Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

KHADIJAH bermenung di bangku panjang. Dia mati kutu, tak tahu hendak buat apa. Tadi dia beri alasan hendak ke kelas dekat Fatimah walhal hari Khamis cuma sekerat hari saja. Pada perancangan Khadijah tadi, dia mahu berborak panjang dengan Fatimah. Banyak perkara yang dia hendak tanyakan kepada Fatimah terutamanya tentang sambungan drama bersiri Korea yang dia tak sempat nak tonton. Namun apabila Fatimah mulai sebut pasal umi, langsung dia hilang minat untuk meneruskan perbualan.

Telefon Nokia di tangan dipandang. Mengikut peraturan, telefon hendaklah dipulangkan ke pejabat sebelum maghrib. Khadijah sebenarnya tak puas hati kerana pelajar cuma dibenarkan mengambil telefon mereka pada hari Khamis, bermula pukul 11 pagi.

"Apa salahnya bagi esok? Lama sikit boleh guna..." Rungutannya kedengaran. Esok hari Jumaat merupakan cuti umum. Muka mencemik.

"Eleh... Nak simpan lama-lama telefon cap ayam ni pun tak guna juga. Bukannya boleh akses Internet pun!" Khadijah merungut-rungut lagi.

Di tanah air dulu Khadijah sengaja buat perangai disebabkan dia tak dapat melayari Internet apabila tinggal di dalam kawasan madrasah. Setelah beberapa kali bertukar madrasah, abi akhirnya menyewa rumah yang berhampiran dengan madrasah agar Khadijah dapat berulang-alik. Umi pula dengan setianya menjadi drebar. Menghantarnya pergi dan kemudian mengambilnya pulang dari madrasah pada sebelah petangnya.

Setelah tercampak jauh, dia sudah tak boleh buat perangai lagi. Khadijah sebenarnya masih berjauh hati dengan umi. Sampai hati umi bersekongkol dengan abi. Ada ke patut dia diberi dua pilihan saja? Kahwin atau sambung belajar di Yaman. Memang taklah dia nak kahwin! Lagipun dia tak kenal Muhammad. Apa yang dia tahu, lelaki itu kawan baik kepada along. Mereka sama-sama belajar Alim. Bukan setakat satu kelas, bahkan juga satu dorm.

Ini semua mamat gatal tu punya pasal! Khadijah merengus dalam hati.

Kalau bukan kerana kawan baik kepada abangnya itu yang gatal mulut minta berkahwin dengan dia, tidaklah dia tercampak ke bumi Yaman. Mengingatkan tentang lelaki itu, terus amarah naik ke kepala. Menggelegak, berasap!

Dua bulan terdahulu...

"NO! I don't want!" Khadijah menjerit lapan oktaf seraya menghentak kaki. Keputusan umi dan abi menghantarnya belajar ke Yaman benar-benar tak dapat dia terima. Khadijah berasa hati. Umi dan abi sampai hati nak hantar dia jauh-jauh. Bukannya tak ada madrasah di Malaysia.

"Dah tu, belajar dekat sini Khadijah asyik ponteng. Kejap-kejap nak tukar madrasah. Dah tiga madrasah Khadijah pindah tau? Pening umi macam ni!"

Zulaikha bukan sengaja mahu menghantar anaknya belajar jauh-jauh tapi Zulaikha sudah buntu dengan kerenah anak daranya itu. Ada saja yang tak kena. Macam-macam alasan anaknya beri untuk tukar madrasah. Sampai bila nak ikut kehendak Khadijah? Setelah berfikir semasak-masaknya dan melakukan istikharah, Zulaikha dan suaminya Yusuf nekad menghantar Khadijah belajar ke Yaman.

"Umi dengan abi suka paksa Katy. Dulu Katy nak pergi sekolah, umi suruh masuk madrasah!" Khadijah tunjuk sikap memberontaknya seperti selalu. Dulu dia mahu ke sekolah, ambil SPM dan masuk universiti. Khadijah mahu ambil bidang muzik dan jadi penyanyi. Macam artis-artis barat, kebanyakannya ada ijazah. Sayangnya cita-cita hendak menjadi penyanyi tak mendapat restu. Pada Khadijah, sudah cukup baik dia korbankan cita-citanya menjadi penyanyi, sekarang nak paksa dia ambil Alimah pula. Itu yang membuatkan dia sakit hati!

"Benda dah lepas, kenapa ungkit lagi, Khadijah?"

Khadijah tarik muka. Tunjuk tak puas hati.

"Kat Malaysia ni pun banyak madrasah, umi. Kat Selangor ada, Kelantan ada. Kedah pun ada... Tak perlulah pergi Yaman!" Khadijah cuba pujuk uminya. Dia sebenarnya tak mahu pergi ke negara Yaman yang mundur itu.

"Yaman bagus, apa? Satu dunia pergi sana untuk tuntut ilmu."

"Alah! Dekat sini pun boleh tuntut ilmu juga."

"Yaman merupakan syurga bagi para pencari ilmu. Ramai ulama tersohor lahir dari pentarbiahan di Yaman. Khadijah tak nak ke?"

Melalui risikan daripada teman-teman dan para ustaz, Zulaikha dan Yusuf mendapati Yaman merupakan tempat tarbiah yang paling terbaik sekali. Malah ada hadis yang menyebut bahawa iman itu Yaman dan hikmah pun Yaman. Dari hadis ini menunjukkan bahawa Yaman merupakan negeri ilmu. Imam Ahmad bin Hanbal sendiri sanggup merentas Baghdad ke Yaman untuk berguru dengan Abdurrazaq bin Hammam.

Menurut pandangan beberapa orang yang telah berpengalaman, kalau dengan ibu bapa tak jalan, bermakna anak itu perlukan orang lain untuk ditarbiah. Berpegangkan kepada pandangan itulah Zulaikha dan Yusuf nekad menghantar Khadijah jauh-jauh. Kata orang yang sudah berpengalaman lagi, berada di bawah ketiak ibu bapa mungkin membuatkan anak-anak manja dan tidak berdikari. Sebab itulah Zulaikha dan Yusuf nekad dengan keputusan yang mereka ambil.

"Umi saja tak nak bagi Katy main Internet, kan?"

Bukan Khadijah tak tahu sebab sebenar umi dan abi mahu menghantar dia belajar ke Yaman. Di sana dia tak dapat akses Internet. Tak boleh pasang lagu-lagu di YouTube. Tak boleh menonton drama secara atas talian.

"Kat sana ada Internet... Siapa kata tak ada?" Zulaikha memujuk. Nada suaranya masih terkawal meskipun Khadijah sudah berkali-kali meninggikan suara kepadanya.

"Katy nak belajar kat dalam negeri saja, umi. Kat sini pun bagus, apa?" Khadijah merayu.

"Dah banyak madrasah dalam Malaysia ni Khadijah pergi. Apa kata kali ini Khadijah cuba luar negara pula? Nanti dapat bergaul dengan pelbagai bangsa... Macam dekat Aussie dulu..." Zulaikha pujuk lagi.

"Aussie tu lain, umi!" Cepat saja Khadijah membantah.

"Apa yang lainnya?" soal Zulaikha.

"Banyak la lainnya..."

"Contoh?" Zulaikha cuba bermain psikologi dengan anaknya itu.

"Aussie tu negara maju. Macam-macam ada dekat sana. Yaman apa ada?" Sudah terang lagi bersuluh, uminya lagi mahu tanya.

Khadijah yang bermuka cemberut itu ditatap. Tatapan redup yang penuh dengan kasih sayang dari seorang ibu. Meski anak banyak menimbulkan masalah, Zulaikha tak pernah berputus asa. Baginya, Khadijah masih mentah. Fikirannya belum matang. Sebab itulah segala tindakannya melulu mengikut nafsu. Sebagai orang tua, dialah yang kena pelan-pelan tunjukkan jalan. Menasihati dengan penuh kesabaran meski hati di dalam adakalanya tergores. Lisan tetap dijaga agar tak terkeluar perkataan-perkataan yang tak patut diperdengarkan kerana kata-kata itu adalah satu doa. Zulaikha akan sentiasa mendoakan yang baik-baik bukan untuk Khadijah saja malah kepada kesemua anak-anaknya yang berjumlah 3 orang itu. Cuma untuk Khadijah lebih sedikit sebabnya Khadijah agak 'istimewa'. Anak keduanya itu merupakan anak yang paling banyak menimbulkan masalah tapi dia jugalah anak yang paling cerdas.

"Khadijah... Khadijah kan nak pergi timba ilmu akhirat? Jadi Khadijah tak perlukan segala macam kemodenan tu... Negara kita Malaysia ini pun membangun. Macam-macam ada kat sini tapi Khadijah tak terkesan, kan?" Zulaikha memulakan kembali bicara setelah beberapa saat dia menatap.

Meskipun Khadijah kuat memberontak tapi masih terkawal. Khadijah bukanlah anak gadis liar yang gemar berpelesiran di luar rumah. Walaupun dia minat dengan hiburan tapi Khadijah nikmati segala bentuk hiburan itu di dalam rumah saja. Semuanya di hujung jari. Tablet Samsung Galaxy bersaiz 8 inci yang dihadiahkan sempena Khadijah tamat syahadah merupakan teman rapat Khadijah. Ke mana-mana sentiasa berdua. Ke dapur, ke ruang tamu, ke dalam bilik...

Jauh di sudut hati Zulaikha, Khadijah anak yang baik cuma dia perlukan masa dan cara yang bijak dalam menangani segala kerenah Khadijah.

"Kalau nak bandingkan dengan Australia, memanglah Yaman ketinggalan jauh tapi bukanlah bermakna tak ada langsung pembangunan di sana. Dekat Yaman pun ada keperluan asas macam kenderaan, hospital semua tu. Capaian Internet pun ada. Jangan risau, apa yang Khadijah perlukan untuk pembelajaran Khadijah ada dekat Yaman." Bicara dilanjutkan.

Zulaikha faham Khadijah bukan hadapkan pasar raya hebat, panggung wayang dan tempat hiburan semua itu. Apa yang menjadi kegundahan Khadijah ialah dia takut tak dapat melayari YouTube. Bukan Zulaikha tak tahu anaknya itu suka mendengar lagu serta menonton cerita di laman sesawang itu.

"Dekat sana panas!" Khadijah kemukakan alasan lain pula.

"Umi dah Google... Purata suhu musim panas dekat sana tiga puluh ke tiga puluh satu darjah Celsius. Panas lagi kat Malaysia. Yaman ada empat musim, tau! Kalau musim sejuk, suhu boleh jatuh sampai ke enam darjah Celsius." Zulaikha sudah bersedia dengan segala kemungkinan persoalan yang bakal Khadijah timbulkan.

"Sini hado winter?" lanjut Zulaikha. Dia cuba melawak agar perbincangan tidak terlalu serius.

Khadijah telan liur. Mata pula melirik ke arah abi yang begitu khusyuk membaca kitab. Dari tadi abi senyap saja. Sepatah pun abi tak menyampuk. Seperti umi pula ketua keluarga.

"Kalau Katy sakit kat Yaman nanti, macam mana? Umi dengan abi juga yang susah." Khadijah dapat idea baru. Harapannya dengan mengingatkan mereka tentang masalah kesihatan, mereka akan terkesan lalu permintaannya dipertimbangkan. Lagipun sejak kebelakangan ini dia memang kerap migrain.

"Insya-Allah, tak ada apa-apa... Jangan berfikiran negatif. Awal-awal dah mengalah." Zulaikha beri semangat. Sebagai orang yang berpengetahuan dalam bidang psikologi, dia tahu bagaimana hendak mengawal tingkah laku orang. Namun dengan Khadijah, sebenarnya dia hampir angkat bendera putih juga. Khadijah benar-benar mencabar kewibawaannya. Kata orang, begitulah sindrom anak kedua. Agak degil tapi bijak.

Khadijah terdiam. Nampaknya isu kesihatan pun tak jalan juga. Dah tak sayangkan dia lagi ke macam mana?

Nafas berat dihela.

"Umi ingat senang ke buat Alimah?" Khadijah dah tak tahu nak beri alasan apa lagi jadi terpaksalah dia guna isu pembelajaran walau hakikatnya sudah setengah tahun dia mengikuti kelas Alimah. Bahkan keputusan ujiannya amat cemerlang di mana dia dapat Mumtaz dengan purata markah 95. Itu dalam pada ponteng kelas. Kalau dia fokus betul-betul, mungkin dia boleh skor seratus peratus.

"Along boleh... Walaupun susah, along tak ada pula merungut." Zulaikha menjawab. Khadijah cebir bibir. Itu along. Dia punya pasallah nak ikut telunjuk umi dan abi! Rungutannya dalam hati cuma. Sakit hati Khadijah apabila dirinya dibandingkan dengan abangnya. Abangnya itu memang anak yang mendengar cakap.

"Result ujian Khadijah baru-baru ni Mumtaz, kan? Maknanya Khadijah boleh buatlah tu!"

"Katy kena mahir bahasa Arab. Kalau kat sini, walaupun semua pelajaran dalam bahasa Arab tapi Katy masih boleh cakap Melayu dengan ustazah. Nak tanya apa-apa pun senang. Tanya aje dalam bahasa Melayu."

"Kat Aussie dulu, sepatah apa pun Khadijah tak faham bahasa Inggeris. Tapi baru sekolah lapan bulan terus berabuk cakap. Umi dan abi pun kalah."

Ketika mereka sekeluarga tinggal di Australia dulu, Khadijah berusia 8 tahun manakala Abdul Rahman pula 14 tahun. Empat tahun mereka di sana. Dari langsung tak boleh berbahasa Inggeris sehinggalah fasih bercakap dengan lenggok bahasa orang-orang di sana, terutamanya Khadijah. Mungkin kerana pada masa itu Khadijah masih muda lagi jadi lebih mudah dilentur manakala Abdul Rahman sudah remaja. Lidah sudah keras agaknya. Jadi lenggok pertuturannya biasa-biasa saja. Senang cakap, tiada slanga orang putih.

"Umi ingat bahasa Arab ni senang macam English?" tingkah Khadijah.

Walaupun belajar di Malaysia, Khadijah perlu menguasai bahasa Arab untuk mengikuti pengajian Alimah. Bahasa Arab pula bukanlah semudah bahasa Inggeris. Lari sikit sebutan dan lain panjang pendeknya dah beri makna yang berbeza. Itu belum lagi masuk bab perbezaan hukum-hakam mengikut mazhab, tauhid, tafsir Quran. Tambah lagi dengan hadis-hadis yang perlu dihafal. Oh, boleh pecah otak!

"Bercampur dengan orang-orang Arab akan membolehkan Khadijah lebih cepat fasih bahasa Arab. Kalau kat Malaysia asyik cakap Melayu aje. Bila nak fasihnya?" Zulaikha membalas balik.

Zulaikha faham belajar dalam bahasa Arab bukanlah alasan utama tapi sebenarnya Khadijah tak mahu tinggal berjauhan. Di sini Khadijah boleh ulang-alik ke madrasah dari rumah tapi di Yaman nanti dia perlu tinggal dalam kawasan madrasah. Dan yang paling anaknya itu takut, bila berjauhan, susahlah dia hendak mengadu. Zulaikha bukan tak tahu tentang itu. Siapa tak sayang anak? Lebih-lebih lagi perempuan tapi demi kebaikan Khadijah, Zulaikha akan pendamkan saja rasa kasihan itu.

"Bukan umi yang belajar! Belajar kat sini pun Katy dah migrain!" Pic suara Khadijah semakin meninggi. Senanglah uminya bercakap sebab uminya tak lalui apa yang dia lalui.

"Along tak ada pun migrain..."

"Along, alonglah! Ini Katy... Katy yang sakit kepala! Umi apa tahu?" Khadijah sakit hati apabila umi memperlekehkan alasannya. Pada Khadijah, uminya itu suka guna kuasa veto.

"Macam inilah... Khadijah tak payah pergi belajar kat Yaman..." Apabila keadaan seperti sudah semakin tegang, Yusuf bersuara. Lekas-lekas abi dipandang. Hati sudah girang. Alhamdulillah... Mujur abi memahami.

"Kawan along ada beritahu abi dan umi yang dia sukakan Khadijah. Kalau Khadijah dah tak mahu sambung belajar, abi tak paksa. Lagipun abi percaya kalau Khadijah kahwin dengan kawan along, confirm Khadijah tak migrain lagi." Yusuf berkata.

Melongo mulut Khadijah. Umur dia baru 17 tahun, takkan nak kahwin?

"Tak nakkk!" Tak sedar Khadijah tinggikan suara dekat abi. Pakej sekali dengan menghentak kaki. Gaya yang sering dia buat apabila amarah sudah memuncak.

"Khadijah pilih nak sambung belajar dekat Yaman atau kahwin." Yusuf beri kata dua. Tegas nadanya. Muka pula dalam riak serius.

"You are crazy, abi!"

Harapkan abi beri jalan penyelesaian, rupa-rupanya cadangan abi lebih gila! Enggan menunggu lebih lama, Khadijah bingkas dari kerusi lalu berlari ke bilik seraya mengongoi.

"Khadijah!" Zulaikha memanggil.

"Biarkan dia!" Yusuf memberi arahan tegas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro