Bab 9
DENGAN membawa cawan berisi kopi di tangan kanan, piring berisi karipap di tangan kirinya, Nafisah mendekati Muhammad yang sedang duduk bersendirian di ruang tamu. Begitu khusyuk sekali anaknya itu menaip pada komputer riba. Sebaik saja tiba dekat, Nafisah reling skrin. Dia ingin membaca apa yang Muhammad taipkan di situ. Khusyuk benar gayanya sampaikan tak sedar langsung emaknya berdiri di belakang.
Selamat Tinggal Dunia.
Ayat itu yang Nafisah nampak dulu sebab tulisannya lebih besar dan lebih gelap berbanding ayat-ayat di bawahnya. Nampak macam sebuah tajuk. Ayat-ayat seterusnya Nafisah tak baca kerana tajuknya saja sudah cukup membuatkan hatinya tersentak dan serta-merta bebola matanya berlari ke arah Muhammad.
Biar betul anak aku ni!
Dahi berkerut. Otak pula mulai memikir tentang ayat yang baru dibacanya sebentar tadi. Kemudian skrin komputer riba kembali direling. Pada penglihatan matanya yang sudah tak berapa nak cerah itu, hanya beberapa baris ayat saja yang ditaip. Mungkin tak selesai lagi kerja Muhammad. Ayat-ayat yang tertera cuba diamati namun belum pun sempat dia membacanya, Muhammad tiba-tiba menoleh. Dengan segera pandangan matanya dialih. Dari skrin terus ke muka Muhammad. Buat bersahaja, kononnya dia tak nampak apa-apa.
"Apa tu, mak?" sapa Muhammad saat dia terpandangkan piring di tangan emaknya.
"Karipap."
"Sedapnya!" Muhammad segera menyambut cawan dan piring. Sesudah itu dia letakkan kedua-duanya di atas meja. Sebiji karipap diambil lalu disuapkan ke mulut. Sebelum itu dia membaca basmallah terlebih dahulu bagi menghindari syaitan dari turut menyantap makananan itu sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim dan Ahmad.
Nafisah berganjak ke depan. Kali ini posisinya betul-betul berdepan dengan Muhammad. Kemudian duduknya dilabuhkan di atas kerusi rotan yang ada di ruang tamu itu. Sejurus, bebola matanya terpandangkan sebuah kitab yang terletak di sebelah komputer riba. Nipis saja kitab itu pada pemerhatiannya.
"Banyak ke kerja yang mudir bagi?" tanya Nafisah. Dia dan suaminya menggalakkan Muhammad membuat kerja-kerja penterjemahan memandangkan terlalu sedikit kitab-kitab terjemahan di pasaran. Nak baca kitab karangan asal yang berbahasa Arab bukannya semua orang faham. Dia dan suaminya sendiri pun tak tahu berbahasa Arab.
"Adalah juga, mak... Tapi mudir taklah mendesak sebab dia tak nak ganggu pembelajaran abang." Muhammad menjelaskan. Kemudian dia capai cawan di atas meja. Setelah habis sebiji karipap ditelan, salur trakea rasa tercekik pula.
Muhammad menggelarkan dirinya abang sebaik sahaja Salman lahir. Bukan adik-adiknya sahaja yang memanggil Muhammad dengan panggilan itu, Nafisah pun terikut sama. Pendek kata, suami dia panggil abang, anak pun dia panggil abang. Pernah juga berlaku di mana kedua-duanya terkeliru dia memanggil siapa sebenarnya. Namun begitu, sesekali Nafisah panggil juga anak sulungnya itu dengan panggilan nama penuh. Bukan panjang pun nama Muhammad. Sekadar satu nama saja, Bukan Muhammad Izhar atau Muhammad Affan ke. Muhammad semata-mata, sempena nama junjungan Nabi yang mulia.
Nafisah bingkas dari duduknya lalu mengambil kitab di tepi komputer riba. Sebaik sahaja sudah berada di tangan, Nafisah duduk semula. Mata membaca apa yang tertulis pada muka depan kitab. Dia baca dalam hati cuma.
Diwan.
Al-Imam As-Shafie.
Meskipun Nafisah tak faham bahasa Arab tapi dia masih boleh membaca tulisan Arab. Cuma kalau ayat Arab itu tak berbaris, merangkaklah sikit dia membacanya. Kadang-kadang ada juga yang dia tak boleh baca langsung.
Helaian kitab diselak. Kandungan dalam setiap helaian pendek-pendek saja nampaknya, tak macam kitab-kitab milik Muhammad yang lain. Namun begitu, sepatah habuk pun Nafisah tak faham. Apa yang dia pasti, kitab di tangannya itu karangan Imam Syafie, iaitu salah seorang dari imam mazhab yang empat.
"Kitab apa ni, abang? Kitab fiqah ke?" tanya Nafisah.
"Taklah, mak... Itu kitab syair..."
Jadinya, 'Selamat Tinggal Dunia' tu syair Imam Syafie? Terkedip-kedip kelopak mata Nafisah. Tak tahu pula dia Imam Syafie ada mengarang syair.
Selamat Tinggal Dunia
Jika seseorang mengasihimu kerana terpaksa,
tinggalkan saja ia dan tak perlu kau sesali
Masih banyak pengganti dan kau tenang saat kau pergi
Di dalam hati tetap bersabar walau kekasih mulai menjauh
Tidak semua yang kau cintai mencintaimu
Dan tidak pula setiap yang kau tulusi akan tulus kepadamu
Apabila ketulusan cinta tidak datang dari jiwa
Maka tiadalah ertinya cinta yang lahir dengan terpaksa
Apa ertinya seorang sahabat yang mengkhianati sahabatnya
Yang berubah dingin sedang dulu begitu mencintainya
Begitu banyak dia berdusta denganmu dulu
Dusta itu akhirnya terbongkar juga
Selamat tinggal dunia jika tak ada lagi
sahabat yang tulus, jujur dan adil...
USAI menaip bait-bait syair 'Selamat Tinggal Dunia' yang telah diterjemahkan itu, Muhammad tekan butang Post. Sementelah bercuti, dia ambil peluang untuk menulis pada dinding Facebooknya. Sudah agak lama juga akaunnya itu tidak dikemas kini memandangkan di asrama dia tak dapat melayari Internet.
Baru saja dimuat naik, posnya itu sudah mendapat beberapa tanda suka. Namun tujuan dia mengepos syair itu bukan untuk meraih tanda suka, sebaliknya dia hanya mahu meluahkan sakit yang dia rasa.
Muhammad berasa sakit bukan kerana Khadijah menolak cintanya tapi hatinya sakit kerana sahabat baik hanya berpura-pura. Selama ini dia menyangkakan Abdul Rahman benar-benar ikhlas mahu beriparkan dia. Rupa-rupanya Abdul Rahman hanya bermanis kata. Cakap tak serupa bikin kata orang. Lain di mulut, lain sebenarnya dalam hati.
Sebagai sahabat, Muhammad merasakan Abdul Rahman sepatutnya berusaha meyakinkan kedua ibu bapanya agar menerimanya sebagai menantu. Tapi tidak. Abdul Rahman tak buat apa-apa. Bahkan sebaliknya sahabatnya itu memintanya melupakan Khadijah.
Teringat pula Muhammad tentang peringatan yang telah diberikan oleh Imam Syafie tentang persahabatan. Kata beliau...
Hati-hati kamu pada musuh kamu sekali. Tetapi pada teman kamu seribu kali.
Maksudnya, seorang sahabat mengetahui segala rahsia temannya. Senang kata, seorang sahabat mengetahui luar dan dalam tentang temannya.
"Jangan-jangan Abdul Rahman sudah ceritakan yang buruk-buruk saja tentang aku. Sebab itulah pinangan aku ditolak." Dari siang membawa ke malam, Muhammad masih tak mampu menepis waham yang kian bersarang.
Ku persembahkan kepada-Mu harapanku, wahai Tuhan.
Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai Zat Yang Maha pemberi dan Pemurah.
Tatkala sesak dadaku dan sempit perjalanan hidupku.
Jadikan rayuanku sebagai jalan mengharap keampunan-Mu.
Hanya Engkau sahaja yang memiliki keampunan untuk dosa yang tidak akan terhapus ini.
NAFISAH leka menghayati nasyid yang berjudul Ilaika (Kepada-Mu Ya Allah). Bait-bait kata yang ditulis sangat menusuk jiwa. Menurut Muhammad, Ilaika merupakan syair karangan Imam Syafie yang terakhir. Ia ditulis ketika beliau sedang gering. Syair itu menggambarkan kerisauan Imam Syafie tentang keadaannya di akhirat kelak. Betapa seorang imam besar yang tinggi ilmu dan hebat amalannya pun takut hendak mengadap Ilahi, bagaimana pula dengan orang yang ilmu sekelumit dan sedikit amalan seperti dia?
Allahu! Terasa insaf dalam hati Nafisah. Kemudian Nafisah imbas cerita Muhammad...
"Imam Syafie telah menulis beratus-ratus syair dan ada beberapa syair beliau dijadikan nasyid dan qasidah. Antaranya, Ilaika. Mak boleh tengok dekat YouTube."
Nafisah sebenarnya baru saja mengetahui tentang Imam Syafie menulis syair. Kata Muhammad juga, ramai ulama silam menggunakan syair sebagai salah satu daripada metode dakwah mereka, termasuklah Imam Syafie dan Imam Suyuthi. Imam Syafie merupakan pengasas mazhab Syafie yang menjadi pegangan masyarakat Melayu manakala Imam Suyuthi pula pengarang kitab Tafsir Al-Jalalain. Kitab tersebut ada tersusun dekat rak buku, selain dari kitab tafsir Ibnu Kathir. Kesemuanya dibeli oleh Muhammad untuk rujukan pengajiannya.
Sekarang baru Nafisah faham kenapa Muhammad berhasrat membukukan terjemahan syair-syair Imam Syafie yang terdapat dalam kitab Diwan As-Syafie, iaitu kitab nipis yang dia belek petang tadi. Dan apa yang dia nampak pada skrin komputer riba anaknya tadi merupakan terjemahan dari syair Imam Syafie.
Kata-kata Muhammad diimbas lagi...
"Selamat Tinggal Dunia merupakan karangan Imam Syafie, mak... Syair ini tentang keperluan menjaga adab dalam bersahabat serta hak-hak seorang sahabat."
Tertawa sendiri Nafisah mengingatkan kejahilannya itu. Boleh pula dia terfikir Muhammad hendak membunuh diri. Nampak sangat dia bukan berjiwa puitis. Tak faham apa yang tersirat dari yang tersurat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro