Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Kaz menggantung windbreaker Uniqlo biru tua yang hampir lencun. Apartmen kembali sunyi apabila Haji Mahdi, Hajah Aini dan Ery sudah pun berangkat pulang ke kampung pagi tadi. Terasa masa begitu cepat berlalu.

"Lebatnya hujan. Bos dari mana? Kenapa basah?" soal Tim yang berdiri di kaunter.

Kaz mengelap muka yang basah dengan tisu.

"Dari rumah."

"Aik. Kenapa berhujan? Kereta mana? Tak nampak pun parking kat belakang kedai?"

"Ari pinjam, dia balik kampung. Aku naik teksi tadi tapi teksi dapat berhenti hujung blok aje. Sebab ada accident. Banyak tanya juga kau ni, Tim. Terpaksa juga aku explain details."

"Hehehe. Bukan banyak tanya, bos. Concern." Pemuda dengan snapback cap itu tersengih.

"Ni, kau betul ke nak berhenti?"

"Haah, bos."

"Nak pergi mana?"

"Sambung belajar."

"Kat mana?"

"Lim Kok Wing. Ambil art."

"Wow! So, kau jadi budak bandar besarlah lepas ni." Kaz menepuk-nepuk bahu Tim di sebelahnya.

"Bila masuk?"

"Awal bulan depan, bos."

"Tak apalah. Kau boleh berhenti tengah bulan nanti. Aku bayar gaji penuh bulan ni, kau jangan risau."

"Betul ke ni, bos?" Mata Tim sudah bersinar-sinar.

"Betullah. Karang aku tarik balik offer karang... Menyesal!"

"Eh, eh! Janganlah, bos. Hehehe. Terima kasih, bos!" Tim buat tabik. Kaz hanya tersenyum seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Eh, lupa pula nak bagi tahu."

"Apa?"

"Tengah hari tadi ada budak perempuan datang cari bos."

Dahi Kaz berkerut.

"Siapa?"

"Regular customer. Dia ada cakap nama dia tadi, tapi saya ingat-ingat lupalah, bos. Nama macam colour pencil."

Kaz tunduk memandang kaunter.

"Luna ke?" Wajah Tim kemudian ditenung.

"Haaa... Cik Luna. Kawan bos ke?"

Kaz tidak menjawab soalan itu.

"Dia ada pesan apa-apa?"

Lama juga dah tak tengok budak tu. Lepas dinner malam tu, itulah kali terakhir tengok dia. Eh, baru tiga hari. Kenapa rasa dah lama tak jumpa pula?

"Tak ada pula, bos. Dia tanya bos ada ke tak. Lepas tu saya jawab bos datang petang aje, pagi dan tengah hari tak masuk."

"Oh." Kaz tunduk lagi. Apa pasal pula Luna cari aku?

"Dia oder banyak tadi?" soal Kaz ingin tahu.

"Banyak. Macam biasa."

Kaz senyum segaris. Mesti untuk anak-anak yatim tu. 'Macam biasa'? Tim pun dah kenal dengan dia rupanya.

"Tim, kau tahu kat mana Rumah Cahaya Qaseh?"

"Macam pernah tengok aje somewhere. Ha, bos tanya Kak Jannah. Hari tu masa saya dengan Afzar hantar dia macam ada tengok aje nama Cahaya Qaseh tu. On the way ke rumah Kak Jannahlah tu, kut! Try la tanya Kak Jannah."

"Ya ke?"

Tim angguk. Cepat-cepat Kaz ke dapur mendapatkan Jannah yang sedang sibuk menyusun Pink Smile ke dalam kotak sebelum dimasukkan ke dalam beg kertas Duncan CoffeeHouse.

"Epol! Ganti Kak Jannah kejap!" arah Kaz. Budak 20-an yang berbadan gempal itu tersengih sebelum mengambil beg kertas dari tangan Jannah.

"Meja berapa ni, kak?" soal pemuda berambut ikal itu.

"Meja 10." Jannah tersenyum manis. Kaz sudah menunggunya di pintu belakang kedai.

"Ada apa, bos?" soal gadis bertudung litup itu. Tangan yang baru sahaja dibasuh segera dilap di apron yang melekat di badan.

"Awak tahu mana Rumah Cahaya Qaseh?"

"Ooo... Dekat dengan tempat tinggal saya," balas Jannah yakin.

"Awak tinggal kat mana?"

"Taman Sri Melur. Kenapa bos tanya?" Jannah kehairanan.

"Rumah Cahaya Qaseh tu memang dalam kawasan Taman Sri Melur tu ke atau..."

"Rumah tu sebelum masuk Taman Sri Melur. Kat simpang."

"Kalau nak ke Taman Sri Melur, memang terus nampak rumah tu ke?"

"Haah. Memang nampak teruslah."

"Rumah warna apa?"

"Krim, bos. Kenapa tanya?"

"Thanks for the info."

Terus saja Kaz berlalu pergi meninggalkan Jannah terpinga-pinga. Apa mimpi banyak sangat cakap dengan aku? Selalunya semua arahan aje dia tahu bagi. Kalau dengan budak Tim, Afzar dan Epol dia memang banyak cakap. Dengan aku, Mimi dan Siha dia buat dono aje. Macam anti-perempuan. Tapi dengan best friend dia, Cik Rysa tu elok pula dia bermanis muka. Tak faham betul aku!

"Jannah!" Suara Kaz membuatkan Jannah tersentak.

"Ya, bos?"

"Buat apa masih berdiri kat situ? Sambung kerja!"

"Ah! Ya, ya!" Jannah tersenyum sendirian. Itu barulah Encik Muhammad Kazreeq yang aku kenal!

Telefon bimbit dari dalam poket seluar sudah bergetar kuat. Nokia 3310 warna putih itu segera disua ke telinga.

"Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam. Alhamdulillah, dah pandai bagi salam pun kau sekarang, ya? Selalunya tak ada 'helo' tak ada 'hai' terus aje cakap. Nak bagi salam dulu memang jauh sekali."

"Hehehe..." Kaz sudah pun melabuhkan punggungnya ke kerusi di bilik pejabatnya di Duncan CoffeeHouse.

"Ha, nak apa tiba-tiba call ni?"

"Nak ingatkan kau, esok kau ada appoinment gigi. Yang hari tu kan kena reschedule sebab kau lupa dan kau datang lewat kan?"

"Ah, ya! Nyaris lupa lagi!"

"Aku dah agak dah!"

"Terima kasih, Encik Reminder!"

"Sama-sama, Encik Pelupa Tahap Tak Ingat!"

Kaz terus tertawa spontan.

Jam Roxy di tangan dipandang sekilas. Sudah pun pukul 2.30 petang. Dia datang awal 30 minit. Hari ini dia ke Klinik Sunshine untuk menanggalkan pendakap giginya. Selepas ini, tiada lagi senyuman dengan gigi besi merah jambu. Yang ada cuma baris gigi yang lurus teratur. Sebenarnya, giginya tidaklah seteruk mana, cuma dia idamkan gigi yang lurus dan teratur. Justeru, dia mengambil keputusan untuk menggunakan pendakap gigi selama setahun.

Sebaik sahaja dia hendak mengatur langkah ke kaunter, Luna tergamam. Kaz yang berdiri di sisi kaunter sudah pun memandang tepat ke arahnya membuatkan jantungnya berdegup kencang. Dan sebaik pandangan Kaz dan dirinya bertembung, Luna hilang imbangan. Kaz sudah pun sedia menyambut Luna yang hampir tersembam di kaunter Klinik Gigi Sunshine. Luna kemudian didudukkan di kerusi menunggu di situ.

Luna menggeleng-gelengkan kepalanya seketika. Matanya dipejam celik. Nyaris dia pengsan tadi. Siapa sangka dia akan bertembung dengan Kaz di klinik gigi. Tak perlulah dia menjenguk Duncan CoffeeHouse hari ini!

"Okey ke?"

Luna menjawab pertanyaan itu dengan senyum segaris.

"Kenapa asyik nak jatuh pengsan?" Kaz masih berdiri di hadapannya. Gadis berbaju T kelabu dan berseluar panjang denim hitam itu mengangkat muka seraya menjongket bahu.

"Awak tak nak pergi cek doktor ke? Kut-kut awak ni ada penyakit."

Luna hanya terdiam. Dalam hati, bunga-bunga sedang berkembang! Cakaplah banyak lagi, cakaplah banyak lagi. Music to my ear!

"Dah bisu ke?" ujar Kaz sinis.

Dia tersentak dari terus melayang jauh. Luna kemudian menggaru-garu kepala yang tak gatal.

"Maaf," ucapnya sepatah. Saat itu, jantung masih berdegup pantas sebenarnya.

"Nak minta maaf apanya? Kalau awak jatuh pengsan kat tempat lain macam mana? Siapa nak tolong awak?"

Luna mengetap bibir. Aku pengsan depan kau aje. Depan orang lain aku tak ada apa-apa pun. Kau tu yang bagi penyakit kat aku ni. Hmmm... Cepat, bagi ubat!

"Tengok apa?" Kaz bersuara lagi.

Cepat-cepat Luna mengalih pandangan ke kaunter. Kaz sudah pun menghantar rekod pesakit yang diambil dari tangan Luna ke kaunter sebelum duduk semula di kerusi bersebelahan Luna. Semakin panik Luna dibuatnya. Kenapa lain macam sahaja Kaz hari ini?

"Thanks," ucap Luna perlahan.

"Kaki hari tu dah okey?"

Luna menelan air liur. Pantas dia mencubit paha kiri. Sakit! Sah dia tidak bermimpi. Memang betul Kaz sedang berbual dengannya!

"Dah okey. Adik awak, pandai urut."

"Hmmm. Dia memang macam tu."

"Budak Duncan cakap awak ada cari saya?"

"Oh, yang semalam tu? Er..."

"Kenapa cari saya?"

"Nak buat event. Nak oder banyak donut dan caffein," jawab Luna jujur. Memang itu tujuan dia mencari Kaz semalam.

"Nak bagi budak-budak minum banyak caffein?"

"Eh, tak! Tak!" Cepat-cepat Luna menyangkal.

"Kalau kopi tu untuk pengunjung. Untuk budak-budak, nak bagi milk shake aje."

"Event apa? Kat mana? Bila?" soal Kaz bertubi-tubi.

"Nak buat Happy Happy Day kat Rumah Cahaya Qaseh hujung minggu ni. Dapat idea dari FunDuncan Week." Gadis itu tersengih serba-salah.

"Tak apa. It's okay. Tak ada hak cipta terpelihara pun idea tu."

"Thanks!" Luna menarik nafas lega.

"Tapi ada syarat."

"Syarat?"

"Biar saya sponsor food and beverages. Awak handle hadiah-hadiah untuk any game that day."

"Are you serious?" Luna sudah tidak senang duduk, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarnya.

"Serius ni?" ulangnya lagi.

"Akan ditarik balik after five seconds starting from now. Five, four, three..."

"Okey! Okey! Deal!"

"Done." Pemuda berkemeja lengan panjang kotak-kotak dan seluar jean kelabu itu bingkas bangun meninggalkan Luna yang masih tersenyum gembira seakan-akan tidak percaya.

Memang dia terus balik ke Duncan CoffeeHouse selepas mengatur janji temu di Klinik Gigi Sunshine. Masa itu, Luna masih menunggu giliran. Sempat dia mengukir senyum segaris ke arah Luna sebelum berlalu pergi. Dan serta-merta pipi Luna yang putih bersih itu bertukar warna ke merah jambu. Comel, detik hatinya ketika itu. Lantas, dia menidakkan perasaan aneh yang mula menjajah jiwa.

"Kau ni tengah angau ke apa?"

"Apa?" Kaz membaling bantal sofa berbentuk segi empat sama ke arah Ari yang sedang duduk bersila di lantai, mengunyah bertih jagung karamel.

"Hish! Kalau tumpah popcorn ni tadi, siap kau aku kerjakan!"

Kaz hanya tersengih.

"Kau kenapa?" Sekali lagi Ari menyoal.

"Kenapa apa?" Pemuda yang hanya berseluar pendek hitam paras lutut itu menyoal kembali. Tangan segera mencapai alat kawalan jauh televisyen. Ada perlawanan bola sepak malam ini antara Chelsea dan Manchester City. Dia tidak mahu terleka.

"Senyum sorang-sorang. Termenung sejak aku balik semalam lagi. Kena sampuk ke apa?"

"Mana ada, aku biasa aje." Muk kopi O di atas meja dicapai.

"Ada perkembangan ke kau dengan budak Pink Smile?" Ari angkat kening double-jerk.

"Mana ada!" Cepat-cepat Kaz menyangkal.

"Ya ke ni? Atau kau sengaja nak sorokkan daripada aku. Tup-tup, kau pula yang kahwin dulu dari aku dan Rysa. Haha!" Pemuda berbaju T putih kosong dan berseluar pijama kotak-kotak itu tergelak.

"Banyaklah kahwin dulu."

"Eh, sebelum aku terlupa macam kau selalu lupa."

Kaz mengetap bibir geram. Sempat lagi nak mengutuk aku tu! Budak Ari ni memang...

"Haha! Janganlah marah. Benda betul, kan? Haha," tukas Ari yang menyedari perubahan wajah Kaz memandang ke arahnya.

"Sebelum aku lupa nak bagi tahu kau dan sebelum kau cakap aku ni best friend tak boleh pakai, perkahwinan aku dengan Rysa akan dipercepatkan. Alhamdulillah."

"Ha? Ya ke? Alhamdulillah. Lagi cepat lagi bagus, kan? Itulah tujuan kau balik kampung tempoh hari?"

Ari angguk.

"Tak nak aku tunggu lagi. Rezeki ada, apa salahnya aku nak awalkan benda baik tu, kan? Lagipun, perkahwinan tu kan satu ibadah juga."

"Elok sangatlah tu! Wedding nanti nak buat kat sini ke kat kampung kau?"

"Kat sini aje. Majmuk. Tak payah nak dua tiga kali kenduri. Tapi akad nikah memang kat rumah Rysalah. Bersanding nanti kita orang nak guna Hotel Paragon."

"Hotel empat bintang tu. Wow!"

"Duit hasil titik peluh sendiri. Karang guna ballroom kecik, tak muat. Aku kan artis!"

"Uish! Sempat lagi perasan artis tu!"

"Hahahahaha!"

"Aku tak nak jadi pengapit. Aku nak duduk makan aje."

"Maaf ya, Encik Muhammad Kazreeq. Awak dah sign kontrak jadi pengapit saya!"

"La, bila masa pula?"

"Sejak kau tu bergelar best friend aku! Haha, tak apa, tak apa, tak payah risau. Baju Melayu kau nanti aku tanggung semua. Kalau kau nak mekap sekali pun boleh! Tarak hal!"

"Mekap? No! No! No! And kau jangan nak pilih tema warna gila-gila sudahlah, Ari oi..."

"Mestilah tak. Untuk pengapit, kena pakai oren striking! Shocking habis!" Ari mengurut goatie.

"Gi... la!"

"Hahaha!"

"Kalau dah macam tu, kau standby ajelah pengapit simpanan!"

"Aku gurau ajelah. Hahaha! Seronoknya dapat buat orang takut." Ari tersenyum riang.

"Dahlah! Match dah nak mula!"

"Tapi kalau warna hijau striking pun okey juga, kan?"

Kata-kata Ari itu hanya dibalas dengan jelingan tajam oleh Kaz. Ari tergelak lagi.

Kaz mula memberi perhatian ke perlawanan bola yang sedang disiarkan di televisyen. Jauh di sudut hati, dia tertanya-tanya. Bukankah dia sepatutnya sedikit terasa dengan berita yang baru disampaikan oleh Ari itu sepertimana dia terasa apabila Ari dan Rysa menyuarakan hasrat ingin bertunang suatu ketika dahulu?

Kali ini dia tidak rasa apa-apa. Hatinya telah sembuh sepenuhnya? Tiada lagi perasaan untuk Rysa? Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, aku tidak terus menanggung dosa dengan menyimpan rasa untuk my own best friend's girlfriend. Syukur!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: