Perkahwinan
Sebaik sahaja Syifa melangkah masuk ke dalam dewan resepsi, dia disambut dengan hiasan romantis serba merah jambu dengan sedikit keemasan. Penataan lampu, muzik perlahan dan penyambut tetamu berbaju sedondon menambahkan meriah majlis. Namun begitu, pandangan Syifa terus tertumpu kepada pasangan mempelai di pentas persandingan yang mewah. Kedua-duanya kelihatan sungguh manis dan saling mencuri pandang.
Seorang penyambut tetamu menunjukkan Syifa meja yang telah ditetapkan di kad jemputan. Ujar Syifa, "Maafkan saya, kerana terlewat sampai."Penyambut tetamu itu hanya mengangguk-angguk. Hadiah yang dibawa telah diserahkan kepada petugas di bahagian pendaftaran.
Senyuman nipis hanya menghiasi bibir Syifa. Dia ditempatkan di sebuah meja dengan wajah-wajah asing. Setiap seorang mempunyai gelaran di pangkal nama. Gelaran yang diketahui oleh Syifa melalui perbualan sesama mereka.
"Sahabat Aulia?" Sapa seorang wanita separuh usia yang mengenakan pakaian warna sama seperti yang dipakai ahli keluarga pengantin.
Pantas Syifa menggeleng. "Saya kenalan pengantin lelaki."
"Oh." Secepat itu juga tumpuan semua orang di meja diberikan kepada Syifa.
"Sebenarnya teman lelaki saya yang berkawan dengan pengantin. Sepatutnya dia datang bersama, tetapi ada kerja pula. Jadi, dia minta saya wakilkan." Penjelasan itu membuatkan semua orang mengangguk dan kembali kepada buah perbualan mereka sebelum ini. Senyuman juga terukir di wajah tegang wanita tadi.
Senyuman Syifa semakin menipis.
Usai menikmati hidangan, Syifa segera meminta diri. "Tidak bertemu pengantin?" Soal wanita tadi.
"Kurang manis saya bertemu tanpa teman saya. Nanti pengantin perempuan tersalah sangka pula. Ucapan tahniah telah saya titipkan pada kad di hadiah."
Sebelum berlalu, sempat Syifa mengerling sekilas pada wajah penuh kebahagian di pentas utama.
Senyuman telah luput dari wajah Syifa.
***
"Kau gila kawan." Komentar daripada Reanna membuatkan Syifa tertawa kecil. Mereka berdua bertemu di sebuah kafe kecil. Minuman enak dan pencuci mulut terhidang di atas meja. Dua orang sahabat dengan personaliti bertentangan.
"Apa yang gila?"
Reanna mengurut-urut dahi. "Selama ini saya sangkakan kalian berdua...." Kedua-dua belah telunjuknya dirapatkan.
"Kekasih?" Duga Syifa.
"Bukan?"
Syifa menggeleng. "Kami hanya berkawan. Titik. Tidak lebih daripada itu. Kemudian, dia bertemu dengan Aulia. Cinta pandang pertama katanya."
"Cinta pandang pertama?" Reanna ketawa terbahak-bahak. "Hei, bukannya saya tak kenal siapa 'kawan' awak, Syifa. Cinta pandang pertamanya seorang anak Dato', pewaris empayar perniagaan kosmetik, cantik dan bergaya? Oh, tolonglah!"
Wajah Syifa semakin keruh. "Dia suka perempuan bertubuh kecil dan comel. Bukan seorang yang tinggi menggalah."
"Seperti awak?" Reanna mengecilkan mata dan merengus, tanda tidak berpuas hati. "Dia sememangnya buta! Nasib baik awak tidak berjodoh dengannya. Sudahlah, hari ini saya belanja." Sepotong kek yang enak buat pengubat hati. "Semoga awak temui seseorang yang akan menghargai dan menerima awak seadanya."
"Terima kasih."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro