Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Jumaat

Rekod-rekod pesakit diperiksa oleh Syifa sekali lagi. Jumlah pesakit yang masih tinggal di dalam wad telah berkurangan. Namun begitu, Syifa tidak dapat menyembunyikan kegelisahan di wajah. Sesekali dia melihat jam di tangan.

Seakan memahami apa yang dibimbangkan oleh Syifa, seorang jururawat memberi cadangan, "Lebih baik doktor ambil peluang untuk berehat sebentar dan makan terlebih dahulu. Hari ini Jumaat minggu keempat. Malam ini kita akan luar biasa sibuk."

Tiada sesiapa yang ingin ditimpa kecelakaan. Tiada orang yang sengaja merancang untuk menghabiskan masa di hospital. Kecuali sekumpulan manusia yang akan bermain sebuah permainan gila. Acara sebulan sekali, setiap malam Jumaat minggu keempat. Mereka akan beramai-ramai memenuhi ruang kecemasan dan katil wad.

"Bukan pergaduhan kongsi gelap," jelas seorang pegawai polis. "Ini permainan mereka untuk menentukan orang yang terkuat di kalangan mereka. Tiada apa yang kami boleh lakukan. Tambahan pula, permainan ini mampu mengurangkan keganasan yang dicetus oleh kumpulan ini. Biarkan tenaga berlebihan itu dihabiskan dengan 'berekreasi'."

Jawapan yang tentu sahaja tidak dipersetujui oleh warga hospital. Rekreasi hilang akal, pertempuran sesama sendiri yang akan menyebabkan puluhan orang tiba serentak di kecemasan dalam keadaan patah riuk. Apa yang menjengkelkan, tiada seorang yang mengeluh kesakitan. Kesemuanya tertawa, tanpa ada pengaruh dadah sedikit pun.

"Ia adalah permainan lelaki sejati!" Ujar salah seorang daripada mereka sambil ketawa. Ketika itu, doktor yang merawat membawa fail, tiba-tiba sahaja menjadi cemerkap. Langkah yang laju menyebabkan fail yang dibawa 'terhayun' mengenai kaki yang patah. Serta-merta lolongan kesakitan bergema sehingga boleh didengari dari luar.

"Ah... maafkan saya!" Segaris senyum terukir seketika di wajah yang tegang.

Doktor muda tadi diberi amaran oleh doktor yang lebih senior, "Hati-hati."

"Maafkan saya." Kali ini lebih bersungguh-sungguh.

++++
Suasana di wad, tidak kurang sibuknya. Mungkin sedikit tenang berbanding di bahagian kecemasan. Tambahan pula hari telah lewat, jadi kebanyakan pesakit telah pun tidur. Kemudian, satu-persatu katil disorong masuk. Membawa peserta pertandingan kurang siuman yang agak parah berbanding yang lain.

Nota dan catatan dari kecemasan akan diperiksa oleh Syifa dan jururawat. Ketika sampai ke sebuah katil, Syifa segera mengecam wajah yang terbaring. Wajah yang sukar dilupakan, lantaran penampilan yang agak unik. Baju Hawaii oren bercorak bunga raya dan kepala tanpa sehelai rambut.

Biarpun seluruh badan tercedera, lelaki itu tersenyum lebar, "Doktor belon!"

Gelaran yang membuatkan para jururawat berkerut dahi. Syifa membalas senyuman, "Oh, ayah Yaya!"

"Berapa kali saya nak beritahu? Saya bukan ayah Yaya! Saya cuma penjaganya!"

Syifa hanya mengangguk dan tertawa kecil. "Baik... baik...."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro