Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

DI dapur kedengaran kelentang-kelentung bunyi sudip berlaga dengan kuali. Kemudian, semerbak aroma tumisan bawang, cili serta belacan menerpa pula ke lubang hidung Maizatul Akma. Perutnya yang tadi kenyang tiba-tiba sahaja lapar semula.

Hai, dugaan! Dugaan! bisik hatinya yang kini sedang berusaha untuk mengekalkan berat badan ideal supaya baju pengantinnya kelak tidak sendat.

Dia mengayun langkah ke dapur lalu berdiri di tepi dinding yang memisahkan di antara ruang tamu dengan dapur. Dia memerhatikan adiknya dari jauh. Nabila Huda yang siap dengan apronnya itu kelihatan seperti seorang cef terkenal pula di matanya.

"Hoi! Mengintai apa tu? Nak mengurat ke?" soal Nabila Huda yang menyedari dirinya sedang diperhatikan.

"Mengurat? Buang karan aje." sahut Maizatul Akma sebelum melambakkan tawanya.

"Kau masak apa tu?"

"Kangkung goreng belacan."

"Kau ni, orang dah nak tidur kau sibuk main masak-masak."

"Ala... Malam masih mudalah, kak. Kalau nak pergi berkaraoke pun sempat lagi ni. Nak pergi ke, kak? Jom." Pantas sahaja Nabila Huda menjawab.

"Tak kuasa akak. Esok kerja." Maizatul Akma membalas.

Beberapa minit kemudian, sepinggan kangkung goreng belacan dan telur dadar siap terhidang di atas meja makan. Maizatul Akma yang tidak dapat menahan seleranya, menjamah juga walaupun cukup dengan sesenduk nasi dan sedikit sayur kangkung.

"Kak, Abang Hafiz ada tak kawan-kawan yang masih bujang? Kalau ada, suruhlah dia kenalkan dengan Ila," pinta Nabila Huda dengan muka tidak tahu malu.

"Dah terdesak sangat ke nak berboyfriend? Teman lelaki ni sebaik-baiknya elok cari sendiri. Lagi satu, janganlah tergesa-gesa sangat nak ada teman lelaki. Insya-Allah, apabila sampai masanya nanti Tuhan akan temukan kau dengan seorang lelaki yang sesuai." Maizatul Akma memberikan nasihatnya.

"Ila geramlah dengan Ikmal tu, kak. Minggu lepas Ila ternampak dia berkepit dengan makwe baru dia. Berbulu mata Ila ni tengok!" adu Nabila Huda. Bagaikan terbayang-bayang lagi di matanya kelibat bekas teman lelakinya itu sedang berjalan berpegangan tangan dengan kekasih baharunya.

Maizatul Akma tersenyum nipis. Dia yang tidak pernah berhadapan dengan pengalaman putus cinta seperti adiknya itu, berasa bersyukur. Dia berharap agar hubungannya dengan Hafiz akan kekal bahagia sehinggalah mereka bergelar suami isteri nanti. Dia mahu hidup bahagia bersama Hafiz sehingga ke jannah.

"Dahlah, jangan difikirkan sangat hal Si Ikmal tu. Mungkin ada hikmahnya kenapa hubungan kau dengan dia tak menjadi. Akak doakan agar kau mendapat pengganti yang lebih sempurna daripada dia." Maizatul Akma memujuk.

"Hemmmph!" Nabila Huda menghempas keluh.

Maizatul Akma yang sudah malas hendak mendengar keluh-kesah adiknya itu mengambil jalan selamat dengan segera menuju ke biliknya. Baca novel lagi bagus, bisik hatinya. Dia mencapai sebuah novel yang boleh tahan tebalnya bertajuk Bukan Puteri Lindungan Bulan. Pengarang novel itu sudah lama meninggal dunia tetapi karya-karyanya masih boleh dibaca dan dihayati oleh pembaca.

Betullah kata orang, kalau hendak menjadi penulis maka tulislah yang baik-baik kerana hasil tulisan itu akan kekal walaupun setelah penulisnya reput dimamah bumi!

"Aku tengok kau ni suka baca novel. Kau tak teringin nak jadi penulis novel ke?"

Pertanyaan itu menghentak ke ruang ingatannya. Wajah orang yang menuturkan kata-kata itu bergentayangan di ruang mata.

"Kau karanglah cerita tentang seorang gadis gemuk yang selalu dibuli dan diejek kawan-kawannya. Kau bayangkan aku sebagai gadis gemuk tu. Hidup aku sentiasa diselubungi duka. Tapi pengakhiran cerita tu, kau bagilah happy ending. Boleh tak, Maiza? Boleh tak?" pinta Suriati beberapa kali.

Aduhai, rindunya aku dengan kau, Ati! keluh Maizatul Akma. Sehingga kini, dia tidak pernah mempunyai seorang sahabat karib yang mampu menggantikan tempat yang telah ditinggalkan Suriati.

Betulkah Suriati sudah mati ditelan arus Sungai Gasing? Maizatul Akma sukar hendak menerima hakikat itu kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata.

"Eh, Ati! Kau nak ke mana tu?" soal Maizatul Akma lewat petang itu sebaik sahaja melihat Suriati melangkah keluar dari khemah mereka.

"Aku nak melawat khemah kawan-kawan," kata Suriati.

Maizatul Akma hanya mengangguk. Sepanjang pengetahuannya, Suriati hanya rapat dengannya sahaja. Tetapi takkanlah dia hendak menghalang sekiranya gadis itu hendak berkawan dengan orang lain.

Senja semakin menubir tetapi Suriati masih juga belum pulang ke khemah mereka. Hati Maizatul Akma dilanda risau. Dia mula menjengah khemah kawan-kawannya dalam usaha mencari Suriati.

Tiba-tiba kedengaran suara riuh-rendah dari arah sungai.

"Maiza! Maiza!" panggil satu suara.

"Kenapa ni, Hafiz?" soalnya ke arah Hafiz yang mukanya nampak cemas.

"Ati!"

"Ati? Kenapa dengan Ati?"

"Ati dihanyutkan arus sungai." Hafiz memberitahu.

"Hah? Ati dihanyutkan sungai?" Tubuh Maizatul Akma terus jadi lembik. Dia jatuh terjelepok ke atas tanah. Pengsan!

Kini telah 10 tahun tragedi itu berlaku, Maizatul Akma seolah-olah masih belum mampu menerima kenyataan tentang kematian kawan karibnya. Dia tertanya-tanya betulkah Suriati sudah mati? Sekiranya Suriati mati lemas, pasti mayatnya akan ditemui juga.

Namun begitu, mayat Suriati langsung tidak ditemui. Berbagai-bagai versi tentang kehilangan Suriati sampai ke telinga Maizatul Akma. Ada yang kata, mayat Suriati sudah dibaham buaya. Ada juga yang kata, mayat Suriati mungkin disembunyikan hantu air.

Berbulan-bulan jugalah Maizatul Akma meratapi kehilangan kawan baiknya. Ke mana sahaja dia pergi, dia seolah-olah terbayang wajah Suriati. Sehingga sampai ke satu tahap dia terpaksa dibawa berubat dengan seorang ustaz.

Sehingga kini, dia tidak pernah melupakan Suriati. Dia sentiasa merindui sahabat karibnya itu.

"Aku rindukan kau, Ati," bisiknya perlahan.

"Aku juga rindukan kau, Maiza." Dia seolah-olah terdengar suara Suriati.

"Betulkah kau dah mati?" Dia berbicara seorang diri seperti orang yang tidak waras.

"Maiza! Tolong aku, Maiza!" Tiba-tiba dia terdengar suara Suriati memanggilnya dan meminta tolong.

Maizatul Akma gelisah. Dia berasa seolah-olah sedang menyusuri denai yang menghala ke arah sungai. Bunyi deruan air sungai yang berlaga dengan batu-batuan hinggap ke telinganya. Langkah diayun laju.

"Maiza! Tolong aku!" Suara Suriati terus bergema memanggil-manggilnya.

Dia akhirnya berdiri terpacak di tepi sungai. Nun di tengah sana, dia melihat tubuh Suriati teroleng-oleng, tenggelam timbul dibawa arus sungai yang mengganas.

"Ati! Ati!!!" Dia menyeru-nyeru nama Suriati.

"Astaghfirullahaladzim..." ucapnya tatkala tersedar daripada mimpinya. Dia segera membaca surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada kawannya itu.

Semoga rohmu tenang di dunia abadi, Ati. Maizatul Akma berbisik perlahan.

SEJAK adanya kemudahan telefon pintar, kehidupan terasa mudah. Setelah menghantar WhatsApp kepada bosnya menyatakan yang dia akan masuk lewat sedikit ke pejabat, dia terus menghubungi tunangnya pula dan meminta Maizatul Akma menunggunya di gerai yang biasa mereka kunjungi tepat pukul 8.30 pagi. Gerai itu terletak berhampiran dengan tempat kerja Maizatul Akma.

Dia terlewat 10 minit. Tetapi Maizatul Akma tetap menunggunya dengan seulas senyuman di bibir. Sejuk hati Hafiz kerana dapat menatap senyuman tunangnya itu.

Pagi itu Hafiz makan lontong dengan berselera sekali kerana ditemani tunang tersayang. Hafiz tidak bertanya apa-apa ketika melihat Maizatul Akma sekadar makan tiga ketul kuih kaswi dan minum air suam sahaja. Mungkin Maiza nak jaga badan, bisik hatinya. Almaklumlah, hujung tahun ini mereka akan naik pelamin. Sudah tentulah Maizatul Akma mahu tubuhnya kelihatan cantik dan ramping ketika memakai busana pengantinnya nanti.

Alahai, perempuan... Perempuan! bisik hatinya sambil tersenyum mengulum.

"Kenapa senyum-senyum tu?" soal Maizatul Akma.

"Aik, takkan nak senyum pun tak boleh?" balasnya.

"Boleh senyum. Tapi mesti ada sebabnya, kan?"

"Saya senyum sebab hati saya senang. Pagi ni saya dapat bersarapan dengan tunang tersayang." Hafiz tampil dengan jawapannya.

Jawapannya itu turut melarik senyuman di bibir Maizatul Akma.

"Sedap ke lontong tu?" Topik perbualan sudah beralih arah.

"Alhamdulillah! Lontong ni rasa terlebih sedap pula pagi ni! Mungkin sebab makan kat depan tunang."

Maizatul Akma ketawa kecil.

"Malam tadi saya jumpa kawan-kawan satu sekolah kita dulu." Hafiz memberitahu.

"Awak jumpa siapa?" Maizatul Akma kelihatan berminat hendak tahu.

"Awak ingat tak Hanna Hanani dan Baizura? Malam tadi saya jumpa dia oranglah. Razman yang belanja makan."

Maizatul Akma nampak terkejut.

"Awak jumpa Hanna dan Baizura?" soalnya. Hafiz angguk.

"Dia orang dah kahwin ke?"

Hafiz menggeleng.

"Kenapa sibuk-sibuk tanya status orang ni? Jangan risaulah, saya setia pada awak seorang aje."

"Saya nak tahu aje, takkan tak boleh?" Maizatul Akma membela dirinya.

"Dia orang tahu ke yang kita dah bertunang?"

"Razman yang pecah rahsia." Hafiz tergelak kecil.

"Hanna dan Baizura teringin nak jumpa awak. Nanti saya bawa awak jumpa dia orang, ya? Awak nak tak?"

Maizatul Akma tersenyum nipis. Semasa sekolah dulu, dia tidak pernah rapat dengan mereka berdua. Hanna Hanani dan Baizura lebih suka melepak dengan Rayyan Firdaus dan Razman. Kedua-dua orang gadis itu juga suka berlagak dan perasan bagus hanya kerana mereka mempunyai wajah yang cantik dan pelajar popular di sekolah. Tetapi itu dulu. Mungkin perangai mereka sudah berubah sekarang. Maizatul Akma hanya mahu memikirkan hal yang positif sahaja.

"Awak? Kenapa termenung aje ni?"

"Errr... Boleh. Seronok juga kalau dapat berkumpul dengan kawan-kawan lama," jawab Maizatul Akma.

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" soal Maizatul Akma ketika melihat renungan lain macam yang dilontarkan Hafiz ke arahnya.

"Awak nampak macam tak ikhlas aje?" soal Hafiz.

Maizatul Akma menarik nafas panjang.

"Entahlah! Mungkin saya tak dapat lupa pada sikap mereka yang suka mengejek-ejek kawan baik saya dulu. Walaupun mereka nafikan tapi saya dapat rasa yang mereka berempat terlibat dengan kematian Ati. Entah-entah mereka yang tolak Ati ke dalam sungai tu!" Maizatul Akma meluahkan isi hati yang dipendamnya selama ini.

"Memang salah sikap mereka yang selalu ejek-ejek dan menghina Ati. Tapi jangan sesekali awak hukum mereka sebagai pembunuh. Berat tuduhan awak tu!" Hafiz mengingatkan.

"Cuba awak fikir, kenapa Ati sanggup turun ke tepi sungai sedangkan masa tu dah hampir masuk waktu senja? Takkanlah Ati sengaja nak mandi sungai pada waktu-waktu begitu?" Maizatul Akma menegakkan pendapatnya.

"Kita tak tahu apa yang terjadi pada senja tu, Maiza. Tapi tak adil juga kalau kita main tuduh-tuduh kalau kita sendiri tak pasti apa sebenarnya yang dah berlaku kat tepi sungai tu. Saya simpati dengan awak. Saya pun turut sedih dengan kehilangan Ati. Dahlah, jangan nangis. Kalau awak tak nak jumpa mereka, saya tak paksa." Hafiz memujuk Maizatul Akma yang berusaha sedaya upaya menahan air matanya daripada menitis.

"Hafiz, saya minta maaf, ya? Saya teremo sikit tadi." Maizatul Akma bersuara setelah berjaya mengawal kesedihannya.

Betul kata Hafiz, dia tidak boleh membuat tuduhan melulu terhadap Razman, Rayyan Firdaus, Hanna Hanani dan juga Baizura. Terbit juga rasa bersalah dalam hatinya kerana telah merosakkan pertemuan mereka pagi itu.

"Tak apa, saya faham," ujar Hafiz sambil tersenyum nipis.

SURIATI puas hati dengan kondominium yang sekarang menjadi kediamannya. Di sini, dia akan menjalani kehidupan yang berbeza sekali. Dulu dia tinggal di ceruk yang terpencil, jauh daripada jiran tetangga dan di sekelilingnya hanya kelihatan deretan pokok-pokok yang menjulang tinggi. Sekarang dia tinggal seorang diri di tingkat 20, sebuah kondominium eksklusif yang terletak di tengah-tengah metropolitan yang sentiasa berdenyut saban masa dan ketika.

Dia harus segera menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di kota raya itu setelah 10 tahun menjalani kehidupan terpencil. Dia pasti boleh melakukannya. Pasti!

"Bila aku mati nanti, kau bebas untuk tinggalkan tempat ni dan balik semula ke lubuk asal kau. Kau nak balas dendam, kan?" Puan Chempaka merenungnya rakus.

Dia mengangguk laju sambil meraba-raba pipinya. Walaupun pipinya sudah tidak lagi berparut seperti dulu (terima kasih kepada seorang pakar bedah plastik yang telah melakukan keajaiban kepada wajahnya) tetapi parut dalam hatinya masih enggan sembuh. Kadangkala, parut itu akan merekah semula mencipta luka yang dalam. Ngilu!

Sebaik sahaja mengetahui yang dirinya sedang sakit dan umurnya sudah tidak panjang, Puan Chempaka telah mengatur beberapa perkara dengan seteliti mungkin untuk memudahkan Suriati menjayakan misinya iaitu membalas dendam kepada mereka yang pernah mencipta derita di hatinya. Puan Chempaka sendiri adalah seorang pendendam tegar. Dia juga mahu agar Suriati menjadi seperti dirinya. Berdendam sampai mati!

Suriati tidak mampu menafikan hakikat yang dirinya sudah banyak termakan budi dengan Puan Chempaka. Samalah halnya dengan si bongkok.

Ding-dong! Ding-dong!

Bunyi loceng pintu membuatkan wajah Puan Chempaka segera lenyap dari ruang ingatannya. Mungkin piza yang aku pesan dah sampai, bisik hati Suriati sambil melangkah ke pintu. Betullah tekaannya, budak penghantar piza yang telah menekan loceng pintu. Setelah melunaskan bayaran berserta tipnya sekali, dia membawa masuk piza tersebut lalu diletakkan di atas meja.

Sambil mengunyah piza yang masih hangat, dia membelek-belek dada plannernya. Bagaikan seorang pengarang novel yang perlu menyediakan kerangka keseluruhan bagi sesebuah manuskrip yang hendak dikarangnya, begitulah juga dengan dia dalam menjayakan misi membalas dendamnya. Kesemuanya sudah difikirkan dan dicatatkan di atas dada plannernya. Cuma menunggu masa dan ketika yang sesuai sahaja untuk melaksanakannya.

Wajah seorang demi seorang manusia yang telah mencipta luka dalam hatinya muncul satu per satu. Sudah tidak sabar rasanya hendak bertemu dengan mereka!

Benarlah seperti kata imam Al-Ghazali - Ketahuilah kemarahan itu apabila telah meluap-luap kerana manusia gagal melenyapkannya maka ia terus masuk dan bergolak di dalam hati sehingga akhirnya menjadi dendam!

SEPERTI yang dijanjikan, Baizura sudah sedia menunggu ketibaan Hanna Hanani selepas habis waktu pejabat. Hubungan mereka tidak pernah terputus walaupun masing-masing bukan lagi bergelar budak sekolah. Kehidupan peribadi yang diselusuri Hanna Hanani kini jauh berbeza daripada kehidupannya tetapi itu bukanlah isu untuk memutuskan persahabatan yang sudah lama terjalin.

Sebaik sahaja kereta Hanna Hanani berhenti di hadapannya, Baizura bergegas masuk.

"Kau ada bawa baju-baju terpakai tu?" Dia menyoal.

"Ada dua kotak semuanya. Aku letak kat belakang," getus Hanna Hanani yang sedang memandu.

Baizura menoleh ke tempat duduk belakang. Dia nampak dua buah kotak yang sudah dibalut kemas terletak elok di situ.

"Kau dah cari alamat sukarelawan tu?" soal Hanna Hanani. Keretanya bergerak perlahan kerana waktu itu adalah waktu puncak dan kenderaan agak banyak di atas jalan raya.

"Dah. Rumahnya terletak kat Bangsar."

Hanna Hanani mengangguk.

"Nak cari lokasi guna Google Maps ke?" Dia meminta pencerahan.

"Tak payah. Aku tahu tempat tu." Baizura bersuara.

"Seronok kan kalau dapat peluang buat kerja kebajikan macam tu?"

"Kau berminat ke nak join aktiviti macam tu?" Hanna Hanani menoleh Baizura di sebelahnya.

"Entahlah. Kau?"

"Shopping aku minatlah. Kalau hendak ke tempat-tempat terpencil macam tu... Entahlah. Susah sikit, kut. Hanya orang yang tahan lasak aje yang sesuai buat kerja-kerja begitu. Aku ni..." Tanpa segan silu dia mengakui kelemahannya.

"Hmmm... Betul juga kata kau tu, Hanna. Bukan semua orang mampu buat kerja amal. Orang macam kita ni, menyumbanglah apa yang patut." Baizura muncul dengan ulasannya.

Jalan raya berselirat. Kenderaan berjujai-jujai menuju destinasi masing-masing. Sesekali kedengaran bunyi hon. Hanna Hanani tetap tenang memaut stereng. Terpaksa mengharungi kesesesakan begitu adalah lumrah baginya sejak bergelar penghuni kota. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro