Bab 6
HAFIZ memandu Perodua Viva hijau pucuk pisang miliknya menuju ke Restoran Bismillah, restoran mamak yang biasa dikunjungi setiap kali hendak bertemu Razman. Dia memandu ke sana dengan tenang kerana keadaan jalan raya yang sudah tidak sesak seperti waktu siang. Dalam pada itu, hatinya tertanya-tanya juga siapakah yang akan ditemuinya nanti selain daripada Razman?
Lebih kurang 20 minit kemudian, dia semakin menghampiri destinasi yang sedang dituju. Dia membelokkan keretanya ke kanan lalu memasuki sederet kawasan kedai. Dia terpaksa memarkir keretanya agak jauh sedikit kerana kesemua petak parkir di depan restoran itu sudahpun penuh.
Sebaik sahaja keluar dari kereta, dia nampak Razman sedang berdiri tegak di depan restoran seolah-olah sedang menunggu seseorang. Man tengah tunggu aku agaknya, bisik hati Hafiz. Dia melangkah pantas menuju ke arah kawan satu sekolahnya itu.
"Sampai pun kau!" desis Razman. Hafiz ketawa.
"Kan aku dah cakap nak datang."
"Kau masuklah dulu. Aku dah cop meja biasa, yang kat hujung tu," arah Razman.
"Kau? Tak masuk sama?" soal Hafiz.
"Aku tengah tunggu dia orang sampai, ni. Dia orang tak biasa dengan restoran ni," beritahu Razman.
"Siapa yang kau tunggu, ni?" Hafiz tertanya-tanya. Tetapi Razman tidak mengendahkannya sebaik ternampak kemunculan sebuah Honda Accord berwarna hitam menghampiri kawasan restoran itu.
Mata Hafiz cuba mengintai siapakah gerangannya yang berada di dalam kereta itu tetapi gagal kerana terlindung dek cermin hitamnya. Dia mengambil keputusan untuk menunggu bersama-sama Razman di depan restoran itu. Seperti juga dia, pemandu Honda Accord hitam itu terpaksa memarkir keretanya agak jauh sedikit dari restoran.
Kemudian, Hafiz nampak dua orang perempuan melangkah keluar dari perut kereta lalu menuju ke arah mereka. Dari tempatnya berdiri dia tidak dapat mengecam wajah mereka.
"Siapa perempuan dua orang tu, Man?" soalnya ke arah Razman.
Razman menoleh ke arahnya sambil tersenyum sumbing.
"Heh, kalau ya pun sabarlah sikit. Tunggu sampai dia orang datang dekat. Kalau tak kenal juga, tak tahulah nak cakap," kata Razman yang kelihatan ceria amat.
"Hei, Man! Kita orang dah sampai!" sapa perempuan bertubuh langsing yang kelihatan ayu dengan baju kurung polos rona biru cair.
"Lama ke kau tunggu kita orang, Man? Maaflah, ya?" Teman di sisinya pula bersuara.
"Ah, kau orang berdua punya pasal, sampai esok pun aku sanggup tunggu!" sahut Razman sambil berdekah. Kemudian, dia menoleh ke arah Hafiz di sisinya.
"Kau orang kenal tak mamat ni?" kata Razman sambil menepuk bahu Hafiz.
Dua pasang mata serentak menjunam ke wajah Hafiz.
"Macam kenal! Awak... Hafiz, kan?" teka Hanna Hanani, ceria.
Hafiz mengangguk. Dia tidak sangka rupa-rupanya malam itu dia akan bertemu dengan dua orang teman satu sekolahnya dahulu yang telah lama tidak ditemuinya iaitu Hanna Hanani dan Baizura.
"Hei, Hafiz! Dah lama kita tak jumpa, kan? Tak sangka malam ni dapat jumpa awak dan Man kat sini." Baizura memakukan matanya ke arah Hafiz.
Hafiz ketawa kecil.
"Ya, memang dah lama tak jumpa. Sejak habis SPM, masing-masing bawa haluan sendiri." Hafiz bersetuju.
"Takkan kita nak tercegat aje kat depan restoran, ni? Jom!" Razman mendahului teman-temannya melangkah masuk ke dalam restoran.
"KALAU kau orang nak makan, kau orang pesan aje. Jangan risau. Malam ni, Abang Man belanja!" Razman bersuara.
Terburai ketawa dari mulut Hanna Hanani dan juga Baizura. Sementara itu, Hafiz hanya tersengih.
"Ceh! Abang konon! Kau tu muda beberapa bulan dari akulah," getus Baizura.
"Ahaks! Terima kasihlah, Abang Man, sebab sudi belanja kita orang makan malam ni. Semoga Abang Man murah rezeki dan cepat dapat naik pelamin." Hanna Hanani pula bersuara.
"Aminnn!" Razman segera menjawab.
Mereka mula memesan makanan daripada seorang pelayan genit yang muncul di meja mereka. Hanna Hanani dan Baizura masing-masing memesan satu set roti bakar berserta minuman kegemaran masing-masing. Hafiz yang sememangnya masih belum menjamah nasi, memesan nasi goreng cina berserta segelas Nescafe tarik. Razman pula teringin hendak makan mi goreng mamak berserta segelas teh ais.
Setelah sekian lama tidak bersua, masing-masing berebut-rebut hendak bercerita tentang memori alam persekolahan. Tentang cikgu-cikgu yang disayangi. Dan juga cikgu-cikgu yang tidak berapa disukai. Tidak dilupakan juga tentang teman-teman rapat yang kini sudah bertebaran mengejar impian masing-masing.
"Kau kerja kat mana sekarang ni, Hafiz?" soal Baizura sambil memakukan matanya ke arah jejaka yang duduk bersetentang dengannya.
"Kau pernah baca Majalah Xplor, tak?" Hafiz menyoal balik. Baizura menggeleng.
"Majalah tentang apa tu? Bunyinya macam majalah tentang pengembaraan aje?"
Hafiz senyum.
"Haah, dah betullah tu! Aku kerja sebagai wartawan kat sana. Tugas aku ialah pergi ke tempat-tempat yang menarik, ambil gambar dan kemudian tulis rencana untuk dimuatkan dalam majalah ni." Dia menyelongkar beg sandangnya, mengeluarkan senaskhah majalah lalu dihulurkannya ke arah Baizura.
Gadis itu kelihatan berminat.
"Seronoklah kerja kau ni!" Baizura bersuara. Matanya dipakukan lagi ke wajah Hafiz.
Kalau di zaman sekolah dulu, dia langsung tidak memberikan perhatian kepada jejaka itu. Hafiz dianggapnya sebagai seorang budak sekolah yang suka menyendiri serta membosankan. Tapi setelah 10 tahun kemudian, Hafiz tampil berbeza di matanya. Hafiz kelihatan berkarisma serta mempunyai kerjaya yang menarik.
"Ehem! Kau jangan nak lebih-lebih dengan Si Hafiz tu, Bai," tegur Razman.
"Eh, engkau, ni!"
"Dia tu tunangan orang. Hujung tahun ni dia dah nak naik pelamin," beritahu Razman.
"Ya ke, Hafiz? Tahniah," ucap Baizura dengan senyuman walaupun terbit juga secebis rasa kecewa dalam hatinya tatkala mendengar berita itu. Aku dah terlambat, bisik hatinya.
"Tahniah, Hafiz," ucap Hanna Hanani pula.
"Terima kasih," jawab Hafiz.
"Insya-Allah, sampai masanya nanti aku bagi kad kahwin pada kau orang semua."
"Kau orang berdua sebenarnya kenal sangat dengan tunang Hafiz ni. Tunangnya kawan satu sekolah kita juga." Razman bersuara lagi.
Mata Hanna Hanani dan Baizura terpaku ke wajah jejaka itu. Jelas mereka terkejut mendengar berita itu.
"Ya ke? Siapa?" soal Baizura.
"Maizatul Akma." Hafiz bersuara.
"Ya Allah! Maiza rupa-rupanya tunang Hafiz!" Hanna Hanani terpekik, girang.
"Kita orang pun dah lama tak jumpa Maiza."
"Lain kali aku bawa dia jumpa kau orang." Hafiz berjanji.
Kemudian, makanan yang mereka pesan pun sampai. Sambil makan, mereka menyambung cerita lagi tentang alam persekolahan yang telah ditinggalkan dan juga alam pekerjaan masing-masing.
PINGGAN yang tadinya berisi makanan kini sudah pun licin. Begitu juga dengan air di dalam gelas masing-masing. Kesemuanya sudah luak. Namun, masing-masing bagaikan tidak sedar akan masa yang berlalu.
"Eh, kau orang nak aiskrim, tak?" soal Razman tiba-tiba.
"Aiskrim? Boleh juga!" Hanna Hanani menyahut.
"Panas-panas macam ni memang sedap kalau dapat aiskrim," katanya yang memang penggila aiskrim.
Oleh kerana restoran itu tidak menyediakan hidangan aiskrim seperti di dalam restoran-restoran eksklusif, Razman telah meminta daripada pelayan restoran, satu bekas aiskrim Wall's Selection serta empat biji mangkuk kecil. Memang nikmat dapat mencicip aiskrim yang sejuk dan manis itu tatkala cuaca panas sekarang. Walaupun setelah malam menjelang, bahangnya tetap terasa.
"Apa khabar Rayyan sekarang agaknya, ya?" Tiba-tiba terpacul nama itu dari mulut Razman.
"Dia tak ada hubungi kau ke, Hanna?"
"Eh, kenapa aku pula?" Terkejut gadis itu apabila namanya dikaitkan dengan Rayyan Firdaus.
"Dulu kan dia minat kat kau?"
Hanna Hanani ketawa kecil. Sekilas kenangan manis pada zaman remaja muncul semula di ruang ingatannya. Kali terakhir dia bertemu dengan Rayyan Firdaus ialah 10 tahun lalu sewaktu mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM masing-masing. Jejaka itu sempat memberitahunya yang dia akan mengikut papanya berhijrah ke Kanada. Dia juga bercadang hendak sambung belajar sama ada di Kanada ataupun di Amerika Syarikat.
Selepas itu, hubungan mereka terputus terus. Bagaimana agaknya Rayyan di luar negara tu?
"Ya ke Rayyan minat kat aku? Setahu aku, Rayyan sukakan Ati!"
"Kau biar betul! Rayyan minat kat perempuan terlebih muatan tu? Hahaha!" Terburai ketawa dari mulut Baizura. Kemudian, seolah-olah baru tersedar, dia segera menutup mulutnya. Rakan-rakannya yang lain hanya memandang. Suasana sunyi seketika seolah-olah ada malaikat menumpang lalu.
"Rayyan memang menaruh minat kat kau dulu, Hanna." Razman bersuara memangkas kesunyian yang hadir.
"Kali terakhir aku jumpa Rayyan semasa kami ambil keputusan SPM dulu. Lepas tu, aku dah tak jumpa dia lagi. Lagipun dulu bukan macam sekarang. Sekarang dah ada telefon pintar bolehlah berFacebook, berWhatsApp, berbalas-balas mesej." Hanna Hanani beralasan.
"Kau tak cuba skodeng Rayyan kat Google? Mana tahu jumpa dia kat sana?" soal Razman.
Hanna Hanani jongket bahu.
"Tak teringat pula nak sekodeng dia."
Baizura menyenggol lengan Hanna Hanani.
"Kau orang jangan tak tahu, Cik Hanna kita ni dah ada teman lelaki sekarang. Rayyan dah tak ada dalam hati dia. Faham?!" Baizura membocorkan rahsia Hanna Hanani.
Mata Razman dan Hafiz menjunam ke wajah manis Hanna Hanani.
"Yalah, si cantik manis mestilah cepat disambar orang. Siapa agaknya lelaki yang bertuah tu?" soal Razman ingin tahu siapakah orangnya yang telah berjaya memikat Hanna Hanani.
Hanna Hanani hanya tersenyum mengulum. Begitu juga dengan Baizura. Berahsia nampaknya!
JARUM jam yang melekap di dinding restoran sudah menuding ke angka 11.00 malam. Kedua-dua orang gadis itu meminta diri untuk pulang. Esok adalah hari bekerja dan mereka perlu mendapatkan rehat yang secukupnya malam ini.
Razman dan Hafiz mengiringi mereka berdua sehingga ke kereta.
"Jangan lupa sampaikan salam kita orang berdua pada Maiza tau, Hafiz. Nanti kalau lapang, kita orang nak jumpa Maiza pula." Baizura berpesan.
"Insya-Allah. Nanti aku sampaikan pada dia." Hafiz menjawab.
"Thanks, Man sebab belanja makan." Hanna Hanani pula bersuara.
"Alah, apalah sangat kalau sesekali kita keluar duit untuk belanja kawan-kawan lama makan. Dapat juga mengeratkan kembali tali silaturahim." Razman bersuara. Kata-katanya itu disambut dengan gelak ketawa kawan-kawannya.
"Engkau ni, Man! Sejak dah bekerja dengan gamen ni, cara bercakap pun dah macam ustaz-ustaz aje aku dengar!" usik Hanna Hanani. Baizura di sisinya hanya ketawa. Sementara itu, Hafiz sekadar senyum.
"Okeylah, kita orang berdua balik dulu, ya!" kata Hanna Hanani sambil memberikan isyarat supaya Baizura masuk ke dalam kereta.
"Engkau pandu kereta ni terus balik ke rumah tau, Hanna. Jangan melencong ke tempat lain pula." Razman mengingatkan sebelum Hanna Hanani cecah punggung ke tempat duduk pemandu.
Hanna Hanani tersengih.
"Baiklah, Bang Man, oi! Kalau esok hari minggu, ada jugalah kemungkinan untuk melencong ke tempat lain tu. Tapi esokkan hari bekerja. Okeylah, Man... Hafiz. Aku dan Bai balik dulu. Good night!" Habis bersuara, Hanna Hanani terus tutup pintu kereta.
Gadis itu memandu keretanya dengan cekap. Pemanduannya lancar sahaja kerana kenderaan tidak berapa banyak di atas jalan raya.
"Malam ni kau tidur kat kondo aku ajelah, ya? Pagi esok aku hantarkan kau ke pejabat," kata Hanna Hanani ke arah Baizura di sisinya.
"Hmmm... Bolehlah! Esok aku pinjam baju kau, tau."
"Kalau kau tak faham pun aku tak kesah. Baju aku melambak dalam almari tu," getus Hanna Hanani yang hidupnya dilimpahi kemewahan.
"Aku rasa macam nak buang aje separuh baju-baju aku tu."
"Baju kau yang masih elok tu sebaiknya kau dermakan kepada pelarian Rohingya. Kalau tak silap aku dalam Facebook ada sukarelawan yang sedang giat mengumpul pakaian dan benda-benda lain untuk dibawa dalam misi kemanusiaan mereka ke Myanmar. Daripada kau buang aje baju-baju tu, elok kau dermakan. Dapat juga pahala," cadang Baizura.
"Oh, ya ke? Aku tak tahu pula tentang tu. Okeylah, nanti aku kumpulkan baju-baju yang aku dah tak pakai lagi."
Baizura mengangguk.
"Bagus. Kau masukkan dalam kotak dan seal elok-elok. Nanti aku check semula akaun Facebook sukarelawan tu. Kalau tak silap aku, dia tinggal di Bangsar. Nanti aku temankan kau ke sana."
"Okey."
Ruang kereta yang wangi dengan haruman lavender itu dipenuhi dengan suara Broery Marantika yang sedang mendendangkan lagu Biarlah Bulan Bicara. Kedua-dua orang anak gadis itu mendiamkan diri seolah-olah menghayati keindahan yang ditawarkan lagu tersebut.
"Tak apa ke aku tumpang tidur kat rumah kau, Hanna?"
Tiba-tiba Baizura bersuara setelah lagu Biarlah Bulan Bicara berakhir dan digantikan pula dengan suara lemak merdu Anita Kelsey yang mendendangkan lagu Sway.
"Isy, kenapa pula tak boleh?"
"Kalau boyfriend kau datang, macam mana?"
"Isy, engkau ni! Dia sekarang sedang melawat anak dia yang belajar kat UK la!" Meninggi suara Hanna Hanani.
"Oh, manalah aku tahu. Kalau macam tu aku tidur kat rumah kaulah," getus Baizura sambil ketawa kecil.
"Seronokkan dapat jumpa semula dengan kawan-kawan lama."
Hanna Hanani membayangkan semula pertemuan mereka dengan Razman dan Hafiz tadi.
"Apa kata kalau kita adakan reunion untuk kumpul semula semua kawan-kawan lama kita?"
"Bagus juga cadangan kau tu. Bukaklah grup WhatsApp untuk kumpulkan mereka semua. Kau jadi admin. Biasanya orang selalu buat reunion semasa hujung tahun." Baizura mencadangkan.
"Aku tak ada masa nak handle grup WhatsApp" Hanna Hanani menjawab.
"Aku pun! Nanti dia orang bergaduh pula dalam grup tu, kita pula yang pening kepala." Baizura menyahut.
"Kalau macam tu, baik tak payah!"
Mereka berdua ketawa. Kereta yang dipandu Hanna Hanani semakin menghampiri ke destinasinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro