Banjir
Banjir
Lembah Rumbia merupakan sebuah kawasan yang cantik, dipenuhi tumbuhan hijau, udara yang nyaman serta suasana kedesaan. Ia merupakan destinasi pilihan untuk melarikan diri dari hiruk-pikuk kota batu yang bersempadanan.
Namun begitu, kedatangan Syifa kali ini hanya disambut dengan lautan coklat serta keruh dan pohon-pohon mati. Jauh dari imej yang sering ditayang agensi pelancongan.
"Dr. Syifa, selamat datang ke hospital sementara kita," ujar Dr. Tariq yang telah tiba dalam kumpulan pertama bantuan kecemasan. Pemuda itu jauh lebih cengkung daripada kebiasaan. Langkahnya juga begitu lemah, malahan berdiri juga sudah tidak tegak.
"Hospital Rumbia Jaya telah ditenggelami air. Terima kasih kepada pihak tentera yang menyediakan hospital sementara di sini."
Dr. Tariq memberi taklimat berkenaan keadaan semasa di sekolah rendah yang menjadi pusat evakuasi banjir itu. Satu-satunya kompleks bangunan di tempat yang tinggi di Lembah Rumbia.
Hujan lebat masih belum berhenti. Jumlah mangsa banjir semakin bertambah. Sebuah demi sebuah kenderaan tiba membawa mangsa. Para petugas kecemasan segera membuat pemeriksaan. Syifa dan ahli pasukan yang sama-sama tiba, terus bertugas untuk memberi ruang kumpulan pertama melepaskan lelah.
Bencana berskala besar itu menyatukan ramai manusia berjiwa murni. Setiap orang tanpa mengira latar belakang masing-masing, memainkan peranan sebaik mungkin. Selain daripada pihak keselamatan seperti polis dan tentera, serta pegawai-pegawai perubatan, terdapat banyak kumpulan sukarelawan datang untuk membantu.
Pandangan Syifa cepat sahaja menangkap dua sosok tubuh yang sangat dikenali. Dua orang yang akan sentiasa menonjol walaupun di mana mereka berada. Seorang lelaki botak berseragam kemeja Hawaii yang dipadankan dengan bermuda corak sama.
Manakala seorang lagi dengan rambut yang kemas mencecah bahu, baju turtle neck ungu, wajah yang bermekap penuh, lengkap dengan bulu mata palsu rona sepadan dan kipas tangan yang sangat cantik.
Berdiri di antara mereka adalah seorang kanak-kanak perempuan berpakaian serba merah jambu dengan klip rambut bercorak tengkorak. Ketiga-tiga orang itu sibuk memberi arahan kepada orang bawahan untuk mengurus bekalan makanan.
Sebaik sahaja menyedari kehadiran Syifa, mereka segera melambai, "Dr. Belon!"
"Helo Yaya! Hai awak semua."
Anak kecil itu dihampiri lalu ditawarkan gula-gula. Puji Syifa, "Bagusnya Yaya tolong orang susah!"
Gula-gula di tangan Syifa, segera diambil oleh Yaya. Tegur Ikmal, "Bila orang beri sesuatu, nak sebut apa?"
"Terima kasih!" Jerit Yaya riang.
Segaris senyum terlukis di wajah Syifa. "Bagus sekali! Yaya suka bantu orang susah?" Soalan tadi diulang kembali.
Tanpa diduga, Yaya segera menafi. "Yaya tak suka tolong orang, Yaya lebih suka duduk dengan Ken-ken. Tapi si botak tak benarkan!" Kaki Ikmal disepak oleh Yaya.
"Ken-ken?" Syifa berpaling ke arah Ikmal dan Sayuti dengan wajah yang keliru.
Jelas Ikmal sambil menggosok-gosok kaki, "Ken-ken itu bos kami, bapa angkat Yaya. Dia ambil Yaya semenjak bayi lagi. Tapi sekarang bos kami masih sakit, jadi Yaya terpaksa kami bawa ke mana sahaja."
Setelah berbasa-basi, Syifa meminta diri untuk memeriksa mangsa banjir yang ada.
++++
"Hei doktor, ambil ni!" Sayuti menghulurkan sebungkus makanan kepada Syifa. "Berhenti kerja dan makan dahulu."
Bungkusan itu diambil oleh Syifa, lalu diletak ke tepi. "Saya makan sekejap lagi."
Rupanya tindakan Syifa itu hanya menaikkan kemarahan Sayuti. "Hei perempuan, makan sekarang! Awak tak makan apa-apa semenjak tiba siang tadi. Sudahlah di sini kurang doktor. Kita tak mahu doktor yang ada, tumbang lebih awal!"
Syifa segera memeriksa jam tangan. "Oh, sudah dua belas jam rupanya."
"Apa oh?" Sayuti menunjukkan wajah jengkel lalu melabuhkan punggung, mengambil tempat di sisi Syifa. "Sila makan sekarang, sebelum awak bertukar menjadi lebih hodoh."
Tersentap Syifa apabila perkataan itu digunakan. Namun begitu, Sayuti yang langsung tidak menyedari perubahan air muka Syifa terus mengipas diri sendiri. "Ah, tak sukanya saya di tempat yang hodoh dan tidak cantik seperti begini."
Balas Syifa dengan nada sinis, "Kalau begitu, kenapa tidak pergi sahaja ke tempat lain?"
Soalan itu hanya dijawab dengan cebikan. "Saya dah berjanji untuk taat setia kepada bos. Jadi, sebarang arahan daripada bos, saya akan patuh. Bos suruh ke sini, bantu orang ramai, saya datanglah." Obsesi yang sama seperti Khansa, cuma subjek berbeza.
"Kalau bos suruh buat jahat?" Duga Syifa.
"Saya buat." Obsesi melulu yang lebih merbahaya. "Kami ada peraturan sendiri."
Tiba-tiba sahaja Sayuti mengeluarkan sebuah cermin muka. "Oh, saya betul-betul tak suka berada di sini. Mekap kalis air saya juga tidak mampu bertahan!"
"Mengapa pula awak nak buat kerja sukarela dengan wajah penuh bermekap?" Syifa mengerling ke arah Sayuti. "Siap bulu mata warna ungu."
"Oh, tolonglah perempuan! Ini adalah fesyen. Saya ini pencetus revolusi. Walaupun datang ke tempat yang hodoh seperti ini, saya mesti kelihatan cantik! Bukan seperti awak dengan baju out dated, seluar hitam yang hodoh dan wajah hodoh tanpa mekap. Sakit mata saya memandang!"
Kali ini Syifa hanya menjuihkan bibir. Barangkali perkataan 'hodoh' yang disebut berulang-kali itu sudah tidak berbekas di hati. Bungkusan nasi dibuka. Aroma enak segera menjentik tali perut, menjerit minta diisi.
Sayuti sibuk membelek wajah di cermin dan menjerit dengan kuat. "Bulu mata saya tertanggal! Hodohnya muka saya!"
Ejek Syifa, "Awak memang hodoh!"
"Eh helo perempuan! Saya adalah manusia paling cantik di dunia ini!"
"Saya suka sikap positif manusia hodoh seperti awak." Syifa tertawa kecil melihat wajah Sayuti memerah. "Lebih baik awak jangan marah-marah. Nanti bertambah hodoh!"
"Saya cantik!"
"Saya lebih cantik."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro