Bab 13
HARI terus berganti hari. Si bongkok yang ditinggalkan Suriati di rumah agam itu semakin bosan dengan kehidupannya. Sewaktu tinggal bersama Puan Chempaka dulu, dia ada teman untuk berbual-bual. Kemudian, muncul pula Suriati di rumah agam itu. Walaupun Suriati tidak pernah menyukainya tetapi mereka masih boleh membina persahabatan.
Kini, segala-galanya telah berubah. Puan Chempaka sudah mati. Suriati pula sudah pergi dan masih tidak pulang-pulang. Di rumah itu ada bekalan elektrik. Tetapi di rumah itu tiada talian telefon. Si bongkok juga tidak mempunyai telefon bimbit.
Ah, kalau aku ada telefon bimbit pun, aku nak telefon siapa? Aku tak ada nombor telefon Cik Ati! Hatinya berbisik.
Apa khabar agaknya Cik Ati di sana?
Si bongkok ligat memikirkan tentang Suriati yang entah berada di mana. Dia berharap agar gadis itu selamat dan akan segera pulang ke rumah agam itu.
Untuk membeli barang-barang keperluan, si bongkok terpaksa berjalan kaki menuju ke kampung yang terhampir. Semasa Puan Chempaka masih hidup dulu, segala urusan itu dibuat oleh Puan Chempaka. Kini terpaksalah si bongkok melakukannya sendiri.
Walaupun dia tahu penampilannya yang agak pelik itu bukan sahaja menakutkan dan menjijikkan orang yang memandang tetapi dia terpaksa juga berurusan dengan pekedai runcit. Kalau tidak, dia akan kebulur di rumah agam itu. 'Tikus-tikus' yang hidup merempat di bawah rumah agam itu juga akan kebulur.
Demi untuk kelangsungan hidup, pagi itu si bongkok berjalan kaki menuju ke kedai runcit yang terhampir. Jaraknya lebih kurang lima kilometer dari rumah agam itu. Untuk ke kedai itu, dia terpaksa menyusuri denai dan kemudiannya jalan tanah merah yang biasanya dilalui oleh si kaki pancing.
Pagi itu, cuaca cerah. Walaupun waktu itu baru pukul 8.00 pagi tetapi matahari sudah mula memancar dengan garangnya. Kondisi belakangnya yang bongkok itu membuatkan si bongkok kelihatan terhinggut-hinggut melangkah.
Mahu tak mahu dia terpaksa juga menadah renungan pelik yang dilemparkan ke arahnya oleh penduduk kampung yang kebetulan berpapasan dengannya. Dia tidak mengendahkan mereka. Dia terus melangkah menuju ke kedai runcit yang terletak di tengah-tengah kampung.
"Nak beli banyak barang ke, bongkok?" soal Haji Deraman. Si bongkok mengangguk.
"Kau jangan risau. Nanti aku boleh hantarkan barang-barang ni ke rumah kau dengan motor," kata Haji Deraman yang memahami masalah si bongkok hendak mengangkut barang-barang yang dibelinya pulang ke rumah.
"Terima kasih, haji," ucap si bongkok.
Memang banyak barang yang dibeli oleh si bongkok. Beras, tepung, gula, susu, beberapa buku roti, beberapa tin sardin, telur, bawang, ubi kentang dan sebagainya. Dia juga turut membeli dua ekor ikan tenggiri, beberapa kilo ikan selar, tiga ekor ayam dan beberapa kilo daging.
Kalau boleh, dia tidak mahu galak kali ke kedai runcit Haji Deraman. Dia tidak selesa dengan renungan yang dilemparkan orang-orang kampung ke arahnya.
"Kau ni macam nak buat kenduri aje, bongkok?" soal Haji Deraman, cuba mencari modal hendak berbual dengan si bongkok. Dia sebagai peniaga harus melayan pelanggannya dengan baik. Lagipun si bongkok memborong barang-barang di kedai runcitnya secara tunai.
"Eh, tak adalah, haji. Aku nak simpan dalam peti sejuk. Nanti senang. Tak payah keluar selalu." Yang meluncur keluar dari mulut si bongkok itu adalah satu kebenaran.
"Dah lama aku tak nampak Puan Chempaka. Dia sihat ke, bongkok?" soal Haji Deraman.
"Errr..." Si bongkok tergagap-gagap hendak menjawab. Dia terbayangkan kubur tak bertanda di belakang rumah agam yang kini menjadi tempat tidur abadi Puan Chempaka. Tangannya sendiri yang memegang cangkul dan menggali lubang kubur itu.
Setelah Puan Chempaka mati, dia dan Suriatilah yang menurunkan jenazah Puan Chempaka ke dalam lubang kubur itu. Kemudian, dialah yang mengambusnya semula. Selepas itu, dia menanam beberapa batang pokok bunga ros kampung betul-betul di atas kubur Puan Chempaka. Nampaknya pokok-pokok bunga itu tumbuh dengan subur, mungkin kerana cukup bajanya.
"Puan Chempaka tak ada di rumah. Dia ke Kuala Lumpur. Entah bila dia nak balik pun aku tak tahu." Si bongkok mereka-reka cerita untuk tidak menimbulkan syak dalam hati Haji Deraman.
"Ooo..." Haji Deraman terangguk-angguk.
"Aku balik dulu ya, haji. Nanti tolong hantarkan barang-barang ni ke rumah aku, ya?" kata si bongkok sambil mencapai plastik berisi sebuku roti dan setin sardin. Mungkin 'tikus-tikus tu' dah lapar, bisik hatinya.
"Aku balik dulu, haji."
"Baiklah, bongkok. Nanti aku hantarkan barang-barang kau ni," janji Haji Deraman.
TERHINGGUT-HINGGUT si bongkok menghala pulang. Langkahnya diekori sekumpulan budak-budak nakal.
"Atuk-atuk si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga, mencari cucu di mana berada, atukku kahwin dengan anak raja!"
Budak-budak itu mengekorinya sambil menyanyi dan mengejek-ejeknya. Si bongkok tidak menghiraukan mereka. Dia terus sahaja terhinggut-hinggut. Tiba-tiba dia rasa belakang tubuhnya sakit, seolah-olah dilempar sesuatu. Budak-budak yang tadi mengejek-ngejeknya kini mula membaling selipar, batu-batu kecil dan ranting kayu ke arahnya.
Si bongkok terpaksa menahan kesakitan. Dia cuba melajukan langkahnya namun tidak berjaya.
"Baling! Baling si katak puru tu! Baling!" laung budak-budak itu tanpa belas kasihan.
"Hoi! Apa kau orang buat tu, hah?! Kau ingat tu binatang ke, hah?!" jerit satu suara ke arah budak-budak nakal itu. Setelah ditegur dan dimarahi barulah budak-budak nakal itu berhenti membaling si bongkok.
Si bongkok meneruskan langkahnya. Tubuhnya sakit dibaling budak-budak nakal tadi. Hatinya turut sakit diperlakukan sebegitu rupa hanya kerana kecacatannya.
JALI baru tiga bulan bekerja dengan Tenaga Nasional. Tugasnya itu membuatkan dia terpaksa pergi ke setiap kediaman penduduk Kampung Gasing untuk memeriksa meter elektrik mereka.
Kenapalah dia ni buat rumah jauh dari orang lain? Hati Jali menggerutu ketika menghalakan motosikalnya ke sebuah rumah agam yang terletak di hujung kampung. Naik sakit punggungnya dek terhentak-hentak ketika menyusuri denai yang tidak rata kedudukannya.
Tiba-tiba seekor tupai melintas di depannya. Kus semangat! Jali terkejut besar lalu segera membrek. Hampir-hampir sahaja motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam semak.
Dia semakin berhati-hati. Kalau tadi tupai, entah-entah sekejap lagi haiwan lain pula melintas.
Tidak lama kemudian, dia sampai di pekarangan rumah agam itu. Dia kagum melihat halaman rumah yang terjaga rapi. Pelbagai jenis pokok bunga kelihatan sedang berkembang mekar.
Termasuk hari ini, sudah tiga kali dia ke situ. Namun, dia tidak pernah nampak kelibat penghuninya ataupun orang lain di situ. Hatinya tertanya-tanya apakah rumah itu ada penghuninya ataupun dijadikan sebagai rumah persinggahan sahaja oleh pemiliknya.
Walaupun hatinya sarat dengan persoalan, dia tetap menjalankan tugasnya. Tiba-tiba dia terdengar bunyi orang sedang terbatuk-batuk. Jauh dan sayup-sayup sahaja bunyinya. Kemudian, kedengaran pula bunyi erangan, seolah-olah orang itu sedang menanggung kesakitan.
Mungkin penghuni rumah ni tak sihat agaknya, bisik hati Jali.
Jali melangkah ke depan. Seusai selit bil elektrik pada grille, hatinya bagaikan digaru-garu untuk mengintai ke dalam rumah agam itu. Dia menghala ke arah salah satu tingkap kaca. Walaupun tingkap kaca itu tertutup tetapi dia cuba juga mengintai ke ruang tamu rumah. Namun, pandangannya kurang jelas.
Tiba-tiba dia dengar bunyi orang terbatuk-batuk di belakangnya. Bunyi itu kedengaran sangat dekat. Jali terkejut dan takut kerana telah tertangkap ketika sedang melakukan perbuatan mengintai. Dia berpaling. Tambah terkejut dia tatkala melihat seorang lelaki bongkok dengan muka menggerutu sedang merenung tajam ke arahnya. Tanpa berkata apa-apa kepada si bongkok, Jali meluru ke arah motosikalnya dan memecut laju meninggalkan pekarangan rumah agam itu.
SI BONGKOK hanya memandang ketika pemeriksa tarif elektrik itu lari tunggang-langgang seolah-olah baru sahaja terserempak dengan hantu. Setelah kelibat Jali hilang daripada pandangannya barulah dia melangkah masuk ke rumah. Dia menghempaskan punggungnya ke atas kusyen, melepaskan lelah. Terpaksa tinggal sendirian, dihina sehingga sampai ke tahap tubuhnya dibaling dengan segala macam benda oleh budak-budak nakal ketika ke kampung tadi benar-benar menekan emosinya.
Dia tidak dapat berehat lama. Setelah penatnya hilang, dia menuju ke dapur untuk menyediakan sandwic. Tentu 'tikus-tikus' tu dah lapar, bisik hatinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro