Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

SEPERTI biasa, si bongkok hanya berdiri dan memerhati dari jauh. Hatinya sayu kerana tuan barunya yang telah sekian lama tinggal sebumbung dengannya itu akan berangkat pergi tidak berapa lama lagi. Kalau boleh, dia tidak mahu gadis itu meninggalkannya. Kerana telah muncul rasa sayang dalam hatinya terhadap gadis itu. Tetapi, siapalah dia yang berdaya menghalang gadis itu daripada pergi.

Si bongkok masih ingat lagi kali pertama dia bertemu dengan gadis itu...

"BONGKOK!" Suara Puan Chempaka kedengaran memanggil namanya.

"Ya, puan?"

"Kau dah tengok ke lukah yang kau pasang kat sungai, tu?" soal Puan Chempaka.

"Kejap lagi aku nak pergi tengoklah ni, puan," jawab si bongkok. Walaupun mereka mampu membeli ikan di kedai, tetapi Puan Chempaka paling suka makan gulai ikan sungai yang disalai terlebih dahulu.

Terpaksalah si bongkok membelinya daripada orang-orang kampung ataupun memasang lukah untuk mendapatkan ikan sungai. Kemudian, dia terbongkok-bongkok pula menyalai ikan. Penat tu memanglah penat. Tapi, dia lakukan juga demi menggembirakan hati Puan Chempaka.

"Kalau kau nak pergi ke sungai nanti, kau bagi tahu aku, tau. Aku nak ikut."

"Eh, betul ke puan nak ikut?" Si bongkok seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

"Ya! Dah lama aku tak ke sungai," tegas Puan Chempaka.

Lewat petang itu, mereka berdua berjalan kaki menuju ke sungai yang terletak tidak jauh dari rumah agam tersebut. Cuaca baik sepanjang hari. Si bongkok benar-benar berharap agar lukah yang dipasangnya mengena. Dia tidak mahu mengecewakan Puan Chempaka.

Dari jauh, satu bunyi yang menyegarkan telah hinggap ke telinga mereka berdua. Bunyi desahan air menghempas batu-batu di sungai. Si bongkok yang sudah biasa dengan sungai itu tahu di lubuk mana terdapat banyak ikan berkumpul. Dia juga tahu ceruk mana yang dalam serta berbahaya.

Biasanya kejadian mati lemas ketika sedang mandi-manda di sungai berlaku kerana orang yang berkunjung ke sungai itu adalah orang luar dan tidak biasa dengan keadaan sungai tersebut.

Tiba-tiba langkah si bongkok terhenti. Begitu juga dengan Puan Chempaka. Di belakang sebuah batu besar tidak berapa jauh dari tempat mereka berdiri, mereka nampak sepasang kaki terjulur keluar. Mereka bertukar pandang beberapa ketika sebelum menerpa ke arah sekujur tubuh yang terbaring di atas pasir.

Si bongkok menarik nafas panjang. Itulah pertemuan pertamanya dengan Suriati yang hampir lemas dan mengalami luka-luka yang agak teruk pada seluruh badannya terutamanya di bahagian muka kerana terlanggar pada batu-batu yang tajam ketika sedang dihanyutkan arus Sungai Gasing. Sejak diselamatkan, mereka tinggal bersama-sama di dalam rumah agam Puan Chempaka. Puan Chempaka yang telah menganggap Suriati sebagai anak angkatnya tidak membenarkan gadis itu keluar dari rumah tersebut.

Mahu tak mahu... Suka tak suka, akhirnya mereka terpaksa berkawan. Gadis itulah yang telah mengajar si bongkok menulis dan membaca serba sedikit.

Tahun demi tahun, fizikal Suriati yang dahulunya gemuk gedempol kini berubah seratus peratus. Bukan mudah sebenarnya Suriati hendak mendapat bentuk badan yang ideal begitu.

"BONGKOK!" Panggilan itu mematikan memori silam. Dia menghalakan pandangannya ke arah Suriati.

"Mari sini!"

Si bongkok mengatur langkah ke arah gadis itu.

"Ya, cik?"

"Bongkok, kau ingat pesan aku, tau. Kau kena pastikan rumah ini dan sekitarnya sentiasa bersih dan cantik bila aku tak ada nanti."

Si bongkok menganggukkan kepalanya.

"Baiklah, cik. Aku faham."

"Kau jangan risau. Aku akan balik semula ke sini."

Angguk lagi.

"Baiklah, cik. Cik jagalah diri baik-baik di luar sana nanti, ya?" pesannya.

Suriati ketawa. Dia bangkit dari kerusi lalu berpusing-pusing di depan si bongkok.

"Apa pendapat kau, bongkok? Aku cantik tak?"

Si bongkok menyeringaikan giginya.

"Siapa kata cik tak cantik? Cik cantik... Tak ubah macam Cinderella," puji si bongkok. Ikhlas dan sepenuh hati.

Si bongkok dahulunya tidak kenal siapakah Cinderella. Suriatilah yang selalu mengulang-ulang cerita tentang Cinderella kepadanya. Malah, Suriati selalu memberitahunya bahawa suatu hari nanti, dia akan menjadi seperti Cinderella.

Suriati ketawa riang. Dia mendongakkan kepalanya ke langit, mendepakan tangannya sambil terus memusing-musingkan badannya.

Aku Cinderella. Tak lama lagi aku akan bertemu dengan putera kacakku! hatinya berbisik.

Setelah beberapa kali berpusing, kepalanya menjadi pening. Suriati terduduk semula di atas kerusi. Tidak lama kemudian muncul sebuah kereta memasuki pekarangan rumah agam itu. Si bongkok segera mengangkat sebuah beg besar lalu menyumbatkannya ke dalam boot kereta itu. Selepas itu, dia mendapatkan Suriati semula.

"Cik jaga diri, ya?" Untuk kesekian kalinya dia berpesan lagi.

"Baiklah, bongkok. Kau jangan risau." Suriati membuka pintu belakang kereta itu lalu melangkah masuk.

Si bongkok menahan Suriati daripada menutup pintu kereta.

"Ada apa lagi ni, bongkok?" soal Suriati, sedikit jengkel.

"Cik, macam mana dengan 'tikus-tikus' kat bilik bawah tanah, tu?" soal si bongkok.

"Hapuskan aje kesemuanya!" Suriati menjawab. Tegas. Dan sedikit kejam.

"Bunuh? Kesemuanya?"

Suriati mengangguk.

"Hidangkan aje dengan racun tikus. Biar semua tikus-tikus tu mati. Bila semuanya dah mati, kau boleh tanam kat belakang rumah. Jangan biarkan bangkainya tak bertanam pula. Nanti busuk, bau bangkai!"

Si bongkok menelan liurnya. Terasa pahit.

"Kau jangan nak lambatkan perjalanan aku pula. Kau uruskanlah 'tikus-tikus' tu. Itukan haiwan peliharaan Puan Chempaka. Sekarang ni Puan Chempaka dah mati. Kau buatlah apapun pada mereka. Aku tak kesah. Dahlah! Aku tak nak ambil tahu tentang 'tikus-tikus' tu lagi!" Suriati menghentak suaranya.

Dia sudah tidak mahu mendengar tentang segala macam aduan si bongkok lagi terutamanya tentang 'tikus-tikus' yang berada di bilik bawah tanah sana. Dia sudah tidak sabar hendak meninggalkan rumah agam yang telah memenjarakannya dari dunia luar selama ini. Titik! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro