Bidadari
"Maafkan saya cik doktor!" Hampir sahaja pemuda itu bersujud ke lantai. Bahagian wajah yang tidak berbalut, kelihatan merah padam dan penuh kekesalan. "Maafkan saya!" Ucapan sama diulang berkali-kali.
"Kawan saya beritahu, misi yang kata, ketika saya baru terjaga semalam, saya kata doktor tidak boleh jadi model! Maafkan saya sebab berkata begitu."
Dr. Syifa hanya tersenyum, "Oh... tidak apa-apalah. Bagaimana keadaan Encik Shuheizy pada hari ini?"
Shuheizy tersengih."Tidak pernah lebih baik lagi!" Jawapan dari seorang yang berbalut separuh wajah, sebahagian badan dan kehilangan banyak darah.
"Saya suka sikap positif awak."
"Sebab itu saya katakan doktor tidak sesuai jadi model." Kenyataan sama diulang sekali lagi. Kali ini dengan wajah yang ceria serta minda yang sedar. Belum sempat Syifa membalas, Shuheizy menjelaskan, "Doktor seorang yang baik hati. Jiwa doktor halus seperti bidadari. Kerjaya model tidak cocok dengan personaliti doktor. Lebih baik doktor terus menjadi bidadari di sini. Tenang hati pesakit seperti saya."
Pecah gelak Syifa dan beberapa orang jururawat. Sampuk seorang daripada mereka, "Bagaimana dengan kami?"
"Kalian juga ditakdirkan menjadi bidadari yang indah!" Pujian yang menceriakan suasana.
"Ah, pandailah encik bercanda," balas jururawat tadi. "Berapa ramai yang telah jadi bidadari?"
Wajah tadi bertukar serius. "Tidak semua orang boleh menjadi bidadari."
+++++
Shuheizy hanya berbaring memandang ke lelangit seakan sedang berfikir panjang. Kemudian, dia memejamkan mata dan berkata, "Aku selamat, Mimi juga selamat. Izzue, usah kau tunjukkan wajah muram di sini."
Pelawat berwajah muram itu mengambil tempat di sisi katil. "Mimi salahkan diri sendiri atas kejadian yang menimpa kau."
"Bukan salah dia. Lelaki gila itu stalker. Tidak dilayan, lama-lama marah sendiri." Shuheizy menoleh ke arah Izzue yang seperti dikelilingi awan mendung. Hitam, kelam dan penuh depresi. Kedua belah tangan Izzue juga berbalut kemas. "Dia memang berniat untuk bunuh Mimi. Bayangkan jika dia memilih untuk gunakan senjata api? Menembak dari jauh seperti sniper?"
"Tapi, menyerang menggunakan cangkuk pun tindakan tidak wajar."
"Mujurlah dia guna cangkuk, aku masih dapat bernyawa. Jika dia gunakan pedang samurai? Entah-entah hari ini aku sudah terbujur di rumah mayat."
Izzue mengetap gigi. "Maaf, kerana aku tak dapat tolong banyak."
"Kau dapat tahan dia daripada cederakan aku lebih teruk. Itu pun satu pertolongan yang besar." Shuheizy terdiam lama.
Seakan mengetahui apa yang hendak ditanya oleh Shuheizy, Izzue menjelaskan, "Bob dan Joe, bouncer berdua tu dapat uruskan si gila. Sekarang dia meringkuk dalam lokap."
"Baguslah begitu. Lepas ni kau hantar Mimi bertemu kaunselor. Dia selalu menyalahkan diri atas semua perkara yang berlaku. Dipendam-pendam dan akhirnya nanti mencederakan diri sendiri."
Izzue mengangguk dan berdiam diri lama. Duduk tercatuk di kerusi, termenung memandang lantai.
"Kau hanya membuatkan suasana di sini, menjadi terlalu menyedihkan. Habis tenaga positif dari bidadari-bidadari aku, disedut oleh aura negatif kau."
Kali ini ada perubahan pada wajah Izzue. Keningnya berkerut, bercantum di tengah dan wajah mengherot, mencebik dan mengejek. Wajah minta ditumbuk. "Bidadari?"
Mengangguk, "Bidadari dari syurga."
"Apakah serangan di kepala telah menjadikan kau gila?"
Komen Izzue dibiarkan berlalu. Sebaik sahaja nampak kelibat Dr. Syifa, Shuheizy melambai, "Helo bidadari saya!"
Hampir jatuh rahang Izzue melihat gelagat Shuheizy, "Ini bukan Shuheizy yang aku kenal."
"Hei, aku dah berjaya melepasi ambang maut. Maknanya Tuhan berikan aku peluang untuk berubah." Shuheizy masih tersengih-sengih dan melambai. "Cantikkan bidadari aku?"
"Sah, kau memang dah gila."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro