Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

KAMUS terjemahan bahasa Arab-Melayu terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka itu dibelek sejak tadi. Helaian demi helaian diselak sedangkan Muhammad tak tahu apa perkataan yang dia cari sebenarnya. Muhammad hilang fokus.

Ah! Susah betul hendak buang ingatannya terhadap Khadijah.

Muka diraup. Kemudian buku latihan di sebelah dipandang. Muhammad mencari semula perkataan yang dia hendak cari dalam kamus tadi. Kerja asalnya mudah saja. Dapatkan kata dasar kemudian buka helaian kamus berdasarkan huruf pertama kata dasar. Tak perlulah belek kesemua helaian yang setebal hampir 6 inci itu.

Muhammad belek semula kamus. Ya Allah! Yang aku pergi cari dekat huruf nun buat apa?

Tadi dia sudah ingat perkataan yang dia hendak cari bermula dengan huruf lam. Nampaknya sudah melangkau ke halaman nun!

Muhammad menggeleng kepala. Inilah jadinya bila fikiran tak fokus. Helaian diselak semula ke belakang. Satu per satu dia selak kerana tak mahu melangkau jauh sangat sampai masuk ke halaman huruf kaf pula nanti.

Tiba saja ke helaian yang sepatutnya, cepat-cepat jari telunjukknya menuding. Satu per satu kata dasar yang dia mahukan dicari. Sebaik saja jumpa, Muhammad membaca apa yang tertulis dan kemudian cuba fahamkan ayat Arab dalam buku latihan.

Macam manalah agaknya Khadijah dekat Yaman tu?

Tentulah seronok... Soalannya itu Muhammad jawab sendiri.

Muhammad pandang pula jam loceng miliknya. Jarum jam menunjukkan pukul 10.

Hermmm... Malam di sini tapi siang di sana.

Malaysia cepat lima jam berbanding Yaman. Maknanya dekat Yaman sekarang ini pukul 5 petang. Otak Muhammad pantas mengira.

Mesti Khadijah sudah habis kelas. Muhammad meneka-neka pula.

Aku pula tak habis-habis lagi homework...

Tiba-tiba latihan yang ustaz beri siang tadi terasa sukar hendak disiapkan.

ABDUL Rahman memerhatikan sahabat karibnya, Muhammad yang sedang duduk sendirian. Kamus tebal di depannya. Melihat Muhammad menelaah bukanlah perkara yang janggal. Muhammad memang rajin. Sebab itulah setiap tahun dia memperolehi keputusan Mumtaz seterusnya menyandang anugerah pelajar terbaik. Dan sebab itu jugalah dia disayangi oleh para guru terutamanya mudir mereka.

Khusyuk sungguh Muhammad menelaah sehingga tak menoleh kiri dan kanan. Ke belakang pun tidak.

Dua saat, tiga saat, empat saat... Sehingga hampir sepuluh saat Abdul Rahman memerhatikan Muhammad. Tak bergerak-gerak.

Hermmm... Menelaah kamus? Dahi Abdul Rahman sudah berkerut. Membuka kamus untuk membuat kerja rumah yang ustaz beri bukanlah perkara aneh. Yang anehnya ialah apabila kamus cuma ditenung tak sudah-sudah.

Abdul Rahman menggeleng kepala. Mengelamun lagi sahabatnya itu. Dalam kelas mengelamun, dalam dorm pun mengelamun. Parah ni! Tak boleh dibiarkan.

Langkah diatur, ke arah sahabat karib.

"Assalamualaikum, bro." Doa kesejahteraan diberi. Seraya itu tangan kanannya menepuk bahu kiri Muhammad. Terjongket sedikit bahu Muhammad dek terkejut.

"Waalaikumussalam." Muhammad membalas. Memberi salam itu sunat tetapi menjawabnya wajib. Sesudah itu, barulah dia menoleh. Sebaik sahaja terpandangkan Abdul Rahman, terus dia larikkan senyuman.

Tanpa disuruh, Abdul Rahman melabuh duduk di sisi Muhammad. Sahabatnya itu kemudian ditenung seketika. Meski bibirnya melakar senyum namun Abdul Rahman tahu senyuman itu dibuat-buat bagi menyembunyi gundah. Dalam erti kata lain, senyuman palsu. Menurut umi, yang dulunya mengambil jurusan psikologi, senyuman ikhlas yang datang dari hati dapat dibaca melalui mata di mana mata akan mengecil sedikit tatkala seseorang itu senyum. Manakala tepi mata akan kelihatan kedutan yang dipanggil 'crow's feet'. Kata umi lagi, sebab itulah orang tua-tua selalu berkata, apabila seseorang itu benar-benar bahagia, matanya yang akan tersenyum.

"Anta masih mengenangkan adik ana?" duga Abdul Rahman.

Muhammad termalu alah. Segan pula dia hendak menjawab pertanyaan dari sahabat merangkap ipar tak jadinya itu.

"Dia muda lagi. Anta pun muda lagi. Tanggungjawab seorang suami ni berat. Mana dengan nafkah lagi..." Abdul Rahman berkata. Bukan dia tak sudi beriparkan Muhammad tapi kenyataannya Muhammad memang belum mampu memikul tanggungjawab itu. Sebab itulah dia langsung tak terfikirkan lagi soal nikah buat masa ini. Selagi pengajian belum tamat, selagi itulah Abdul Rahman tak terbuka hati untuk berkahwin.

"Ana tahu... Ana pun tak sepatutnya tergesa-gesa," balas Muhammad. Dia akui kegelojohannya. Dia pun belum lagi 24 tahun. Kalau nak ikut sunnah Nabi, kena tunggu setahun lagilah jawabnya. Nabi bernikah dengan Khadijah ketika berusia 25 tahun. Nama dah sama, Khadijah. Cuma Khadijah pilihan hatinya masih terlalu muda, bukan berusia seperti mana ummul mukminin.

Ah! Kalau nak menepati kesemua sunnah Nabi, alamat tak kahwinlah jawabnya. Mana pula dia nak cari janda kaya bernama Khadijah? Sempat lagi Muhammad mengelamun.

"Anta jangan salah faham pula. Bukan ana nak perkecilkan anta..."

Muhammad senyap.

"Boleh ana cakap sikit?" tanya Abdul Rahman.

Bukan anta memang dah cakap banyak ke tadi? Namun kata-kata itu cuma dalam hati.

"Cakap ajelah..." Ayat hatinya diubah.

"Sejak kebelakangan ini, ana perhatikan anta kerap mengelamun. Kita baru saja masuk tahun tujuh, Muhammad. Maknanya, dua tahun lagi baru habis. Jangan kerana adik ana, anta kecundang." Abdul Rahman ambil peluang menasihati sahabatnya. Dia risaukan sahabatnya itu. Kalau Muhammad berterusan begitu, pengajiannya akan terganggu. Semakin meningkat tahap pengajian, semakin sukar pembelajaran. Bilangan kitab yang hendak dipelajari bukan sikit. Hadis-hadis yang perlu dihafal memang tak terkira. Belum lagi bab fiqah. Pandangan dan hukum hakam dari 4 mazhab perlu dikaji.

Muhammad tarik nafas dalam-dalam. "Jazakallah kerana mengingatkan ana."

"Anta benar-benar sukakan adik ana?" Abdul Rahman cuba mencungkil rahsia hati sahabatnya.

Mohamamad angguk kepala. Dia tak pernah berselindung tentang perasaannya dengan Abdul Rahman.

"Tapi anta tahu, kan? Keluarga ana dah tolak pinangan anta... Walau bagaimanapun, ana harap semua itu tak mengganggu persahabatan kita."

Muhammad pandang Abdul Rahman. Kemudian dia melarik senyuman lagi. Meskipun cuma segaris nipis tapi kali ini ikhlas dari hati.

"Walaupun pinangan ana sudah ditolak, tak bermakna persahabatan kita putus." Muhammad bersuara. Dia tak mahu Abdul Rahman risaukan soal itu. Urusan dia dengan Khadijah, soal peribadi. No hard feeling, bak kata orang sekarang. Dia kena jadi gentleman. Apa barang nak bergaduh hanya kerana pinangan ditolak? Lagipun bukannya Abdul Rahman yang tolak tapi Khadijah sendiri.

"Jujurnya, walaupun pinangan ana sudah ditolak tapi ana masih menaruh harapan untuk menjadi zauj kepada Khadijah." Muhammad berkata lagi tanpa segan silu. Dia tak perlu malu menyatakan apa yang dia mahu. Abdul Rahman sahabatnya. Biar Abdul Rahman tahu betapa dia jujur dan tegas mengenai perasaannya terhadap Khadijah.

Muka Muhammad ditenung. Abdul Rahman cuba menilai reaksi wajah bagi mengukur sedalam mana perasaan sahabatnya itu terhadap Khadijah, adiknya.

"Tapi ana rasa anta berhak mendapatkan yang lebih baik," tuturnya kemudian.

"Khadijahlah yang terbaik buat ana." Jawapan tegas diberi. Muhammad memang tak pernah goyah dengan keyakinannya.

Abdul Rahman tertawa kecil. Nampak bersungguh-sungguh sahabatnya itu. "Anta belum pernah melihat rupa Khadijah lagi..."

"Rupa dalamannya sudah cukup menggambarkan rupa luarannya."

Tertawa lagi Abdul Rahman. "Bagaimana kalau Khadijah tak cantik?"

"Asalkan dalamannya cantik, itu sudah mencukupi."

"Anta tak akan menyesal?"

Geleng.

Muhammad tetap yakin dengan pilihannya. Insya-Allah dia tak akan menyesal sama sekali.

"Anta yakin?"

Angguk.

"Macam mana kalau ada pilihan lain nanti?" Abdul Rahman tahu mudir mereka cukup berkenankan Muhammad. Sudahlah pelajar cemerlang, rupa pun ada. Tidaklah kacak sangat tapi manis dipandang.

"Tiada talian hayat." Muhammad membalas penuh keyakinan.

"Kalau mudir melamar anta untuk anaknya?" duga Abdul Rahman. Terus berkerut dahi Muhammad. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro