Bab 3
SEJAM berlalu dengan banyak perkara yang dibualkan oleh Aira dan teman barunya, Maria. Wanita yang tua setahun darinya itu juga merupakan seorang pegawai dietetik dan mula bertugas di HUSM sejak setahun yang lalu lagi. Aira akui yang dia senang bercerita dan berbual dengan Maria yang berkongsi minat yang sama dengannya.
"Okey la, Aira. Saya minta diri dulu. Dah pukul lima petang ni. Awak tak nak balik lagi ke?" soal Maria.
Aira tersenyum tipis. Jam di tangan turut dibeleknya. Leka sangat mereka berbual sehingga tidak sedar akan jarum jam yang pantas berlalu itu.
"Haah... Saya pun nak balik la ni. Ralit pula kita bersembang," jawab Aira bersama tawa kecilnya. Notification WhatsApp dari iPhone Aira tiba-tiba berbunyi.
Sebelum balik jumpa along dekat Kafe Kopitiam dulu. - Along Khairil.
Berkerut dahi Aira membaca pesanan ringkas daripada alongnya itu. Kopitiam? Along ni buat macam aku kenal aje dengan tempat ni padahal belum 24 jam lagi aku di sini.
"Errr... Maria." Sempat Aira memanggil Maria yang baru ingin melangkah keluar dari biliknya.
"Ada apa, Aira?"
"Awak tahu tak dekat mana Kafe Kopitiam dalam hospital ni?" soal Aira takut-takut. Lebih baik bertanya kalau tak nak sesat jalan.
"Kopitiam, eh? Hmmm... Awak dah pergi Klinik Dietetik kan tadi?" Soalan dibalas dengan soalan pula. Laju Aira mengangguk menjawab pertanyaan teman barunya itu.
"Hah... Kopitiam dekat area klinik tu aje. Kalau dari pejabat ni, awak akan jumpa Kopitiam tu dulu baru klinik diet," beritahu Maria tentang kedudukan kafe tersebut.
"Thanks, Maria," ucap Hasya Humaira penuh kelegaan.
"Most welcome. Kenapa? Awak nak pergi beli makanan dekat situ ke?" soal Maria sekadar ingin tahu.
"Nak jumpa someone sebenarnya," beritahu Aira dalam senyuman simpulnya.
Maria terus mengangguk memahami. Tidak mahu terus bersoal siasat, Maria sekali lagi meminta diri keluar dari bilik Aira.
"Hati-hati bawa kereta. Jumpa esok tau," pesan Aira sebelum kelibat Maria hilang dari pandangan. Tas tangan mula dicapainya. Misinya saat itu adalah untuk mencari lokasi kopitiam yang dimaksudkan oleh abangnya itu.
Cari punya cari akhirnya Aira terpandangkan alongnya dari dalam kafe itu sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya.
"Hello, my big brother," sapa Aira sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan abangnya.
"Hi, baby. This is your fresh carrot juice without susu pekat manis and your favourite food along dah oder tadi," beritahu Doktor Khairil ketika menghulurkan segelas jus lobak merah kegemaran Aira.
Tersenyum lebar Aira apabila kegemarannya sentiasa menjadi ingatan Doktor Khairil.
"Along dah tunggu lama ke? Sorry la. Aira cari tempat ni tak jumpa tadi," rungut Aira dengan bibir muncungnya.
"It's okay. Along baru aje sampai. So baby, how's your day?" soal Doktor Khairil tidak sabar.
"Hmmm... Not bad la. Aira dah dapat several cases on my first day dan I jumpa satu patient ni chubby sangat. Umur baru sepuluh tahun tapi berat dah cecah 70 kg. Can you imagine that, along? Ouchhh... So scary..." cerita Aira penuh bersemangat.
"So, obese la budak tu?" soal Doktor Khairil bagaikan tidak percaya. Laju Aira mengangguk dengan mata besarnya. Saat itu seorang pelayan lelaki datang menghantar makanan yang dipesan oleh Doktor Khairil sebentar tadi.
"Salad?" Sengaja diangkat tinggi sebelah keningnya apabila melihat makanan yang baru tiba itu.
"Yes. You kan suka makan salad petang-petang macam ni. Lagipun along tak berani nak oder makanan lain sebab Aira kan obsess dengan healthy food aje." Dengan selamba Doktor Khairil menjawab.
"Along sengaja kan perli Aira?" Bibirnya sengaja dimuncungkan sedepa. Dia makan spageti, kita disuruhnya makan salad pula, kutuk Aira dalam hati.
Meledak ketawa Doktor Khairil secara tiba-tiba tanpa menghiraukan beberapa mata yang sedang merenung ke arah mereka.
"Nak oder yang lain ke?" soal Doktor Khairil dalam sisa tawanya.
"It's okay. I prefer this one."
"Kita share spageti ni okey?" pujuk Doktor Khairil. Meletus tawa kecil Aira melihat reaksi alongnya ketika itu. Tahu pula nak pujuk orang.
"Tapi, Aira tak boleh makan banyak sangat, nanti jadi obese macam patient yang Aira jumpa tadi." Wajah yang baru ingin ceria terus bertukar kelat. Wajah Doktor Khairil pula sudah bertukar merah menahan tawa. Suka benar dia menyakat adiknya itu.
"Okey, I'm sorry. I just miss you, my baby girl." Kali ini wajah Doktor Khairil lebih serius.
Bibir Aira akhirnya menguntum senyuman lebar. Tersentuh hatinya mendengar kata-kata abang sulungnya itu.
"Sweet tahap diabetes ni, along. Kalau hari-hari macam ni, Aira kena cucuk insulin la jawabnya dan of course I miss you too," gurau Aira dengan tawa kecilnya.
Makin galak Doktor Khairil ketawa. Sebenarnya sudah lama pun mereka tidak bergurau begitu disebabkan masing-masing duduk berjauhan. Lega hatinya apabila Aira bersetuju untuk balik ke semenanjung dan tinggal bersama dengannya. Tapi, itu pun setelah puas dipujuk.
"Aira dah call ibu, ayah?" Soalan Doktor Khairil dibalas dengan gelengan laju daripada Aira. Dari Sarawak terus dia terbang ke Kota Bharu dan tiba semalam. Awal pagi ini terus dia datang ke HUSM untuk melapor diri. Aira hanya sempat berbual-bual dengan abangnya dalam tempoh yang singkat semalam.
"Nanti-nanti la. Ibu dan ayah tu kan busy memanjang. Bukannya sempat pun nak jawab call Aira," rungutnya.
"Aira still marah dekat dia orang? Sebab paksa Aira balik sini?" teka Doktor Khairil apabila melihat reaksi endah tak endah Aira ketika itu.
"Tak la. Aira tahu semua orang sayang dan rindukan Aira. So, Aira akan sentiasa ikut cakap dia orang," jelas Aira.
Doktor Khairil tersenyum panjang. Menjadi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu membuatkan Aira sentiasa disayangi lebih oleh semua orang.
"Good girl. Nanti kalau ada masa, along bawa Aira round satu Kelantan and you should try all their food. Nasi kerabu, budu, akok, cek mek molek and so on," kata Doktor Khairil.
"Makanan sini semua manis-manis, kan? Mesti ramai kena diabetes, kan?" duga Aira.
"Yup. Bukan setakat makanan aje manis tapi orang-orang dia pun manis juga tau."
Kedengaran tawa kecil dari bibir Aira saat mendengar gurauan alongnya itu.
"Along mesti pandai kecek Kelate, kan? Cuba cakap sikit. Aira nak dengar. Lepas ni boleh la along ajar Aira," pinta Aira secara tiba-tiba. Alongnya itu sudah tiga tahun berada di Kelantan. Pasti sudah mahir menguasai bahasa negeri itu.
"No, baby. Kalau along ajar Aira nanti jadi ajaran sesat pula. Even dah tiga tahun dekat sini along still tak boleh kuasai semua loghat Kelantan tapi boleh la sikit-sikit. Kadang tu along faham cuma tak tahu nak balas balik," terang Doktor Khairil.
Aira terangguk memahami.
"Khai!" Sapaan seseorang mengejutkan Aira dan alongnya. Seorang lelaki berkemeja kuning cair tiba-tiba menghampiri meja mereka. Manis orangnya tetapi tetap tidak boleh lawan ketampanan Abang Khairil. Sempat Aira memuji di dalam hati.
"Puas aku cari kau dekat atas rupa-rupanya tengah dating dekat sini," usik lelaki yang baru tiba itu.
"Kau ni. Ada apa cari aku? Duduk la dulu. Kenalkan ni adik perempuan aku, Aira," ujar Doktor Khairil.
"Ni kawan along. Doktor Zhafran," beritahu Doktor Khairil kepada adiknya pula. Aira terus menghulurkan senyuman tanda hormat kepada teman abangnya itu.
"Ohhh... Adik rupa-rupanya. Ni la adik yang kau cakap duduk Sarawak sebelum ni? Dietitian kan? Hai, panggil Abang Zhaf aje," ujar Doktor Zhafran dengan ramah.
"Errr... Hai Abang Zhaf."
Segan Aira dibuat oleh teman abangnya itu. Terlebih ramah pula gayanya.
"Sejak bila kita kongsi bapa dan adik? Suka hati aje suruh adik aku panggil kau abang," sindir Doktor Khairil.
"Isy, kau ni. Adik kau mesti adik aku juga, kan?" gurau Doktor Zhafran.
"Habis tu isteri aku isteri kau juga la?"
Tergelak besar Doktor Zhafran ketika mendengar kata-kata Doktor Khairil. Aira turut tidak dapat menyembunyikan tawa kecilnya.
"Pandai kau kenakan aku balik, kan? Anyway, welcome to HUSM and nice to meet you, Aira. Abe ni meme oghe Kelate. Pah ni kalu Aira nak derak mano-mano qhoyak ko abe ja. Abe boleh bawa sebab abe ni buje lagi," kata Doktor Zhafran dalam loghat Kelantannya. Terkejut Aira mendengar bahasa yang begitu pekat kedengaran di telinganya. Tadi cakap elok aje, tiba-tiba bertukar Kelantan pula.
"Laaa orang Kelantan ke? Tadi cakap tak bunyi Kelantan pun," kata Aira bagaikan tidak percaya.
Doktor Zhafran hanya mampu tayang barisan gigi putihnya.
"Dia memang macam ni. Oghe Kelate tapi tak nak mengaku Kelantan. Lepas ni Aira boleh la belajar loghat Kelantan dengan dia," sampuk Doktor Khairil pula.
"Kau pun sama aje, Khai. Orang Kedah tapi cakap tak bunyi Kedah pun," perli Doktor Zhafran. Tersengih panjang Doktor Khairil.
"Hang tau apa? Aku balik Kedah nanti aku cakap la bahasa aku. Bukan macam hang yang dok negeri sendiri tapi sengaja nak cakap bahasa baku," bidas Doktor Khairil. Kecoh kafe itu dibuat oleh mereka berdua.
"Abang Zhaf ni nephrologist juga ke?" soal Aira sekadar ingin tahu.
"Eh! Dak. Abe ni cardiologist. Kalu sero jantung Aira tu berdegup kencang setiap kali jupo abe, maghi sini abe nak tolong cek. Takut Aira dah terfall in love denge abe." Gurauan Doktor Zhafran berjaya membuatkan Aira tidak berhenti ketawa. Walaupun ada beberapa perkataan yang kedengaran asing di telinga Aira tetapi dia masih boleh memahami kata-kata itu.
Doktor Khairil pula terus menampar lengan temannya seakan memberi amaran. Bola matanya juga sengaja dijegil besar ke arah Doktor Zhafran.
"Kelakar la Abang Zhaf ni."
"Dah-dah. Jom kita balik, Aira. Tokse layan dio ni," ajak Doktor Khairil.
"Kau ni la. Aku baru nak bersuai-kenal dengan adik kau yang cantik ni," rengek Doktor Zhafran.
"Esok masih ada, Doktor Zhaf. Lagipun dah lewat petang ni," balas Doktor Khairil bersahaja. Aira mula bangun dari duduknya. Tawa kecilnya masih bersisa. Abangnya sudah dilihat keluar dari kafe itu selepas bersalaman dengan Doktor Zhafran.
"Bye, Abang Zhaf. Nice meeting you too!" Kata Aira sebelum berlalu pergi dari situ. Terus bersinar bola mata Doktor Zhafran.
"Jumpa lagi, Aira," balas Doktor Zhafran penuh dengan senyuman. Aku tak pernah tahu yang Khairil ada adik secantik tu. Kalau tak dah lama aku try. Komennya dalam diam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro