
Bab 5
MATANYA dikerdipkan beberapa kali di dalam gelap. Dia langsung tidak sedar bila dia tertidur. Kata-kata Zara di telefon semalam kembali terngiang di telinga. Air mata mengalir ke pipi buat kesekian kalinya. Buat seketika, dia terus melayan perasaannya di dalam gelap. Air mata dibiar mengalir tanpa diseka.
Setelah tangisannya reda, dia bangun memetik suis lampu tidur. Cahaya samar mula menyimbah ke segenap ruang bilik. Keluhan dilepaskan. Dia tidak tahu bagaimana dia ingin berdepan dengan Fahim dan Zara.
Jika wanita yang menjadi pilihan Fahim bukan kawan baiknya Zara, mungkin hatinya tidak akan terluka seteruk ini. Hanya satu rancangan yang berlegar dalam mindanya tika ini. Dia perlu lari sejauh mungkin. Dia tidak bersedia untuk melihat Fahim dan Zara diikat dengan tali pertunangan di hadapan matanya.
Tanpa membuang masa, Amna bangun dan mencapai iPad di atas meja. Dia mencari tiket kapal terbang paling awal yang ada di dalam senarai penerbangan Air Asia pagi ini. Hanya penerbangan ke Sabah yang masih kosong. Dia terus membuat pembayaran tanpa menunggu lama. Dia tidak kesah ke mana pun kakinya akan dipijak. Apa yang pasti, dia ingin keluar dari rumah ini.
Setelah siap membeli tiket, dia memanjat kerusi dan mencapai bagasi kecil di atas almari pakaian. Dia memasukkan pakaian dan barang-barang yang diperlukan ke dalam bagasi.
Setelah siap mengemas, bagasi dizip kemas dan diletak ke tepi. Tuala dicapai dan dia melangkah ke bilik air. Dia memandang pantulan wajahnya di dalam cermin. Dahinya berkerut apabila melihat kepalanya yang berbalut dengan kain putih.
Baru dia teringat yang dia mengalami kemalangan malam tadi. Dia membuka balutan di kepala. Dia membersihkan badannya ala kadar. Dia ingin segera keluar dari rumah ini.
Usai mandi, dia menyarung blaus hitam dan jean biru ke badan. Plaster luka ditampal pada luka di kepala. Dia memilih bubble shawl dengan corak bunga-bunga kecil dan dililit ke kepala.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Amna menggalas beg tangan di bahu dan menarik bagasi kecil keluar dari bilik tidurnya.
Jam baru menunjukkan pukul 3 pagi. Ahli keluarganya pasti masih nyenyak tidur. Dia melangkah perlahan menuruni anak tangga satu per satu tanpa menghasilkan sebarang bunyi dan melangkah pantas ke pintu utama.
Setelah memastikan pintu utama dikunci rapat, dia melangkah ke arah sebuah kereta Proton Waja yang dihubunginya melalu aplikasi Grab yang sedang menunggu di luar pagar.
Selepas dia meloloskan dirinya ke bahagian belakang kereta, kereta itu terus meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah banglo menuju ke KLIA.
SITI AMINAH menguak daun pintu bilik Amna Safiya dan memetik suis lampu. Selepas terjaga dari tidur tadi, dia terus melangkah keluar dari bilik untuk melihat keadaan anak gadisnya itu. Kali terakhir dia menjenguk ke bilik anak gadisnya itu pada pukul 12.30 tengah malam semalam, Amna masih lagi nyenyak dibuai mimpi.
Berkerut dahi Aminah apabila melihat katil Amna yang kosong. Dia melangkah ke bilik air dan mengetuk pintu bilik air tetapi tiada sahutan yang didengar. Dia pantas membuka pintu bilik air dan kelibat Amna langsung tidak kelihatan.
Jantungnya mula berdegup kencang. Fikiran negatif mula menjengah mindanya. Anak matanya laju dilarikan pada bagasi di atas almari baju. Kosong. Tiada bagasi yang kelihatan.
Dia laju menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah tetapi lututnya yang tiba-tiba lemah menghentikan langkah kakinya. Tangannya memegang erat pemegang tangga menghalang dirinya dari rebah.
"Eh, umi kenapa ni?" Fahim berlari mendapatkan uminya yang kelihatan pucat. Dia terjaga selepas mendengar suara uminya memanggil nama Amna berkali-kali.
"Fahim, Amna tak ada," jawab Aminah lemah. Suaranya kedengaran sedikit menggigil.
"Umi duduk dulu," ujar Fahim. Dia memapah Aminah ke arah sofa di ruang tamu. Selepas mendudukkan uminya, dia berlari mengambil air kosong di dapur.
"Kat bilik dia tak ada?" tanya Fahim selepas uminya meneguk separuh air di dalam gelas.
Aminah menjawab dengan gelengan.
"Umi dah cari kat bilik dia. Kat bilik air. Tapi dia tak ada." Aminah menelan liur yang terasa tersekat di kerongkong.
"Kenapa ni?" Uthman yang mendengar suara isterinya dan Fahim selepas selesai mandi tadi turut sama melangkah ke dapur.
"Umi cakap Amna tak ada kat bilik." Fahim menjawab bagi pihak Aminah.
"Mana pula Amna pergi ni?" ujar Uthman risau. Sudah la anak gadisnya itu baru terlibat dengan kemalangan semalam. Dia masih belum sembuh sepenuhnya.
"Sekejap Fahim pergi tanya Iffat. Kut la dia tahu." Fahim mendaki anak tangga ke bilik Iffat. Pintu bilik Iffat diketuk berkali-kali mengejutkan adiknya yang pasti masih lagi tidur.
"Iffat, buka pintu ni." Fahim menguatkan suaranya sambil terus mengetuk pintu bilik.
"Ada apa?" Iffat menggosok matanya yang masih berat untuk dibuka di muka pintu. Geram pula hatinya apabila tidurnya diganggu.
"Iffat tahu kat mana Kak Amna?" soal Fahim.
"Kat bilik dia la," jawab Iffat rendah. Dia cuba melawan rasa kantuknya.
"Tak ada. Kak Amna hilang," balas Fahim.
Hilang terus rasa kantuk Iffat saat mendengar kata-kata Fahim. Dia pantas mengatur langkah ke bilik kakaknya yang terletak cuma bersebelahan dengan biliknya. Dia meliarkan mata ke segenap ruang bilik tetapi kelibat kakaknya langsung tidak kelihatan.
"Semua ni salah abang, Iffat," ujar Fahim di sebelah. Dia meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.
Iffat berpaling ke arah Fahim. Jelas kelihatan rasa bersalah pada wajah abangnya. Iffat melepaskan keluhan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Mana Kak Amna pergi? Kenapa akak buat macam ni? bisik hati kecilnya.
BADANNYA dihempas ke atas tilam empuk hotel. Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dia terus mengambil teksi ke hotel yang sempat ditempahnya sementara menunggu gate dibuka di KLIA tadi.
Masih banyak bilik yang kosong memandangkan sekarang bukan musim cuti umum. Jadi, tidak terlalu ramai pengunjung yang berkunjung ke sini. Dia memejamkan mata rapat. Disebabkan badan dan fikirannya yang letih, tidak sampai seminit dia sudah pun terlelap.
Dia terjaga ketika jam sudah pun menunjukkan pukul 12.15 tengah hari. Dia membersihkan badan dan menunaikan solat zohor sebelum melangkah keluar dari bilik hotel.
"Encik, boleh saya guna telefon kat sini?" tanya Amna pada pekerja hotel di kaunter pertanyaan.
"Boleh." Pekerja itu menjawab mesra. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya.
Tanpa membuang masa, Amna mengangkat gagang telefon dan mendial nombor adiknya, Iffat. Dia tidak perlu menunggu lama sebelum Iffat menjawab di hujung talian.
"Assalamualaikum. Siapa ni?" soal Iffat selepas talian bersambung.
"Waalaikumussalam. Iffat, ni Kak Amna," jawab Amna terus.
"Ya Allah, Kak Amna! Akak kat mana? Akak tahu tak kami semua risaukan akak?" soal Iffat bertalu-talu.
"Akak okey. Iffat jangan risau," ujar Amna perlahan. Dia menahan rasa sebak yang kembali menjengah ruang hatinya.
"Kak Amna, cuba akak bagi tau Iffat kat mana akak sekarang." Iffat merayu di hujung talian. Nada suaranya lembut memujuk.
"Akak tak boleh beritahu, Iffat. Akak perlukan masa untuk bersendirian." Hujung jari Amna bermain dengan wayar telefon.
"Akak, please," rayu Iffat lagi.
"Akak minta maaf, Iffat. Iffat tolong beritahu pada umi dengan walid yang akak okey. Akak cuma perlukan masa. Itu aje akak nak sampaikan. Assalamualaikum." Amna terus meletakkan gagang telefon sebelum sempat Iffat membalas.
"Terima kasih, encik." Amna mengucapkan terima kasih kepada pekerja di kaunter sebelum melangkah meninggalkan ruang lobi hotel. Dia ingin mencari makanan untuk mengisi perutnya yang kosong sejak semalam. Walaupun hatinya masih sedih dan seleranya langsung tiada, dia tetap juga perlu makan untuk memastikan tubuhnya tidak lemah.
Amna melangkah menelusuri Pasar Filipina yang terletak berhadapan dengan hotel yang didiaminya. Kawasan pasar riuh dengan suara penjual yang ramah melayan pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka. Para pelanggan pula pandai tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang mereka ingini.
Tetapi keriuhan sekeliling langsung tidak dapat menghilangkan rasa sedih dalam hatinya. Dia melepaskan keluhan. Pelbagai jenis makanan yang dijual langsung tidak menaikkan selera makannya. Sudahnya, dia hanya membeli dua biji roti jagung di 7-Eleven dan melangkah pulang ke bilik hotel.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro