Sabtu
Lelaki-lelaki dari permainan gila Jumaat malam biasanya sangat bising. Ada sahaja perkara yang hendak dikomplen. Biarpun cedera parah, namun sifat miang tidak segan ditunjuk. Setiap kali ada doktor wanita dan jururawat lalu, mereka akan bersiul beramai-ramai. Kata-kata yang dikeluarkan juga sangat lucah dan menggelikan.
Berlainan pula jika yang datang itu doktor atau atendan lelaki. Serta-merta mereka berubah, sama ada mereka akan mencabar untuk beradu tenaga bergusti tangan. Boleh jadi juga mereka bertukar pembuli, terutama dengan kehadiran Dr. Tariq. Seorang doktor muda yang sangat kurus dan cengkung serta lingkaran yang gelap di sekeliling mata. Kelihatan lemah dan kerap-kali disalah anggap sebagai penagih dadah.
"Doktor, kau patut masuk permainan kami!" Usik mereka.
Dr. Tariq melangkah beberapa tapak ke belakang. Kedua belah tangan diletakkan di hadapan, seakan melindungi diri, "Tidak mengapa... tidak mengapa. Ah... anu... permainan itu tidak sesuai dengan saya..."
"Doktor sebagai lelaki, kita hendaklah berdiri dengan tegak, kelihatan yakin dan gagah. Apa hobi doktor?"
"Ah... anu... baca buku."
Jawapan itu membuatkan pesakit-pesakit itu mengeluh. Ujar seorang dari mereka, "Hobi yang bosan!"
Sambut seorang yang lain, "Sebagai lelaki, kita mestilah kuat! Buat kerja berat!" Otot lengan sengaja ditayang-tayang. Ada tattoo corak bunga ros.
"Sebagai lelaki, kita mesti bantu orang susah!"
"Sebagai lelaki, kita tidak akan biarkan maruah kita diinjak!"
Kemudian, bersahut-sahutan mereka menjelaskan definisi lelaki. Hingga akhirnya satu suara menyampuk dengan keras, "Sebagai lelaki, dia tahu untuk diam di hospital!" Wad yang riuh-rendah tadi terus sunyi-sepi. "Aku nak berehat pun susah!" Suaranya penuh autoriti, sehingga tidak kedengaran bunyi berdecit.
"Aku dengar ada yang bising lagi, peti suaranya aku cabut!"
Pertama kali semenjak permainan gila mereka bermula, wad hari Sabtu kembali menjadi sepatutnya. Senyap dan tenang. Hanya bunyi mesin dan tapak kaki jururawat yang memecah kesunyian.
Lelaki tidak berambut dengan kemeja Hawaii corak bunga raya yang dipakai mengganti jubah hospital mengangguk perlahan. Dr. Syifa tersenyum lebar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro