Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"Yuhanis!" Tiada sahutan.

"Tidur mati apa budak ni?!" Mizan merungut sambil terus mengetuk pintu di hadapannya.

"Yuhanis! Buka pintu ni! Hei, Hani! Awak jangan nak main-main dengan saya pagi-pagi buta ni. Saya nak pergi kerja tau tak?!" Mizan menahan geram. Dia cuba bersabar. Kalau tak, dah lama dirempuhnya pintu bilik orang gaji itu.

Sepi. Masih tiada jawapan dari orang di dalam bilik.Mizan menarik sedikit lengan baju kemeja yang sudah siap dipakai. Jam tangannya sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi. Dia sedikit lega. Masih ada waktu lagi jika dia terus masuk pejabat tanpa berhenti di mana-mana untuk bersarapan.

Never mind, sarapan tak penting. Ada benda lain yang lebih penting untuk dia selesaikan terlebih dahulu. Kalau minah ni tak mahu juga buka pintu, aku kena fikir cara lain. Mengada-ada betul budak ni. Nak balas dendam pun, berpada-padalah, bebel Mizan dalam hati.

Matanya menjeling sekilas keadaan dapur. Sudah bersih. Sudah kemas seperti biasa. Dia mencebik. Baru diuji sikit sudah berani nak melawan, nak balas dendam. Dia terus-terusan membebel.

"Yuhanis! Saya cakap elok-elok, awak tak nak dengar, ya? Kalau saya main kasar, awak jangan nak salahkan saya pula. Buka pintu ni cepat! Saya tak ada masa nak main-main dengan awak. Dengar tak ni?!" jerit Mizan lagi. Geram Mizan sudah tidak dapat ditahan. Sabarnya sudah menipis. Jam di tangan dilihat lagi. Cepat betul masa berlalu.

Pintu bilik orang gajinya hanya ada satu selak kecil. Kunci di tombol sudah lama rosak, masih tidak dibaiki. Hendak dibaiki pun, bilik itu sudah lama tak berpenghuni. Sudah lama Mizan tidak mengambil tahu pasal bilik itu tapi, apa yang Mizan tahu, pintu itu tidaklah sekuat mana. Mizan yang memasang selak itu.

So, no problem. Sekali rempuh, hah! Siap kau. Jangan nak main-main dengan aku. Lepas ni tiada maaf bagimu. You better pack your bag. Sudah terasa-rasa sedapnya ayat yang akan dia hamburkan pada budak yang hendak sangat-sangat jadi isterinya itu.

"Yuhanis! Saya cakap elok-elok, awak tak nak dengar, ya? Kalau saya naik angin nanti, awak jangan nak menyesal tau. Bagi balik barang saya, awak dengar tak?!" Jeritan Mizan sudah bertambah tinggi. Silap hari bulan mahu Uncle Muthu yang datang bertanyakan hal. Kebaikan Uncle Muthu kadang-kadang menyusahkan.

Orang di sana masih menyepi. Orang di sini sudah panas meruap-ruap seperti lava gunung berapi!

"Okay, fine! Kalau awak masih degil juga, saya akan pecahkan pintu ni. Jangan ingat saya main-main. Apa? Awak ingat saya takut ke? Setakat pintu ni, sekali saya rempuh, satu pintu boleh tercabut, tau tak! Siaplah awak nanti," ugutnya pula sambil membetulkan lilitan tuala di pinggangnya.

Ingatkan tadi, senang aje Mizan hendak mengugut Yuhanis. Sebab itulah Mizan sudah bersiap segala. Siap dengan tali leher dan briefcase lagi. Cuma belum memakai seluar aje kerana belum cukup syarat. Seluarnya dibawa turun sekali untuk menjimatkan masa.

"Okey! Masa dah tamat. Saya nak pecahkan pintu ni. Saya dah lambat nak pergi kerja. Last kata, bagi balik seluar dalam saya!" jerkah Mizan dengan geram sekali. Penat cakap masih tak dipeduli. Geram Mizan sudah memuncak. Sabarnya sudah hilang terbang melayang.

Sunyi. Dan sepi.

Berani punya budak! rungut hati Mizan sambil mengetap gigi.

"Times up! Lepas ni awak jangan menyesal."

Dia tidak mahu termalu. Cakap tak serupa bikin! Awal-awal dah warning. Sekali rempuh, maknanya sekali rempuh. Jadi dengan sekuat tenaga dia merempuh pintu bilik yang dihuni Yuhanis.

Bang!

Pintu terbuka dengan mudah kerana tidak berkunci! Malah akan terbuka dengan mudah sekali walaupun ditolak dengan satu jari. Malah mungkin juga terbuka jika dihembus.

Prakkk!

Gedebuk!

"Aduh!"

Dia terlajak! Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak rempuh, nasib tak tumpo.

Dia terjelepuk jatuh di hadapan almari uzur yang dirempuhnya. Nasib baik almari. Kalau dinding batu mahu terkehel bahu. Lagi malang jika giginya yang berterabur!

Eee! Minah ni, pintu pun tak tahu nak kunci. Mizan mendengus sambil menyeringai sakit. Menggosok-gosok bahu kanannya.

Minah tu, budak tu, Si Hani tak ada dalam bilik! Mizan baru tersedar. Laju matanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dengan laju, Mizan bingkas bangun untuk memeriksa di dalam bilik air. Pintu bilik air sememangnya sudah luas ternganga. Orang yang dicari tidak nampak batang hidung.

"Hei, Mizan, wanginya kau pagi ni!" tegur Zulkifli ketika mereka bertembung di hadapan pintu lif. Berkerut keningnya melihat wajah rakannya yang serius semacam. Cuaca di luar cukup cerah tapi kenapa cuaca di dalam mendung?

Mizan sekadar senyum kelat sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia tak ada mood nak berbual. Hatinya sedang sakit mencengkam, begitu juga bahunya. Dia juga berasa begitu geram tidak terkira kerana sia-sia aje masanya terbuang bercakap sorang-sorang di hadapan bilik yang tiada penghuni.

Rasa macam orang bodoh pula. Lucu pun ada juga. Bila diingatkan macam nak ketawa juga tapi disebabkan sakit hatinya tak habis lagi, maka tak jadi. Lainlah, jika kes ini tidak berlaku pada diri sendiri. Memang boleh gelak terguling-guling sampai berhari-hari.

Ke mana pula minah tu merayap pagi-pagi buta? Ataupun mungkin dia tak tidur di rumah semalam. Kalau tak tidur di rumah, di mana pula dia tidur? ligat kepala Mizan berfikir. Perempuan sekarang bukan boleh percaya. Mulalah Mizan nak fikirkan yang bukan-bukan. Tapi...

Ah, pedulikan. Buat apa aku nak ambil tahu? Aku cuma nak tahu mana barang-barang aku disembunyikan.

Pintu lif terbuka. Mizan dan Zulkifli melangkah masuk. Tiga orang gadis bergegas turut mengikut masuk dalam lif yang sama. Macamlah tidak ada lif lain. Ah, Zulkifli dah masak. Siapalah yang bodoh hendak melepaskan peluang berada dalam zon pandangan mata Encik Saiful Mizan? The most handsome and most eligible CEO di syarikat itu.

Lebih-lebih lagi, di waktu pagi begini. Mekap masih rapi, pakaian dan badan masih harum mewangi. Tuah ayam nampak di kaki, tuah dan jodoh manusia siapa yang tahu? Belum cuba, belum tahu. Siapa tak berani dia yang rugi. Dalam mulut naga pun orang berani rebutkan. Inikan pula CEO yang dah kembali single, tiada ikatan!

Zulkifli tak jadi nak tanya lebih. Nak buka mulut pun tak berani. Nanti tak pasal-pasal keluar cerita baru dari pejabat mulut murai.com.my. Kesian kawan aku! Nanti keluar cerita lebih sensasi dari cerita Melodi mengalahkan cerita artis.

Mizan melangut memandang bahagian atas lif. Sakit dalam hatinya sedikit pun tak berkurang dari tadi. Kepala pula mula berfikir yang bukan-bukan. Adakah minah tu dah lari dari rumah? Atau kena culik? Atau pun ikut jantan lain? Mizan mula naik risau. Bukan risau akan minah tu. Mizan cuma risau apa dia nak cakap pada kedua-dua orang tuanya jika sesuatu yang buruk menimpa anak emas mereka. Pasal minah tu, Mizan tak kuasa nak ambil tahu.

Zulkifli memandang ke hadapan. Lebih bagus dari melangut ke atas. Tiga dara dengan baju kebaya masing-masing berdiri di hadapannya dan Mizan. Mereka menghadap pintu lif.

Kalau boleh semua nak pusing menghadap Encik CEO, boleh bertentangan mata. Almaklumlah semua dah pernah dengar pepatah, dari mata jatuh ke hati. Manalah tahu setelah berusaha takdir menentukan cinta pandang pertama. Tapi takut juga jika terover, saham menjunam. Habis plan jahanam.

Mata Zulkifli tak lepas peluang. Dari hujung rambut sampai ke hujung kasut tumit tinggi diteliti. Semua cantik-cantik belaka. Berderet sebaris, macam pertandingan ratu kebaya. Sejak kebelakangan ini Zulkifli rasa seperti ada pertandingan ratu kebaya pula di syarikat mereka. Mak janda- mak janda juga tak mahu kalah.

"Opocot mak kau!" Tiba-tiba Zulkifli melatah.

Zulkifli disinggung Mizan yang berdiri di sisinya. Mizan menjegilkan mata kepada Zulkifli. Zulkifli termalu alah. Kalau boleh Zulkifli yang nak jeling pada Mizan, tapi tersedar diri sendiri yang salah. Terpaksalah dia beralah.

Ketiga-tiga gadis tersebut tak lepaskan peluang menoleh ke belakang dengan senyuman manis menawan. Seperti ada peraduan ubat gigi pula kali ini. Dengan gaya manja, masing-masing berpusing. Ketiga-tiganya ketawa terkekeh-kekeh sambil menutup mulut merah mereka.

Zulkifli tersengih malu. Tak macholah kalau orang lelaki melatah. Namun peluang untuk berbalas senyuman memikat tidak mampu dilepaskan. Tapi hampa. Tiga pasang mata si gadis bergaya hanya untuk Encik Mizan seorang. Perlahan-lahan Zulkifli menyimpan senyumannya yang tak dipedulikan.

"Perfume apa yang kau pakai ni, Mizan? Macam perfume orang perempuan aje. Perempuan mana pula yang bergesel-gesel dengan kau ni?" soal Sharif. Kerusi di hadapan meja Mizan sudah ditarik tapi Sharif tak jadi duduk. Sharif melangkah mendekati Mizan.

"Hesy, apa pasal kau ni? Kau nak cium aku ke?" tanya Mizan tak puas hati sambil tangannya segera menyiku Sharif yang sedang tertunduk-tunduk menghidu bahunya. Serta-merta Mizan mengusap bahunya yang terasa sakit.

Isy, minah tu punya pasallah bahu aku sakit begini.

"Cium kau buat apa? Baik aku cium kucing siam mama aku," ujar Sharif tersengih-sengih sambil melangkah semula mengambil tempatnya di hadapan Mizan.

"Eh, er... Suraya ada datang cari kau ke? Bergesel-gesel dengan kau ke dia tu? Wangi semacam aje kau pagi ni. Ke dia ada datang rumah kau? Kau kena ingat Mizan, bukan apa... Aku risau, takut kalau-kalau kau terperangkap lagi dengan perempuan tu. Dibuatnya, dia memang ada plan nak pasang perangkap, aniaya aje kau kena tangkap basah dengan dia. Perempuan macam tu kalau dah terdesak, kalah orang lelaki tau tak?"

"Aku rasa kan, Mizan. Kalau kau nak selamat, baik kau kahwin cepat-cepat. Pilih aje perempuan yang biasa-biasa, yang baik akhlak. Cari perempuan-perempuan di syarikat ni pun lagi senang. Memang ramai yang nak kahwin dengan kau pun. Jangan-jangan ada yang sanggup bergusti berebutkan kau. Kalau kau segan, aku boleh tolong rekomenkan. Aku boleh tolong carikan yang rajin sembahyang, pandai mengaji, yang pakai tudung, yang cantik tapi pandai jaga diri. Aku ingat..."

"Kau dah dapat ke?" Tiba-tiba Mizan memotong kata-kata Sharif.

"Dapat apa?" soal Sharif kembali dengan dahi berkerut. Sharif tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Mizan.

"Dapat cari calon isteri sendiri di syarikat inilah. Macam kau cakap tadi," kata Mizan selamba sambil tangan mula menarik beberapa fail di hadapannya.

"Kau perli akulah ni, ya? Aku ni cuma nak ingatkan kau aje pasal ex-wife kau yang dengar ceritanya sudah balik ke sini. Untuk keselamatan kau, aku ingat kau pa..."

"Okey, okey. Cukup, cukup. Tak payah lagi kau nak ingat apa-apa dah. Sebenarnya apa yang kau nak datang jumpa aku ni? Mesyuarat kau dengan client dari Seremban tu dah selesai ke?" tanya Mizan lagi sambil membuka sebuah fail. Mizan menyelak beberapa helaian dokumen sebelum menarik sekeping surat yang perlu diberi perhatian pada hari itu.

"Kau ni kan, Mizan asyik kerja, kerja, kerja. Boringlah macam ni. Zul pun cakap, bukan senang nak ajak kau keluar sekarang ni. Ajak melepak di kelab pun, ada aje alasan kau," rungut Sharif, kemudian bangun berjalan ke tingkap. Pandangannya dilontarkan ke luar. Tiada yang hijau, semuanya hutan batu.

Mata Mizan masih menatap surat yang sedang diteliti. Pen di tangannya sekali sekala mencatit sesuatu di hujung surat tersebut. Nasib baik tangan kanannya masih boleh memegang pen. Ini semua budak tu punya pasal. Tak habis-habis Mizan menyalahkan Yuhanis. Sedang bekerja pun fikirannya boleh tiba-tiba menerawang pada minah tu.

"Eh Mizan, kau tak dengar ke apa yang aku tanya dari tadi? Buat penat aku cakap ajelah kau ni," keluh Sharif sambil melangkah ke kerusinya semula. Dengan hampa dia menghenyakkan punggungnya ke atas kerusi empuk di hadapan Mizan.

"Kau ni, Sharif. tak ada kerja ke hari ni? Okeylah, kau nak jawapan pada semua soalan yang kau tanya tadi kan, the answer is NO! Capital letter," ujar Mizan sambil menghalakan pandangannya pada Sharif.

"Jadi, Suraya tak ada datang ke rumah kau malam tadi? Atau pagi tadi?"

"No," jawab Mizan sebelum tunduk menyambung kerjanya semula.

"Tak ada mana-mana perempuan gesel-gesel dengan kau?"

"No."

"Kau tak mahu ke aku tolong rekomenkan mana-mana perempuan baik untuk kau, Mizan?"

"No."

Sharif terdiam. Sharif menongkat lengannya di atas meja Mizan. Matanya merenung tajam wajah sahabat yang mahu dilindunginya. Mereka sudah berkawan lebih dari sepuluh tahun lamanya.

"What? Tak puas hati lagi? Any more questions? Go ahead, don't be shy to ask me." Mizan mengangkat muka memandang Sharif di hadapannya. Wajahnya sengaja dimaniskan.

Sharif menjeling sahabatnya. Bukannya dia tak faham.

"Alaaa, kau tu kalau tak nak jawab, macam-macamlah kau cari jalan nak mengelak," komen Sharif dengan nada merajuk.

"Apa sebenarnya yang kau nak tanya ni? Okey, serius aku jawab."

"Pasal apa baju, seluar kau ada bau minyak wangi perempuan?"

"Oh, itu sebenarnya, sebenarnya, aku pun tak tahu. Aku kurang pasti. Baju-baju ni aku baru ambil dari kedai dobi semalam. Dia orang pakai pewangi baru, jenis lain kut. Selalunya tak bau macam ni. Pakaian kau macam mana? Kau pun hantar dobi di situ juga, kan?" Mizan mengerutkan keningnya. Cuba mengingati sesuatu.

Tapi masalahnya dia sendiri pun kurang pasti. Jangan-jangan kerja si minah tu. Seluar dalamnya pun habis diculik, satu pun tak tinggal.

Terpaksalah Mizan memakai semula seluar dalam semalam. Kitar semula. Kalau aku dapat masalah gatal-gatal, siap kau, Hani. Mizan senyum jahat dalam hati yang sedang geram. Seketika dia tersedar dari angan-angan dendamnya.

"Yes! Yes! That's it! Kedai dobi!" Tiba-tiba Sharif yang terlebih ceria. Senyuman tersungging di bibir Sharif. Sharif kelihatan teruja sekali.

Mizan merenung Sharif sambil menjongketkan kening. Pen di tangannya dicampak perlahan di atas meja. Tak boleh kasar-kasar, bahunya masih sakit. Mizan menyandarkan badannya ke kerusi sambil berpeluk tubuh.Perlahan-lahan juga.

Dia tak kuasa nak tunjuk sakitnya pada sesiapa. Lebih-lebih lagi best friendnya. Kelak dia yang perlu mencari jawapan. Kenapa? Bagaimana? Bila? Jawapannya pula, mesti jawapan yang tidak memberi ruang untuk rakannya itu mentertawakannya. Jika tidak sakitnya akan berjangkit dalam hatinya, berganda pula. Sakit yang ada pun belum surut lagi. Geramnya bertambah setiap kali dirinya terasa gatal tak selesa memakai seluar dalam semalam.

Ini semua pasal perempuan itulah. Rasa geram bergumpal-gumpal dalam dada Mizan. Tak habis-habis dia menyalahkan Yuhanis.

"Yes? Anything you want to tell me? Girlfriend baru? Atau kau tiba-tiba dah jumpa gadis impian? Gadis pekerja kedai dobi? Aku dengar kau asyik cerita pasal kedai dobi aje kebelakangan ni. Betul ke kau dah jatuh cinta ni? Or maybe dah bersedia nak masuk meminang?" tanya Mizan dengan malas. Ada unsur-unsur perli di situ, tapi sikit pun Sharif tak kesah. Dalam hati dah ada taman gitu.

"Yeah, betul-betul! Hebatlah kau, Mizan! Tepat jangkaan kau! Eh, kau nak tau Mizan, aku sebenarnya malu nak cakap pada kau, tapi aku nak minta nasihat kau. Nak minta tolong kau errr... macam mana ni, ya? Aku... Apa ni..." Sharif yang kelihatan gembira kehilangan kata-kata. Terasa sukar untuknya menyuarakan rasa-rasa yang baru dirasa.

"Amboi susahnya mat romeo ni nak cakap. Apa? Kau tak berjaya nak tackle that girl? Betul?" soal Mizan sekadar melayan rasa sahabatnya itu. Rasa pelik juga. Biasanya Sharif hanya perlu petik jari, berlumba-lumba kalahkan mat rempit perempuan datang untuk mendampinginya.

"Budak perempuan tu tak layan. Aku ayat pun, dia buat tak faham aje. Kau tolong aku eh, Mizan? Aku nak kau tolong temankan aku jumpa budak perempuan ni. Aku nak kau jadi... Erm... Jadi orang yang boleh backup aku, rekomen aku pada dia. Susah betul aku nak dekat dengan budak ni, semua tak jalan."

"Kenapa kau tak tunjuk aje kereta besar kau tu? Tayang aje BMW kau tu. Tak pun Ferarri kau tu ke. Tak pun CRV baru tu. Mana-mana perempuan pun, senang-senang tersangkut."

"Dah! Tak jalan," jawab Sharif dengan mulut terjuih.

"Really?" tanya Mizan pula. Bunyi macam tak percaya.

Sharif sekadar mengangguk.

"Perempuan tu tak ada mata, apa? Ada dia tengok muka handsome kau ni tak?"

Sharif mengangguk lagi.

"Perasan! Hahaha." Mizan tidak dapat menahan tawanya.

"Woi, tolonglah. Kau jangan main-mainkan aku, Mizan. Aku serius ni. Budak tu sikit pun tak sangkut dengan rupa aku atau kereta aku. Aku tengah frust ni, kau tau tak? Kalau aku tau budak tu duduk mana, nak aje aku suruh mama dengan ayah aku pergi pinang terus."

"Hai, ini kes serius ni. Tanam pinang rapat-rapat, biar puyuh senang nak lari. Kalau tackle tak dapat-dapat, kidnap aje... Paksa kahwin sebelum dia lari," kata Mizan dengan senyuman masih bermain di bibir.

"Apa? Kau ingat aku main-main ke? Ah, Mizan aku rasa kan, aku betul-betul dah jatuh hati pada dia. Dia lain dari yang lain. Aku takut aku terlambat atau terlepas. Susah nak cari perempuan yang tak pandang harta, tak pandang rupa zaman sekarang ni. Kau bukan tak tau."

"Habis tu, kau nak aku buat apa?"

"Ikut aku jumpa dia, amacam?"

"Di mana? Bila?" tanya Mizan dengan tak semena-mena teringatkan isterinya yang menghilangkan diri. Di mana dia, eh?

Sharif garu kepala. Mulutnya terbuka seperti mahu menyatakan sesuatu, kemudian membisu.

Mizan mula faham. Ini mesti kes cinta pandang pertama dan tak tahu apa-apa mengenai si dia. Hingga terbayang-bayang sampai gila bayang.

"Tempat kerja dia?"

"Aku tak tahu dia kerja di mana."

"Habis tu, nak jumpa macam mana? Rumah dia tak tau, tempat kerja dia pun tak tau. Habis tu kau tahu ke nak cari budak tu kat mana?"

"Haaa, adakah ini maknanya kau sudi nak tolong aku?" Sharif segera berdiri, excited lebih. Dah serupa kanak-kanak tadika.

"Kau nak tau, Mizan. Dah beberapa hari aku tunggu dan intip dia. Hari tu, aku terserempak dia kat..."

"Woi! Kau menghendap anak dara orang ya, Sharif? Habis tu, budak tu tak sedar ke kau selalu skodeng dia?"

"Aku kena kreatiflah sikit, Mizan. Cara biasa tak dapat, aku kena cari jalan lain. Nak himpit dia, aku kena buat baik dengan dia, dengan adik atau keluarga dia. Betul tak? Apapun, thank you sebab kau sudi nak tolong aku. Nanti aku beritahu kau bila, okey?" ujar Sharif sambil melangkah ke sisi Mizan.

"Okey, no problem. Aku harap kau berjaya. Semoga berbaloi segala usaha skodeng kau tu!" balas Mizan. Sedangkan dalam hati, sendiri punya problem pun belum tentu dapat diselesaikan.

"Well. Thanks, bro. Kau sudi tolong aku pun dah cukup bagus. Kaulah best friend aku dunia akhirat," ujar Sharif dengan gembira sambil memaut kemas bahu Mizan. Kemudian Sharif menumbuk-numbuk bahu Mizan tanda keakraban mereka.

Mizan hanya mampu menyeringai. Hendak mengaduh terpaksa ditelan. Sharif tersenyum gembira. Mizan mengeluh geram.

Yuhanis!

Yuhanis tercacak bangun dari perbaringannya. Terdengar-dengar seperti ada suara orang menyebut-nyebut namanya, memanggilnya. Yuhanis memisat mata. Pandangan matanya ditebarkan ke sekeliling.

Ah, dia di bilik Sara dan Suri. Dia baru tersedar sambil menolak rambut panjangnya ke belakang. Ketika itu dia bersendirian. Yusri dan adik-adiknya pergi ke sekolah. Dia duduk memerhati sekeliling bilik tidur Sara dan Suri. Bilik itu perlu dicat semula agar nampak segar dan berseri. Warna merah jambu untuk bilik budak perempuaan. Hmmm, tentu Sara dan Suri akan suka. Mungkin satu rumah perlu dicat. Dia mula berkira-kira untuk menjayakan rancangannya.

Dia berbaring semula. Ah, nikmatnya. Dia teringat wajah-wajah ceria adik-adiknya pagi tadi. Rasa puas hati kerana akhirnya hajatnya tercapai. Pagi ini Yusri dan si kembar bersarapan bihun goreng, hasil air tangannya. Tapi esok, bagaimana?

Yuhanis melihat jam di dinding. Masih terlalu awal untuk dia pulang ke rumah. Selagi boleh dia hendak mengelak daripada bertembung dengan Mr. Rock buat masa yang terdekat ini. Dekat-dekat pun, paling lewat sebelum Mr. Rock sampai ke rumah selepas habis kerja.

Selamat lagikah sarang halimunannya itu?

Nak juga tunggu keadaan cool sikit. Hehehe, tentu ada orang tengah tak cool. Panas! Dia tersenyum nakal. Dia teringat kejadian semalam.

Apakah dia melebih dalam tindakannya? Ah, siapa yang mulakan dulu?

Apa pun sebelum pulang, Yuhanis perlu singgah di kedai dobi. Nak kena ambil harta karun Mr. Rock. Haaa! Itulah, siapa suruh pedajal dia. Kan dah kena smash balik.

Yuhanis bergolek seketika di atas katil si kembar. Terasa ada satu rasa halus yang menyentuh perasaannya apabila dapat bermalam sekatil dengan si kembar. Terasa seperti mereka benar-benar satu keluarga. Seperti satu masa dan ketika dahulu, waktu cuti sekolah, Yuhanis dan arwah adik-adik kembarnya selalu tidur bersama-sama. Mereka akan berbual sehingga terlena. Indahnya kenangan itu.

Yuhanis tiada rancangan pun hendak bermalam di situ. Semuanya gara-gara dia kepenatan. Sedar-sedar azan maghrib yang mengejutkannya. Yusri dan si kembar juga terlena akibat penat dan kekenyangan. Kita merancang, Allah yang menentukan.

Yuhanis merenung ke siling, cuba mengingati kisah semalam. Dia tersenyum sendirian. Sekarang memanglah terasa lucu sekali. Namun semalam, hah... Rasa macam kena dera.

Semalam adalah hari yang paling memenatkan tapi berbaloi apabila akhirnya dia dapat juga meraikan hari jadi si kembar. Nasib baik dia sempat keluar rumah sebelum habis waktu pejabat.

Dia membawa sepersalinan pakaian dan telekung. Tak lupa berus giginya. Kelam kabut Yuhanis menyumbat kesemuanya ke dalam beg sandang, sebelum berlari ke simpang jalan besar untuk menunggu teksi dengan badan yang berpeluh.

Yang lecehnya, kena angkut segala mak nenek kain kotor sekali. Tapi yang bestnya semua sekali pakaian dalam Mr. Rock.

Padan muka. Siapa suruh cari pasal dengan aku? bicara hati Yuhanis si peguam bela diri.

Dia tak sangka, rancangannya hendak membuat kejutan pada Yusri tiga beradik, tapi dia yang terkejut. Hairan Yuhanis melihat selonggok hadiah di tengah rumah sebaik dia melangkah masuk ke rumah Yusri.

Nasiblah Yuhanis tak kecil hati sebab kek dan juadah-juadah lain yang dibawanya sudah tidak menjadi kejutan buat si kembar. Malah Yuhanis tumpang gembira melihat mereka tiga beradik gembira. Si kembar sedang menghadap KFC! Dengan Yusri sekali sedang bersila menghadap hidangan.

"Dari mana datangnya semua benda ni?" soal Yuhanis sebaik dia turut duduk bersila menghadap KFC yang terhidang beralaskan surat khabar lama di tengah rumah.

"Abang Omar!" Serentak Sara dan Suri menjawab. Sambil senyum, sambil sibuk menjamu selera.

Berkerut dahi Yuhanis mendengar nama itu. Terangkat-angkat kening Yusri memandang Yuhanis.

"Apa?" tanya Yuhanis, buat-buat tak faham akan usikan Yusri. Mungkin Yusri menyangka hubungannya dengan Encik Omar sudah menjangkau ke langit biru.

"Abang Omar tu memang minat kat akak. Yusri rasa tak salah kalau akak kawan dulu. Kenal-kenal dulu dengan dia. Dia memang orang baik," ujar Yusri dengan mulut penuh dengan ayam KFC. Paha ayam di tangannya sudah sedia menanti untuk digigit lagi.

"Okey." Itu sahaja jawapan Yuhanis. Sempat dia memberi signal kepada Yusri dengan menjuihkan bibirnya ke arah Sara dan Suri yang sedang ralit makan. Tanda Yuhanis tidak mahu bercakap pasal hal itu di hadapan adik-adiknya.

"Bila dia datang hantar semua ni?" tanya Yuhanis ingin tahu. Risau pun ada. Dibuatnya Encik Omar bertandang dan bertunggu-tangga di situ, susahlah Yuhanis hendak datang bila-bila dia ada kesempatan. Tak pasal-pasal nanti jadi kes lain.

"Bukan Abang Omar yang hantar." Suri menjawab tiba-tiba. Pasang telinga juga mereka rupa-rupanya. Yuhanis menunggu sambungan dari Sara pula untuk berkata sesuatu.

"Abang Omar kirim kat orang. Ada orang datang bagi barang-barang ni pada Abang Yusri kat kedai dobi tadi."

Yuhanis dah mula masak dengan kelakuan si kembar. Yuhanis seronok melayan keletah mereka. Impiannya untuk memiliki anak kembar masih tersimpan dalam sudut hati. Jika ada rezeki. Dengan izin Allah. Harapan masih luas terbentang, bisik hati kecilnya.

"Abang Omar suruh driver ayah dia hantar semua barang-barang ni, dengan duit RM500 pada Yusri. Masa tu Yusri baru habis kerja, tengah siap-siap nak balik. Siap ada pesanan dari Abang Omar. Dia suruh sampaikan semua barang-barang ni pada Sara dan Suri, adik Kak Hani. Lepas tu dia pesan lagi, suruh belikan KFC ni untuk Sara dan Suri dengan duit yang dikirim," jelas Yusri panjang lebar sambil memanjangkan tangannya mencapai seketul ayam kemudian ditalakan pada selonggok barang-barang di tepi dinding ruang tamu itu.

"Oh, hari tu kami ada terjumpa Encik Omar di MegaMall. Masa tengah makan KFC. Tu yang dia tahu Sara dan Suri suka sangat dengan KFC ni. Macam tau-tau aje hari ni birthday Sara dan Suri. Inilah rezeki namanya," jelas Yuhanis yang tidak mahu Yusri menyangka yang bukan-bukan.

"Abang Omar tumpang makan kat meja kami, sebab meja semua dah penuh," cerita Sara.

"KFC yang kita bawa balik hari tu pun, Abang Omar yang kasi," tambah Suri pula.

"Akak tak cerita apa-apa pun kat Yusri hari tu. Malu, eh? Itu, terjumpa ke atau dah plan nak jumpa?" usik Yusri, siap mengelip-ngelipkan matanya.

Yuhanis menjegilkan matanya pada Yusri. Yusri terus tersengih-sengih sambil sambung makan.

"Kak Hani nak tahu? Sara rasa barang-barang inilah yang sama-sama dibeli masa kita beli barang hari tu."

"Betul, Kak Hani. Suri tengok kasut ni hari tu kan, sama dengan kasut yang Abang Omar bagi ni. Jangan-jangan Abang Omar yang beli sekali hari tu."

"Apa susah? Nanti akak tanya aje kat Abang Omar sendiri bila akak jumpa dia nanti. Yusri tak kata apa-apa kat pak cik driver tu sebab Yusri rasa pak cik tu bukan tau apa-apa. Cuma ikut arahan bos dia aje," jawab Yusri sambil menyuap kentang goreng pula ke dalam mulutnya.

"Rezeki hari jadi Sara dan Surilah ni. Tak apa, nanti kalau kita terjumpa dengan Encik Omar lagi, Sara dan Suri kena ucap terima kasih pada dia, okey? Orang berbudi..."

"Kita berbahasa," sampuk Sara dan Suri.

Yusri tidak sempat hendak menyampuk sebab sedang melanggah air minuman.

"Lepas ni kita potong kek pula," saran Yuhanis. Sudah tidak sabar hendak melihat reaksi Sara dan Suri dengan kek hari jadi yang ditempah khas untuk mereka berdua. Siap ada tulis nama mereka atas kek lagi .

Horeee, horeee. Sara dan Suri gembira menyambut hari jadi dengan hadiah yang lumayan. Rezeki yang tak diduga. Rezeki yang tak boleh ditolak. Yusri dan Yuhanis tumpang gembira untuk si kembar. Tanpa disedari Encik Omar juga dapat pahala kerana menggembirakan hati anak yatim piatu.

Bila ada peluang nanti, Yuhanis akan bertemu juga dengan Encik Omar untuk menerangkan keadaan yang sebenar. Yuhanis tidak mahu ada masalah timbul di kemudian hari. Pada Yuhanis jika perasaan sendiri perlu dijaga, begitu juga perasaan orang lain. Bukankah mempermainkan perasaan orang juga satu dosa?

Masalah Yuhanis dengan Nizam dan Mizan pun tak selesai lagi. Buat apa nak ditambah lagi? Buat apa sengaja nak memeningkan kepala? Bukannya elok kalau selalu makan ubat sakit kepala, nanti dapat masalah buah pinggang pula. Maka untuk kesihatan buah pinggang, jangan libatkan diri dengan cinta bersegi-segi.

Yuhanis menggunakan masa yang ada mengemas serba sedikit rumah adik-adiknya. Sempat juga dia menjemurkan pakaian mereka yang telah dibasuh awal pagi menggunakan mesin basuh lama yang hanya ada tiga kaki. Satu kaki lagi dah hilang gamaknya. Itu yang pakai kaki palsu. Dua batu bata disusun bertingkat untuk kestabilan mesin basuh itu. Kreatif juga adik-adiknya itu. Yuhanis perlu membeli sebuah mesin basuh baru dengan segera untuk mereka.

Sementara menunggu nasi masak, Yuhanis menggoreng sayur kobis berencahkan telur. Sebelah ayam yang dikeluarkan dari peti sejuk dipotong kecil untuk digoreng. Dua ketul ayam dipotong kecil dan digoreng bersama hirisan ubi kentang.

Makanan sudah siap dihidang. Walaupun penat tapi dia senang hati dan puas. Dia segera mandi dan bersiap untuk pulang. Sebelum pulang dia sempat mengerjakan solat sunat duha yang sudah menjadi amalannya.

Sembahyang sunat duha adalah jalan untuk mendapat jaminan dari Allah agar dipermudahkan rezeki dan keperluan setiap hari. Peluang ini juga Yuhanis gunakan untuk berdoa buat ibu bapa dan adik-adiknya. Anak yang rajin berdoa untuk ibu bapanya juga akan dimurahkan rezeki.

Rezeki bukan bermaksud wang ringgit semata-mata. Apa yang Yuhanis faham ialah rezeki meliputi semua aspek kehidupan. Termasuk dipermudahkan segala urusan. Yes! Termasuk urusan Yuhanis dengan Mr. Rock kerana memandai melarikan semua underware orang tu.

Eh, orang tu pergi kerja pakai apa, erk?

Alamak!!!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: