Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Yuhanis memotong dan menyusun agar-agar laici ke dalam beberapa bekas plastik. Seketika tangannya berhenti. Matanya disorotkan lagi ke pintu peti sejuk. Masuk ini, sudah tiga kali Yuhanis membaca nota yang dilekatkan di situ. Sampai naik hafal apa yang tercoret di nota itu di kepalanya.

Thank you sebab sudi hantar dan ambil pakaian saya dari kedai dobi.

Thank you! No terima kasih, sebab tiada kasih yang hendak diberi! Ala, tak heran. Jika disuruh terima kasihnya pun, kena fikir 1001 kali. Yang paling utama sebab hairan. Macam mana pula tiba-tiba nak berkasih. Hah! Tak apa, tak apa. Thank you itu sudah memadai. Yuhanis berlawak sendirian dalam hati, seperti yang selalu dibuatnya sejak tinggal di rumah ini.

Hmmm, kira okey jugalah. Tahu rupa-rupanya Mr. Rock nak cakap thank you, ingatkan tak reti. Hilang sikit geram dalam hati Yuhanis.

Yuhanis menutup bekas-bekas yang sudah dipenuhi agar-agar, kemudian dia memasukkan semua bekas itu ke dalam dua beg plastik.

Hanya tinggal satu loyang agar-agar laici yang tidak diusik. Simpan untuk Mr. Rock sebab sudah terpinjam semua perkakas dapur dan juga peti sejuknya semalaman. Yuhanis tidak tahu sama ada Mr. Rock suka atau tidak agar-agar laici. Mungkin semalam Mr. Rock sudah ternampak tapi tak nak pula dia merasa walaupun sepotong. Segan kut, fikir Yuhanis.

Oh, lala. Kesiannya. Lantas Yuhanis memotong setengah loyang dan menyusun agar-agar laici tersebut ke atas sebuah pinggan besar. Selepas itu loyang dan sepinggan besar agar-agar yang sudah siap dipotong dimasukkan semula ke dalam peti sejuk. Perlahan-lahan pintu peti sejuk ditutup. Yuhanis berdiri menatap nota sekali lagi sambil berfikir seketika.

Yuhanis tersenyum nakal. Dia melangkah ke biliknya dan keluar semula dengan sebuah buku lakar. Yuhanis mengoyak sekeping kertas. Dia menulis sesuatu di atas kertas tersebut. Seketika kemudian kertas itu bertukar tempat dengan nota di pintu peti sejuk.

Macam nak berbalas-balas surat cinta pula rasanya. Eee, tak adanya. Malam sikit, sanggah Yuhanis sendirian.

Sebenarnya sengaja Yuhanis hendak menceriakan hidup Mr. Rock yang serius semacam. Kalau boleh senyum sikit tentu muka Mr. Rock yang handsome tu boleh bertambah sikit lagi kehandsoman dia. Hahaha. Kalau dia dengar, tak pasal-pasal menyinga pula Mr. Rock tu. Bertukar jadi The Lion King pula. Lagi pun handsome ke Mr. Rock tu? Kalau Mr. The Rock film star tu memanglah handsome. Body pula, mak aiii, mengancam habis.

Tersenyum-senyum Yuhanis sendirian sambil menyimpan nota kedua dari Mr. Rock ke dalam buku lakarnya. Yuhanis membelek lakaran-lakaran wajah Mr. Rock yang telah memenuhi beberapa helaian dalam buku lakarannya itu. Semua muka serius dan muka sedang marah. Memang Yuhanis tak pernah tengok Mr. Rock senyum.

Boleh retak mukanya kalau senyum kut? Tak pun, tsunami melanda Kampung Sungai Rokam sampai ke Ampang ni. Hihihi. Jahatlah kau ni, Yuhanis. Yuhanis berjenaka sendirian lagi. Itulah, cakap sorang-sorang. Berlawak pun sorang-sorang. Dah rasa macam orang tak betul pula.

"Alhamdulillah. Sedapnya."

Yuhanis tersenyum puas melihat Yusri tak berhenti menyuap agar-agar laici ke dalam mulut. Isi di dalam bekas di hadapannya sudah tinggal separuh. Makan sampai tertutup-tutup mata. Dan entah berapa kali berulang-ulang menyebut sedapnya. Sedap-sedap. Menghayati sungguh.

"Terima kasih, Kak Hani. Pandai akak buat kuih ni, ya? Tak pernah-pernah Yusri makan kuih sesedap ini. Sedap sangat-sangat," puji Yusri lagi sambil mengunyah. Di tangannya sudah memegang sepotong agar-agar, siap sedia untuk disuap ke mulutnya lagi.

"Kuih pula, orang sebut agar-agarlah. Okey, kalau dah suka sangat, Yusri habiskan satu bekas tu. Satu bekas lagi ni, untuk Kak Timah," ujar Yuhanis.

"Hesy, takkanlah Yusri nak kasi habis, kak. Tu, adik-adik Yusri kat rumah tu, kesianlah pula. Tak apa, Yusri tinggalkan setengah untuk bawa balik," jawab Yusri dengan mulut penuh berisi agar-agar.

"Untuk adik-adik Yusri saya dah siap asingkan. Yang ini untuk bawa balik," Kata Yuhanis sambil menghulurkan satu lagi beg plastik kepada Yusri. Ada satu bekas besar agar-agar lagi. Khas untuk dua orang adik Yusri yang belum pernah ditemuinya. Yuhanis bercadang untuk bertemu dan berkenalan dengan mereka. Cuma dia perlu mencari masa yang sesuai.

"Yang ini pun Yusri boleh makan lagi kat rumah dengan adik-adik."

"Eh, tak apalah kak, cukup ni. Nanti kecil pula hati Kak Timah tu. Saya dapat sampai dua bekas," ujar Yusri.

"Tak apa, esok-esok saya boleh buat lagi. Semua orang boleh makan puas-puas," kata Yuhanis dengan senyuman senang.

"Eh, susahkan akak aje. Tak payahlah, kak. Cukup ni," kata Yusri sambil menutup bekas di hadapannya.

"Alah, saya ni suka memasak. Ada Yusri nak makan, saya lagi suka. Lagipun, kalau kita jamu orang makan, dapat pahala. Duit banyak, saya tak dapat bawa mati. Kalau pahala dah tentu bawa sekali ke kubur," jawab Yuhanis untuk menyenangkan hati Yusri.

"Isy, akak ni sebut kubur-kubur pula, sensitiflah. Karang saya meraung, susah akak nanti nak kena pujuk dengan agar-agar lagi," kata Yusri. Kedengaran seperti satu gurauan. Gurauan yang ada makna tersirat dari hati seorang anak yatim piatu.

"Anytime Yusri nak makan agar-agar lagi, cakap aje kat saya. Jangan malu-malu. Kalau Yusri nak makan apa-apa pun cakap aje. Kalau ada orang nak makan, saya suka masakkan. Hobi saya memasak," kata Yuhanis, bersungguh-sungguh mahu menggembirakan hati Yusri.

"Terima kasih banyak-banyak, kak. Ini pun dah lebih dari cukup. Tentu adik-adik saya seronok dapat makan agar-agar ni. Terima kasih, kak," tambah Yusri dengan wajah ceria.

"Haaa, beratlah saya nak bawa balik terima kasih awak ni Yusri, banyak sangat. Okey, yang ni tak payah bagi terima kasih lagi dah." Yuhanis menghulurkan satu lagi beg plastik kepada Yusri.

"Apa lagi ni, kak? Nasi? Lepas ni ada lagi tak?" tanya Yusri sambil menjengah keliling Yuhanis. Yuhanis tergelak melihat telatah Yusri. Kelakar budaknya.

"Ini aje, tak ada lagi dah. Saya belanja nasi beriani hari ni. Tiga bungkus untuk Yusri dengan adik-adik, dua lagi tu bagi dekat Kak Timah dengan Kak Yah. Yusri habis kerja pukul berapa?"

"Hari ni nak minta balik awal sikit, banyak homework yang tak siap lagi. Akak kata nak datang berkenalan dengan adik-adik. Sara dengan Suri dah tak sabar-sabar nak jumpa kakak yang selalu Yusri ceritakan pada dia orang. Selalu tanya Yusri, bila kakak tu nak datang."

"Saya pun teringin nak jumpa Sara dengan Suri. Kirim salam saya pada dia orang. Tengoklah nanti kalau Yusri boleh balik awal, saya ikut. Tapi sebelum pukul 4.00 saya nak kena balik rumah. Jauh ke rumah Yusri dari sini? Kalau jauh sangat, susahlah saya kalau lambat sampai rumah."

"Akak ni macam Cinderella pula. Tak payah risaulah. Rumah Yusri kat rumah teres di hujung pekan ni aje. Kalau akak sanggup bonceng motor 'Harley Davidson' Yusri tu, sebelum pukul 4.00 gerenti akak dah sampai kat depan pintu pagar rumah akak."

Yuhanis tergelak mendengar kata-kata Yusri. Bukan dia tak pernah tengok motor buruk Yusri yang selalu diparkir di depan kedai dobi itu. Dah bertongkat pun, nampak menyenget macam nak tumbang. 'Harley Davidson' konon. Memang Yusri suka berseloroh. Yuhanis selalu ketawa bila bersama anak muda itu.

"Saya doakan suatu hari nanti, Yusri betul-betul boleh memiliki Harley Davinson tu. Okeylah, saya nak balik. Esok jumpa lagi," ujar Yuhanis sambil melangkah meninggalkan kedai dobi.

Sekarang sudah pukul tiga lebih. Yuhanis sengaja datang selepas waktu persekolahan Yusri. Hari ini Yusri pergi sekolah sebelah pagi. Hanya datang kerja sebelah petang. Yuhanis pula tidak mahu terlewat sampai ke rumah. Takut bertembung dengan Mr. Rock. Nanti tak pasal-pasal taufan melanda.

"Akak! Tak mau terima kasih, Yusri bagi thank you ajelah. Thank you, kak!" laung Yusri kepada Yuhanis yang sudah berada di tepi jalan di hadapan kedai. Siap bagi flying kiss lagi. Ada-ada aje Yusri ni. Yuhanis membalas lambaian Yusri. Kemudian dia melambai teksi pula.

Dalam perjalanan pulang, Yuhanis masih berfikir mengenai Yusri. Yuhanis berasa kagum dengan sikap anak yatim piatu seorang tu. Sanggup bersusah-payah menjaga adik-adik tapi masih ada sifat cerianya. Yuhanis cuba membayangkan sifat Yusri semasa ibu bapanya masih ada, mesti dia lebih periang orangnya.

"Mr. Mizan! Mr. Mizan!" Mizan menoleh ke arah pintu pagar rumah Uncle Muthu. Dia yang sedang membuka pintu pagar untuk masuk berdiri di hadapan kereta sambil memerhati lelaki tua itu berlenggang-lenggang kangkung menghampirinya. Uncle Muthu menjinjit satu beg plastik yang kelihatan berisi beberapa biji tin. Tin apa, Mizan tak nampak.

"Ada apa, uncle?"

"Uncle mahu minta sikit tolong sama Mr. Mizan. Er, tolong kasi ini barang sama Mr. Mizan punya adik. Ini pagi aaa, itu Mr. Mizan punya adik ada kasi sama uncle itu jelly. Banyak sedap. Very nice. Belakang satu family cakap kalu Mr. Mizan punya adik ada buat lagi, uncle sponsor ini laici. Mr. Mizan cakap sama dia rumba nandrik. Banyak- banyak thank you sama dia, okey?" Mizan yang terpanar tidak sempat menjawab. Uncle Muthu terus berlalu pulang rumahnya.

Mata Mizan merenung mengikut langkah Uncle Muthu, kemudian dia melihat isi beg plastik di tangannya. Ada sepuluh tin laici.

"Mak aiii. Ini nak makan ke, kedarah ke apa ni?" gumam Mizan bercampur geram.

Uncle Muthu pun dapat makan agar-agar tu. Aku ni? Apa dapat? Dapat tengok ajelah, keluh hati Mizan sambil memakirkan keretanya di bawah anjung seperti biasa.

Mizan masuk ke dalam rumah dan bersandar di atas sofa melangut ke siling. Terbayang agar-agar di situ. Mizan merenung pula ke skrin televisyen yang gelap. Tetap terlayar gambaran agar-agar di situ. Hatinya rasa sakit. Inilah, kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan kelaparan, rungut Mizan dalam hati. Kemudian dia sambung termenung lagi.

Ah, tak relevan langsung. Apalah aku ni? gerutu hati Mizan sambil melangkah ke tangga. Dia tiada hati hendak menjenguk ke dapur. Sebenarnya dia malas nak tengok peti sejuk. Tak kuasa dia mendera dirinya sendiri. Menyakitkan hati aje!

Usai solat maghrib, Mizan terpaksa turun juga ke dapur untuk mencari air bagi menghilangkan dahaga. Takkan pasal bengang tak dapat makan agar-agar buatan Yuhanis dia kena melanggah air paip lagi? Mizan melangkah dalam kelam cahaya dari ruang tamu. Sempat matanya meninjau jika ada cahaya yang datang dari bawah pintu bilik orang gaji, tapi tiada.

Mizan merenung notanya yang dilekatkan di pintu peti sejuk pagi tadi tapi... Bukan lagi notanya! Saiz kertas berlainan. Mizan segera menyalakan lampu dapur. Berdebak debuk jantungnya. Mizan berasa sedikit pelik kenapa dia harus berasa begitu.

Tanpa disedari dia tersenyum kecil. Ada gambar wajahnya, versi kartun sedang memegang sepotong agar-agar. Terdapat mata dan mulut pula terlukis pada agar-agar tersebut. Siap ada kata-kata lagi.

Sila makan saya, saya sangat sedap.

Entah mengapa, tiba-tiba hati Mizan rasa sungguh gembira. Tak ubah seperti kanak-kanak yang gembira dapat duit raya. Cepat-cepat pintu peti sejuk dibuka. Wah! Ada agar-agar untuknya. Dan Mizan terlupa rasa peliknya sebentar tadi.

Tanpa berfikir panjang, Mizan terus mengeluarkan pinggan besar berisi agar-agar yang sudah siap dipotong. Mizan menarik kerusi lalu duduk menjamu selera. Tidak sedar, dalam menikmati keenakan agar-agar laici itu, akhirnya licin habis satu pinggan dikerjakannya.

Alhamdulillah, taklah aku kempunan, ujarnya dalam hati. Dia melangkah meninggalkan dapur dengan nota kartun di tangan. Sehingga azan isyak berkumandang, Mizan masih merenung lakaran wajahnya pada nota itu. Perlahan-lahan senyuman terukir di wajah Mizan melihat lakaran wajahnya yang masam mencuka merenung si agar-agar.

Berbakat juga isterinya. Pandai buat agar-agar laici. Pandai melukis kartun, lintasan dalam hati Mizan. Seketika cuma, kemudian Mizan tersedar. Adakah dirinya memerlukan seorang isteri hanya kerana agar-agar?

Isteri? Huh!

Mizan segera bangun meninggalkan katilnya lalu ke bilik air dengan hati yang mendongkol. Lebih baik dia solat isyak daripada membuang masa memikirkan isteri yang tidak diperlukannya. Dia boleh hidup tanpa seorang isteri di sisi. Tanpa disedari nota ditangannya dilepaskan. Nota yang melayang jatuh ke lantai tidak dipedulikan.

Yuhanis terkejut ketika telefon bimbitnya berdering. Nasib baik tak terpelanting senduk yang sedang dipegangnya. Begitu ralit dia mengacau puding jagung yang sedang menggelegak. Yuhanis segera memadamkan api dapur. Risau juga jika projek pudingnya hangus. Projek puding untuk menghiburkan tiga hati anak-anak yatim piatu yang sudah dianggap seperti adik-adiknya sendiri.

Sudah lama telefonnya tidak berbunyi. Sejak Nizam menelefonnya tempoh hari, sampai kini Yuhanis memastikan dia yang menelefon Puan Azmah. Yuhanis tidak mahu dan takut jika Nizam menghubunginya lagi.

"Ada apa, mak? Ayah, mak, sihat ke?" soal Yuhanis selepas mereka berbalas salam. Yuhanis sedikit risau. Mesti ada sesuatu yang penting sampai Puan Azmah menelefonnya awal-awal pagi begini. Sedangkan baru saja semalam mereka berbual.

"Aaa, ayah sihat, cuma... Hmmm, mak tak tahu nak cakap macam mana dengan Hani. Ni haaa... Errr Abang Nizam kamu ni... Dia... Dia..." Puan Azmah terdiam.

Bukan Puan Azmah tidak tahu hendak bercakap apa dengan Yuhanis. Cuma Puan Azmah bimbang jika Yuhanis rasa terpaksa menolongnya menyelesaikan masalah yang sedang melanda keluarganya kini. Dia faham sangat perangai anak angkatnya itu. Yuhanis selalu akan mendahulukan dia dan suaminya. Puan Azmah betul-betul rasa serba salah.

"Mak, apa dia yang mak nak cakap ni? Cakaplah, kalau Hani boleh tolong, mak tahu kan, Hani pasti akan tolong mak dengan ayah. Kenapa dengan Abang Nizam, mak?" tanya Yuhanis. Walaupun hatinya sedikit berkocak mendengar nama yang disebut Puan Azmah tadi, Yuhanis rasa dia sudah mampu tabahkan hati.

Tapi belum diuji, belum tahu. Mampukah dia? Sudah cukupkah tempoh sebulan untuk mengubat hatinya yang retak seribu? Apa yang dilihatnya, dua tahun masih tidak cukup untuk Mr. Rock merawat lukanya. Apa kes lelaki berhati batu itu, Yuhanis masih tak tahu.

Apa yang Yuhanis lalui, waktu telah mengubat sedikit luka dalam hati. Lagipun Yuhanis sekarang sudah ada Yusri untuk dijadikan panduan. Yusri yang lebih malang nasibnya masih boleh ceria dan tersenyum. Mengapa dia tidak?

"Hani, mak nak minta tolong Hani bagi peluang Abang Nizam bercakap dengan Hani. Mak tahu berat permintaan mak ni, tapi mak dengan ayah dah tak tahu nak buat macam mana lagi dah. Mak takut Abang Nizam ditimpa kemurungan kalau dia berterusan begini. Tak pasal-pasal masuk Tanjung Rambutan pula. Nauzubillah. Astaghfirullahalazim."

"Kenapa ni, mak? Apa yang terjadi ni? Mak jangan buat Hani suspens macam ni. Cakap ajelah, mak."

"Sebenarnya mak nak minta Hani berbual dan bagi nasihat sikit pada Abang Nizam kamu ni. Dia ada masalah sikit. Ah, bukan sikit, mak rasa masalah berat dengan isteri dia tu. Sekarang ni asyik termenung aje kerjanya. Termenung sana, termenung sini. Tak mahu bercakap langsung. Tu yang mak dengan ayah risau ni. Mak tahu, Abang Nizam akan gembira kalau dapat bercakap dengan Hani."

Yuhanis terdiam, tak tahu nak jawab apa dalam kadar segera. Jika tidak jawapan darinya, anak apalah dia ini? Jika jawapannya, ya Yuhanis pula jadi risau. Risau jika hatinya yang sudah mula menemui ketenangan akan berkocak kembali. Mampukah dia menghampakan permintaan seorang ibu yang telah membesarkannya?

"Hani sayang, mak faham keadaan Hani dan Abang Nizam. Kalau Hani tak sanggup, mak tak marah. Tak paksa. Cuma mak dah ayah dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Hani aje harapan yang mak ada. Mak minta maaf banyak-banyak, kalau mak menyusahkan Hani."

Memang Yuhanis sudah jangkakan. Dia tiada pilihan kerana dia mahu menjadi anak yang sentiasa mengenang budi. Anak yang tahu menghargai kasih sayang yang diberi.

"Alah, mak. Janganlah cakap macam tu. Hani rasa tak apa. Hani akan cuba cakap dengan Abang Nizam, tapi nak nasihat apa mak?" Berkerut dahi Yuhanis memikirkan apalah masalah yang melanda nun jauh di Kampung Sungai Rokam tu. Dan dia diperlukan untuk menjadi kaunselor rumah tangga kepada bekas tunangnya sendiri.

Macam lucu aje, tapi Yuhanis tak rasa nak ketawa.

Alahaiii... keluh hati Yuhanis. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Itulah keadaannya sekarang.

"Susahnya mak nak terang pada Hani. Gini sebenornya. Shila tu kata dia mengandung lepas nikah. Kira-kira sekarang dah masuk enam bulan, tapi bila check di klinik, doktor kata dah masuk sembilan bulan. Tak lama lagi dah nak bersalin. Hani bayanglah macam mana perasaan Abang Nizam. Mak dan ayah pun terkejut dibuatnya. Mak syak... Dia perangkap Abang Nizam kamu tu, tapi masih nak sorok-sorok. Abang Nizam yang bertanya sendiri dengan doktor, jadi dia dah tahulah tembelang perempuan tu."

"Mak cakap berbisik ni, kenapa? Sudahlah bising sangat kat belakang tu, mak kat mana ni?" soal Yuhanis kehairanan.

Jenuh Yuhanis melekapkan telefonnya rapat ke telinga, sampai naik panas telinganya. Suara Puan Azmah pula kedengaran tenggelam timbul dan perlahan aje.

"Mak dalam bilik air ni. Mak saja buka air deras ni. Mak tak naklah orang lain dengar, nanti tentu susah kita sekeluarga."

"Bilik air kan dalam bilik mak, mak kunci ajelah pintu bilik mak tu. Tak payahlah sampai kunci pintu bilik air, lepas tu buka air deras. Usahkan orang lain, Hani pun tak dapat dengar apa yang mak cakap."

Seketika Hani menunggu. Puan Azmah menutup air agaknya. Yuhanis pasti Puan Azmah dalam kerisauan yang amat sangat. Jika tidak, tak adalah sampai emaknya berbisik sambil dibuka air paip.

Kesian mak. Kesian ayah. Puan Azmah kembali bercerita kepada Yuhanis setelah mengunci pintu. Yuhanis mendengar dengan teliti apa yang disampaikan emaknya.

Yuhanis duduk termenung seketika selepas mendengar penjelasan dari Puan Azmah. Senduk masih ditangan. Puding jagung sudah dilupakan, terbiar di atas dapur. Mujur api telah dipadamkan sebentar tadi.

Nak buat macam mana ni? Yuhanis mula mencari jalan untuk membantu keluarganya.

Kesian Abang Nizam. Kesian pada impian mereka yang telah berkecai. Yuhanis sedikit bingung. Bingung mendengar cerita Puan Azmah. Bingung memikirkan diri sendiri yang terlantik untuk jadi penasihat rumah tangga orang. Sedangkan rumah tangga sendiri pun masih tak serupa rumah tangga yang sepatutnya.

Hai, Ya Allah, keluh Yuhanis. Terlupa dia seketika bahawa adalah tidak baik untuk mengeluh pada takdir yang pastinya telah ditentukan oleh Allah.

"Insya-Allah, mak. Nanti Hani cuba berbual dengan Abang Nizam." Akhirnya itulah janji Yuhanis kepada Puan Azmah sebentar tadi.

Itu sahaja yang Yuhanis dapat katakan. Dia tahu itu juga jawapan yang ditunggu oleh Puan Azmah. Jika dia menolak pasti emak akan berasa sedih walaupun tidak dizahirkan. Siapa lagi yang mak ada untuk mencurah rasa dan membantunya ketika memerlukan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: