Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

KERETA yang dinaiki Suriati meluncur laju meninggalkan rumah agam itu. Dia langsung tidak menoleh ke belakang. Enggan memandang ke arah si bongkok yang sibuk melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

Semakin laju kereta itu bergerak dan semakin jauh dia meninggalkan rumah itu, lebih baik baginya. Dia kini umpama seekor burung yang sedang terbang bebas di angkasa. Pun begitu, dia pasti suatu hari nanti dia akan pulang semula ke rumah agam itu.

Dia sedar dirinya sedang diintai oleh pemandu kereta itu melalui cermin pandang belakang. Namun, dia tidak mengendahkannya. Dia mahu tenggelam dalam lamunannya...

DIA tenggelam diamuk kesedihan sehingga tidak sedar yang dirinya sedang mengharung ke tengah-tengah sungai. Setelah kakinya tidak berpijak ke tanah dan arus yang agak kuat menolaknya semakin ke tengah, barulah dia terkapai-kapai hendak menyelamatkan dirinya. Malangnya, dia bukanlah seorang perenang yang handal.

Dia panik. Air mula masuk ke mulutnya. Dia kelemasan. Tubuhnya pula teroleng-oleng ditolak arus sungai. Sesekali tubuhnya terasa disiat-siat apabila berlanggar dengan batu-batuan sungai.

"Tak! Tak!!! Aku tak mahu mati!!!" Dia menjerit dalam hati.

Mungkin nasibnya masih baik, mungkin! Mungkin juga Tuhan masih sayangkan dirinya, mungkin! Mungkin juga ajalnya yang masih belum tiba. Dia benar-benar tidak mati. Dia tersedar daripada pengsan dan mendapati dirinya terbaring di dalam sebuah rumah. Di situlah dia berkenalan dengan Puan Chempaka dan juga si bongkok.

Setelah badannya sihat dan kuat sedikit, dia cuba meminta kebenaran daripada Puan Chempaka untuk kembali bertemu keluarganya. Tetapi perempuan itu telah melarangnya.

"Kenapa kau nak keluar sana sedangkan mereka semua tak sayangkan kau? Kau tinggal ajelah kat sini, temankan aku dan si bongkok," kata Puan Chempaka.

"Tapi puan, nanti keluarga saya risau." Dia cuba berdiplomasi.

Puan Chempaka hanya ketawa.

"Mereka ingat kau dah berkubur dalam Sungai Gasing tu. Suatu hari nanti mereka semua akan lupakan kau," tegas Puan Chempaka.

"Tengoklah badan kau, tu. Gemuk gedempol. Cermin muka kau tu. Berparut sana sini. Kau nak diri kau dikutuk-kutuk macam dulu?"

"Kau tinggal ajelah dengan kami. Bongkok pun perlukan teman juga. Betul tak, bongkok?"

"Ya... Ya, betul, puan. Betul!" Cepat sahaja si bongkok mengiakan kata-kata Puan Chempaka.

Dia menghunjam renungan jijik ke arah si bongkok. Tak padan dengan badannya yang bongkok dan kulitnya yang menggerutu macam katak puru, kutuk hatinya. Tetapi kemudian, dia segera teringat akan dirinya yang bertubuh gemuk sehingga menjadi mangsa cemuhan teman-teman sekolahnya. Dia meraba-raba pipinya yang dipenuhi parut.

Air matanya mengalir laju tanpa dipinta.

"Kau tak nak diri kau dihina lagi, kan?" soal Puan Chempaka.

Dia mengangguk. Tetapi dia juga teringatkan keluarganya. Bagaimana kalau keluarganya sedang mencari dia?

"Kau nak muka yang cantik, kan?"

Dia mengangguk lagi.

"Kalau macam tu, kau tinggal aje dengan aku kat sini. Tahulah aku nak buat apa pada kau! Tapi kau jangan sesekali cuba lari dari rumah aku ni. Kalau kau cuba lari, buruk padahnya. Faham?!" Puan Chempaka bersuara keras disertai dengan nada ugutan.

Dia terpaksa akur.

SI BONGKOK memandang sayu ke arah buntut kereta yang membawa pergi tuan barunya jauh dari situ. Semakin sayu hatinya apabila melihat Suriati langsung tidak menoleh ke belakang untuk membalas lambaiannya.

Ah! Apa yang nak disedihkan sangat? Kan Cik Suriati dah berjanji nak balik semula ke sini. Hatinya berbisik. Yakin!

Tetapi, tatkala melihat cara Suriati yang teruja amat hendak meninggalkan rumah agam yang sudah memenjarakannya daripada dunia luar selama lebih 10 tahun itu, keyakinan si bongkok mula goyah.

Dia mengayun langkah masuk ke dalam rumah. Kini, dia tinggal sendirian di situ. Sendirian? Eh, taklah! Dia tak bersendirian. Dia masih mempunyai kawan. 'Tikus-tikus peliharaan' yang ditinggalkan Puan Chempaka masih terkurung di sebuah bilik rahsia yang terletak di bawah rumah agam itu.

Si bongkok menghala ke dapur. Tikus-tikus itu harus diberi makan. Dengan rasa malas, dia mengeluarkan sebuku roti potong. Kemudian, dia membuka setin sardin lalu dilambakkan isinya ke dalam mangkuk. Dia meracik bawang merah serta cili merah lalu digaul ke dalam mangkuk sardin. Dengan menggunakan senduk, ditonyoh-tonyohnya kesemua bahan di dalam mangkuk itu sehingga ikan sardin tadi menjadi cebisan-cebisan kecil. Tengah hari itu dia akan menghidangkan sandwic kepada 'tikus-tikus' tersebut.

"Nak letak racun tikus, tak? Cik Ati suruh aku letak racun tikus dalam makanan 'tikus-tikus' tu biar semuanya cepat mati." Oleh kerana tiada siapa yang hendak dilawan bercakap, dia akhirnya bercakap dengan dirinya sendiri.

"Tak boleh! Aku tak boleh bunuh 'tikus-tikus' tu!" Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

Si bongkok sedih memikirkan nasib 'tikus-tikus' yang berada di bilik bawah tanah rumah agam itu. Dia tidak sanggup hendak membunuh 'tikus-tikus' itu. Tetapi dia juga tidak boleh melepaskan mereka. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro