
Bab 5
"Kau jumpa budak pink braces masa teman babah kau pergi kenduri akad nikah kawan babah kau? Kalau dia kawan babah kau, pernah duduk kat rumah kau, apa pasal kau boleh tak ingat, dia pun tak ingat?" Ari meletakkan kedua-dua belah tangan ke belakang kepala sambil matanya meliar melihat sekeliling kafe. Kaz yang duduk berhadapannya mengangkat tangan, memanggil pelayan.
Petang Ahad yang membosankan. Ari dan Kaz mengambil keputusan lepak di PeterVsHook, kafe dengan live band yang terkenal dalam kalangan penggemar muzik. Di situ juga gigs selalu diadakan untuk mengetengahkan band muzik-muzik underground.
"Aku tak tahu. Mungkin masa tu dia masih kecik, baru tiga tahun mana nak ingat." Kaz menjawab selepas selesai membuat pesanan. Pelayan yang sudah berlalu pergi itu dihantar dengan pandangan kosong.
"Masa tu kau umur berapa?"
"Babah cakap umur aku masa tu enam tahun."
"Ooo... Budak tadika lagi."
"Haah. Tak apalah kut aku lupa pun. Bukannya penting sangat."
"Penting!"
Serentak dengan kata-kata Ari itu, Kaz mengangkat kening. Perbualan mereka terhenti apabila sepinggan pisang goreng cheese, teh limau ais dan Milo ais dihidang di atas meja. Selesai mengucap terima kasih, Kaz kembali merenung Ari di hadapannya.
"Apa pasal kau cakap penting?"
"Sebab kau dengan dia macam ada connection yang menarik? Macam aku rasa sesuatu akan jadi aje."
"Banyaklah kau punya 'sesuatu akan terjadi', Ari... Tak ada apa-apa akan terjadi."
"Kalau ada macam mana?"
"Kalau ada, adalah."
"So, kau harap akan ada something jadilah ni?" Ari mengangkat kening double jerk.
"Ya Allah, Ari. Apa pasal kau provoke semacam ni ha? Naik stres aku!"
Ari tergelak. Kaz memang tidak suka dihujani dengan banyak soalan dan tanggapan dalam satu masa. Kaz akan mula rasa tertekan dan mula naik darah. Kaz bukan jenis yang akan bercerita dengan terperinci. Segala yang hendak disampaikan akan diringkaskan menjadi sesuatu yang dia senang nak cakap dan fahami. Kalau ada yang bertanya terlalu terperinci, dia jadi rimas. Dia tidak tahu bagaimana nak bercerita dengan terperinci.
"Dia siapa nama?"
"Luna."
"Comelnya nama!"
"Haaa..."
"Comel, kan?"
"Ari! Kau pernah rasa Macbeth Langley masuk mulut tak?"
"Haha. Okey, okey. Enough pasal budak dengan pink braces tu. Komik apa cerita?"
"Macam biasa."
"Masih buat dua komik?" Ari mengacau Milo ais yang pekat di hadapannya dengan batang straw. Sengaja dia minta buat kaw kaw. Memang kegemarannya di PeterVsHook!
Kaz angguk.
"Rasa nak resign la."
Bulat mata Ari memandang wajah Kaz yang sedang menyua pisang goreng cheese ke mulut.
"Resign?" Memang terperanjat Ari mendengar kata-kata itu keluar dari mulut seorang yang agak workaholic!
"Resign jadi apa? Pemilik Duncan ke kartunis?"
"Kartunis."
"Serious?"
"Tak sure lagi. Kan tadi aku cakap 'rasa nak resign'. Aku rasa penat pula ada dua kerja."
"Tapi bukan kau cakap jadi kartunis tu memang the other side of you ke?"
"Itulah. Tapi nak kejar deadline tu yang aku rasa macam tak cukup ruang nak bernafas aje! Kalau jadi owner coffee house aje tak ada apa yang dikejarkan sangat."
"Tapi kau dah ada banyak peminat sekarang. Sayang kalau kau ikut disappear macam komik Disappear kau tu."
"Kau senanglah cakap. Kau dah dapat kerja yang kau suka. Kat event management company. Siap dalam setahun berapa kali kau buat futsal tournament. Macam ada sedikit berat sebelah di situ! Hahaha!"
"Eh, eh! Bos aku tak bising, kau pula complain berat sebelah ya! Futsal tu kegilaan ramai, bukan aku aje. Kegilaan kau juga. Bukan aku saja-saja buat tau. Klien yang datang nak kita orang handle event macam tu. Ni, minggu depan aku tak ada tau."
"Kau ke mana?"
"Aku nak ke Bali."
"Buat apa di Bali?"
"Aku dengan Encik Fuad nak tengok site kat sana."
"Site?"
"Nak buat lokasi event. Ada gathering besar untuk famili ahli korporat ternama yang aku tak boleh nak cakap siapa sebab ia private and confidential. Dia pilih Bali. Kami terpaksa pergi tengok tempat tu."
"Wow, kira projek besar masuklah ni!"
"Alhamdulillah. Rezeki Allah."
"Mesti kau dapat bonus dari Encik Fuad. Kau kan pembantu kesayangan dia."
"Banyak kau punya kesayangan. Sebab terlalu disayanglah asyik aku aje yang buat itu ini."
"Dah kau aje yang dia percaya."
"Tu la..."
"Jangan lupa ole-ole! Aku nak T-shirt Hard Rock." Kaz tersengih.
"Dah agak dah."
"Hehe."
"Ini Kazreeq. Luna masih ingat Kazreeq?"
Kata-kata Tuan Irshad itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Hatinya macam ditarik-tarik untuk mengadakan perbualan panjang dengan Tuan Irshad, mengenai pengalaman di kampung semasa dia berumur tiga tahun. Tapi mesti papa akan rasa pelik kalau aku tiba-tiba soal benda macam tu. Buat naya aje. Karang dia tak benarkan aku ke Duncan sebab minat dengan budak Kazreeq tu macam mana? No boys until you are 25. Nak kena tunggu 3 tahun lagi ke untuk semua ni?
Langkah terhenti di ruang menonton di rumah. Mama dan papa sedang duduk bersantai menonton filem Bollywood. Wajah Tuan Irshad nampak sedikit bosan. Luna tersenyum sendirian. Dia tahu papanya itu bukan peminat setia Bollywood. Cuma Puan Amina sajalah. Dan minat itu diturunkan kepada dia. Myra pula mewarisi Tuan Irshad, info-info sukan, berita dan dokumentari menjadi rancangan kegemaran.
"Cerita apa, ma?"
Tuan Irshad dan Puan Amina sama-sama menoleh ke arah gadis yang hanya berseluar hitam paras lutut dan berbaju T biru itu.
"Kabhi Alvida Na Kehna." Puan Amina menarik lengan Luna agar duduk di sebelahnya. Tuan Irshad beralih ke tepi sedikit, memberi ruang kepada Luna di sofa tiga tempat duduk itu.
"Lambatnya Luna. Dah nak habis pun. Luna dari mana?"
"Dari bilik, ma. Siapkan assignment. Esok nak hantar.
"Ni cerita baru tu ke, ma?"
"Bolehlah baru."
"DVD?"
"Haah..."
"Papa layan juga? Hehee..." Luna tergelak kecil.
"Layan aje la..." Tuan Irshad memanjangkan tangan kiri, menggosok kepala Luna yang baru terlentok di bahu Puan Amina yang duduk di antara mereka.
"Papa tak keluar memancing dengan kawan-kawan papa ke hari ni? Selalu Ahad begini dah pergi memancing, tak pun main golf."
"Papa dah bosan."
Serentak itu Puan Amina menoleh ke arah Tuan Irshad. Luna juga begitu.
"Yang mama dengan Luna tengok papa macam tu apa pasal?"
"Macam amazing dengar abang bosan dengan aktiviti hujung minggu wajib abang tu!" Puan Amina tersenyum, menampakkan baris gigi yang tersusun rapi. Luna hanya tergelak, Tuan Irshad tersengih.
"Best ke cerita ni?" Luna bersuara apabila Puan Amina dan Tuan Irshad kembali menghala pandangan ke televisyen.
"Cerita pasal suami yang curang." Sengaja Puan Amina tekankan di bahagian 'suami yang curang' itu untuk mengingatkan suaminya.
"Dan juga isteri yang curang..." Tuan Irshad lantas memotong. Tidak mahu mengalah.
"Tak payahlah nak emo. Papa dan mama dua-dua tak curang. Cubalah curang, Luna akan lari cari Kak Myra dengan Abang Syairy di Afrika nu..." Puan Amina dan Tuan Irshad tergelak besar.
"Ah, boring la cerita curang-murang ni!" Luna memeluk tubuh.
"Dah habis pun!" Puan Amina mengeluh berat.
"I don't like the ending."
"Me too!" sambung Tuan Irshad.
"Me three..." Luna tersengih walaupun dia tak tahu hujung pangkal filem yang dibintangi aktor dan aktres ternama Bollywood, Shah Rukh Khan dan Rani Mukherjee.
"Okey! My turn!" Tuan Irshad mencapai remote control di atas meja.
"Sport time!"
Puan Amina dan Luna berpandangan sesama sendiri dan kemudian bersuara serentak.
"Boring!"
Tuan Irshad hanya tergelak.
"Kalau bosan, pergi buat air ke, hidang kuih ke untuk papa. Haus tekak dah petang-petang macam ni. Boleh ya, my dearest ladies?"
"Okeylah. Okeylah. Kejap ye, your highness!" Puan Amina bingkas bangun. Luna segera mengiringi Puan Amina menuju ke dapur.
"Luna tolong mama bancuh teh, okey? Mama nak potong agar-agar ni." Agar-agar Milo yang baru dikeluarkan dari peti sejuk diletakkan di atas meja.
Luna merenung Puan Amina lama. Dengan sungguh berhati-hati Puan Amina memotong agar-agar Milo kegemaran Tuan Irshad itu. Terkebil-kebil mata Luna memandang wajah tenang Puan Amina, sedang berfikir-fikir sama ada mahu meneruskan rancangannya atau tidak. Okey, inilah masanya. Kalau dengan mama, senang sikit. Kalau dengan papa, alamat kena soal habis-habisanlah aku!
"Mama, Luna nak tanya sikit boleh?" Gula dimasukkan ke dalam teko.
"Tanya apa, Cik Luna Aisha?" Puan Amina sempat mengerling ke arah Luna sebelum kembali memberi perhatian kepada agar-agar Milo.
"Hmmm... Kenapa Luna tak ingat pasal kawan papa tu?" Giliran uncang teh masuk ke dalam teko.
"Kawan papa yang mana?"
"Hmmm... Pak Cik Mahdi. Yang kita pernah bermalam di rumah dia tu."
Puan Amina berhenti menghiris agar-agar. Wajah Luna di hadapannya direnung lama.
"Oh, mungkin masa tu, Luna kecil lagi. Baru tiga tahun." Dan akhirnya, Puan Amina mengukir senyum segaris.
"Kenapa kita boleh bermalam kat sana, ma?"
"Papa dengan Pak Cik Mahdi tu pernah jadi kawan baik. Papa pergi lawat dia lah masa tu, sebab lama tak jumpa. Kita stay kat Kampung Dahlia tu seminggu. Seminggu duduk di kampung tu memang seronok. Lunalah paling seronok."
"Luna?"
"Luna dapat kawan dengan Kazreeq, anak Pak Cik Mahdi. Main tarik upih pinang, main layang-layang. Kazreeq siap buat satu layang-layang khas untuk Luna. Padahal Luna mana tau nak naikkan layang-layang tu. Luna tengok ajelah Kazreeq naikkan layang-layang tu untuk Luna."
Luna menelan air liur sedang fikirannya giat mencerna tentang masa silam antara dia dan lelaki pujaannya itu. Boleh tak kalau aku tanya layang-layang tu masih ada ke tak? Mana layang-layang yang Kazreeq buat khas untuk Luna tu, ma? Mana, ma? Nak buat frame and then nak gantung kat bilik!
"Luna memang terus rapat dengan Kazreeq. Siap tak nak berenggang dengan Kazreeq. Sampai tidur pun nak tidur sama dengan Kazreeq," sambung Puan Amina lagi.
Bulat mata Luna memandang wajah Puan Amina. Tidur pun kena sama? Biar betul? Aku rapat dengan Kazreeq? Sampai nak tidur pun kena sama-sama?
"Ya ke, ma?"
"Ya. Masa nak balik, Luna siap nangis teruk. Siap tidur dengan layang-layang yang Kazreeq hadiahkan untuk Luna."
"Errr... Ada lagi ke layang-layang tu, ma?" Luna berdoa dalam hati. Harap-harap, masih adalah pemberian si jejaka impian. Kalau Kaz tau tentang ni macam mana? Kalau dia sebenarnya ingat semua tentang aku semasa aku stay di rumah dia tu macam mana? Tentang aku yang selalu nak tidur dengan dia tu macam mana? Malunya!
Berkerut dahi Puan Amina berfikir sambil matanya memandang ke siling. Kemudian, pandangannya beralih ke arah Luna.
"Masa pindah dulu, mama ingat mama ada bawa sekali. Ada kut, dalam kotak-kotak lama dalam stor. Tu pun kalau anai-anai tak sibuk snack on!" Puan Amina tergelak kecil.
Luna senyum penuh harapan. Adalah tu kut! Nanti aku buat misi mencari the missing kite! Hehehe...
"Habis tu, kenapa selama Luna membesar, Luna tak dengar pasal Pak Cik Mahdi ni pun, ma?" soal Luna lagi.
"Sebab ada salah faham sikit. Dan, bila mereka dah jumpa balik baru-baru ni, barulah benda tu selesai. Biasalah tu. Orang dengki buat fitnah. Luna ingat Uncle Loqman yang papa pecat dulu tu? Dialah yang buat onar. Tak sangka, kan? Bukan main baik lagi Uncle Loqman. Kawan Pak Cik Mahdi juga tu, sanggup buat fitnah. Sebab tu Pak Cik Mahdi jauh hati dengan papa. Papa dah hina dia macam-macam. Tapi, alhamdulillah. Allah permudahkan, Allah tunjuk kebenaran."
Luna mengangguk-anggukkan kepalanya. Uncle Loqman yang dia kenal merupakan orang kanan papa. Memang baik tapi betullah kata orang, manusia sukar diramal. Perhatian Luna alih daripada memikirkan Uncle Loqman kepada Puan Amina yang masih mahu bercerita. Luna bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Tak perlu banyak tanya, Puan Amina terus-terusan bercerita.
"Luna ingat tak yang hantar barang pada papa hari tu?"
"Ingat."
"Kazreeqlah yang hantar barang tu masa tu. Siap bawa buah tangan. Baik betul budak tu."
Rupanya dia. Sebab tulah Kak Myra cakap masa tu 'bakal mentua Luna'. Kak Myra orang pertama tahu wajah lelaki yang aku suka tu, dan bila Kak Myra tahu Kazreeq tu anak kawan papa, dia terus cakap macam tu. Oh, rupanya Kak Myra lebih awal tahu daripada aku!
"Hmmm... Apa barang tu, ma?" soal Luna ingin tahu.
"Jurnal milik papa yang Pak Cik Mahdi lama dah simpan. Jadi Pak Cik Mahdi pulangkan."
"Oh, begitu. Ma, kalau Luna bagi tahu satu rahsia, mama kena tolong simpan, okey?" Air panas sudah siap dituang ke dalam teko. Tangan kini mengacau isi teko dengan sudu.
"Apa dia ni, sayang?" Baki agar-agar dimasukkan semula ke dalam peti sejuk oleh Puan Amina. Cawan disusun ke dalam dulang bersama sepinggan agar-agar Milo.
"Sebenarnya, budak di Duncan CoffeeHouse yang Luna suka tengok tu..." Luna teragak-agak untuk meneruskan ayatnya. Puan Amina masih memandang tepat ke wajahnya, menunggu kata-kata seterusnya daripada Luna.
"Sebenarnya..."
"Sebenarnya?" Akhirnya Puan Amina menyoal apabila mendapati Luna terus membisu.
"Kazreeq anak Pak Cik Mahdi tu budak Duncan CoffeeHouse yang Luna suka tu, ma." Luna mengetap bibir. Puan Amina sudah tergelak besar.
"Kenapa mama gelak?" Luna kehairanan.
"Dari kecil sampai besar, Luna suka orang yang sama aje, Luna. Dah tak ada orang lain yang dapat pikat hati Luna, ke? Haha."
"Mama!" Luna memeluk lengan Puan Amina.
"Janganlah gelak!"
"Okey, okey!" Tawa Puan Amina masih berbaki.
"Tak apa, sayang. Kalau Luna dah sukakan Kazreeq tu, confirm mama setuju. Setahu mama dia baik. Asal pun keluarga baik-baik. Best of luck to you, okey, sayang?"
Puan Amina mengucup lembut dahi Luna. Luna tersenyum.
"Tapi kalau boleh, kahwin teruslah senang!"
"Amboi, mama. Angan-angan mama dah jauh tinggi dari Luna." Luna tergelak.
"By the way, thanks, ma. You're just the greatest of all!" Giliran Luna mengucup mesra pipi ibu tersayang. Seorang bernama ibu yang sentiasa ada ketika susah dan senang, ketika sedih dan gembira dan yang sentiasa memahami dirinya.
"I know." Puan Amina tersenyum.
"Dah, cepat bawa dulang ni ke luar. Biar mama bawa teko ni."
"Yes, ma!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro