Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

10 tahun kemudian...

KEMATIAN itupun sampai. Mati atau destinasi akhir sebuah kehidupan. Orang tua yang telah menahannya di rumah agam itu persis seorang banduan, akhirnya mati juga. Seperti orang suruhan yang patuh kepada tuannya, dia setia di sisi orang tua itu ketika nyawanya direntap keluar dengan begitu kasar sekali. Di hadapannya, dia menyaksikan tubuh kecut itu tersentak-sentak beberapa kali. Mulutnya terbuka luas. Matanya tegak memandang ke satu arah.

Dia menunggu dan terus menunggu sehingga tubuh kecut itu kaku dan berhenti bergerak. Kini, dia bebas keluar dari rumah agam yang menjadi penjaranya selama ini. Bebas untuk mencorakkan kehidupannya sendiri.

Dia tidak pernah sukakan orang tua itu. Dia cukup pasti yang orang tua itu juga tidak pernah sukakan dirinya walaupun sudah bertahun mereka hidup sebumbung. Malah mereka bukan sahaja hidup sebumbung tetapi turut berkongsi 'memori hitam' yang lebih kurang sama jalan ceritanya. Mungkin itu sahajalah yang telah mengikat dirinya dengan orang tua itu.

Kadangkala dia risaukan nyawanya sendiri ketika tinggal bersama orang tua itu. Dia tidak pernah rasa selamat ketika mereka tinggal sebumbung. Kerana dia tahu orang tua itu adalah manusia yang teramat kejam. Hidupnya bergelumang dendam.

Tetapi dia masih juga bertahan kerana sudah tidak ada tempat untuknya di luar sana. Berkat kesabarannya, seluruh harta kekayaan orang tua itu kini berpindah ke tangannya pula.

Kini, bolehlah dia melangkah keluar dari rumah agam itu untuk melunaskan dendam peribadinya. Bibirnya terbuka. Seulas senyuman puas tersungging di bibirnya.

"Terima kasih, puan," ucapnya kepada jenazah yang terbujur kaku di depannya.

MAIZATUL AKMA menghenyakkan punggungnya di atas kusyen. Dia kelelahan setelah terperangkap dalam kesesakan yang panjang sewaktu memandu pulang ke rumahnya dari tempat kerja. Sejurus sebelum waktu kerja tamat, hujan lebat mula turun menyirami bumi kota. Jalan yang licin itu juga telah menyebabkan beberapa kemalangan kecil berlaku di sepanjang perjalanan yang dilaluinya. Malah, dia sendiri hampir-hampir sahaja menyondol kereta di hadapannya yang membrek secara mendadak.

Mujurlah dia dan keretanya selamat sampai ke rumah sewanya ketika senja hampir menjelang tanpa sebarang kecederaan mahupun kesan calar. Hanya kepenatan sahaja yang menghurung sekujur tubuhnya kerana terpaksa duduk terlalu lama di dalam kereta.

Kadangkala muncul rasa menyesal dalam hatinya kerana telah meminta dipindahkan ke Kuala Lumpur. Kalau dia terus sahaja bekerja di Melaka, tidak perlulah dia berhadapan dengan kesesakan yang sebegini hebat.

Tapi, apa nak buat... Nasi sudah menjadi bubur. Dia membuat keputusan drastik untuk berpindah hanya kerana Hafiz, tunangnya yang bekerja sebagai seorang wartawan berpejabat di sini.

Serta-merta wajah Hafiz melintas dalam fikirannya.

Walaupun jarak pejabatnya dengan pejabat Hafiz terletak lebih kurang lima kilometer sahaja antara satu sama lain tetapi mereka bukannya dapat selalu berjumpa. Hafiz sentiasa sibuk. Tidak pernahnya dia tidak sibuk. Tugasnya sebagai wartawan majalah yang terbit dua kali sebulan membuatkan dia selalu dihantar majikannya untuk membuat liputan berita di luar daerah. Malah, kadang-kadang Hafiz terpaksa ke luar negara juga.

Walaupun dunia pekerjaan kadangkala melelahkan dengan perangai majikan dan rakan-rakan sekerja tetapi mereka terpaksa harunginya juga demi sesuap nasi. Sebab itulah Maizatul Akma berasa bahawa zaman persekolahan adalah fasa yang paling indah dalam hidupnya. Selain punya ramai kawan, tugasnya hanya perlu menumpukan perhatiannya kepada pelajaran.

10 tahun dah berlalu, bisik hati kecilnya. Sekilas wajah yang muncul dalam ingatannya menerbitkan rasa sebak dalam hati. Tidak semua orang berpeluang menikmati alam persekolahan yang indah. Dia mengeluh perlahan sambil menyedekahkan surah al-Fatihah kepada arwah Suriati yang mati tanpa kubur.

Srettt! Srettt! Srettt!

Tiba-tiba Maizatul Akma terdengar suatu bunyi yang aneh datangnya dari arah dapur. Bunyi seperti seseorang sedang mundar-mandir di situ. Dadanya mula berdegup kencang, cemas! Kalau dia tinggal di situ seorang diri, siapa pula yang sedang mundar-mandir di dapurnya?

Selepas itu, dia terdengar bunyi pintu peti sejuk dibuka dan ditutup semula. Dia semakin tidak keruan. Dia cukup pasti yang rumah sewanya itu sudah diceroboh masuk. Pelbagai kemungkinan menerpa ke mindanya. Apakah yang dimahukan oleh si penceroboh itu? Mahu merompak? Atau merogol? Atau membunuh?

Ya Allah! Jauhkanlah hamba-Mu ini daripada sebarang musibah! Tolonglah, ya Allah. Tolonglah!

Sekujur tubuhnya diselubungi rasa takut. Dia ngeri memikirkan untung nasibnya senja itu. Namun, digagahkan juga tangannya untuk mencapai sekaki payung yang tersangkut tidak jauh dari tempat dia duduk lalu segera bangkit.

"Siapa, tu?" Tiada jawapan.

"Siapa kat dapur tu?" Masih tiada jawapan.

"Hoi! Siapa kat dapur tu, hah?!" Kali ini dia melaung dengan lebih kuat.

"Ila ni, kak!" Satu suara halus yang menjawab. Sebaik terdengar jawapan itu, dia terus mengurut dadanya. Lega!

Seketika kemudian, seorang gadis muda muncul dari arah dapur. Di tangannya ada dua gelas minuman. Salah satu gelas itu dihulurkan ke arah Maizatul Akma.

"Laaa... Kau rupa-rupanya, Ila! Buat berdebar akak aje kau ni. Akak ingatkan siapalah kat dapur, tu tadi," luah Maizatul Akma ke arah adiknya. Nabila Huda yang berusia 25 tahun itu kini bekerja di Shah Alam dan tinggal menyewa bersama beberapa orang rakannya di sana.

"Bila kau sampai?"

"Ila sampai dalam pukul 5.30 tadi. Maaflah sebab Ila datang mengejut, ni. Esok Ila cuti."

"Macam mana kau buka pintu rumah ni?"

"Eh, kan akak ada bagi Ila kunci pendua? Ila masuk guna kunci itulah."

Maizatul Akma mengangguk. Dia meneguk air sirap di gelasnya perlahan-lahan. Hatinya sudah tidak risau lagi.

JARUM jam yang melekap di dinding pejabat itu sudah menuding ke angka 8.30 malam. Suasana sekeliling sunyi sepi. Hanya Hafiz seorang sahaja yang masih tercatuk di meja kerjanya. Dia yang baru balik dari satu tugasan di Rawang bertekad untuk menyiapkan rencananya malam itu juga sebelum balik ke rumah. Kalau rencananya sempat siap, esok bolehlah dia masuk lambat sedikit ke pejabat. Dia ingin belanja Maizatul Akma sarapan nasi lemak ataupun lontong setelah hampir seminggu tidak memandang wajah tunangnya itu kerana masing-masing sibuk bekerja.

Nasib baiklah masing-masing ada telefon pintar. Jika rindu, buka saja galeri pada telefon pintar untuk menatap gambar orang yang dirindui. Mudah, kan!

Hati siapa yang tidak dipagut rindu setelah hampir seminggu tidak bersua dan berbual-bual dengan tunang tersayang? Namun begitu, banyak bezanya di antara melihat gambar dan bertemu secara berdepan dengan orang yang dirindui.

Hafiz mencapai telefon pintarnya. Dia segera menenyeh butang-butang aksara pada permukaan telefon.

Assalamualaikum, awak...

Esok saya belanja awak sarapan, ya? Kat tempat biasa. Jam 8.30.

Selepas menghantar WhatsApp tersebut kepada Maizatul Akma, dia meneruskan kerjanya. Belumpun berapa lama, telefon pintarnya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.

Cepatnya Maiza balas, bisik hatinya, ceria. Ini mesti kes dia pun rindukan aku! Yahuuu!!!

Teruja, dia segera mencapai telefon pintarnya. Rupa-rupanya, dia tersilap. WhatsApp itu bukannya datang daripada Maizatul Akma sebaliknya daripada Razman, kawan satu sekolahnya dahulu. Razman mengajaknya keluar makan.

Hafiz memekapkan telefon pintar ke telinganya lalu menunggu beberapa ketika.

"Man, aku masih kat pejabat lagi, ni. Ada nak siapkan kerja sikit," katanya sebaik sahaja panggilannya berjaya disambungkan.

"Kau ni nak jadi penunggu pejabat ke? Hoi, kawan! Dah malam ni, balik ajelah!" Suara Razman kedengaran di hujung talian.

Hafiz tergelak kecil.

"Aku ni kerja wartawan. Bukannya kerja kerajaan macam kau. Kerja wartawan ni tak tentu masa." Dia menerangkan kepada Razman.

Di hujung talian, Razman mendengus.

"Kau tu yang terlebih rajin. Jomlah woi, kita keluar malam ni, rehat-rehatkan otak. Bukan senang aku nak belanja orang makan ni tau!" Razman menempelak.

"Kau nak tak?"

Hafiz berfikir-fikir seketika. Jarum jam menuding ke angka 8.50 malam.

"Rencana aku dah hampir nak siap, ni. Macam inilah... Kalau aku jumpa kau dalam pukul 9.30 ataupun pukul 10.00, boleh tak?"

"Teruklah kau ni!" rungut Razman. Dia terdiam seketika.

"Hmmm... Okeylah! Kita orang tunggu kau kat tempat biasa kita lepak tu."

Setahu Hafiz, ucapan 'kita orang' biasanya membawa maksud lebih daripada seorang.

"Siapa lagi yang ada malam, ni?"

Hafiz ingin tahu.

"Kau datang aje. Nanti kau tahulah."

Razman seolah-olah cuba berahsia dengannya. Kemudian, seolah-olah tergesa-gesa pula hendak menamatkan perbualan mereka.

Jawapan Razman itu menimbul persoalan dalam hati Hafiz. Biasanya kalau mereka bertemu di mana-mana, Razman datang sendirian sahaja.

Argh, mungkin Razman nak kenalkan aku dengan awek dia, kut? bisik hati Hafiz. Jari-jemarinya semakin laju mengetuk papan kekunci. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro