PSC 4
Hany melirik ke arah jam dinding. Waktu menunjukkan pukul 10 malam tetapi anehnya, Zakwan masih belum pulang ke rumah. Biasanya pada waktu ini, suaminya itu telah pun balik bahkan bersiap-siap untuk tidur.
'Abang ada kerja kut.' Hany cuba menyedapkan hati sendiri.
Malas mahu fikir bukan-bukan, dia bangun dari sofa lalu meja yang dipenuhi dengan beg barangan shopping dituju. Petang tadi dia berbelanja sakan dengan dua orang rakannya di pusat membeli belah.
Maklumlah, orang ada-ada. Zakwan memberinya duit belanja khas untuk shopping bernilai RM 5 ribu. Kata suaminya, "Habiskan duit ni. Kalau tak cukup, bagitahu abang. Abang tambah."
Wah, sweet betul Zakwan Harris! Hati isteri mana tidak berbunga-bunga apabila diberi duit. Sama macam dia, memang bersinar biji matalah. Jiwa rasa terbang sampai ke angkasa!
Dengan adanya duit sebanyak itu, pelannya untuk sedekahkan baju baharu kepada penghuni rumah anak yatim yang selalu dikunjunginya bersama Zakwan telah tercapai. Petang tadi juga dia bank-in duit sebanyak RM 2 ribu kepada tabung kebajikan rumah anak yatim tersebut dan maklumkan hasratnya kepada pengurus di sana.
Kata Zakwan, jadi kaya itu sangat penting. Jadi kaya bukan bermaksud jadi hamba duit. Tidak. Pemikiran itu salah. Apa yang betulnya ialah duit itu menjadi hamba kita. Kita bebas guna duit itu untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan.
Kejarlah saham akhirat, kata Zakwan lagi. Sedekah itulah yang menjadi bekal kita di sana nanti. Perkara tersebut selalu diulang tanpa jemu oleh sang suami sejak sebelum mereka berkahwin lagi sampaikan dia sudah hafal teks yang bakal keluar dari mulut apabila berbincang tentang duit.
'Lambatnya abang balik...' keluh hati Hany lagi.
Buat kesekian kalinya lagi, jam dinding dipandang. 10.30 malam, tapi bunyi enjin kenderaan milik Zakwan belum pun menjengah telinganya. Aneh. Luar biasa. Tiba-tiba sahaja hati Hany menjadi gundah.
Telefon pintar yang berada di atas meja bersama dengan beg kertas hasil daripada shopping tadi dicapai lalu nombor telefon Zakwan didail. Namun, walaupun beberapa kali dicuba pun, tetap panggilan tersebut tidak berangkat.
"Pelik." Hany menggumam perlahan.
Dahinya berkerut. Biasanya sebelum ini, walau sesibuk mana pun suaminya itu, panggilan telefon daripadanya tetap akan diangkat. Ketika ini, perasaan Hany semakin tidak enak. Ada sesuatu ke berlaku kepada Zakwan?
>> BERSAMBUNG
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro