Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Yuhanis menghenyakkan punggungnya ke atas katil. Tilam nipis itu menyakitkan punggungnya tapi Yuhanis buat tak peduli. Yuhanis rasa amat geram, tapi nak buat macam mana. Lesen besar ada di tangan lelaki bergelar suami. Hendak dilawan atau dikarate pun terpaksalah Yuhanis menahan diri.

Kedengaran azan maghrib bergema dari surau berdekatan. Bagus punya alasan. Belum sembahyang asar! Tapi itulah yang terlintas dalam kepalanya sebentar tadi. Yuhanis tidak mahu bertengkar dengan Mizan. Buang air liur aje. Lagipun diri sendiri sedang belajar bersabar. Risau kesabarannya menipis. Nanti tak pasal-pasal dari acara debat bertukar acara bertinju pula. Keluhan kecil terbit dari bibirnya.

Alahai, tak lepas! Tak dapat lesen balik kampung. Macam mana ni?

Yuhanis bangun dari katil. Hatinya dipagut gelisah. Tentu Puan Azmah sedang menunggu ketibaannya. Salah dia juga. Cepat sangat cakap boleh balik, tapi manalah dia nak tahu Mizan tidak akan mengizinkan. Macamlah encik si hati batu itu tidak sanggup berpisah dengannya. Macamlah Mr. Rock itu sayang sangat padanya sampaikan tidak sanggup berjauhan.

Yuhanis mundar-mandir di dalam biliknya yang sekangkang kera itu. Matanya jatuh pada beg sandangnya yang dilemparkan ke atas katil sebentar tadi. Dia segera menggagau mencari telefon bimbit. Segera dia mendail nombor Nizam. Itu pun jika Nizam mahu menjawab panggilannya.

Sudah beberapa hari mereka tidak berhubung. Sejak Yuhanis memutuskan talian kerana geramkan Nizam yang cakap tidak bertapis tempoh hari. Panggilannya tidak bersambut.

Yuhanis segera ke bilik air. Lebih baik dia mandi dan sembahyang. Mungkin Nizam juga sedang bersembahyang. Takkanlah Nizam hendak merajuk lama-lama dengannya. Namun jika tiada juga jawapan dari Nizam, Yuhanis perlu mencari alasan agar Puan Azmah tidak kecewa mendengar jawapannya. Abang Mizan tak bagi balik. Baru kecil hati orang tua mereka.

Angin apa yang melanda Mr. Rock pun, entahlah. Jika dalam filem P. Ramlee, orang cakap angin kus-kus. Tapi mungkin sahaja Mr. Rock dilanda Taufan Suraya. Dia orang berdua ni pun entah kes apa. Seorang nak, seorang lagi tak nak. Hari tu nampak macam kecewa sakan bila bini lari. Bila bini datang menginding balik, dia pula mengamuk tak ingat dunia... Tapi...

Eh, eh... Kejap. Jika ada proses damai kelak, dia nak diletakkan kat mana pula, eh? Aaa, mungkin dia akan dimerdekakan lebih cepat. Hmmm, lebih baik begitu sebab Yuhanis tidak berminat untuk terlibat dalam menjalani hidup bermadu. Filem Madu Tiga pun dia tak suka tengok.

Usai sembahyang, Yuhanis mengulang baca surah al-Waqiah sambil menggantung telekungnya. Kali ini lambat pula nak lekat. Sudah beberapa hari masih ayat 20 dan 21. Ah, sekali lagi tersangkut. Yuhanis segera mencapai al-Quran kecilnya.

Yuhanis mengelap rambutnya yang masih separuh lembab dengan sebelah tangan. Tuala kecil Good Morning dikesat berulang kali dikepalanya sambil tangan kanannya memegang al-Quran. Dia mundar-mandir sambil mengulang membaca beberapa kali ayat 20 dan 21. Al-Quran diletakkan semula. Dia cuba menghafaz lagi sambil memejamkan mata.

Hesy, susahnya nak lekat, keluh Yuhanis. Kemudian dia menggigit-gigit bibirnya beberapa kali. Tuala kecil di tangannya ditenyeh-tenyehkan ke kepalanya. Geram.

Langkahnya terhenti. Dia terpacak di tengah-tengah bilik. Fikirannya melayang teringatkan Nizam yang telah hilang entah ke mana. Padanlah susah nak lekat kali ini. Risaukan mak dan ayah di kampung satu hal. Banyak betul perkara yang sedang mengganggu fikirannya ketika ini.Tiba-tiba terlintas dalam kepala Yuhanis untuk meminta Puan Azmah yang menghubungi anaknya sendiri. Siapa lagi? Mr. Rocklah. Dengan mak tentu encik si hati batu itu tidak akan mengamuk. Yuhanis segera menyangkut tualanya ke bahu, lalu mencapai telefon bimbitnya.

"Budak ni memang nak kena!" rungut Mizan sambil menutup laju laci almari baju. Nasib baik jarinya tak terkepit. Jika tidak, tak pasal-pasal jarinya menjadi mangsa gara-gara hatinya yang sedang hangat dengan perbuatan Yuhanis. Entah apalah malang nasibnya dapat isteri perangai macam budak-budak.

Dapat bini pun entah apa-apa, gerutu Mizan lagi sambil menggulung kain pelekatnya.

Ingatkan lepas sembahyang, sejuklah sikit hatinya. Bukan Mizan tak faham Yuhanis memberikan hint semasa dia tengah naik angin tadi. Jika tengah marah, ambil wuduk.

Ah, pandailah minah tu nak kenakan dia. Lepas ni tengok siapa pula yang nak bagi hint.

Sakit hati dengan kemunculan Suraya pun tak habis lagi. Ditambah lagi dengan perangai Yuhanis. Ah, bukan baru tambah. Sudah sehari Mizan menanggungnya. Dapat bini perangai macam budak tak betul. Sampaikan dia terpaksa pakai seluar dalam semalam. Naik gatal punggungnya seharian memakai barang kitar semula itu.

Mizan nekad bersemuka dengan Yuhanis. Suka tak suka, Mizan perlu menghadap Yuhanis. Pasal Nizam juga harus diberi peringatan. Dia tidak suka Yuhanis berhubung dengan bekas tunangnya itu walaupun Nizam itu adiknya. Jika dibiarkan, kudis akan merebak menjadi pekung. Dia sedia maklum. Pengalaman mengajarnya supaya lebih berhati-hati tapi, dia terfikir pula...

Jika betul mereka mahu bersama semula, dengan senang hati dia akan aturkan. Tentu semua orang akan gembira terutama sekali mak dan ayah. Yang paling tak suka, tentunya minah salih celup tu. Perempuan mana yang suka dimadukan? Tapi, lelaki juga tidak suka diduakan. Dengan hati yang mendongkol Mizan mengetuk pintu bilik Yuhanis.

Dengan kepala sibuk berfikir, bunyi ketukan di pintu dan bunyi telefon datang serentak. Terus Yuhanis ingatkan mungkin panggilan dari Puan Azmah. Tak pun dari Nizam. Tanpa berfikir panjang Yuhanis terus mencapai dan menekan butang hijau di telefonnya, sambil terkocoh-kocoh membuka pintu biliknya.

Tahu pula orang ni mencari biliknya, bisik hati Yuhanis dengan mata terkebil-kebil tak sangka.

Mr. Rock sedang terpacak di depan pintu. Mungkin ada berita dari Puan Azmah. Tiada sebab lain yang boleh membuatkan Mr. Rock mencemar duli mencarinya. Itu fikir Yuhanis.

Mizan di luar bilik. Yuhanis di dalam bilik. Mereka saling berpandangan beberapa ketika.

"Helo," suara di talian menyapa perlahan.

"Helo?" Yuhanis menjawab panggilan yang tiba-tiba sepi. Matanya memandang ke arah Mizan, tapi fikiran ke lain. Yuhanis melihat skrin telefonnya pula. Dahi Yuhanis berkerut. Abang Nizam? Kenapa suaranya kedengaran lain aje? Sakitkah dia?

"Helooo." Yuhanis menunggu suara orang di sana sambil memandang orang di sini. Yuhanis menanti berita apa yang hendak disampaikan Mizan. Adakah permohonannya telah dipertimbangkan semula.

Masih tiada kedengaran suara di hujung talian. Yuhanis mula terfikirkan perkara buruk yang mungkin terjadi. Semakin berkerut-kerut dahi Yuhanis. Wajah Mr. Rock dihadapannya direnung sekilas sebelum meneliti nombor yang tertera di skrin telefonnya sekali lagi. Dia melekapkan semula telefon ke telinganya. Harap-harap tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada Abang Nizam. Pasti emak dan ayah semakin tak keruan nanti.

Mizan berdiri di hadapan pintu bilik Yuhanis. Kelu lidahnya seketika. Apa yang hendak dikatakannya tidak terkeluar. Lebih-lebih lagi dengan Yuhanis yang baru mendapat panggilan. Mizan memberi peluang kepada Yuhanis menjawab telefon. Mungkin dari emak mereka. Mizan memandang tajam pada penampilan Yuhanis.

Tidak berkedip matanya merenung Yuhanis. Rambutnya cantik, ikal mayang. Panjang sampai ke pinggang. Ini kali kedua Mizan melihat rambut Yuhanis. Cuma kali pertama dulu Mizan hanya melihat seketika sahaja. Ketika hati tengah bengang dan getik tidak terkira. Wajah Yuhanis kelihatan bersih kemerahan. Rambut yang separuh kering itu menandakan gadis itu baru sudah mandi. Namun riak wajahnya kelihatan berkerut-kerut seperti ada masalah.

Masalah apa? Kecuali... Arghhh, Nizam ke?

"Helo, waalaikumussalam! Abang Nizam! Kenapa tak jawab Hani call tadi? Haahlah! Lebih dari tiga kali Hani call. Abang Nizam ni sengaja tau. Abang Nizam pergi ma...Huh!"

Yuhanis tersentak. Termati kata-katanya. Tiba-tiba sahaja Mizan menerpa dan merampas telefon dari tangannya. Terlopong mulut Yuhanis mendengar Mizan memarahi Nizam.

"Tolong jangan ganggu isteri aku. Kau dengar tak?!" Mizan terus mematikan talian.

"Eee! Kenapa awak cakap macam tu pada Abang Nizam? Saya baru aje dapat cakap dengan dia. Bak balik telefon saya tu. Bak la." Yuhanis cuba merampas balik telefonnya dari tangan Mizan tapi tak berjaya. Mizan menjulang tinggi telefon tersebut jauh dari Yuhanis.

Dengan ketinggian Mizan memang Yuhanis tidak dapat merebut telefonnya kembali. Tambah lagi telefon itu dijulang tinggi oleh tangan Mizan yang panjang. Namun Yuhanis yang tengah geram masih tidak berputus asa. Yuhanis melompat beberapa kali rapat di hadapan Mizan sambil menarik lengan Mizan.

"Kan saya dah cakap saya tak suka awak hubungi dia," kata Mizan sambil menjauhi Yuhanis. Tangan kirinya sibuk menolak dan menepis tangan Yuhanis yang masih tidak putus asa cuba menarik tangannya.

"Eee, janganlah macam ni. Awak ni kenapa? Saya cuma nak tanya Abang Nizam, dia ada kat mana. Mak tengah ri..." Yuhanis cuba merayu tapi Mizan segera memotong kata-katanya.

"Awak dengar cakap saya ni! Jangan call dia lagi. Fullstop!" jerkah Mizan.

"Saya cuma nak..." Yuhanis cuba menerangkan dengan berkata selembut mungkin.

"Kenapa awak degil sangat ni haaa?! Kalau saya kata jangan, jangan la. Baik awak dengar." Keras nada suara Mizan.

"Saya bukan saja-saja nak call Abang Nizam. Tapi sebab..."

"Jangan cari alasan!" celah Mizan dengan muka berang.

"Tapi... Abang Nizam... Dia da..."

Kemarahan Mizan memuncak kerana Yuhanis melebihkan Nizam dari dirinya. Bukankah dia suami Yuhanis? Dengan berang Mizan melangkah semula merapati Yuhanis yang masih berani menjawab. Masih degil, masih beria-ia hendak membela Nizam.

"Jangan sebut nama dia!" Mizan benar-benar sudah naik angin.

"Awak tau tak, Abang Nizam tu dah..." Terhenti kata-kata Yuhanis bila melihat muka Mizan semakin menyinga. Kaki Yuhanis menapak selangkah ke belakang. Mizan semakin melangkah rapat di hadapan Yuhanis.

"Jangan sebut nama dia lagi!" Mizan menunduk rapat ke muka Yuhanis dengan amaran separa berbisik tapi keras. Kemudian Mizan mencampakkan telefon Yuhanis ke atas katil yang terletak rapat di tepi dinding.

Isy, geramnya. Naik angin tak tentu pasal, apa hal? Kita nak terangkan elok-elok, tak mahu dengar pula. Betul-betul keras hati, keras kepalalah dia ni, gumam Yuhanis tapi.

Yuhanis tunduk, tidak berani hendak menatap mata Mizan yang sedang menjegilnya. Pandangan di bawah membuat Yuhanis tersenyum kecil. Namun senyumannya terpaksa disembunyikan kerana takut kena tengking lagi. Ada kain orang tu panjang sebelah. Nak terlondeh ke?

Telefon Yuhanis berbunyi. Tanpa berfikir panjang dia segera melompat ke atas katilnya lalu mencapai telefonnya semula. Yuhanis pasti Puan Azmah yang menelefonnya kali ini. Nizam bukan bodoh. Dia tak akan menyusahkan Yuhanis. Nizam tahu perangai abangnya.

"Assalamu... Opocot mak kau!"

Mizan melangkah laju mendekati Yuhanis lalu merampas telefon di tangan Yuhanis. Sekali lagi. Yuhanis cuba menghalang tapi Mizan lebih pantas.

"Itu panggilan dari ma..."

Seperti biasa ayat Yuhanis selalu tak sempat habis. Memang orang tu tak nak dengar pun!

"Tolong jangan telefon lagi!!!" jerkah Mizan sambil menjegilkan matanya merenung Yuhanis. Mata Yuhanis membulat. Mulutnya ternganga. Tangannya memegang dahi.

"Mizan?" suara Puan Azmah terkejut .

"Huh! Mak?" Mizan terkedu.

Mizan segera menghulurkan telefon kepada Yuhanis lantas menghenyakkan punggungnya ke atas katil. Melepaskan sesalan, campur geram. Campur angin satu badan. Rasa berdosa yang amat sangat kerana telah menjerkah Puan Azmah. Terjerkah.

Prakkk!

"Maaakkk!!!"

Yuhanis ketawa terbahak-bahak. Kemudian dia mengekek pula kerana terlalu geli hati. Katilnya patah. Sampaikan terenjut-enjut bahunya. Kedua-dua tangannya turut memukul-mukul pahanya. Geli hati Yuhanis tidak terkira. Dia terus ketawa.

Mizan menjeling Yuhanis yang tak habis-habis ketawa dari tadi. Dia cuba untuk bangun tapi terjatuh semula di celah-celah tilam dan timbunan bantal. Yuhanis terus bantai ketawa lagi.

Mizan cuba untuk bangun lagi. Dan akhirnya...

Mizan berdiri sambil memegang kain pelekatnya yang hampir terlondeh. Mizan menjegil Yuhanis yang masih tidak berhenti ketawa. Tilam nipis lagi lembik yang menutup sebahagian kepalanya, sikit pun Yuhanis tidak endahkan. Mizan hanya mampu menggelengkan kepalanya.

"Lebih baik awak berhenti ketawa, call mak balik. Tentu mak tengah risau," arah Mizan dengan muka serius.

"Okey, okey. Eh, mana telefon ni?" tanya Yuhanis sambil cuba bangun dari runtuhan katil. Namun dia perlu mencari telefonnya terlebih dahulu.

Yuhanis mula meraba-raba di dalam timbunan tilam dan bantal tapi tak berjaya. Yuhanis mula menarik bantal satu per satu. Kemudian Yuhanis menarik pula kain selimut dan cadar yang sudah bergulung-gulung. Namun tilam lembik asyik menghalang kerjanya.

"Okey tepi, biar saya yang cari," arah Mizan setelah selesai menggulung kemas kain pelekatnya. Mizan sudah tidak sabar hendak menelefon Puan Azmah. Dia berasa berdosa sekali kerana telah tersilap jerkah emak sendiri.

Yuhanis segera berdiri, memberi ruang pada Mizan. Tiba-tiba Mizan tersungkur akibat terpijak kain pelekatnya ketika tertunduk-tunduk mencari telefon. Nipis-nipis tilam itu pun berjasa kerana menghalang Mizan dari tersembam ke papan katil. Yuhanis tergelak lagi, tapi cepat-cepat dia menekup mulutnya. Orang ditimpa musibah, diketawakan pula. Dia seperti dijangkiti virus ketawa pula. Mudah sekali nak ketawa ketika itu.

Prakkk!!!

Kali ini katil terus ranap rapat ke lantai. Mizan tersembam dalam gumpalan tilam lembik dan cadar segala. Yuhanis ternganga seketika. Seketika cuma.

Yuhanis bantai ketawa lagi. Ketawa sampai berair matanya. Geli hatinya tidak terkira melihat encik si hati batu dalam keadaan lucu sekali. Yuhanis sudah terduduk atas lantai sambil memegang perutnya pula.

Mizan berjaya mendapatkan telefon. Bersusah-payah, akhirnya Mizan dapat berdiri semula. Mizan menghulurkan telefon kepada Yuhanis dengan jelingan, sambil membetulkan kain sarungnya yang terlondeh. Yuhanis segera menyambut telefon dengan mulut terkemut-kemut menahan tawa. Mizan hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya lagi.

Entah apa-apa punya budak, ketawa tak henti-henti. Gila apa?! gumam hati Mizan sambil memerhati Yuhanis menghubungi Puan Azmah. Selepas ini gilirannya pula untuk meminta maaf dari emaknya.

"Habis tu siapa yang nak hantar dia ke hospital? Mak dengan ayah okey ke? Okey, okey. Hmmm. Baik, mak. Nanti Hani tanya Abang Mizan. Hani tak taulah. Kalau tak dapat cuti, Hani balik seorang la. Mak nak cakap dengan dia? Okey, mak. Pesan kat ayah elok-elok bawa kereta tu. Mak pun hati-hati, ya?" Yuhanis membalas salam lalu terus mematikan talian.

"Apa halnya?" tanya Mizan yang sedang berdiri di hadapan Yuhanis. Matanya ditala ke Yuhanis yang sedang duduk bersila di atas lantai. Yuhanis tunduk seperti sedang berfikir sesuatu.

"Erm... Shila dah mula sakit-sakit. Dah dekat nak bersalin. Mak dengan ayah tengah kalut siap-siap nak pergi hantar Shila ke hospitallah tu," jawab Yuhanis sambil mendongak memandang Mizan.

"Cepatnya awak matikan telefon. Kan saya nak cakap dengan mak sekejap."

Yuhanis seperti tidak mendengar soalan Mizan itu. Satu tangannya menggaru-garu kepala sambil memikirkan keadaan emak dan ayahnya di kampung tiada sesiapa yang membantu. Kemudian Yuhanis menyelak rambutnya ke belakang telinga. Membulat mata Yuhanis bila dia tiba-tiba teringat kepalanya yang tidak bertudung. Bukan pasal haram atau halal, tapi selepas rambut basahnya dilap, ditenyeh, disugun dan digaru, dia pasti rambutnya sekarang sudah kelihatan hampir serupa rambut bini orang utan yang tak pernah jumpa sikat.

Kemudian Yuhanis teringat akan kepalanya satu lagi. Perlahan-lahan kepala Yuhanis tunduk melihat kepala lututnya pula. Kepala lututnya turut sama terdedah. Alamak! Sedari tadi Yuhanis tidak perasan yang dia hanya memakai T-shirt dan seluar pendek paras lutut. Halimunanlah konon.

Eee, macam mana boleh terlupa ni? jerit hati Yuhanis.

Bingkas Yuhanis melompat bangun menuju ke almari. Haaa, ini pun satu hal nak kena tanya, bisik hati Yuhanis sebelum menarik skirt labuhnya. Kemudian Yuhanis tergegas ke bilik air. Tak tergamak pula dia nak pakai skirt di hadapan Mizan. Tudung terlupa pakai, ada maaf lagi.

Mizan mencebik melihat Yuhanis yang menyorok memakai kain di dalam bilik air. Orang dah tengok semua baru nak pakai kain segala, gerutu Mizan dalam hati. Sebaik Yuhanis keluar semula, Mizan terus bertanya.

"Suami dia mana?"

"Dah lari," jawab Yuhanis ringkas. Dan geram! Baru nak tanya? Dah berapa kali Yuhanis cuba nak bagi tahu tadi. Haram nak dengar.

Yuhanis cuba menahan mulutnya dari memulangkan paku buah keras. Itulah perkara yang Yuhanis cuba nak beritahu dari awal-awal lagi. Tapi yalah, nak buat macam mana. Dah dasar hati batu! Kepala batu!

Terangkat kening Mizan. Beberapa saat masing-masing membisu. Seketika Mizan merenung wajah sugul yang jelas kelihatan di hadapannya. Dia menggaru-garu kepalanya, kemudian meraup muka. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Perlahan-lahan nafas dilepaskan semula. Ada sedikit rasa sesal dalam hati. Apa bendanya, dia tak pasti. Seperti rasa ada isu yang belum selesai antara dia dan Yuhanis. Yang ini pun Mizan dah lupa apakah halnya.

"Awak nak balik?"

Yuhanis menganggukkan kepalanya beberapa kali. Laju. Matanya terpandang pintu almari yang dah terkopak. Dia hairan macam mana boleh tiba-tiba almari itu jadi begitu. Tak mungkin terjadi dengan sendiri. Yuhanis rasa nak tanya, tapi sekarang bukanlah masa yang sesuai.

"Tahu ke buah hati awak tu, ada di mana?"

Yuhanis menjeling Mizan satu das.

"Dia bukan buah hati saya lagi. Saya nak masak mi segera, awak nak tak?" tanya Yuhanis lantas melonjak bangun dan laju melangkah ke dapur meninggalkan Mizan. Ini satu lagi taktik nak lari daripada tajuk. Lagipun Yuhanis malas, tak kuasa dan tak ada masa nak layan soalan a.k.a perli Mr. Rock. Buat rugi buang air liur aje.

Yuhanis membuat dua muk Nescafe panas dan diletakkan di atas meja. Kemudian Yuhanis mengeluarkan kuali dan terus diletakkan di atas dapur. Tuang air setengah jag kecil dan didihkan. Sementara itu dia mencari stok mi segera di dalam kabinet.

Dia berdiri semula dengan dua bungkus mi segera dan dua biji telur ayam. Yuhanis menoleh dan mengerling ke arah meja di belakangnya. Mr. Rock sudah siap duduk di meja. Satu muk Nescafe berada di tangannya.

"Saya nak minta izin balik kampung. Itu yang mak suruh tanya tadi. Saya nak ganti mak tunggu Shila bersalin di hospital."

"Berapa lama?" tanya Mizan.

"Entah, saya tak pernah bersalin," jawab Yuhanis lurus. Tanpa berfikir. Kepalanya sudah menerawang sampai ke kampung sambil tangan lincah memecahkan telur ke dalam kuali. Mi segera yang telah siap, dicedok ke atas dua pinggan.

Suasana sepi seketika. Yuhanis tak kesah. Itu lebih baik dari kena jerkah dan kena tengking. Dia membawa kedua-dua pinggan ke meja, kemudian dia mengambil dua set sudu dan garpu dari laci kabinet. Satu set diletakkan ke pinggannya. Satu set lagi diletakkan ke pinggan orang yang sedang duduk di hadapannya. Orang yang sedang merenungnya dengan tajam.

"What?" soal Yuhanis sepatah bila mata Mizan masih merenungnya dengan masam. Nampak macam orang tak puas hati aje. Macamlah dia pekerja malas yang asyik ponteng kerja.

Eh, aku ada buat salah lagi ke? tanya hati Yuhanis. Rasanya tak ada.

Tiada jawapan dari Mr. Rock. So, Yuhanis rasa memang muka Mr. Rock selalu macam tu agaknya. Lantak dialah.

"Lepas makan, siap. Saya hantar awak ke stesen bas," ujar Mr. Rock tiba-tiba sebelum mula menyudu mi segera atas pinggannya.

"Oh!" Yuhanis tak sangka lesen balik kampung telah diluluskan. Kalau minta tolong dihantarkan terus ke kampung, agak-agaknya logik tak? Yuhanis berkira-kira seketika. Hohoho, sangat tak logik. Kecualilah kalau dia dah hilang akal.

Berkedip-kedip mata Yuhanis melihat Mr. Rock menyuap laju. Satu sudu demi satu sudu mi yang masih berasap disuapkan ke mulut. Sekejap aje mi sudah tinggal sedikit.

Lapar sungguh orang ni nampaknya. Yuhanis bekata-kata dalam hati.

Perlahan-lahan Yuhanis menolak pinggannya ke hadapan pinggan Mr. Rock. Mr. Rock mengangkat kepalanya merenung Yuhanis. Kening kanannya terangkat.

"Saya tak lapar," kata Yuhanis ringkas.

Mizan menyambung makan.

"Terima kasih sebab izinkan saya balik kampung, dan tolong hantar kat stesen bas," kata Yuhanis sambil menghulurkan tangannya kepada Mizan.

Mizan merenung Yuhanis yang berdiri di hadapannya dengan sebuah beg baju di sisi. Dia rasa seperti ada sesuatu yang belum selesai. Seperti ada benda nak dikatakan kepada Yuhanis, tapi dia tak pasti apa. Perlahan-lahan tangan Mizan menyambut huluran tangan Yuhanis.

Yuhanis segera tunduk mencium tangan Mizan. Dia teringat kesalahan yang telah dilakukannya kepada Mizan. Terasa satu kesalahan besar walaupun semua benda tu kecil belaka dan masa benar-benar tak mengizinkan. Dah nak buat macam mana. Masalah orang tua mereka lebih penting.

"Minta maaf banyak-banyak," ucap Yuhanis sebelum melangkah laju mendapatkan basnya. Dan tidak berkalih sampai bas bergerak meninggalkan stesen. Yuhanis menarik nafas lega. Harap-harap bas boleh bergerak lebih laju lagi. Betapa Yuhanis risau jika Mr. Rock bertanyakan harta-hartanya yang banyak itu sebentar tadi. Sebab itu Yuhanis minta maaf banyak-banyak.

Mizan memandang bas bergerak meninggalkan stesen sampai hilang daripada pandangan. Hatinya sedikit terasa kerana Yuhanis sikit pun tidak menoleh atau melambainya. Walaupun bas yang dinaiki Yuhanis melintas betul-betul di hadapannya yang berdiri di tepi keretanya. Sedari tadi sikit pun tak berubah tempat.

Mizan boleh nampak Yuhanis yang duduk di tepi tingkap tapi boleh pula minah tu buat-buat tak nampak dia.

Dasar perempuan tak kenang budi! Lain kali jangan harap aku nak tolong lagi, gerutu Mizan.

Geramkan Yuhanis, pintu keretanya yang menjadi mangsa. Mizan menutup pintu keretanya dengan geram sebelum menghidupkan enjin. Dengan hati yang mendongkol dia memandu pulang. Perempuan memang menyusahkan!

Setiba di rumah, Mizan segera naik ke biliknya. Lebih baik dia ke gim melepaskan geram pada punch bag. Buat apa aje asalkan badannya penat sampai malas nak ingat apa-apa lagi selain tidur. Dan esok pagi hanya ingat untuk pergi kerja. Dia mahu melupakan Yuhanis. Dan segala masalahnya.

Mizan mengeluarkan T-shirt dan tracksuit dari almari baju. Seperti biasa tangannya menarik laci untuk mengambil...

"Yuhanis!!!"

Laci seluar dalamnya kosong!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: