Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Telefon

'Kak, saya ikut cikgu ke Taman Negara selama tiga hari.' Mesej dari Khansa. Cepat-cepat Syifa melihat sekeliling rumah. Seakan memahami kebimbangan Syifa, Khansa menghantar mesej lagi, 'Kucing telah saya tumpangkan di rumah kawan.'

Serta-merta wajah Syifa bertukar lega. Masa bertugas yang panjang di hospital tidak memungkinkan dia untuk menjaga kucing Khansa.

Baru sahaja Syifa hendak melabuhkan punggung ke sofa, telefon bimbit berdenting lagi. Kali ini bukan dari Khansa. Nama yang terpampang, menyebabkan Syifa mencebik.

'Awak on call? Boleh saya telefon?'

Telefon bimbit diletakkan di atas meja kopi dan digantikan dengan alat kawalan jauh televisyen. Satu-persatu saluran dibuka, namun tiada satu pun yang menarik perhatian.

'Awak dah baca mesej saya, tapi kenapa tak jawab? Sibuk sangatkah?'

Diam.

'Ada hal penting yang saya nak katakan.'

Bertalu-talu mesej masuk, tetapi dibiar tidak berjawab. Akhirnya telefon berbunyi, tanda ada panggilan. Rungut Syifa, "Masih tidak berputus asa?"

'Tolong angkat telefon!' Mesej yang membuatkan Syifa mengalah.

"Helo, kenapa telefon?"

"Kenapa susah sangat hendak angkat telefon?"

Jawab Syifa malas, "Tadi saya ada hal yang perlu diuruskan." Andai diketahui bahawa menukar saluran televisyen jauh lebih penting daripada menjawab panggilan.

"Urusan apa? Bertemujanji dengan lelaki?" Sinis soalan yang dilemparkan.

Wajah Syifa memerah. "Kalau ya, apa kaitan dengan awak?"

"Bawa saya bertemu dengan lelaki itu. Sebagai kawan, saya tak mahu awak ditipu dan dipergunakan."

Syifa mengetap gigi. "Usah bimbangkan saya. Jaga sahaja isteri awak. Saya sudah dewasa dan bekerjaya. Saya boleh jaga diri sendiri."

Lelaki di hujung talian tertawa kecil. "Awak cemburu?"

"Awak berdelusi."

"Oh ya, tempohari kami pergi bulan madu di Bali. Saya ada beli ole-ole untuk awak."

"Terima kasih, tapi tak perlu beli apa-apa untuk saya."

"Satu lagi perkara...." Suara di hujung talian bertukar lunak.

Seperti dapat menduga apakah yang ingin diperkatakan, Syifa pantas memotong, "Saya baru sahaja tolong bayar yuran kelas fotografi Khansa." Kelas yang sebenarnya dibayar oleh Khansa dengan upah yang diperoleh sebagai pembantu cikgu.

"Tolonglah. Saya dah terlebih belanja semasa di sana."

"Maaf, saya tak boleh bantu. Kelas Khansa sangat mahal. Belum lagi yuran tutorial." Kelas tutorial yang sebenarnya tidak wujud.

"Kenapa pula Khansa sibuk nak ambil kelas yang mahal? Kalau setakat nak jadi jurugambar, kelas di Kolej Komuniti pun ada. Yuran pun lebih murah."

"Cikgunya jurugambar National Geographic. Hasil karyanya sangat hebat. Berbaloi belajar walaupun harga mahal."

Tempelak si pemanggil, "Buat apa belajar mahal-mahal benda yang boleh dipelajari sendiri?"

Bidas Syifa, "Lebih baik daripada pinjamkan duit kepada orang yang terlebih berbelanja."

"Awak masih marahkan saya?"

"Kenapa pula?"

"Sebab saya tidak pilih awak?"

"Saya bersyukur."

"Sampai hati awak."

"Maaf, saya perlu tidur awal. Esok saya perlu masuk awal pagi."

"Tolonglah saya. Kita kan kawan?"

"Selamat malam." Talian diputuskan. Wajah Syifa meredup. "Kita bukan kawan."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro