Bab 14
"AWAK tak ke mana ke hari ini?" soal Datuk Haziq kepada isterinya.
"Rasanya tak ke mana-manalah. Duduk rumah aje. Kelas mengaji yang sepatutnya diadakan di surau pagi ini dah dibatalkan. Ustazah Aisyah baru aje telefon saya tadi. Dia nak ke Melaka. Ada hal penting katanya." Datin Nafisah menjawab.
"Ooo..."
"Kenapa abang tanya? Nak ajak saya keluar berjalan ke?"
Dia bagi aku soalan cepumas ke tu? bisik hati Datuk Haziq.
"Kalau saya ajak awak berjalan-jalan kat padang golf, awak nak ke?" Datuk Haziq memberi soalan cepumasnya pula.
Dia tahu bahawa isterinya memang tidak berminat hendak mengikutnya ke padang golf. Sejak mula-mula berkahwin dahulu pun Datin Nafisah sering mengelak kalau diajak ke padang golf. Dia anggap memukul bola golf itu adalah sukan yang membosankan.
"Abang tahu kan yang saya ni tak minat ke padang golf. Saya ingatkan abang nak bawa saya balik kampung, jumpa saudara-mara. Sekarang ni kat kampung musim durian, bang," getus Datin Nafisah. Dia hairan melihat suaminya yang tidak mahu berubah sikap. Dari muda sampailah ke usia begini masih meminati sukan golf.
Pun begitu, dia malas hendak mencari gaduh atau memanjangkan cerita. Dia akui suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.
Yang Datin Nafisah hairan ialah selalunya Datuk Haziq akan meluangkan masa dengan dirinya dan anak-anak di rumah pada setiap hari minggu. Malah, hari minggu sudah menjadi seperti hari keluarga pula. Tetapi hari ini, Datuk Haziq hendak keluar ke padang golf.
"Apa kata kalau minggu depan aje kita balik ke kampung? Lagipun buah durian melambak dijual kat tepi jalan. Tak payah balik kampung pun dapat beli durian." Datuk Haziq beralasan.
"Durian di kampung sendiri dengan durian yang dibeli di tepi jalan, lain rasanya, bang!" Bijak sungguh jawapan yang meluncur keluar dari mulut isterinya itu membuatkan Datuk Haziq tergelak besar.
"Saya bukannya tak nak temankan awak balik ke kampung. Tapi saya dah berjanji nak jumpa kawan-kawan di kelab golf. Kalau awak nak temankan saya, jomlah!" Datuk Haziq dengan begitu beraninya mempelawa lagi kerana dia pasti pelawaannya itu akan ditolak isterinya.
Datin Nafisah kelihatan seperti sedang berfikir-fikir. Seriau juga hati Datuk Haziq tatkala melihat keadaan isterinya itu. Bagaimana kalau kali ini Datin Nafisah benar-benar menerima pelawaannya untuk ke padang golf? Sedangkan hakikatnya, 'ke padang golf' itu hanyalah alasannya semata-mata? Alasan yang sengaja direka cipta untuk mengaburi mata isterinya.
Sebenarnya dia tidak mahu ke padang golf. Dia hendak ke tempat lain. Orang yang sedang menantinya di 'tempat lain' itu seolah-olah sedang melambai-lambai ke arahnya.
"Betul ke abang nak bawa saya ke padang golf?" soal Datin Nafisah. Matanya dipakukan ke wajah suaminya.
Berdetup jantung Datuk Haziq tatkala mendengar pertanyaan isterinya itu. Biar betul dia ni nak ikut aku? desis hatinya. Namun, dia cuba sedaya upaya untuk berlagak selamba.
Maintain, babe. Maintain!
Supaya lakonannya itu tidak kantoi, dia sama sekali tidak boleh gelabah.
"Eh, apa pula tak betulnya? Kalau awak nak ikut, saya bawalah," kata Datuk Haziq.
Datin Nafisah ketawa.
"Saya tak naklah ikut awak ke padang golf tu, bang. Lagipun awak nak jumpa kawan-kawan awak kat sana, kan? Semuanya lelaki, kan? Kawan-kawan awak tu bukannya bawa isteri mereka pun ke padang golf. Nanti saya tercangak seorang-seorang kat sana. Isy, malaslah saya!"
Datuk Haziq seperti hendak menari dangdut tatkala mendengar jawapan yang meluncur keluar dari mulut isterinya itu.
"Betul awak tak nak ikut saya ni?" soalnya lagi, meminta kepastian.
"Ya! Tapi awak jangan melencong ke tempat lain pula. Kalau saya dengar awak buat hal kat luar, teruk akibatnya nanti." Datin Nafisah sempat lagi mengugut suaminya.
Datuk Haziq ketawa kecil.
"Dah tua-tua begini takkanlah saya nak buat hal, sayang oi!" ujarnya sambil bersiul girang di dalam hati.
"Boleh aje kalau awak nak balik kampung. Tapi tunggu minggu depanlah, ya? Nanti saya aturkan." Lembut sahaja lidahnya mengukir janji.
Selepas urusannya dengan isteri selesai, Datuk Haziq melangkah keluar dari kamar utama. Ketika menuruni tangga menghala ke bawah, dia nampak kelibat dua orang anaknya berada di ruang tamu. Dia cukup yakin, satu lagi sesi soal jawab sedang menantinya. Kalau tadi dengan isteri, kini dia terpaksa menjawab dengan anak-anaknya pula.
Dia berdoa dalam hati supaya dirinya tidak disapa oleh Kamarul dan Haziqah.
"Wow! Harumnya. Bau minyak wangi siapakah itu?" Kamarul yang mula-mula bersuara.
Datuk Haziq berlagak selamba.
"Wangi ke? Haruman ni ayah baru beli. Kalau nak, ada dalam bilik."
"Isy, tak naklah. Itu haruman untuk orang tua," getus Kamarul sambil ketawa.
Orang tua dipanggilnya aku! Rasa macam nak bagi penampar aje. Hatinya menggerutu. Malas hendak melayan kerenah Kamarul, dia melangkah menuju ke pintu.
"Cantik ke orangnya, ayah?" Kamarul menyoal.
"Siapa yang cantik?" Haziqah, anak perempuannya yang baharu berusia 17 tahun tiba-tiba menyoal.
Langkah Datuk Haziq terhenti. Dia menoleh ke arah Kamarul.
"Haah, ayah pun nak tahu juga. Siapa yang cantik?"
"Orang yang ayah nak jumpa inilah!" Kamarul menjawab. Berani.
"Kamu kenal ke siapa yang ayah nak jumpa? Ayah nak jumpa kawan-kawan ayah. Semuanya lelaki. Umur mereka pun sebaya ayah juga. Ada yang dah botak kepalanya. Ada yang dah buncit perutnya."
Jawapan yang keluar dari mulut ayahnya itu membuatkan Haziqah ketawa besar.
"Oh, Kama ingat ayah nak jumpa perempuan tadi."
"Jangan main tuduh-tuduh, ya? Kalau tak betul, boleh jadi fitnah tau. Kalau sampai ke telinga emak, macam mana?" Datuk Haziq meninggikan suaranya.
"Betul kata ayah tu. Tak baik tau abang ni main tuduh-tuduh." Haziqah bersuara, membela ayahnya.
"Ayah pergi dulu." Datuk Haziq meneruskan langkahnya yang tadi terhenti.
"SAYANG, you nak ke mana ni?" soal Datuk Haziq yang terkejut melihat Hanna Hanani sudah bersiap-siap hendak keluar sedangkan dia baru sahaja tiba.
Selalunya gadis itu tidak akan ke mana-mana kalau Datuk Haziq datang melawatnya di kondominium mewah itu. Kalau tidak keluar membeli-belah ataupun berhibur, mereka akan berkurung di dalam rumah sahaja. Selalunya Hanna Hanani akan ternanti-nanti kemunculannya. Kalau sehari dia tidak menelefon, gadis itu akan gelisah dan tercari-cari. Kalau dua tiga hari tidak berjumpa, telefon bimbitnya akan dihujani dengan panggilan, mesej ataupun WhatsApp daripada Hanna Hanani.
Egonya sebagai lelaki akan mencanak naik tatkala menerima layanan sebegitu daripada seorang gadis muda yang cantik seperti Hanna Hanani. Bersama Hanna Hanani, dia rasa dirinya penting. Isterinya sendiri sudah lama ambil mudah akan hubungan mereka. Walaupun selama ini dialah yang bekerja keras untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anaknya tetapi Datin Nafisah seolah-olah sudah menganggapnya tidak penting lagi.
Datuk Haziq tidak menyalahkan isterinya. Mungkin Datin Nafisah sudah lama tinggal di zon selesa sehingga rasa dirinya tidak perlu mempersembahkan apa-apa lagi kepada suaminya. Agaknya Datin Nafisah rasa yang dia sudah mempersembahkan segalanya-galanya kepada Datuk Haziq sejak mereka berkahwin 31 tahun lalu.
Sudah agak lama juga Datuk Haziq rasa dirinya terpinggir dan tidak penting di dalam rumahnya sendiri. Mujurlah dia masih dipandang penting oleh para pekerja bawahannya. Dan sejak Hanna Hanani muncul dalam hidupnya lebih kurang enam bulan lalu, Datuk Haziq rasa dirinya penting di mata gadis itu. Habuan kerana telah menaikkan semula egonya sebagai seorang lelaki di mata seorang perempuan, dia tidak lokek memanjakan Hanna Hanani dengan kemewahan.
Sudah beberapa kali Hanna Hanani merengek-rengek meminta agar dirinya disunting sebagai isteri Datuk Haziq yang sah. Walaupun dia lebih daripada mampu untuk bernikah satu lagi tetapi bukan mudah untuk melaksanakannya. Banyak hati yang perlu dijaga dan tidak ingin disakiti, hati isteri... Hati anak-anak!
Dua minggu lagi, Hanna Hanani akan menyambut hari lahirnya yang ke-27 tahun. Pasti gadis itu akan merengek-rengek meminta hadiah yang mahal-mahal. Sudah tentulah dia tidak akan lokek mengeluarkan duitnya untuk membelikan hadiah yang diminta. Tetapi dia juga sudah habis berfikir. Dia ingin memberikan hadiah yang hakiki untuk perempuan kesayangannya iaitu melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah. Kalau boleh, dia mahu melamar pada hari keramat tersebut.
Namun, sebelum itu dia berpura-pura jual mahal dengan Hanna Hanani. Seminggu dia menyepikan dirinya. Langsung tidak menelefon ataupun menghubungi Hanna Hanani. Dia mahu tengok reaksi Hanna Hanani. Sebenarnya dia mahu menguji gadis itu. Dia juga mahu Hanna Hanani membelai egonya. Dia ingin rasa dirinya penting sebagai seorang lelaki di mata seorang perempuan.
Dia rindu hendak mendengar gadis itu merengek-rengek ke telinganya, mengungkap kata-kata rindu dan sebagainya. Itulah kepakaran Hanna Hanani yang telah berjaya menggodanya.
Namun puas dia menanti. Penat dia menunggu. Hanna Hanani juga seolah-olah sedang menyepi. Mogok agaknya! Akhirnya, Datuk Haziq terpaksa mengaku kalah. Dia membuang egonya lalu menitipkan pesanan WhatsApp bertanyakan khabar kepada Hanna Hanani. Gadis itu langsung tidak membaca pesanannya. Semalam ketika dia menelefon pun, panggilannya tidak disambut.
Datuk Haziq gelisah. Kenapa Hanna Hanani menyepikan diri darinya? Apakah Hanna Hanani sedang sakit?
Awal pagi Ahad itu, setelah memberikan alasan hendak ke padang golf kepada isterinya, dia keluar dari rumah lalu menghalakan kereta ke kondominium Hanna Hanani. Tidak seperti biasa, gadis itu seolah-olah tidak gembira dengan ketibaannya.
"Sayang nak ke mana ni?" Datuk Haziq mengulang soalannya.
"I nak keluar. Dah janji nak jumpa kawan lama. Kenapa abang tiba-tiba muncul ni?"
"Eh, tak boleh ke abang datang jenguk sayang? Abang datang ni sebab abang rindukan sayanglah." Datuk Haziq menjawab.
"Kenapa? Sayang tak suka ke abang datang?"
"Selalunya hari Ahad macam ni abang habiskan masa dengan Datin?"
Datuk Haziq senyum.
"Hari ini abang nak habiskan masa dengan sayang." Dia mengamati wajah perempuan di depannya. Selalunya, Hanna Hanani akan cair kalau dengar kata-kata begitu.
"Ala, maaflah, bang. Hari ni tak boleh. Hanna dah janji dengan kawan. Hanna pun dah lewat ni. Hanna pergi dulu, ya?" ucap Hanna Hanani sambil melangkah meninggalkan Datuk Haziq yang masih berdiri di muka pintu.
Datuk Haziq tidak berdaya menahan walaupun dia rasa ingin sahaja merentap tangan Hanna Hanani dan mengheretnya agar masuk semula ke dalam. Matanya terkebil-kebil memandang perempuan itu berlalu pergi membawa sama egonya yang jatuh menggelongsor. Dia menelan liurnya, rasa pahit.
"HA, tu pun Hanna dah sampai!" Razman mencuit bahu Rayyan Firdaus.
Mata Rayyan Firdaus fokus ke arah Hanna Hanani yang kali terakhir dilihatnya sewaktu di sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM. Hanna Hanani masih langsing dan bertambah jelita pada pandangannya. Dari jauh lagi dia nampak senyum lebar yang tersungging di bibir gadis itu.
"Assalamualaikum, hai Rayyan. Lama tak jumpa," ucap Hanna Hanani ketika melabuhkan punggung di depan jejaka itu.
"Ai, takkan bagi salam dekat Rayyan aje?" gerutu Razman.
"Eleh, nak merajuk pula. Assalamualaikum, Lebai Man!"
"Waalaikumussalam. Kau tengok tu, Rayyan. Lebai Man dia panggil aku!" kata Razman sebelum gelak terbahak-bahak.
"Kalau engkau lebai, agaknya apa Hanna nak panggil aku?" getus Rayyan Firdaus sambil menyengih-nyengih ke arah perempuan di depannya.
Hanna Hanani senyum sahaja.
"Dia nak panggil kau, abang, kut? Tak pun sayang!" Razman yang menjawab.
"Isy, engkau ni, Man! Ada-ada aje!" desis Hanna Hanani. Matanya dan mata Rayyan Firdaus bertaut beberapa ketika.
"Eh, kenapa tak ada orang yang datang ambil pesanan kita ni?" Hanna Hanani mengubah topik perbualan mereka.
"Haah! Aku dah lapar ni," rungut Razman.
"Tu, kau orang berdua tak nampak ke apa yang tertulis kat kaunter tu? Layan diri." Rayyan Firdaus memuncungkan mulutnya ke arah kaunter bayaran.
Razman dan Hanna Hanani ketawa.
"Haah! Dah lama aku duduk kat sini, kenapalah aku tak perasankan tulisan tu," keluh Razman.
"Okey, biar aku aje jadi pelayan kau orang berdua pagi ni." Hanna Hanani menyeluk sehelai kertas dan sebatang pen dari perut beg tangannya.
"Cepatlah! Kau orang berdua nak makan apa?"
"Eh, betul ke ni, Hanna?"
"Ala, bukannya susah pun kerja ambil pesanan ni."
"Jangan kau tak tahu, Rayyan, Si Hanna ni memang dah biasa 'melayan' orang!" Razman sebenarnya hendak bergurau tetapi kata-katanya itu kedengaran seolah-olah sindiran yang pedas lagi tajam di telinga orang yang mendengarnya.
Spontan mata Hanna Hanani merenung tajam wajah Razman.
"Lain macam aje kata-kata kau tadi, Man? Kenapa? Kau perli aku ke?" sergah Hanna Hanani.
"Eh, aku dah salah cakap ke? Aku gurau-gurau ajelah. Kau ni, Hanna, macamlah baru sehari dua kenal aku." Razman membela dirinya. Tidak sangka pula dia kata-kata tadi akan mengundang kemarahan kepada Hanna Hanani.
"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya!" Hanna Hanani nampak benar-benar tersinggung.
"Hanna, aku tak bermaksud apa-apapun. Aku minta maaf ya, Hanna?" Razman merayu-rayu.
Hanna Hanani terdiam seketika.
"Baiklah, kali ini aku maafkan kau, Man. Lepas ni baik kau jaga sikit mulut kau tu. Jangan celopar sangat. Kita ni bukan budak-budak lagi, Man." Hanna Hanani mengingatkan setelah kemarahannya reda.
"Hah, tadi kata lapar. Nak makan apa?" soal Hanna Hanani yang sudah bersedia untuk mencatat ke arah Rayyan Firdaus.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro