Prolog iii: Awraq
It's not that bad ... yet.
ᯓ★
BERBEZA dengan Awadah, sekolah baharu Awraq terasa dingin dan tidak selesa. Tiada senyuman mesra, tiada ucapan aluan yang memberi rasa tenang. Segalanya terasa serba asing. Setelah selesai sesi taklimat dan pendaftaran di pejabat, mama hanya mengucapkan selamat tinggal dengan tergesa-gesa sebelum menuju ke tempat kerja. Tiada pelukan, tiada kata-kata penyemangat. Dia dibiarkan berdiri di situ, memeluk beg pakaian sambil memerhatikan kereta mama perlahan-lahan meninggalkan kawasan sekolah.
Awraq hanya tingkatan satu, masih mentah dan naif. Suasana sekolah itu membebankannya. Bangunan-bangunan lama dengan dinding yang catnya sudah mula mengelupas menambah rasa suram. Senior tingkatan tiga yang ditugaskan membawanya ke bilik, bernama Adli, kelihatan ramah pada awalnya. Namun, senyuman itu kelihatan dibuat-buat, seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan.
Setibanya di bilik, Awraq diperkenalkan kepada tiga orang pelajar senior lain yang juga tinggal di bilik itu. “Ini junior baru kita,” kata Adli sambil menepuk bahu Awraq dengan sedikit kuat, hampir menyebabkan Awraq terhuyung-hayang. Para senior lain mengangguk tanpa banyak bicara, hanya memerhatikan Awraq dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
Keadaan bilik itu suram. Catnya pudar, tingkapnya berdebu, dan hanya ada satu kipas kecil yang berputar perlahan di siling. "Awak tidur kat situ," kata salah seorang senior sambil menunjuk ke arah katil di sudut paling belakang bilik, berhampiran tingkap yang retaknya berjalur halus.
Awraq menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Dia mengemas katil kecil itu dengan seadanya. Dari sudut mata, dia dapat melihat Adli dan seorang lagi senior sedang berbisik sambil tersenyum sinis. Fikirannya mula dibanjiri rasa gelisah.
Sekolah baharunya itu ialah sekolah khas untuk pelajar lelaki sahaja, tetapi suasananya jauh dari apa yang pernah dibayangkannya. Tidak ada rasa kekeluargaan, tidak ada rasa selamat. Dia tertanya-tanya, adakah dia akan bertahan di sini?
Namun, dia tetap cuba meyakinkan dirinya, ‘Mungkin ini hanya hari pertama. Mungkin aku cuma perlukan masa untuk biasakan diri.’ Tetapi jauh di sudut hatinya, rasa bimbang itu tidak reda.
• • •
Malam pertama di sekolah itu tidak memberikan Awraq rasa tenang. Dia terjaga beberapa kali kerana bunyi bising dari katil senior-senior yang berbual tanpa mempedulikan waktu. Kadang-kadang, mereka ketawa kuat, dan setiap kali itu juga, Awraq akan berpura-pura memejamkan mata.
Kesejukan dari tingkap yang tidak boleh tertutup rapat membuatkan dia menggigil di bawah selimut nipis. Sesekali, dia terdengar bisikan senior-senior tersebut, dan walaupun tidak jelas, dia tahu mereka sedang berbicara tentang junior-junior baharu. "Junior-junior baru ni nampak lemah," bisik salah seorang dari mereka, diikuti tawa yang mencucuk hati.
Keesokan paginya, Awraq bangun awal untuk solat subuh. Dia mandi cepat-cepat di tandas asrama yang serba uzur. Jubin lantai pecah-pecah, dengan tompokan lumut yang berbau lembap. Tiada seorang pun dari seniornya kelihatan di situ. Dia berdiri di hadapan cermin kecil yang retak sambil memandang dirinya.
‘Awraq, kau kena kuat,’ dia berbisik perlahan, cuba menyuntik semangat ke dalam dirinya. Namun, semangat itu goyah apabila melihat bayangannya sendiri yang kelihatan lesu dan tidak bermaya. Tak, ini bukan masanya untuk demam lagi.
Ketika berada di surau, dia cuba mencari ketenangan. Tapi, sebaik sahaja selesai solat, seorang senior menepuk belakangnya dengan kasar. "Hei, kenapa tak bagi salam kat aku tadi? Tak hormat senior ke?" Suara itu sinis, tetapi jelas mengandungi ancaman.
Awraq tergagap, tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Dia hanya mampu menundukkan kepala dan meminta maaf. Senior itu, bersama beberapa yang lain, hanya ketawa kecil sebelum berlalu pergi.
Hari-hari berikutnya juga terasa berat. Senior-seniornya sering memberi arahan yang tidak masuk akal—memintanya membeli makanan di koperasi semasa waktu rehat, mencuci kasut mereka, dan membersihkan tandas asrama. Awraq dan rakan setingkatannya menuruti semuanya tanpa membantah. Dia tahu, melawan hanya akan membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.
Namun, satu malam, keadaan berubah menjadi lebih tegang. Seorang senior, yang dikenali sebagai Izzan, masuk ke bilik dengan wajah yang masam. Dia baru sahaja dimarahi oleh seorang guru kerana gagal menyiapkan tugasan. Amarahnya dilampiaskan kepada Awraq.
"Kau tahu tak sebab kau lembik, senior macam kami yang malu!" jerkahnya sambil menolak Awraq sehingga terjatuh. Ketika itu, senior-senior lain hanya memandang tanpa campur tangan.
Malam itu, ketika sendirian di katil, Awraq menangis dalam diam. Dia tidak tahu kepada siapa dia boleh mengadu. Keesokan harinya, walaupun badannya terasa lemah, dia cuba bertahan. Tapi di sudut hati, dia tahu, sekolah ini bukan tempat untuknya.
Dan tanpa dia sedari, malam-malam penuh tekanan ini hanyalah permulaan bagi sesuatu yang lebih buruk. Sesuatu yang akhirnya membawa dirinya kepada bala.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro