Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

September, 2014.

"UMI memang tak sayang kita. Umi lebih sayangkan Faty." Suara Khadijah kedengaran sebak di hujung talian.

"Mana ada... Umi sayang anak-anak umi sama rata." Fatimah menafikan kata-kata kakaknya itu.

"Eleh, kalau umi sayang kita, kenapa umi hantar kita jauh-jauh?" pertikai Khadijah.

"Kan abi dah beri kakak pilihan? Kalau kakak tak nak belajar, kakak tak payah pergi."

"Yalah tu... Pilihan apa kalau kita kena kahwin? Pilihan tahi kucing!" Sungguh Khadijah tak puas hati dengan pilihan yang diberikan kepadanya. Langsung tak membantu. Menyakitkan hati lagi adalah!

"Hik hik hik..." Fatimah mengekek galak. Dalam pada marah pun kakaknya itu masih nak buat lawak.

"Kenapa kakak tak nak kahwin?" Fatimah ajukan soalan setelah tawanya reda. Ingin juga dia tahu apa alasan Khadijah menolak cinta Muhammad sampai sanggup ke Yaman sedangkan pada awalnya macam-macam kerenah dia buat agar dapat berhenti dari madrasah. Manalah tahu kakaknya itu sudah punya calon sendiri.

"Kita nak belajar lagilah! Ingat ini zaman Jepun ke nak kena kahwin muda?" Pic suara Khadijah sudah ternaik. Bercerita tentang keputusan umi dan abi hanya mencetuskan semula amarah.

"Tapi bakal maulana tu, kak." Fatimah masih dalam mod mengusik meskipun nada suara kakaknya sudah kedengaran tegang.

"Maulana ke malaun?" Geram Khadijah masih bersisa. Bukan dengan umi dan abi saja dia marah, mamat miang yang nak kahwin dengan dia itu pun dia marah sekali. Khadijah benci dengan kawan along itu! Nak belajar buatlah cara nak belajar. Ini tak, sibuk nak kahwin. Mampu ke nak tanggung anak orang?

"Eh, dia baik orangnya, kak... Kawan along, kut? Rugi kakak tolak cinta Abang Muhammad." Fatimah menyebelahi Muhammad meskipun dia tak kenal siapa orangnya. Memandangkan Muhammad itu kawan baik kepada along dan mereka sama-sama belajar kitab, Fatimah yakin Muhammad itu baik orangnya. Lagipun dia seorang hafiz. Takkanlah seseorang yang mempunyai 30 juzuk al-Quran dalam dada tak menjaga akhlak? Apatah lagi dia sudah tahun ketujuh dalam pengajian kitab. Sudah banyak ilmu agama dipelajarinya. Mesti dia tahu tanggungjawab seorang suami.

"Orang kata kan, kak? Kalau kita nak kahwin, pilih lelaki yang betul-betul sayangkan kita. Insya-Allah dia akan setia dan sayangkan kita sampai bila-bila," lanjut Fatimah lagi.

"Macam inilah... Apa kata kalau Faty aje yang kahwin dengan mamat tu?"

"Eh, kita pula!"

"Dah tu, beria-ia sangat memujinya!"

"Benda betul, kita pujilah..."

"Sekelumit pun kakak tak hairan! Kalau Faty dah gatal sangat, Faty pergi offer diri dekat dia!" Tak sudah-sudah Fatimah nak sebut pasal mamat itu. Kan dah dapat tengkingan secara percuma?

"Hik hik hik..." Mengekek lagi Fatimah. Sikit pun dia tak ambil hati dengan sikap Khadijah. Masak sangat Fatimah dengan perangai Khadijah itu. Bila tengah marah, memang kakaknya itu main cakap lepas saja. Walhal bukan Khadijah tak tahu yang adiknya belum cukup umur untuk berkahwin. Dan mustahil sangatlah Fatimah nak tawar diri jadi pengganti Khadijah.

"Kita baru empat belas tahunlah, kak! Undang-undang dekat Malaysia tak benarkan. Lainlah kakak... Sweet seventeen. Ibarat bunga yang sedang mekar gitu. Dah sampai masanya untuk dipetik orang." Lagi kakaknya itu marah, lagi galak Fatimah mengusik.

"Oh, please! Nak muntah, okey?"

Fatimah gelakkan kakaknya lagi. Seronok dia mendengar Khadijah marah-marah di hujung talian. Sudah 2 minggu kakaknya itu pergi meninggalkan tanah air. Terasa sunyi pula hidup Fatimah kerana tiada teman bercerita dan bergaduh mulut. Jadi bergaduh di telefon pun boleh untuk melepas rindu dan rasa bosan.

"Kakak... Abang Muhammad nak tunggu kakak, tau!" Fatimah berkata setelah tawanya reda.

"Oh, dia cakap dengan Faty, eh?" sindir Khadijah. Dia tahu memang mustahillah kalau kawan kepada along mereka itu bercakap dengan Fatimah. Jadi dia merasakan yang Fatimah sengaja mengada-adakan cerita.

"Dia cakap dekat umi dengan abilah!" Fatimah memberitahu. Sememangnya bukan Fatimah saja mereka cerita tapi begitulah yang dia dengar dari mulut umi sendiri. Muhammad masih mahu menunggu dan masih mahu datang melamar bila sudah sampai waktu. Pendek kata, kawan kepada along mereka itu memang tak berputus asa.

Khadijah berkerut kening, tak percaya. Namun dalam hati terselit rasa teruja. "Errr... Betul ke mamat tu nak tunggu?"

"Betul!"

"Hermmm... Kalau macam tu, suruh dia tunggu tiga tahun lagi."

"Tiga tahun lagi? Serius?" Fatimah agak terkejut juga mendengarkan saranan kakaknya itu. Seperti memberikan lampu hijau.

"Kakak suka dekat dia, eh?" duga Fatimah.

"Tiga tahun lagi suruh dia masuk meminang Faty." Khadijah membalas. Tiga tahun lagi Fatimah akan berumur 17 tahun. Umur yang sama di mana dia disuruh berkahwin sekarang ini.

"Eh, dia bukan suka kat kita. Dia suka kat kakak!" Cepat-cepat Fatimah menolak. Rupa-rupanya Khadijah nak kenenkan dekat dia pula. Memang tak, la!

"Tak apa... Kita tak nak pun. Serius ni..." Kali ini nada suara Khadijah kedengaran tenang dan lembut.

"Kita nak cari mamat Arab handsome kat sini. Lepas tu kita nak menetap terus kat Yaman. Kita tak nak balik Malaysia lagi dah," lanjut Khadijah sebelum Fatimah sempat mencelah. Kedengaran nada merajuk di situ. Seperti orang sedang berjauh hati dan mahu membawa diri.

"Yalah tu!" Fatimah mengusik. Bukannya dia nak tunjuk simpati.

"Betul la! Baru padan muka umi dengan abi. Nak kita pergi jauh-jauh sangat, kan?" tegas Khadijah. Dia tak main-main. Dia memang tak akan balik ke Malaysia lagi. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang diri terbuang, biar sampai tidak ketemu!

Fatimah tersengih kecil. Nampaknya masih marah lagi Khadijah dengan umi dan abi. Kemudian bebola matanya dihalakan ke arah umi yang sedang duduk di sebelah, mendengar perbualan sejak tadi lagi tanpa menyampuk sepatah pun.

"Kakak... Kakak tak nak cakap dengan umi?" Fatimah bertanya dengan niat menguji sejauh mana rajuk si kakak.

"Tak naklah!" Lekas saja Khadijah menolak. Buat masa ini dia tak mahu bercakap dengan umi mahupun abi. Dia masih lagi berjauh hati.

"Tak nak kirim salam?" Fatimah menguji lagi.

Senyap.

"Tak baiklah kakak nak merajuk dengan..."

"Kita dah lewat nak pergi kelas ni..." Khadijah cepat-cepat memintas. Seperti sengaja mahu menamatkan perbualan.

Tuttt... Talian terus termati.

Fatimah angkat bahu dan mencebik bibir. Dari reaksi Fatimah itu, Zulaikha sudah faham. Khadijah masih merajuk.

"Kakak dah off phone," beritahu Fatimah.

Betapa berkobar-kobar hati Zulaikha mahu bercakap dengan Khadijah dan bertanyakan tentang kehidupannya di perantauan. Namun apakan daya, Khadijah cuma mahu berbicara dengan Fatimah sahaja.

"Dia tak nak cakap dengan umi la tu!"

Fatimah pandang umi, tanpa sebarang kata. Meski umi seperti melawak dalam bicaranya tapi Fatimah tahu, dalam hati kecil umi terselit juga sekelumit rasa kecewa. Fatimah bersimpati.

Zulaikha hela nafas dalam. Tak apa... Baru dua minggu Khadijah pergi.

Zulaikha akan sabar menunggu rajuk anaknya menyurut.

"Kakak kata apa?" Soalan diaju kemudiannya.

"Kakak kata dia nak cari mamat Yaman. Dia nak kahwin dan tinggal terus dekat sana." Fatimah telus memberitahu.

"So, dia tak nak balik sini lagilah?" Rasa nak tergelaknya ditahan. Macam iya saja Khadijah hendak menetap di Yaman.

Fatimah balas dengan sengihan cuma.

Zulaikha geleng pula kepala. Meskipun sudah menjejak usia 17 tahun tapi Khadijah masih bersikap keanak-anakan. Merajuk dan tak nak bercakap sudah menjadi perkara biasa setiap kali Khadijah dimarahi bila dia buat hal. Cuma sekarang ini dia naik taraf pula dengan niat nak berkahwin dengan mamat Yaman dan menetap di sana. Kononnya!

"Biar dia! Esok dia kena kongkong dengan pak Arab, baru dia nak melalak." Zulaikha mengejek. Terus Fatimah tertawa. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro