Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog ii: Awadah

“A lot can happens in a lifetime.”

ᯓ★

HARI pertama Awadah di sekolah agama itu, dia agak tertarik dengan suasana yang sederhana. Asrama itu tenang ... seakan-akan rumah walaupun kecil sahaja kawasannya dan serba kekurangan dari segi fasiliti. Selepas membuat pendaftaran di pejabat, dia dan ibunya diminta untuk berjumpa dengan pengetua.

Pengetua sekolah itu, Ustazah Suriati, seorang wanita berwajah tenang tetapi terdapat aura tegas, menyambut mereka dengan senyuman mesra. “Selamat datang, Awadah. Harap kamu selesa untuk belajar di sekolah ini. Kami di sini amalkan suasana yang sederhana tapi penuh dengan nilai disiplin. Awak akan dapat belajar banyak perkara di sini, insya-Allah,” ujar Ustazah Suriati.

Pengetua wanita itu menerangkan sistem sekolah mereka, yang mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan sepenuhnya, serta menceritakan bagaimana didikan di sekolah itu banyak bergantung kepada sistem kepimpinan para senior. Teguran senior mungkin kedengaran keras, tetapi ia bertujuan untuk mendidik, jelas Ustazah Suriati.

Awadah hanya mengangguk mendengar penjelasan itu. Dia sebenarnya kagum dengan struktur sekolah yang penuh disiplin ini, berbeza dengan suasana sekolah lamanya yang agak bebas.

Setelah pertemuan itu berakhir, mama memeluk Awadah dengan erat sebelum mencium dahi licin gadis itu. “Belajar elok-elok di sini. Ingat pesan mama, ya. Mama tak boleh lama. Mama kena hantar adik pula,” katanya sebelum berlalu pergi dengan tergesa-gesa, meninggalkan Awadah dengan perasaan yang bercampur-baur.

Dayana, seorang senior tingkatan empat, ditugaskan untuk menunjukkan Awadah ke biliknya. Gadis itu peramah, bercerita tentang kehidupan di asrama sepanjang perjalanan mereka ke blok asrama pelajar perempuan. “Memang mula-mula kamu akan rasa rindu rumah, tapi lama-lama seronok. Ada kakak-kakak yang baik. Ada kawan-kawan yang akan jadi macam adik-beradik, yang jaga bila kita sakit dan bersama ketika susah senang,” ujar Dayana sambil tersenyum.

Awadah mengangguk. Tidak tahu mahu memberi respons apa. Dia memperkemaskan pegangannya pada beg.

Setibanya di hadapan bilik, Dayana memperkenalkan Awadah kepada beberapa pelajar lain sebelum meninggalkannya untuk berehat dan mengemaskan barang.

Awadah melangkah masuk ke biliknya yang kecil tetapi kemas dan tersusun. Dinding bilik itu dihiasi dengan poster-poster motivasi Islami dan jadual harian yang ditulis dengan tulisan jawi menggunakan tangan. Katil-katil disusun rapat, dan setiap pelajar mempunyai ruang almari dan loker kecil untuk menyimpan barang. Salah seorang ahli bilik itu membantu Awadah membawa begnya ke katil yang disediakan untuknya.

“Awadah, ni katil awak. Kalau ada apa-apa, boleh cari saya di bilik hujung sebelah kanan. Jangan segan-segan, ya,” ujarnya dengan senyuman.

Awadah mengangguk perlahan sambil memerhati bilik itu. Seorang pelajar lain, yang kelihatan sebaya dengannya, datang menghampiri.

“Assalamualaikum, ana Zafira. Enti baru masuk, kan? Selamat datang,” ucap Zafira dengan suara lembut sambil menghulurkan tangan.

“Terima kasih,” balas Awadah ringkas sambil berjabat tangan. Lucu juga apabila dia mendengar perkataan ana dan enti.

Pelajar-pelajar lain yang sedang sibuk mengemas atau menelaah pelajaran masing-masing turut mengangguk dan tersenyum. Walaupun mereka tidak bercakap banyak, keramahan mereka membuatkan Awadah berasa sedikit selesa.

Hari pertama di sekolah agama itu terasa damai. Suasana asrama yang sederhana tetapi bersih ini mengingatkannya pada nilai kesederhanaan yang sering diabaikan. Awadah duduk di atas katilnya dan memandang keluar tingkap, melihat halaman kecil yang penuh dengan tumbuhan hijau.

Tidak lama kemudian, loceng berbunyi menandakan waktu makan tengah hari. Zafira mengajak Awadah ke dewan makan. “Jom, ana tunjukkan tempat makan. Lepas tu kita kena solat asar berjemaah di surau. Nanti enti boleh ikut ana.”

Dewan makan tidak besar, tetapi cukup untuk memuatkan pelajar perempuan di sekolah itu. Makanan dihidang secara bufet, dan semua pelajar beratur dengan tertib. “Tak perlu berebut. Semua orang akan dapat makanan. Kalau tak cukup, boleh tambah,” jelas Zafira kepada Awadah.

Selepas makan malam, mereka menuju ke surau yang hanya beberapa langkah dari asrama. Solat berjemaah menjadi satu kewajipan di sekolah itu, sesuatu yang baru bagi Awadah tetapi menarik perhatiannya.

Hari itu berakhir dengan Awadah merenung banyak perkara. Walaupun masih baru, dia dapat merasakan ketenangan dalam suasana yang teratur dan disiplin. Walau begitu, jauh di sudut hatinya, dia tertanya-tanya sama ada dia mampu menyesuaikan diri dengan semua ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro