Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

RAYYAN Firdaus pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Setelah 10 tahun tidak bersua muka, petang tadi dia bertemu dengan Razman. Melalui Razman, dia mengetahui banyak cerita tentang teman-teman mereka yang lain. Tengah hari esok pula dia telah berjanji untuk bertemu dengan Hanna Hanani.

Mesej dan WhatsApp daripada Eisya yang masuk ke telefon bimbitnya langsung tidak diendahkan. Tak kuasa dia hendak melayan Eisya yang mamanya sibuk-sibuk perkenalkan itu. Walaupun Eisya cantik dan bijak tetapi biarlah Eisya habiskan pengajiannya dahulu. Sebenarnya, dia lebih teruja hendak berjumpa dengan Hanna Hanani.

"Rayyan! Makanlah dulu!" panggil Datin Rose sebaik melihat anak bujangnya sudah pulang ke rumah.

"Mama makanlah. Rayyan dah kenyang. Member lama belanja makan tadi," dalihnya. Dia hendak segera mendaki tangga menuju ke biliknya.

"Hmmm... Baiklah! Tapi kalau Rayyan nak makan, mama ada masak, tau."

Baiklah, ma." Rayyan Firdaus tidak berlengah lagi. Dia mendaki tangga dengan pantas.

Seusai mandi, Rayyan Firdaus berbaring di atas katilnya. Dia mencapai telefon bimbit. Beberapa keping gambar yang dihantar Hanna Hanani menerusi WhatsApp diteliti. Itulah antara kecanggihan teknologi komunikasi terkini yang tiada 10 tahun lalu.

Hanna Hanani semakin cantik selaras dengan kematangan usianya. Semakin ralit dia memandang gambar gadis itu, semakin teruja dia hendak bertemu dengannya. Tiba-tiba melintas di bayangannya wajah perempuan berbusana merah hitam yang berkongsi lif dengannya petang tadi. Perempuan itu teramat cantik. Namun, kalau bertemu dengan orang yang tidak dikenalinya, dia hanya berani memandang, menegur jauh sekali.

Rupa-rupanya ramai perempuan cantik di bumi Malaysia yang bertuah, ni! hatinya berbisik, miang!

Tiba-tiba tekaknya rasa haus. Dia bangkit lalu membuka pintu peti sejuk mini yang tersedia di dalam bilik tidurnya. Dia tersenyum senang melihat peti sejuk yang semalamnya sudah hampir kosong itu kini sudah pun dipenuhkan semula. Dia mencapai setin air berkarbonat dari perut peti ais lalu meneguknya dengan rakus.

Dia tersendawa. Hilang sudah rasa hausnya.

EISYA seronok di Krabi. Dengan menaiki bot berkuasa kuda, dia dan ahli rombongan yang lain dibawa melawat ke beberapa buah pulau untuk menikmati keindahan pantai dan alam semula jadi yang unik di sana. Selepas penat bersnorkeling dia dan rakan-rakannya akan bersantai-santai di tepi pantai. Kemudian, apabila petang tiba mereka akan terjun semula ke dalam laut untuk mandi-manda.

"Kalau dapat bercuti macam ni selama setahun, seronok, kan?" Terluah kata-kata itu dari mulut Eisya.

Kawannya yang bernama Ayuni, tergelak besar.

"Kau kahwinlah dengan jutawan. Nak bercuti seumur hidup pun boleh."

"Kau rasa orang yang bergelar jutawan ni ada masa untuk bercuti ke? Entah-entah mereka tu terpaksa bekerja setiap hari," soal Eisya.

"Mungkin juga. Kalau tak, takkan mereka dapat jadi jutawan. Kau ingat senang ke nak jadi jutawan ni? Ah, tak payahlah nak berangan cuti lama-lama. Nanti kau bosan pula kalau tak buat apa-apa." Ayuni menasihatinya.

"Terlanjur cerita pasal bosan ni, aku ada hal nak tanya kau..."

Mata Eisya melekap ke wajah Ayuni.

"Tanya ajelah."

"Kau dah bosan ke dengan Abang Rayyan?" soal Ayuni kerana setahunya Eisya rapat dengan Rayyan Firdaus.

Terkerut dahi Eisya tatkala mendengar pertanyaan yang meluncur dari mulut temannya itu.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

"Sebab aku tengok kau bukan main rapat lagi dengan Si Arief tu. Kau orang berdua macam belangkas aje aku tengok?" Akhirnya terluah juga soalan itu dari mulut Ayuni. Dia perhatikan sebaik sahaja mereka meninggalkan bumi Malaysia dan memijak kaki ke Thailand, hubungan Eisya dan Arief yang dahulunya biasa-biasa sahaja tiba-tiba berubah mesra.

"Aku suka Si Arief tu. Dia kelakar!" puji Eisya.

"Tapi kau jangan sangka lebih-lebih tau. Aku dengan dia hanya kawan biasa aje."

"Kau dengan Abang Rayyan?"

Eisya termangu seketika.

"Errr... Aku dengan Abang Rayyan... Hmmm entahlah! Mama yang beria-ia nak kenalkan kami berdua. Walaupun Abang Rayyan tu baik dan handsome orangnya tapi bukan semudah itu aku nak jatuh cinta dengan dia. Hello, aku ni masih muda. Belajar pun tak habis lagilah, Ayu."

"Haah... Betul kata kau tu. Baik kita tumpukan perhatian pada pelajaran dulu," sokong Ayuni.

MALAM menjelma di Negara Gajah Putih. Jejaka bernama Arief itu terpaksa bekerja keras untuk memikat Eisya. Kalau boleh, dia mahu Eisya melupakan Rayyan Firdaus sebaik sahaja mereka pulang semula ke Malaysia nanti. Pada sangkaannya hubungan Eisya dengan Rayyan Firdaus adalah serius. Rupa-rupanya tidak. Oleh itu, pekerjaannya jadi lebih mudah. Eisya sendiri semakin menyukainya.

Arief cukup pasti, misi dua dalam satunya di Thailand akan mencapai kejayaan. Tiada siapa yang tahu, sebelum Arief ikut rombongan itu ke Thailand, dia sudah ditawarkan wang yang agak lumayan oleh 'seseorang' agar menjadi orang ketiga untuk memutuskan hubungan cinta Eisya dan Rayyan Firdaus. Dia terus sahaja menerima tawaran itu kerana dia tidak akan rugi apa-apapun jika berjaya memikat Eisya. Dia akan mendapat kedua-duanya. Wang dan juga Eisya!

Dia tersenyum senang tatkala membaca WhatsApp yang masuk ke telefon bimbitnya.

Cik Ati jangan risau, hubungan Eisya dengan Rayyan tak seperti yang Cik Ati sangkakan. Saya yakin Eisya sudah mula terpikat dengan saya.

Arief segera menghantar WhatsApp itu kepada Suriati.

RAYYAN Firdaus terkuap-kuap. Tiba-tiba sahaja matanya rasa amat mengantuk. Puas dia menahan dirinya namun tidak berjaya. Kalau mengantuk, ubatnya adalah tidur sahaja.

Sebaik sahaja merebahkan kepalanya ke bantal, dia terus terlelap.

Krak! Kruk! Krak! Kruk!

Dia tidak tahu berapa lamakah dia telah tertidur. Dia tersedar tatkala telinganya mendengar suatu bunyi yang aneh, seolah-olah bunyi haiwan sedang mengunyah dan membaham daging. Dengan rasa kantuk yang masih menebal, dia berusaha membuka matanya.

Kamar tidurnya diselubungi kegelapan. Pelik! Bila pula masanya aku tutup lampu bilik, ni? Hatinya tertanya-tanya. Dia cukup pasti ketika dia memanjat katil tadi, dia tidak memadamkan lampu akibat terlalu mengantuk.

Krak! Kruk! Krak! Kruk!

Sekali lagi bunyi asing tadi kedengaran. Dia membelingas ke setiap ceruk kamar tidurnya. Dia terpaksa mengambil masa beberapa ketika untuk menyesuaikan matanya dengan persekitaran yang gelap. Melalui limpahan cahaya neon dari luar, dia ternampak satu lembaga berpakaian serba hitam, seolah-olah ingin bersatu dengan kegelapan kamar tidur itu sedang berdiri tegak tidak jauh darinya.

Dia yang terkejut bercampur keliru terus bingkas. Hormon adrenalinanya memaksa dia berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Siapa tu?" soalnya. Tiada jawapan.

"Mama?" Dia bertanya walaupun dia cukup pasti bahawa lembaga di depannya itu bukanlah mamanya. Susuk tubuh Datin Rose tidak sebesar itu!

Dalam keadaan yang samar-samar itu, dia nampak lembaga tersebut mula bergerak ke arahnya. Dia semakin cemas. Dia terundur ke belakang dan terduduk di atas katilnya semula. Sedangkan lembaga itu semakin hampir dengannya.

Rayyan Firdaus tidak keruan. Lampu kamar tidurnya menyala secara tiba-tiba. Di depannya berdiri seorang perempuan gemuk. Dia menutup mulutnya, menahan diri daripada menjerit kerana dia kenal perempuan yang berdiri di depannya itu. Suriati!

Wajah Suriati ketika itu nampak sangat menakutkan. Matanya merenung Rayyan Firdaus tanpa sebarang emosi. Dia kelihatan seolah-olah sedang mengunyah sesuatu sehingga darah merah menjejeh-jejeh keluar dari mulutnya. Kemudian, dia mengangkat tangannya lalu mengacungkan sebilah pisau pemotong daging yang berlumuran darah.

"Tak! Tak mungkin! Kau dah mati. Kau dah mati!!!" Rayyan Firdaus menjerit nyaring.

"Kau yang akan mati, Rayyan! Kau!!!" balas Suriati. Jeritannya lebih nyaring daripada jeritan Rayyan Firdaus tadi. Kemudian, perempuan itu membuka mulutnya lalu meludah keluar cebisan-cebisan daging dari mulutnya sebelum ketawa terbahak-bahak. Bau hanyir darah memenuhi ruang kamar itu membuatkan Rayyan Firdaus terjeluak.

"Hahaha!" Suriati ketawa terbahak-bahak.

Wajah Rayyan Firdaus pucat tak berdarah. Dia meluru ke pintu dan terus berlari keluar dari biliknya. Di belakangnya terdengar bunyi tapak kaki seolah-olah sedang memburunya.

"Kau akan mati, Rayyan! Mati!!!" Jeritan Suriati bergema di mana-mana.

Di dalam keadaan yang samar-samar itu, Rayyan Firdaus teraba-raba menuruni tangga. Tiba-tiba dia tergelincir lalu jatuh berguling-guling sebelum tubuhnya mendarat di atas lantai. Dia menjerit kuat!

Tut tut... Tut tut... Tut tut...

Bunyi tut tut itu berterusan. Rayyan Firdaus membuka matanya. Dia mendapati dirinya sedang elok terbaring di atas katil. Namun begitu, tubuhnya masih menggigil dan berpeluh-peluh. Dia juga kepenatan seolah-olah baru sahaja selesai berlari jauh.

Aku bermimpi rupa-rupanya, bisik hati Rayyan Firdaus sambil menarik nafas lega. Pun begitu, wajah Suriati yang hadir di dalam mimpinya tadi seolah-olah sedang menghantuinya!

"EH, Rayyan dah bangun?" Datin Rose terkejut ketika melihat anak bujangnya itu berada di ruang tamu ketika dia hendak ke dapur. Rayyan Firdaus sudah lengkap dengan pakaian sukan.

"Ya, ma. Rayyan nak pergi joging ni. Mama nak ikut?"

"Tak naklah. Mama nak buat sarapan ni. Nanti lepas joging, Rayyan terus balik ke rumah tau. Kita breakfast sama-sama. Mama nak buat mi goreng."

"Baiklah, ma." Rayyan Firdaus tidak sanggup hendak menolak pelawaan mamanya itu. Sejak akhir-akhir ini, mamanya rajin ke dapur. Kadangkala Datin Rose akan mengikuti kelas masakan bersama kawan-kawannya.

"Rayyan pergi dulu, ma!" Setelah memakai kasut sukan, Rayyan Firdaus terus melangkah keluar.

Walaupun dia boleh sahaja berjoging di kawasan taman yang terletak berhampiran dengan rumahnya tetapi pagi itu dia mahu pergi ke destinasi yang agak jauh sedikit. Dia tidak pernah ke situ tetapi setiap kali hendak pergi ataupun balik dari pejabatnya, dia akan melintasi tasik bekas lombong itu. Dia juga mengetahui tentang tempat itu melalui rakan-rakan sekerjanya yang selalu menghabiskan cuti hujung minggu mereka dengan memancing di sana.

Petang semalam ketika keretanya melintasi tasik tanpa nama itu, dia ternampak pokok-pokok kiambang sedang mekar berbunga. Panorama itu menarik hatinya. Pagi ini dia berhajat hendak melihat keindahan yang ditawarkan tasik itu dari dekat pula.

Dia hendak mengambil foto dan memuat naik ke dalam akaun Instagram miliknya supaya bekas teman wanitanya di Kanada dapat melihatnya. Dia juga tahu bahawa perempuan itu kini sudah mempunyai kekasih baharu. Dia ingin menyampaikan mesej kepada Cassandra bahawa hidupnya baik-baik sahaja di bumi Malaysia.

Tidak sampai 10 minit kemudian, keretanya sudah terparkir di bawah sepohon pokok yang terletak tidak jauh dari kawasan tasik. Dia segera keluar dari perut keretanya. Udara segar yang kaya dengan oksigen itu dihirupnya dalam-dalam. Nyaman!

Menurut salah seorang kawannya, tasik bekas lombong itu selalu dikunjungi orang untuk beriadah. Daripada pemerhatiannya, kebanyakan yang menyukai aktiviti itu terdiri daripada mereka yang berbangsa Cina. Warga emas dalam kalangan kaum Cina juga menggemari aktiviti seperti berjalan kaki dan senaman taici.

Ketika Rayyan Firdaus sampai, dia lihat tiada sesiapapun di situ kecuali dirinya seorang. Dia merapat ke gigi tasik. Menurut kawannya, tasik itu selamat. Tiada buaya yang menjadi penghuninya. Pun begitu, dia tetap berwaspada. Pernah seseorang menghantar video WhatsApp kepadanya yang merakam bagaimana seorang perempuan dibaham buaya ketika sedang leka bergambar di tepi tasik.

Ngeri! Dia tidak mahu kejadian sebegitu menimpa dirinya.

"Kau rasa dalam sungai ni ada buaya tak, Rayyan?" Tiba-tiba suara Razman 10 tahun lalu muncul ke ruang ingatannya.

Rayyan Firdaus terundur ke belakang. Entah kenapa sejak dia pulang ke Malaysia, dia asyik dihantui memori silam. Selalunya mayat orang yang mati lemas akan ditemui tetapi kenapa mayat Ati hilang begitu sahaja?

Apakah Ati dibaham buaya yang menghuni Sungai Gasing? Soalan-soalan itu bersipongang dalam dadanya.

Moodnya untuk mengambil beberapa keping foto terus lesap sebaik sahaja memorinya digasak kenangan lalu. Dia berlari satu pusingan sebelum menuju ke keretanya.

Matahari bersinar galak. Beberapa buah kereta mula menghampiri tasik bekas lombong itu. Dia langsung tidak menyedari bahawa di dalam salah sebuah kereta itu, duduk Suriati, perempuan yang disangkanya sudah mati!

"EH, Rayyan dah balik? Cepatnya!" Suara Datin Rose menyapa telinganya sebaik sahaja dia sampai ke rumah.

Kadangkala naik lemas dia mendengar pertanyaan-pertanyaan yang meluncur keluar dari mulut mamanya. Namun, jauh dalam sudut hati, dia tahu bahawa Datin Rose sibuk bertanya itu dan ini sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepadanya.

Ibu manalah yang tidak sayangkan anak?

Rayyan Firdaus terduduk di tangga apabila susuk tubuh seorang perempuan yang sedang meratapi kehilangan anak gadisnya tertayang kembali di ruang ingatan. Seolah-olah terngiang-ngiang lagi di telinganya bunyi ratapan perempuan itu sambil mulutnya memanggil-manggil... Ati... Ati!

Hatinya tiba-tiba sebak.

"Kenapa ni, Rayyan?" soal Datin Rose tatkala melihat Rayyan Firdaus terduduk lesu di atas tangga.

"Letihlah, mama."

Datin Rose yang tidak mengetahui gelora hati anak bujangnya itu hanya ketawa.

"Letih sebab Rayyan dah lama tak joging agaknya. Papa kata, kat Kanada dulu Rayyan siap pergi gym lagi. Dahlah, jom sarapan. Nanti dah pekena mi goreng dan kopi pekat, cergaslah semula badan tu." Bijak sekali Datin Rose memujuk sehingga Rayyan Firdaus tidak mampu menolaknya.

Mereka menuju ke meja makan. Datin Rose sibuk menuang kopi pekat ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada Rayyan Firdaus. Aroma kopi pekat panas yang dibancuh oleh mamanya menyapa deria baunya. Kemudian, Datin Rose sibuk pula menyendukkan mi goreng ke atas pinggan.

"Tak nak banyak, mama," kata Rayyan Firdaus. Dia tidak ada selera hendak menjamah makanan.

Datin Rose menyendukkan juga sesenduk mi lalu diletakkan di hadapan anaknya.

"Mama tengok Rayyan macam tak ceria aje? Rayyan ada masalah ke? Kalau ada masalah, ceritalah dengan mama." soal Datin Rose. Risau juga dia melihat keadaan anak bujangnya itu.

Aku memang sudah tidak sanggup menanggung rasa bersalah ini seorang diri. Tetapi tegakah aku memburaikan kejelikanku kepada mama? Bagaimana agaknya penerimaan mama saat mengetahui bahawa anak kesayangannya ini bukanlah sebaik yang disangka? Sanggupkah mama menelan hakikat bahawa anaknya ini jahat sehingga menyebabkan nyawa seorang gadis yang tidak berdosa melayang begitu sahaja?

"Rayyan rindukan Cassandra ke?" Ke situ pula melayangnya fikiran Datin Rose.

Rayyan Firdaus ketawa kecil.

"Ada-ada ajelah mama ni," getusnya. Dia segera menghabiskan mi goreng di atas pinggannya sebelum meminta diri untuk naik ke bilik. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro