Bab 1
PROLOG
"CIK! Tunggu aku, cik! Jangan tinggalkan aku!"
Dia boleh sahaja memekakkan telinganya dan berlari pergi meninggalkan segala kekalutan yang tercetus di situ, tapi entah mengapa dia menghentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang. Dia memandang lurus ke arah lelaki bongkok yang terhinggut-hinggut cuba mengejar langkahnya. Walaupun lelaki cacat itulah yang telah banyak menolongnya selama ini tapi dia masih jijik memandang wajahnya yang hodoh.
"Lembablah kau ni! Kau nak kita mati rentung ke? Sekarang kau bagi tahu aku, lorong mana yang betul, ni? Mana jalan keluar???" Dia memekik sekuat-kuat hatinya ke arah si bongkok.
Di atas sana, situasi huru-hara. Api makin menggila. Marak memamah apa sahaja yang menghalang laluannya. Sedangkan di sini, di lorong bawah tanah ini, dia dan si bongkok yang cuba lari dari kebakaran itu pula terperangkap dalam laluan berselirat yang mengelirukan. Celaka!
Tiba-tiba...
Bammm!!!
Dia terdengar satu bunyi letupan yang kuat di atas sana. Mungkin tong gas di dapur sudah meletup dimamah api. Lorong bawah tanah itu turut bergegar membuatkan dia dan si bongkok terhuyung-hayang. Ia tak ubah seperti satu gempa bumi.
Kemudian, apa yang dibimbangkannya menjadi kenyataan. Hidungnya mula tersedut asap.
Dia menerpa ke arah si bongkok.
"Mana jalan keluar? Mana? Cakap cepat. Hoi, cakaplah! Aku tak nak mati hangus dalam rumah ni!" jerkahnya sambil menggoncang bahu si bongkok.
Dia langsung tidak bersedia menghadapi situasi seterusnya. Tanpa dia duga, si bongkok menusukkan jarum suntikan ke lengan kanannya. Cecair jernih yang disuntik ke venanya itu memberi kesan hampir serta-merta. Tangan kanannya mula terasa kebas. Kemudian, rasa kebas itu menjalar ke seluruh tubuhnya bermula dari bahagian sebelah kanan.
Terbelalak matanya merenung si bongkok.
"Hei, apa yang kau buat pada aku, hah?!" Dia menyergah.
Si bongkok tidak menjawab. Dia hanya memandang lurus ke arah perempuan yang semakin lemah di depannya.
"Bongkok..." Dia bersuara lemah sebelum jatuh terjelepok ke atas lantai.
Seluruh tubuhnya longlai. Dia langsung tidak dapat menggerakkan jari-jemarinya. Dia hanya terbaring di situ, mungkin menunggu maut bersama si bongkok yang tanpa diduga telah mengkhianatinya.
Segala penat lelahnya selama ini sia-sia sahaja. Ya, sia-sia! Dia akan mati berkubur di bawah rumah agam itu. Air matanya meleleh.
Inilah kesudahannya. Aku akan menurut jejak Puan Chempaka dengan berkubur di rumah ini, bisik hatinya. Seterusnya aku akan menjadi penunggu di sini!
Tiba-tiba berlaku satu perkara yang sangat mengejutkan. Lelaki yang disangka cacat serta lemah itu telah menaikkan dia ke belakangnya. Kemudian, si bongkok terhinggut-hinggut meninggalkan tempat itu dengan memikul dia di belakangnya...
BAB 1
15 Disember 2007 - 6.45 pagi.
BAS warna pinang masak yang disewa khas untuk membawa 20 orang peserta ke tapak perkhemahan di Hutan Lipur Gasing itu mula meredah pagi yang berkabus menuju ke destinasinya. Suasana di dalam bas agak riuh-rendah dengan suara mereka berbual dan bergurau senda sesama sendiri. Pagi itu masing-masing diburu rasa riang yang tiada sempadan.
Mereka ingin menikmati keseronokan setelah masing-masing selesai menduduki peperiksaan SPM. Walaupun perjalanan hidup yang harus ditempuh masih lagi panjang, tetapi satu fasa dalam kehidupan ternyata telah ditinggalkan nun di belakang. Mereka kini tidak lagi digelar pelajar sekolah. Justeru itu mereka tidak lagi perlu memakai pakaian seragam yang terasa membosankan serta terkongkong dengan peraturan sekolah.
"Kenapa kau nampak sedih aje hari ni, Ati?" Maizatul Akma bertanya ke arah Suriati yang duduk di sebelahnya.
"Aku tak berapa sihatlah. Kepala aku ni asyik pening aje sejak dua tiga hari ni." Suriati menjawab, menyembunyikan hakikat daripada Maizatul Akma bahawa awal pagi tadi dia telah bertengkar dengan ibunya yang cuba menghalang dia daripada ikut serta dalam rombongan itu.
Maizatul Akma segera menoleh ke arah Suriati lalu melekapkan belakang tangan kanan ke dahi temannya itu. Suriati tersenyum nipis dengan keprihatinan yang ditonjolkan Maizatul Akma. Gadis itu memang seorang teman yang baik.
"Tak panas pun," komen Maizatul Akma.
"Aku bukannya demamlah, Maiza. Kan aku dah cakap tadi aku pening kepala aje."
"Kalau tau tak sihat, kenapa nak ikut juga rombongan ni?" soal Maizatul Akma.
"Berehat ajelah kat rumah."
"Duduk kat rumah lagilah pening kepala." Pantas sahaja Suriati menjawab.
"Dahlah, aku nak lelapkan mata kejap. Eh, boleh tak kau suruh budak-budak kat belakang tu supaya jangan memekak?" pintanya sambil merendahkan kedudukan kerusinya.
Maizatul Akma segera menoleh ke belakang.
"Assalamualaikum, orang belakang!" tegurnya.
"Waalaikumussalam. Ya... Cik Maiza? Ada apa-apa yang boleh kami tolong?"
"Ada! Boleh tolong senyap sikit tak? Kita orang kat depan ni nak tidur."
Malangnya permintaan Maizatul Akma itu langsung tidak diendahkan mereka. Sebaliknya hanya disambut dengan gelak ketawa dan nada mengejek.
"Kau ni, Maiza! Asyik nak buat taik mata aje. Nanti badan kau tu makin lama makin tembam, sebijik macam orang yang duduk kat sebelah kau tu!" Sesedap rasa sahaja Razman mengutuk tanpa memikirkan perasaan orang yang mendengarnya. Budak-budak lain mula ketawa sehingga perut bas itu menjadi riuh.
"Isy! Kau ni, Man. Tak baik cakap macam tu." Maizatul Akma membidas.
Dia menoleh ke arah teman di sebelahnya. Suriati dilihatnya tenang sahaja. Gadis itu seolah-olah tidak peduli dengan ejekan daripada 'budak-budak biadab' yang duduk di belakang itu.
"Dahlah tu, Maiza. Mereka tu bukannya faham bahasa. Lagi dilayan, lagi menyakitkan hati." Suriati cuba menyabarkan temannya.
"Mereka tu asyik kutuk kau aje, Ati. Sakit hati aku ni."
"Biarlah kalau dia orang nak kutuk. Aku tak kesah pun. Memang betul apa yang dia orang cakap, aku memang gemuk. Dahlah, aku nak tidur!" tingkah Suriati sambil menyumbatkan gumpalan tisu ke telinganya.
Maizatul Akma memandang wajah Suriati yang sudahpun melelapkan matanya. Wajah temannya itu kelihatan muram. Sepanjang mengenali gadis itu, Suriati memang terkenal dengan sikapnya yang bersopan santun, suka mengalah dan agak pendiam. Temannya itu berkulit cerah, wajahnya agak cantik juga. Cuma satu sahaja kekurangan Suriati. Dia mengalami masalah obesiti.
Sebagai teman karib kepada gadis tembam itu, serba sedikit dia mengetahui gelojak perasaan yang ditanggung Suriati. Tiga tahun lepas, satu musibah besar telah berlaku dalam keluarganya. Ayah dan ibunya telah bercerai. Setelah perceraian itulah berat badan Suriati mula naik berkilo-kilo. Tubuhnya seperti dipam-pam. Suriati pernah cuba berdiet tetapi sehingga kini dia masih belum berjaya menurunkan berat badannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro