
Bab 12
"Hai."
"Assalamualaikum, Kaz."
"Assalamualaikum. Hai, Kaz."
"Busy? Nak tengok wayang dengan saya tak?"
"Argggh!"
Luna akhirnya melompat ke atas katil sebelum baring memandang ke siling. Sedari tadi dia asyik berlakon dan mencipta skrip sekiranya dia berjumpa dengan Kaz nanti. Dia sudah nekad, mulai hari ini, dia tidak mahu ke Duncan CoffeeHouse selalu. Kata-kata Myra di telefon tempoh hari ada benarnya pada pendapat Luna.
"Jangan selalu tunjuk muka. Dia kan dah kenal Luna. Karang dia jadi bosan pula. And jangan obvious kejar dia, okey. Start main tarik tali. Baru seronok! Kita tengok macam mana nanti. Luna ni lurus sangat!"
Kata-kata Myra terngiang-ngiang di telinga. Luna pantas mengangguk. Aku tak boleh selalu ke Duncan! Tak boleh! Tapi, aku selalu nak kena tengok muka tu walaupun dari jauh. Huhu.
Dia tidak dapat melupakan Kaz, melupakan senyuman Kaz kepadanya tempoh hari, bagaimana Kaz berbual dengannya, bagaimana Kaz menenangkannya dengan mengusap kepalanya, Luna betul-betul hampir jadi gila. Dia memang teramat suka kepada lelaki bernama Muhammad Kazreeq itu!
Layang-layang merah jambu yang siap dibingkai dan digantung di biliknya direnung lama. Ingin sahaja dia duduk bersembang lama dengan Kaz, berbual tentang layang-layang merah jambu itu, berbual tentang tarik upih pinang seperti yang Puan Amina ceritakan kepadanya. Masih ingatkah Kaz tentang saat-saat itu? Sudah lupakah Kaz sepertimana dia sendiri yang lupa akan kehadiran Kaz satu ketika dahulu?
"Luna!" Suara Puan Amina membuatkan dia tersentak.
"Ya, ma?" Daun pintu segera dibuka.
"Ada apa?"
"Mama nak ke butik. Nak ikut tak?"
"Luna penat lepas kelaslah, ma. Lain kali ajelah."
"Tapi mama nak ke Duncan lepas ni. Papa ajak hi tea kat sana sebab malam ni papa akan balik lewat. Dinner pun dengan klien. Papa pesan bawa Luna sekali."
"Huh?" Bulat mata Luna memandang wajah Puan Amina yang sudah siap bertudung kuning cair sedondon dengan blaus dan skirt panjang yang dikenakannya.
Luna mengetap bibir. Biar betul papa ni nak pergi Duncan. Mengidam ke apa?
"Nak ikut ke tak?"
"Errr..."
"Tak nak jumpa Prince Charming ke?" Nada Puan Amina sudah meleret-leret.
"Mama ni kan."
"Dah. Pergi bersiap cepat. I give you five."
"Lima minit mana cukup, ma!"
"Ah, ya! Macam mana mama boleh lupa. Nak pergi jumpa Prince Charming, kan? Nak pergi salon sekali ke?"
"Mama perli Luna, ya!"
Puan Amina sudah tertawa melihat wajah Luna yang merona merah.
"Mama tahu anak mama ni tak payah siap cantik-cantik pun dah cukup cantik dah. Cepat siap okey, sayang? Mama tunggu kat bawah."
"Okey, bos!"
Setelah menyelesaikan urusan di Butik LunaMyra, Puan Amina dan Luna segera ke Duncan CoffeeHouse. Di sana, Tuan Irshad sudah pun menunggu.
"Lama ke tunggu?" Bahu Tuan Irshad dipeluk sebelum dia berjalan beriringan dengannya ke meja hujung di tepi dinding kaca yang memisahkan ruang Duncan CoffeeHouse dengan kaki lima kedai. Puan Amina hanya tersenyum melihat kemesraan dua beranak itu.
"Papa nak makan apa? Semua kat sini sedap. Nak minum apa? Biar Luna oder," ujar Luna bersungguh-sungguh.
"Mama mesti nak chocolate Frappy, kan?"
"Ha, tau pun!"
"Bagi papa espreso. Yang lain-lain, Luna pilih untuk papa dan mama, okey?" Kepala Luna diusap lembut.
Luna kemudian berlalu menuju ke kaunter. Dia segera beratur. Satu, dua, tiga. Ada tiga orang lagi barulah giliran aku! Banyak pula pelanggan petang ni. Kaunter sebelah pun banyak orang. Aik? Mimi dengan Tim jaga kaunter? Kaz mana?
"Cari Kaz?" Seorang pemuda berkemeja putih dan berseluar kelabu itu tiba-tiba muncul di sebelah. Leather sling bag digenggam di tangan kiri.
"Kaz ada kat dapur. Tengah buat kopi," tukasnya lagi tanpa perlu disoal. Haha, macam tahu-tahu aje aku, yang Kaz tengah buat kopi. Belasah aje lah! Yang aku tahu, merpati dua sejoli ni memang macam akan ada something will happen. Kaz pun macam angau-angau aje akhir-akhir ni. Mesti ada sesuatu!
"Saya datang nak hi tea dengan famili."
"Oh, I see... Kalau macam tu, silalah oder ya. Saya masuk dulu."
"Ha." Luna hanya mengangguk sebaik pemuda itu meminta diri. Luna kenal wajah itu. Itu ke Encik Ari yang Mimi katakan hari tu? Kawan baik merangkap PA Kaz, yang selalu jadi reminder Kaz yang pelupa tu?
Ari menggeliat sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya, meregangkan semua urat saraf yang keletihan. Sempat dia menegur Epol, Siha dan Azfar yang sibuk bekerja.
"Dah agak dah kau kat sini."
Kaz yang sedang bersandar di muka pintu dapur Duncan CoffeeHouse pantas menoleh.
"Kau? Tak kerja ke?" Jam Fossil di tangan direnung.
"Baru 4.30. Balik awal?"
"Lepas meeting dengan klien kat ofis hujung blok tu ha. Malas aku nak balik ofis aku lagi. Aku datang sini nak kopi. Manalah tahu kut-kut dapat percuma. Ha, dah macam pantun pula. Hehe. Silalah beli pantun aku tu!"
"Ha, aku beli dengan pantun dua kerat! Kalau nak kopi free, buatlah sendiri!" balas pemuda berbaju T hitam Thrasher dan berseluar jean biru pudar itu.
Ari tergelak.
"Really? Tarak hal! Lepas ni aku buat. Janji free. Haha..."
"Lama dah tak tengok Rysa. Dia buat apa sekarang?" soal Kaz tiba-tiba.
"Dia sibuk buat persiapan kahwin kita orang. Aku minggu depan nak ambil cuti dua minggu. Ya lah, nak buat apa yang patut. Taklah kelam-kabut nanti."
"Eloklah tu. Kau tu memang suka buat kerja last minute. Kahwin bukan benda main-main. Dua minggu cuti tu pun macam tak cukup aje."
"Ya, ya, Encik Kaz. Janganlah risau, aku tahulah.Lama dah ke kau duduk melepak kat sini? Tak nak jaga kaunter?"
"Malas aku. Biarlah Mimi dengan Tim handle. Mereka bukan tak biasa."
"Memang sah melepaslah kau."
"Melepas apa?"
"Kau punya Pink Smile ada di luar tu ha."
Bulat mata Kaz memandang wajah Ari yang bersahaja. Luna datang?
"Dia datang dengan famili dia."
Kaz masih membisu. Dengan Uncle Irshad dan Aunty Amina sekali ke? Hmmm, nak keluar sapa ke tak ni? Karang tak sapa macam kurang ajar pula. Tak pasal-pasal kena sembur dengan babah.
"Kau patut tengok betul-betul wajah Luna tu. There is something different la. Nampak lain. Tapi aku tak tau apa yang lainnya."
"Aku keluar dulu." Kaz terus memotong.
"Wah, bersemangat! Syabas! Nak jumpa bakal mentua ke?"
Pap! Sempat tangan Kaz sampai ke tengkuk Ari sebelum dia melangkah laju meninggalkan ruang dapur. Ari hanya mengaduh kesakitan sebelum tergelak kecil.
"Assalamualaikum, uncle, aunty." Tangan Tuan Irshad dan Puan Amina segera dicium tanda hormat.
"Ha, Kazreeq! Come join us." Tuan Irshad tersenyum lebar. Luna yang baru hendak menyuap Mini Milo Doughnut ke mulut mematikan hajat. Jantung yang tiba-tiba berdegup kencang sebaik Kaz duduk di atas kerusi bersebelahannya itu membuatkan dia hilang selera.
"Lama dah uncle dan aunty kat sini?"
"Tak juga. Luna baru lepas oder ni ha. Selama ni, uncle fikir owner coffeehouse ni Cina. Rupanya anak Haji Mahdi. Haha, Kaz tak terfikir nak buka cawangan? Uncle nampak ada potensi ni." Tuan Irshad memandang sekeliling kedai sebelum mengangguk-anggukkan kepalanya. Entah apa yang difikirnya. Luna tersenyum nipis. Gelagat Tuan Irshad agak lucu baginya.
"Insya-Allah. Kalau ada rezeki nanti, adalah nanti," balas Kaz tenang.
"Luna selalu ke sini?"
Soalan Tuan Irshad itu membuatkan Luna dan Kaz sama-sama terdiam dan dua pasang mata itu kemudian berpandangan sesama sendiri sebelum kembali menatap wajah Tuan Irshad dan Puan Amina di hadapan mereka. Puan Amina sudah tersenyum penuh makna. Luna memberi isyarat kepada Puan Amina untuk tidak berkata apa-apa. Wanita itu hanya tersenyum.
"Ada juga," balas Kaz ringkas.
"Nanti tahulah uncle mana nak dapatkan kopi dan donut yang sedap kat pekan ni," puji Tuan Irshad ikhlas. Kopi di Duncan CoffeeHouse memang cukup rasa. Memang ada kelainannya.
"Terima kasih, uncle. Datanglah selalu. Dialu-alukan. Hmmm, uncle, Kaz nak minta diri dulu. Ada hal kat belakang." Kaz bingkas bangun. Sekali lagi tangan Tuan Irshad dan Puan Amina segera disalam penuh hormat.
"Pergi dulu." Dan dua patah perkataan itu ditujukan kepada Luna.
"Ha? Ya, ya!" Gadis itu hanya mampu tersenyum.
Terdetik dalam hati Kaz kelainan pada gadis itu sebaik dia mengukir senyuman. Where is... her pink smile?
Tetapi langkah tetap diteruskan ke bahagian belakang kedai. Ari masih di situ. Duduk di bangku sambil menghirup white coffee di satu sudut dapur. Epol duduk bersebelahannya. Sebaik melihat Kaz sedang menghampiri mereka, Epol bingkas bangun dan berlalu pergi.
"Aku tahu apa yang lain," ujar Kaz sebaik melabuhkan punggung di sisi Ari.
Pemuda itu angkat dua belah kening.
"Apa?"
"She lose her pink smile."
"Aaa... No wonder!" Ari mengurut goatie.
"But she looks even prettier!" Ari mengerling ke arah Kaz di sebelah.
Kaz memandang kosong ke siling. Yes, she is.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro