Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"KAU rasa dalam sungai ni ada buaya tak, Rayyan?"

Rayyan Firdaus menoleh ke arah Razman yang bertanya.

"Entah! Manalah aku tahu. Tapi kebiasaannya, sungai macam ni memang menjadi habitat buaya. Kenapa? Kau takut ke?"

"Aku saja aje tanya. Tak boleh ke?" sahut Razman.

"Kalau kau orang nak tahu, buaya juga ada yang tinggal di daratan. Orang panggil, buaya darat!" sampuk Hanna Hanani, si gadis berhidung mancung.

Mata Rayyan Firdaus dan Razman mendarat ke wajah mulus Hanna Hanani.

"Macam Rayyan ke, Hanna?" soal Razman sambil berdekah.

"Cis, tak guna kau, Man! Kau tu baik sangat ke? Boleh jalanlah!" tempelak Rayyan Firdaus. Razman ketawa panjang.

Kemudian, mata Rayyan Firdaus melekap semula ke wajah Hanna Hanani.

"Kau jangan percaya dengan Si Razman ni, Hanna. Aku lelaki budiman." Dia mendabik dada.

"Piiirrrahhh!!!" Razman mendengus.

"Ada juga buaya yang diperbuat daripada logam. Orang panggil, buaya tembaga." Baizura menyampuk.

"Banyak juga spesies buaya ni, ya? Tapi pada pendapat akulah, buaya dalam sungai inilah yang paling bahaya sebab ia boleh membaham dan membunuh manusia! Kau takut tak, Hanna?" desis Rayyan Firdaus sambil tersenyum nakal ke arah Hanna Hanani. Dia yang geram melihat hidung mancung Hanna Hanani membuka mulut seluas-luasnya lalu dihalakan ke muka gadis itu, seolah-olah ingin mencakup hidungnya.

"Isy, Rayyan!" Hanna Hanani terjerit. Dia sempat menolak muka Rayyan sebelum mulut jejaka itu betul-betul mendarat pada hidungnya.

Rayyan Firdaus tergelak besar. Dia bangkit lalu mencapai kolar baju Razman pula lalu cuba menolak jejaka itu ke gigi air.

"Isy! Kenapa kau ni, Rayyan? Kau dah gila ke?" herdik Razman yang tiba-tiba seram sejuk setelah mereka berbual-bual tentang kehadiran buaya sedangkan tengah hari tadi mereka berendam di dalam Sungai Gasing tanpa sedikitpun rasa waswas muncul dalam fikiran mereka.

Rayyan Firdaus tergelak besar melihat riak ketakutan yang terpancar pada wajah Razman. Hanna Hanani dan Baizura pula hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah mereka.

"Rayyan, kau rasa dia datang ke tak, ni?" soal Razman ke arah Rayyan.

Dia sudah gelisah kerana dirinya menjadi hurungan nyamuk-nyamuk yang dahagakan darah manusia. Apatah lagi, ketika itu petang semakin tua. Tidak lama lagi senja pasti tiba.

"Aku pasti dia akan datang. Dia kan dah lama gilakan Rayyan." Hanna Hanani bersuara yakin. Baizura ketawa besar.

"Kenapa kau gelak macam tu, Bai?" soal Hanna Hanani.

"Kalau dia datang juga, memang betullah dia tu spesies perempuan yang tak sedar diri. Tak padan dengan tembamnya tu. Ada hati nak mengurat Rayyan!" Begitu sekali penghinaan yang terlontar dari mulut Baizura.

Hanna Hanani tergelak kecil.

"Agaknya dia tu jenis perempuan yang malas nak tengok cermin," komen Hanna Hanani sambil mencebik.

"Kau orang berdua ni bercakap macam tak ada otak. Hei, dia pun manusia macam kita juga walaupun tembam macam tu. Manusia semuanya ada hati dan perasaan. Ada kehendak dan keinginan!" Razman menyampuk.

"Eh, lain macam aje kau ni, Man? Kau dah lupa ke yang selama ni, kau pun selalu kutuk-kutuk dia!" Baizura membidas. Matanya mencerlung ke arah Razman.

"Haah, betul, tu! Kau pun dua kali lima aje dengan kita orang." Hanna Hanani tampil menyokong Baizura.

Sementara mereka bertiga sedang hangat bertekak untuk menegakkan benang yang basah, Rayyan Firdaus pula kelihatan termenung jauh. Fikirannya seolah-olah sedang sarat. Entah apa yang sedang difikirkannya?

"Rayyan, berapa lama lagi kita nak tunggu kat sini?" soal Razman yang sudah tidak tahan batang tubuhnya menjadi santapan nyamuk.

Rayyan Firdaus tidak menjawab.

"Aku nak baliklah," kata Razman lagi tetapi sebelum sempat dia bangkit, Rayyan Firdaus menarik tangannya dengan kasar sehingga dia terduduk semula.

Dari tempat persembunyian yang letaknya agak jauh daripada tapak perkhemahan itu, mereka nampak Suriati sedang melangkah ke tepi sungai. Dia kemudiannya duduk di atas bongkah batu besar di tepi sungai itu. Lagaknya seolah-olah sedang menunggu seseorang.

Rayyan Firdaus melekapkan jari telunjuknya ke bibir, memberi isyarat supaya teman-temannya senyap. Perlahan-lahan dia bangkit lalu merapati gadis bertubuh gemuk yang sedang duduk termenung di tepi sungai itu.

"HAI, Ati! Aku ingatkan kau tak datang tadi," sapa Rayyan Firdaus sambil melangkah menghampiri Suriati.

Suriati tersenyum malu.

"Kenapa kau nak jumpa aku, Rayyan?" soalnya sambil memberikan sedikit ruang untuk jejaka itu melabuhkan punggung di sisinya.

"Entahlah. Aku pun tak tahu kenapa aku nak jumpa kau," ujar Rayyan Firdaus sambil ketawa kecil.

"Mungkin sebab tak lama lagi kita akan berpisah, bawa haluan masing-masing. Kau nak masuk ke tingkatan enam ke?"

"Haah, aku dan Maiza cadang nak masuk ke tingkatan enam. Kau pula?"

"Aku nak tengok keputusan peperiksaan dulu sebelum buat apa-apa perancangan."

"Ooo..." Suriati terangguk-angguk.

Rayyan Firdaus menoleh ke arah gadis di sisinya. Dia tersenyum mengulum.

"Ati, aku nak cakap sikit ni, kau jangan marah ya."

"Cakap ajelah."

"Kalau kau kurus sikit tentu kau cantik, Ati. Sekarang pun aku tengok kau comel aje."

"Itu aje ke yang kau nak cakap pada aku?" soal Suriati.

"Aku tahu kau dah lama minat kat aku. Betul tak, Ati?" ujar Rayyan Firdaus sambil merapatkan tubuhnya ke arah Suriati.

Puas Suriati mengengsot agar tubuhnya tidak bersentuhan dengan tubuh Rayyan Firdaus. Dia rasa tidak selesa berada terlalu hampir dengan jejaka itu. Dup-dap, dup-dap! Dadanya asyik berdebar-debar sahaja.

"Eh, apa yang kau buat, ni? Jangan, Rayyan! Jangan!" Suriati bersuara kuat.

Dia terkejut dengan tindakan Rayyan Firdaus yang cuba menanggalkan butang bajunya. Segera ditepis-tepisnya tangan jejaka itu. Dia yang tadinya duduk di atas sebongkah batu, melonjakkan badannya lalu berdiri tegak di hadapan Rayyan Firdaus.

Jejaka itu merenungnya tajam. Hatinya mendongkol dengan penolakan yang diterimanya itu.

"Kau kata, kau minat kat aku? Kau sukakan aku? Betul ke?"

Suriati menganggukkan kepalanya. Merah wajahnya menahan malu.

"Habis tu kenapa kau nak kedekut sangat? Ala Ati, aku bukannya nak buat apa-apa kat kau. Aku cuma nak tengok aje. Lagipun, hanya kita berdua aje kat sini. Bolehlah, Ati. Bolehlah." Lembut sahaja Rayyan Firdaus bersuara namun jelas sekali nada desakan yang terselit dalam setiap patah perkataannya.

Melihatkan wajah keliru gadis itu, Rayyan Firdaus mencuba nasibnya sekali lagi. Dia merapat semula ke arah Suriati membuatkan gadis malang itu terpaksa berundur ke belakang. Tiba-tiba kakinya tersadung batu dan dia tidak dapat menahan keseimbangan badannya. Suriati jatuh terlentang. Dia bernasib baik kerana kepalanya tidak terhantuk kepada seketul batu besar tidak jauh dari situ.

Satu jeritan kuat melengking dari mulutnya. Selain terkejut, jelas kelihatan yang Suriati turut menanggung kesakitan akibat belakang tubuhnya yang jatuh terhentak ke atas tanah. Rayyan Firdaus hanya memandang. Langsung tiada riak simpati pada wajahnya. Malah, dia bertindak biadab dengan merentap butang baju si gadis sehingga tercabutnya empat butir butang yang secara tidak langsung mendedahkan sebahagian besar dada Suriati.

"Bravo, Rayyan! Bravo!!!"

Serentak itu, kedengaran riuh-rendah di belakang mereka. Ada bunyi tepukan, sorakan dan gelak ketawa. Sambil cuba menutup dadanya yang terdedah, Suriati memandang tajam ke arah Rayyan Firdaus. Jejaka itu berdiri tegak sambil tersenyum mengejek ke arahnya.

Air matanya meleleh laju. Bukan sebab menanggung kesakitan kerana terjatuh tetapi lebih kerana maruah diri yang telah diperkotak-katikkan.

"Tak padan dengan gemuk. Ada hati nak mengurat Rayyan! Hei, kau ingat Rayyan sukakan kau ke, hah?" Suara Hanna Hanani sarat dengan penghinaan.

Telinga Suriati berdesing. Dunia seolah-olah berputar. Dia berasa seolah-olah hendak pitam. Dengan segala susah payah, dia bangkit lalu berjalan terhuyung-hayang menuju ke gigi air. Fikirannya tepu ketika itu. Pandangannya berbinar-binar akibat air mata yang berjejeh-jejehan. Dia melangkah terus, mengharung air sungai sehingga tubuhnya tenggelam separas pinggang. Kemudian, tubuhnya tenggelam pula sehingga ke dada.

"Sampai hati kau buat aku macam ni, Rayyan! Sampai hati kau orang semua ejek-ejek aku!" Hatinya berperang hebat.

Sayup-sayup kedengaran suara orang melaung-laung memanggil namanya. Namun, dia mengharung terus sehinggalah kakinya tidak berpijak pada tanah lagi. Ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Tubuhnya teroleng-oleng, timbul tenggelam ditolak arus sungai.

Suriati terjun dengan labu-labunya...

Biarkan! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro