagi yang tidak luak. Banyak juga mee gorengnya yang dimasaknya pagi tadi. Jarang Sakinah tidak mengambil sarapan pagi.
Dahlia mengeluh perlahan.
“Awal pagi dah mengeluh ke sayang…” Tegur Syamsul yang baru muncul di meja makan.
Tersenyum Dahlia mendengar teguran suaminya.
“Anak manja abang tulah. Baru je pergi sekolah. Pagi ni lambat pula dia bangun.” Balas Dahlia sambil menuang teh panas ke dalam cawan buat suaminya.
Berkerut dahi Syamsul mendengarnya. Jam di tangannya dikerling sekilas.
“Lambat pula dia hari ni.” Kata Syamsul.
Risau juga dengan anak perempuannya itu terutamanya dalam hal pelajaran. Sudah banyak kali dia menerima aduan dari guru-guru matapelajaran Sakinah yang anaknya sangat lemah.
Dahlia sebenarnya ada sesuatu perkara penting yang hendak dibincangkan. Sudah lama dia ingin bertanyakan kepada suaminya tetapi masa selalu sahaja tidak sesuai.
“Abang, Lia rasa tak sedap hatilah sejak akhir-akhir ni.” Luah Dahlia.
Tidak jadi Syamsul menyuap mee goreng ke mulutnya sebaik saja mendengar Dahlia berkata begitu. Selalunya kalau isterinya risaukan sesuatu, pasti perkara itu terlalu serius.
“Kenapa ni Lia?” Soal Syamsul. Dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada isterinya kali ini.
“Abang, adik tu dah makin besar. Tahun ni dia dah nak UPSR. Abang tak rasa ke dah sampai masa kita beritahu perkara yang sebenar. Lia susah hati sebab teringatkan hal ni. Dulu pun sebelum arwah mak abang meninggal, arwah dah banyak kali pesan kat kita untuk beritahu hal sebenar. Tapi masa tu Lia tak sedia lagi abang.” Terang Dahlia sambil menundukkan wajahnya.
Tersentak Syamsul dengan penjelasan Dahlia. Bukan dia tidak pernah memikirkan hal ini, tetapi dia takut jika suatu hari nanti mereka bakal kehilangan anaknya itu.
Tangan Dahlia dicapai dan digenggam kemas.
“Sayang dah sedia ke nak beritahu adik?”
Lama Dahlia terdiam. Cuba memikirkan baik buruknya jika perkara itu didedahkan.
“Kalau abang tanya Lia, jujur Lia masih tak bersedia. Tapi sampai bila kita nak mengelak. Lambat laut dia akan tahu juga.” Jawab Dahlia dengan nada yang sayu.
Syamsul menarik nafasnya dalam-dalam.
“Baiklah. Nanti kita beritahu adik sama-sama. Kalau boleh, kita beritahu adik selepas selesai UPSR. Abang tak nak ganggu fikiran adik buat masa ni. Biar keadaan tenang, baru kita beritahu adik perkara yang sebenar.” Cadang Syamsul.
“Adik tak akan tinggalkan kita kan abang?” Risau Dahlia dengan perkara yang bakal berlaku nanti.
“Ishh! Jangan cakap macam tu. Selama ni, kita dah besarkan adik dengan penuh kasih sayang. Tak ada sebab adik nak tinggalkan kita.” Tegur Syamsul dengan nada yang tegas.
Dahlia hanya menurut sahaja kata-kata suaminya. Dia tidak pernah berhenti berdoa semoga kebahgiaan keluargannya akan berkekalan sampai bila-bila.
💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕
PETANG ini, Siti datang ke rumahnya untuk membuat ulangkaji bersama-sama. Disebabkan jarak rumah mereka yang tidak jauh, mudahlah Siti untuk datang ke rumahnya.
“Ni ke abang sepupu kau Kinah? Boleh tahan. Kau kenalkan lah kat aku.” Pinta Siti dengan tersengih-sengih.
Terbuntang biji mata Sakinah dengan permintaan Siti.
“Tak boleh. Lagi pun, abang sepupu aku tu pemalu.” Laju Sakinah memberikan alasan.
Mencemik muka Siti mendengarnya.
“Kedekutlah kau ni.” Rungut Siti dalam keadaan tidak berpuas hati.
Sakinah langsung tidak menghiraukan bebelan Siti. Sudahlah kepala dia hampir pecah dengan soalan matematik yang susah ini.
“Kinah! Kau dengar tak aku tanya ni?”
Sakinah berdecit perlahan.
“Apa dia? Kepala aku ni dah sakit fikirkan soalan ni.” Rungut Sakinah.
“Aku tanya, abang sepupu kau ni mesti pandai kan. Betul tak?”
“Ye, dia memang pandai. Lagi pandai dari aku.” Sakinah mengeluh perlahan saat membandingkan dirinya dengan Fakrul. Bagai langit dan bumi sahaja keadaan mereka ketika ini.
Hampir bertaut kening Siti dibuatnya.
“Yang kau nak sedih sangat ni kenapa?” Pelik dia melihat Sakinah yang tiba-tiba sahaja berubah riak.
“Tak ada apalah.” Sakinah cuba berlagak tenang.
“Eh! Ni gambar family kau kan…” Siti menunjuk sekeping lagi gambar yang ada di dalam album Sakinah.
“A'ah. Tu gambar raya tahun lepas.” Jelas Sakinah.
Lama Siti menilik gambar itu. Sesekali matanya melirik ke arah wajah Sakinah.
“Pelik pula aku tengok gambar ni. Abang kau memang ada iras abah kau, muka ibu kau pun ada sikit. Tapi, muka kau ni ikut siapa pula?” Tanya Siti.
Sakinah berasa terkejut dengan pertanyaan rakan baiknya itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar soalan itu. Sudah beberapa kali soalan itu turut diajukan kepadanya. Terkulat-kulat dia dibuatnya ketika itu.
“Kenapa kau tanya aku soalan tu? Mestilah muka aku ni ikut abah dengan ibu aku.” Sakinah menjawab dengan penuh yakin. Geram juga kerana selalu ditanya soalan yang sama.
“Ye ke? Aku tengok tak ada pun. Tapi mungkinlah kau ikut genetik ibu kau. Ibu kau kan cantik. Kau pula comel. Yang ni aku puji.” Kata Siti dengan riak wajah yang selamba.
Kata-kata Siti itu membuat Sakinah mula tidak senang duduk. Dia sendiri sedar yang raut wajahnya agak berlainan dengan ibu bapanya. Perlahan-lahan wajahnya disentuh dengan jarinya.
💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro