Bab 10
ZULAIKHA memerhatikan Abdul Rahman menikmati hidangan. Berselera sungguh nampaknya anak sulungnya itu.
"Rindu betul dengan masakan umi." Bagaikan mengerti renungan mata umi, Abdul Rahman berkata. Kemudian dia tertawa kecil.
Zulaikha turut tertawa sama. Selain penghargaan daripada suami, penghargaan daripada anak pun sudah membuatkan seorang wanita itu rasa bahagia. Hilang terus segala rasa penat menguruskan rumah tangga.
Abdul Rahman capai gelas yang berisi sirap. Kemudian dia teguk perlahan-lahan. Apabila tekaknya sudah berasa, dia letakkan semula cawan ke atas meja.
"Khadijah macam mana, umi? Okey ke dia dekat Yaman tu?" Abdul Rahman bertanyakan tentang adiknya. Kalau tak silap perhitungannya, sudah lebih sebulan Khadijah pergi.
"Hermmm... Masih merajuk lagi," adu Zulaikha.
Uminya dipandang. "Merajuk?"
"Sejak dia pergi sana, sekalipun Khadijah tak pernah bercakap dengan umi."
"Dia langsung tak call?"
"Ada la call tapi cakap dengan Fatimah aje."
"Dengan abi?"
"Dengan abi pun tak."
Menggeleng Abdul Rahman mendengarkan cerita umi.
"Perangai macam budak-budak, Khadijah ni!" bebel Abdul Rahman kemudiannya. Geram pula dia mendengarkan perangai Khadijah yang masih tak berubah. Sampai hati dia tak nak bercakap dengan umi dan abi. Takkanlah tak rindu? Sedangkan dia yang duduk dekat pun kalau boleh setiap hari nak tengok muka umi dan dengar suara umi berceloteh.
"Biarlah dia... Umi nak tengok setakat mana dia nak menyombong dengan umi."
Abdul Rahman tersengih. Masak sangat dia dengan perangai Khadijah. Keras kepala dan suka memberontak tapi hujung-hujung hadapkan bantuan daripada umi dan abi juga.
"Khadijah tak mengadu apa-apa ke dekat Fatimah?" tanya Abdul Rahman.
"Setakat ni tak adalah dia mengadu apa-apa. Jadi umi anggap dia okeylah."
"Insya-Allah, umi... Kita doa ajelah untuk dia. Mudah-mudahan Khadijah mendapat pentarbiahan yang baik di sana."
"Insya-Allah... Amin."
Zulaikha hulurkan mangkuk nasi apabila dilihatnya nasi di dalam pinggan Abdul Rahman sudah hampir licin.
"Tambah lagi," tuturnya.
Abdul Rahman ambil mangkuk nasi yang dihulur. Kalau makan tak bertambah, memang tak sah. Cuma tidaklah dia bertambah sampai tiga, empat pinggan. Selepas tambah nasi, dia tambah kuah pula. Kemudian cubit sikit ikan ke atas pinggan.
"Along, umi nak tanya sikit ni..."
"Tanya apa, umi?" tanya Abdul Rahman setelah dia menoleh ke arah uminya semula.
"Along dengan Muhammad macam mana?" Sejak Khadijah ke Yaman, lama juga Zulaikha tak dengar berita tentang Muhammad. Abdul Rahman pun senyap aje. Tak bercerita apa-apa.
"Macam mana apa, umi?" Abdul Rahman kabur.
"Tak... Kut la Muhammad merajuk Khadijah tolak pinangan dia..." Zulaikha menjelaskan maksud pertanyaannya.
"Tak adalah, umi... Tak ada maknanya Muhammad nak merajuk."
"Jadi hubungan kamu dengan dia okeylah?" Zulaikha ingin tahu lebih lanjut.
"Orang lelaki, umi... Hati kena kental. Takkanlah disebabkan perkara kecil pun nak putus kawan?"
"Eloklah kalau macam tu... Risau juga umi kalau dia sangka yang bukan-bukan."
"Umi jangan risau. Muhammad okey aje." Kemudian Abdul Rahman menyambung makan.
"Nanti bila-bila ajak dia datang makan sini," pelawa Zulaikha.
"Insya-Allah, umi."
Hati-hati kamu pada musuh kamu sekali. Tetapi pada teman kamu seribu kali. – Imam Syafie.
BERKERUT dahi Abdul Rahman sebaik sahaja dia membaca apa yang tertulis pada dinding Facebook milik sahabatnya itu. Berdasarkan kepada tarikh yang tertera, pos itu baru saja dibuat oleh Muhammad semalam. Bahkan ada satu lagi pos berkenaan persahabatan telah dimuat naik sehari sebelumnya. Puas Abdul Rahman memikirkan tentang status-status itu. Di dalam hati kecilnya pula tertanya-tanya apakah kata-kata itu Muhammad tujukan kepadanya?
"Patutlah dia lain macam saja sejak kebelakangan ni..." Abdul Rahman menyimpulkan tekaannya selama ini.
Nafas dihela. Panjang lagi dalam.
Semasa umi bertanyakan tentang perhubungannya dengan Muhammad tadi, dia cakap tiada masalah tapi yang sebenarnya dia merasakan Muhammad sengaja menjauhkan diri darinya. Abdul Rahman perasan hubungan dia dengan Muhammad agak renggang sejak kebelakangan ini. Apabila dia datang dekat, Muhammad cepat-cepat beredar. Alasannya, ada kerja nak buat.
"Walaupun pinangan ana sudah ditolak, tak bermakna persahabatan kita putus." Abdul Rahman masih ingat lagi kata-kata Muhammad setelah pinangannya ditolak.
"Tapi kenapa anta macam nak mengelak dari ana?"
Berkerut dahi Abdul Rahman memikirkan sikap sahabatnya itu. Muhammad tak mesra macam selalu. Ditegur sepatah, sepatahlah yang dia jawab.
"Atau anta masih tak boleh terima pinangan anta ditolak?" Abdul Rahman meneka-neka.
"Tapi kau pun satu Rahman... Siapa suruh engkau berjanji?"
Beberapa bulan terdahulu...
"UNTUNGLAH Muhammad... Masa depan dah ternyata cerah. Habis belajar nanti, confirm mudir offer mengajar dekat sini." Farhad berkata.
"Bukan setakat mengajar dekat sini aje, Farhad... Muhammad ni bakal menantu mudir, jangan tak tahu!" Haikal, seorang lagi rakan menyampuk.
"Memandai aje antum semua ni. Siapalah ana nak jadi menantu mudir?" Muhammad segera menafikan.
"Merendah diri, sahabat kita ni... Siapa tak nak bermenantukan pelajar terbaik setiap tahun berturut-turut?" Haikal berkata lagi.
"Betul! Kalau ana ada adik perempuan, ana yang akan masuk meminang sahabat kita ni. Seronok kut beriparkan sahabat sendiri. Sekepala." Farhad menyampuk kembali.
"Sayangnya kakak dengan adik ana semua dah berkahwin..." Haikal berkata. Kemudian dia pandang Muhammad.
"Tapi anak buah adalah... Naik pangkat ana terus. Jadi uncle," usik Haikal pula.
"Nak suruh ana tunggu anak buah anta yang baru umur tiga tahun tu? Mereputlah ana jawabnya." Muhammad mencelah, membalas usikan dan gurauan rakan-rakannya. Langsung semuanya ketawa.
"Tak payah mereput. Adik ana ada." Terus semuanya memandang Abdul Rahman.
"Anta ada adik? Kenapa tak cakap awal-awal? Tapi kalau ana nak masuk line boleh tak?" Farhad bersuara.
"Eh, ana pun nak masuk line juga." Haikal pula mencelah, menyatakan keinginan.
"Jangan nak berangan! Ana dah cop Muhammad untuk jadi ipar ana." Abdul Rahman berkata.
Dengan segera, Muhammad menoleh kepada Abdul Rahman.
ABDUL Rahman menunduk kepala. Memang silap dia kerana memberi pengharapan kepada Muhammad. Depan rakan-rakan pula tu.
Kepala digeleng. Abdul Rahman berasa kesal dengan apa yang berlaku. Jujurnya dia memang berharap agar Muhammad menjadi adik iparnya tapi dia tak sangka pula Khadijah begitu keras kepala. Adiknya itu lebih rela ke Yaman daripada berkahwin dengan Muhammad.
Pada awalnya Abdul Rahman mahu menyuruh abi terima saja lamaran Muhammad tapi umi melarang. Kata umi, Khadijah tak suka dipaksa-paksa. Lagipun Khadijah bukanlah hebat mana untuk dijodohkan dengan Muhammad.
"Umi tak nak nanti Muhammad sendiri menyesal berkahwin dengan Khadijah. Adik kamu tu banyak sangat kerenah dia. Dari hidup aman damai, silap-silap jadi mereng kawan kamu tu nak layankan Si Khadijah..." Begitulah kata-kata umi dulu yang membuatkan Abdul Rahman ubah fikiran dan bersetuju dengan keputusan Khadijah.
"Fuh..." Nafas dihembus kasar. Memang patut pun kalau Muhammad berjauh hati.
"Maafkan ana, Muhammad..." Abdul Rahman rasa bersalah kerana telah memberikan harapan palsu kepada Muhammad.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro