
Bab 3
FAHIM WAFI melangkah masuk ke dalam bilik Amna Safiya selepas menyuruh umi memakaikan tudung ke kepala adiknya itu. Dia masih perlu menjaga batas antara mereka walaupun dia sudah mengangap Amna seperti adiknya sendiri. Hakikatnya, dia dan Amna langsung tidak mempunyai pertalian darah.
Dia memandang wajah Amna yang sedang nyenyak tidur. Dia dapat melihat dengan jelas kesan air mata di pipi adiknya itu. Selepas umi membawanya ke bilik tadi, Amna terus menangis tanpa henti. Puas umi memujuk tetapi air matanya terus mencurah turun ke pipi. Selepas umi memberinya ubat tidur, barulah dia tenang dan dapat melelapkan mata.
Fahim mengambil termometer dan memeriksa suhu badan Amna sekali lagi. Suhu badannya sudah sedikit menurun tetapi masih lagi tinggi. Fahim melepaskan keluhan berat.
"Abang Fahim, macam mana dengan Kak Amna?"
Fahim Wafi berpaling ke arah Iffat yang baru melangkah masuk ke dalam bilik Amna.
"Dia dah tidur dah. Tapi suhu badan dia masih tinggi," jawab Fahim tenang.
"Abang Fahim, Iffat nak cakap dengan abang sikit boleh?" ujar Iffat sopan.
"Jom sembang kat luar." Fahim membetulkan selimut Amna sebelum melangkah mengekori Iffat ke biliknya. Iffat melabuhkan duduk di birai katil manakala Fahim menarik kerusi dan turut duduk menghadap Iffat.
"Abang Fahim tau kan Kak Amna sukakan abang?" Iffat bertanya terus tanpa bertapis. Dia yakin Fahim juga tahu tentang perasaan kakaknya.
Fahim menganggukkan kepala menjawab pertanyaan Iffat. Dia tahu, sejak kecil lagi Amna menyukainya lebih dari seorang abang. Dia sedar perasaan Amna padanya. Masakan dia tidak tahu jika sudah lapan tahun mereka tinggal bersama di dalam satu rumah?
"Dalam ramai-ramai perempuan kat luar sana tu, kenapa la Abang Fahim pilih Kak Zara? Abang tahu kan Kak Zara tu kawan baik Kak Amna?" soal Iffat. Dia melepaskan keluhan.
"Hati dan perasaan tak boleh dipaksa, Iffat. Bila Iffat cintakan seseorang nanti, Iffat akan faham," jawab Fahim perlahan. Dia juga tidak menyangka yang dia akan jatuh hati dengan Asma' Zara. Dia tidak mampu untuk menolak rasa yang hadir secara tiba-tiba.
"Iffat tahu. Tapi cuba Abang Fahim bayangkan macam mana perasaan Kak Amna sekarang ni? Mesti dia rasa dikhianati oleh abang dan kawan baik dia sendiri," luah Iffat. Bukannya dia ingin sebelahkan sesiapa, tetapi dia turut sama terluka melihat keadaan Amna.
"Abang tak tahu apa yang abang patut buat sekarang ni, Iffat. Abang tak mahu lukakan hati sesiapa."
Fahim meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Dia serba salah. Dia sudah berjanji dengan Zara untuk mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat. Tetapi dalam masa yang sama, dia perlu memikirkan perasaan Amna. Dua-dua wanita yang disayanginya sepenuh hati.
"Iffat boleh tolong doakan aje moga Allah lembutkan hati Kak Amna untuk reda dengan semua ni." Iffat menepuk bahu Fahim lembut untuk menenangkan hati lelaki di hadapannya itu.
"Terima kasih, Iffat." Fahim menarik senyum nipis. Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak menerangkan semua ini kepada Amna terlebih dahulu. Disebabkan dia, hati Amna terluka. Dia telah merobek sekeping hati yang tulus menyayanginya dan entah bila hati itu akan kembali sembuh seperti sediakala.
"ABANG, saya risaukan Amna."
Siti Aminah meluahkan isi hatinya pada si suami yang sedang membaca buku tentang dunia perniagaan di sebelahnya. Dia begitu mengenali Amna. Anaknya itu bukan seorang yang mudah terluka. Hatinya pilu melihat tangisan Amna yang tidak henti. Jika dia tidak memberikan ubat tidur, pasti Amna masih lagi menangis di dalam dakapannya.
"Abang pun risaukan dia. Tapi apa yang kita boleh buat? Mereka perlu selesaikan masalah ini sendiri," jawab Uthman tenang. Dia tidak menyangka yang sedalam itu rasa sayang Amna pada Fahim.
"Kesian Amna. Kita bukannya boleh paksa Fahim sukakan Amna balik," keluh Aminah.
Fahim juga anaknya. Dia tidak boleh menyebelahi sesiapa.
"Berdoa banyak-banyak. Doa ibu tu mustajab. Moga Allah permudahkan semuanya," balas Uthman.
Aminah menganggukkan kepala mengeyakan kata-kata suaminya. Hanya itu yang mampu dilakukannya tika ini. Semoga Allah membantu anak-anaknya menghadapi segala dugaan dengan tabah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro