Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prologue

Ribuan tahun silam...

"Tuan! Musuh sudah memasuki tembok pertahanan kita!" Jerit seorang askar dengan rasa cemas dan risau, turut diikuti oleh reaksi cemas askar-askar yang lain.

"Macam mana mereka boleh terlepas." Soal seorang pemuda berpakaian persis seorang panglima.

"Ada yang belot kita. Dia membuka pintu tembok pertahanan daripada dalam dan membenarkan askar musuh memasuki tembok tuan. Dalam masa beberapa ketika saja lagi, askar musuh akan sampai ke kem ini."

"Kau, bawa askar kita semua berundur dari sini. Tinggalkan kem dan juga tempat ini segera," arah pemuda itu dengan suara yang dingin dan senada.

"Tapi, tuan? Kami semua tak akan pergi tanpa tuan-"

"Ini arahan! Bukannya suruhan!" Pemuda lelaki itu menepuk meja kayu itu dengan kuat. Suasana ketika itu sunyi, tidak ada seorang pun berani untuk mencelah.

Pemuda itu menyambung lagi, "Anggaplah ini sebagai pengorbanan terakhir aku kepada kamu semua. Larilah dan jangan kembali ke sini! Laporkan kepada Maharaja dan jangan sampai musuh menakhluk negara ini."

Itulah arahan terakhir yang diberikan sebelum kesemua askar-askar keluar dari khemah dan meninggalkan sang pemimpin berseorang, menanti musuh yang bila-bila masa sahaja bakal tiba.

"Macam mana! Takkan kita nak tinggalkan tuan begitu saja?" Soal salah seorang askar bawahan.

Lelaki yang bersoal jawab dengan pemuda itu menjawab, "Kita tahu fikiran tuan sebagai Jeneral...sekali dia keluarkan arahan, dia takkan ulangi dan tak akan tarik semula. Ini keputusan dia, kita sebagai askar wajib menunaikan arahannya. Ayuhlah!"

Kesemua askar, baik berkuda mahupun berjalan, semuanya berjaya meninggalkan kawasan itu dengan segera. Jumlah korban juga sedikit. Manakala pemuda tadi, dia masih berada dalam khemah, dan askar musuh juga sudah tiba.

"Heh, dasar askar yang pengecut. Mereka semua lari meninggalkan pemimpin mereka di sini?" Jeneral musuh bersuara dengan penuh kesinisan sambil melirik ke arah pemuda yang sedang duduk dengan tenang membelakangi mereka.

"Jangan hina askar aku...mereka lari disebabkan arahan aku, nak berlawan? Dengan aku saja..." pemuda itu berpaling ke belakang dengan sebilah pedang di tangannya.

"Kau? Seorang diri, HAHAHA! Mimpilah!" Kesemua askar musuh mentertawakan dia, seolah-olah tidak percaya.

"Baiklah, askar! Tamatkan riwayat dia, pancung kepala dia dan ikatkan kepalanya di hadapan pintu tembok, agar mereka semua tahu kehebatan kita!" Suara Jeneral musuh itu disahut dengan askar-askarnya,

"SERANG!"

Serangan bertubi-tubi diterima dari serata arah, kiri kanan, depan dan belakang, pedang pemuda itu dihayun dengan cekap. Bunyi dentingan pedang tidak henti-henti didengari, walaupun setelah berpuluh orang menyerang, pemuda itu tetap teguh mempertahankan diri.

"Aku...takkan mati. Aku takkan mati-" ayat pemuda pemegang pedang tidak dapat disambung, dia melihat kebawah, tubuhnya ditusuk menggunakan tombak dari belakang.

Jeneral musuh telah menusuknya dari belakang, dia menyusup masuk tanpa disedari pemuda itu. Dia tersenyum, mulutnya menitiskan darah yang banyak, sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, satu ayat keluar dari mulutnya. "Aku..tak akan...mati..."

Tangan yang memegang pedang dengan erat perlahan-lahan menjadi longgar dan akhir pedang itu terlepas dari tangannya.

"AKHIRNYA! Kita raikan hari yang bersejarah ini!" Semua askar musuh bersorak dengan gembira menikmati hari kematian sang pemuda tanpa sedikit rasa hiba mahupun kasihan.

Dari kejauhan,

"Tuan...Jeneral Ming telah terkorban." Luah seorang askar kepada seorang pembesar istana dengan air mata yang mengalir.

"Dia berkorban demi kita. Demi negara ini...jasa dia tidak akan dilupakan..." luah pembesar itu dengan suara yang perlahan dan wajah yang sedih. Hilang seorang pemimpin askar yang berwibawa dan berani. Pergi dia tiada gantinya.

❀❀

"Huh...dimana pula aku." Perlahan-lahan kelopak mata dia terbuka dengan luas. Melihat pemandangan sekeliling, kenapa putih sahaja pemandangannya, adakah dia dah mati.

"Kau sudah sedar? Bagus!"

Ming terkejut mendengar suara yang tiba-tiba menjengah, tanpa ada sosok manusia di sekelilingnya. Matanya berpusing kiri dan kanan melihat ke sana sini mencari arah yang empunya suara, namun tidak juga berjumpa.

"Siapa kau?" Ming bertanya tanpa tahu arah dimana suara itu berada. Dia masih lagi dalam keadaan yang keliru, tidak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Masih hidup ataupun sudah mati?

"Tidak perlu saudara tahu siapa diriku, yang penting adalah, saudara sudah pun mati."

"Mati? Tapi ni?" Ming menunjukkan ke arah tangan sambil cuba untuk mencubit dengan kuat, dan dia merasakan sakit. Pelik, "Kalau aku dah mati, kenapa tangan aku masih merasa sakit bila dicubit macam ni? Apa yang dah jadi? Tolonglah berikan aku penjelasan."

"Kau memang sudah mati saudara...cuma kau telah dipilih untuk diberikan satu kelebihan."

Semakin keliru Ming jadinya, "Kelebihan apa pula, aku masih tak faham ni. Janganlah bergurau." Tiba-tiba dia rasa kepalanya telah diketuk dari belakang, tapi bila dicari yang mengetuk, tak juga jumpa. Pelik!

"Lain kali saudara dengarlah sampai habis dahulu sebelum menyampuk, begini..." Satu pantulan timbul dari satu sudut yang menampakkan dirinya yang tengah berperang tadi, dan memang benar dia telah pun mati. Mayat itu diseret oleh jeneral musuh tadi dengan cara yang memalukan, membuatkan Ming sedih melihatnya.

"Bukti yang kau memang sudah pun mati. Tetapi, kami telah melihat bahawa kau adalah manusia yang sangat baik hati, suka membantu, berani dan cekap dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan tanpa meminta balasan. Susah mahu menjumpai manusia seperti kau."

Ming diam tidak berkutik, tidak berani dia membalas apa-apa. Dalam situasi, dia masih dalam fasa terkejut dan tidak tahu hendak lakukan apa. Jadi lebih baik dia mendengarkan apa yang suara itu mahu sampaikan. Manalah tahu akan jelas dan terang mindanya nanti.

"Kau akan diberikan satu kelebihan. Iaitu hidup yang abadi, kau tidak akan mati walaupun kau sendiri mencuba untuk membunuh diri. Itu tidak akan pernah berjaya," ujar suara itu dengan tenang.

Wajah Ming berkerut, barulah dia mengerti dengan apa yang telah terjadi, "Jadi aku akan berada di ruangan ini selama-lamanya? Aku tidak akan kemana-mana dan menjadi manusia yang abadi?"

"Tidak saudara, akan ada sesuatu yang boleh membuatkan saudara menjadi lebih baik daripada yang sebelum ini. Saudara perlu mengembara ke dunia manusia. Carilah keluarga ini." Satu pantulan timbul menampakkan wajah tiga orang manusia, Ming tidak kenal seorang pun dari tiga wajah itu. Sudahlah seorang dari tiga orang, adalah bayi. Comel pula tu.

"Jadi apa kena mengena aku dengan keluarga ini?"

"Bantulah mereka, asuhlah bayi perempuan itu sehingga dewasa. Tentukanlah takdir yang akan terjadi kepada bayi itu. Kau akan menemui nikmat sebenar yang tidak pernah kau impikan.." suara itu berulang-ulang untuk tiga ke empat kali sebelum lenyap dengan perlahan.

Kemudian pandangan Ming menjadi kabur dan matanya terpejam dengan rapat. Dan seterusnya gelap.

'Aku tak akan mati...aku tak akan mati..'

1034 Words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro