3 | AWFA
Always the savior, never the saved.
ᯓ★
Dalam tazkirah malam itu, Awfa berdiri di hadapan pelajar-pelajar tingkatan satu yang duduk bersila di lantai surau. Wajah mereka penuh keletihan selepas seharian sibuk dengan orientasi, tetapi mata mereka tetap tertumpu pada Awfa, ketua tingkatan empat yang menjadi fasilitator mereka.
Awfa memulakan tazkirah dengan suara tenang, tetapi penuh kesungguhan. "Adik-adik, malam ini abang nak cerita sikit tentang pengorbanan. Hidup kita ini penuh dengan ujian, dan setiap orang ada perjuangan masing-masing. Tapi, ada satu perkara yang sering kita abaikan ... iaitu pengorbanan ibu bapa kita."
Dia berhenti sejenak, membiarkan kata-katanya meresap ke dalam hati mereka sebelum menyambung. "Adik-adik pernah terfikir tak? Setiap kali mak kita bangun awal pagi untuk masak sarapan, setiap kali ayah kita keluar bekerja sampai malam—itu semua adalah pengorbanan. Mereka tak pernah minta balasan apa-apa. Mereka hanya nak tengok kita berjaya. Nak tengok kita bahagia."
Suasana surau menjadi hening. Ada yang tunduk, mungkin sudah mula terkenangkan ibu bapa mereka. Awfa menarik nafas panjang dan melanjutkan, "Tapi, cuba kita tanya diri kita... selama ini, kita hargai tak pengorbanan mereka? Pernah tak kita mengucapkan terima kasih kepada mak ayah kita? Atau kita hanya tahu merungut bila mereka tak dapat penuhi kehendak kita?"
Beberapa pelajar mula mengesat mata. Awfa meneruskan, suaranya sedikit bergetar. "Adik-adik, abang nak cerita satu kisah. Ada seorang anak lelaki yang selalu menyusahkan ibunya. Dia asyik bergaduh, suka melawan cakap, dan selalu menyalahkan ibunya bila sesuatu tak berjalan lancar. Tapi suatu hari, ibunya jatuh sakit. Dia terlantar di hospital, tak mampu lagi berkata-kata. Masa itu baru anak itu sedar, betapa banyak masa yang dia bazirkan dengan melawan ibu dia. Tapi ... semuanya sudah terlambat."
Awfa menelan air liurnya yang terasa kelat. "Bayangkan adik-adik ... kita balik ke asrama dengan rasa marah terhadap ibu dan ayah kita. Tiba-tiba dapat panggilan dari warden untuk pulang ke rumah. Sampai di hadapan rumah, adik-adik nampak banyak kasut dekat depan rumah. Adik-adik masuk dalam, tengok-tengok ibu dan ayah adik-adik dah tak ada. Adik-adik rasa apa?"
Awfa terdiam, membiarkan kata-kata itu bergema. Beberapa pelajar sudah teresak-esak. Dengan suara lembut, Awfa menutup tazkirahnya. "Adik-adik, jangan tunggu sampai terlambat. Selagi mak ayah kita masih ada, hargai mereka. Minta maaf atas kesilapan kita, tunjukkan kasih sayang kita. Sebab kita tak tahu bila Allah akan ambil mereka daripada kita."
Dia mengakhiri tazkirah dengan bacaan doa, memohon supaya semua pelajar di situ menjadi anak yang soleh dan solehah, serta supaya Allah merahmati ibu bapa mereka. Selepas doa, hampir semua pelajar menangis, termasuk Awfa sendiri. Di sebalik wajah tenangnya, dia memikirkan persoalan yang mencengkam hatinya, 'Apa pengorbanan mama dan abah untuk aku? Dan apa yang aku sudah lakukan untuk mereka?'
Selepas selesai memberi tazkirah, Awfa duduk di satu sudut surau sambil memandang pelajar-pelajar tingkatan satu yang masih mengesat air mata. Sebelum ini, dia tidak pernah menyangka kata-katanya mampu meninggalkan kesan sedalam itu. Tazkirah itu diberi dengan niat mahu mengingatkan, tetapi kini dia berdepan satu situasi di luar jangkaan. Esakan kecil terus kedengaran di sana sini.
Seorang pelajar datang menghampirinya dengan mata yang bengkak dan wajah yang penuh penyesalan. "Abang Awfa ... saya rindu dekat mak ayah saya. Saya selalu ingkar cakap mak ayah. Saya tak hargai mereka .... Abang, saya takut mak ayah saya sedih sebab saya. Saya tak nak mak ayah saya pergi," katanya, suaranya tersekat-sekat.
Awfa menarik nafas dalam-dalam. Dia mengusap bahu budak itu perlahan. "Semua orang pernah buat salah. Tak ada manusia yang sempurna. Tapi yang penting, kita cuba untuk jadi lebih baik. Kamu masih ada masa untuk minta maaf, untuk tunjukkan kasih sayang. Selagi mereka masih ada, hargai mereka. Dah, dah. Jangan menangis. Malu dekat kawan-kawan."
Junior itu mengangguk, tetapi tangisannya tidak berhenti. Awfa memandang wajah-wajah kecil di sekelilingnya. Semua ini mengingatkannya kepada Awraq—adiknya yang paling bongsu. Bagaimana keadaan Awraq di sekolah barunya? Hatinya bergetar seketika, tetapi dia cuba menepis rasa itu.
Awfa tertawa halus. Kekok pula dia mahu memeluk dan memujuk budak-budak ini. Itulah Awfa, siapa suruh buat dia orang menangis? Sendiri buat, sendiri tanggung. Padan muka.
Selesai memujuk mereka, Awfa bangkit dan berjalan ke belakang surau. Dia duduk sendirian, cuba mencari ruang untuk menenangkan diri. Namun, suara kecil dalam hatinya tiba-tiba bergema. Apa yang mama dan abah sebenarnya korbankan untuk aku dan adik-adik?
Awfa cuba menolak fikiran itu, tetapi ia semakin kuat menghantui. Betul, mama dan abah bekerja keras, tapi adakah kerja keras itu benar-benar untuk mereka, atau hanya untuk kerjaya dan impian peribadi mereka? Adakah anak-anak ini yang sebenarnya berkorban untuk mereka? Hati Awfa semakin bergolak.
Dia memejamkan mata, teringat kembali kepada masa-masa lalu—bagaimana dia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga Awadah dan Awraq ketika ibu bapanya terlalu sibuk dengan pekerjaan. Setiap siang dan malam dia yang memastikan adik-adiknya makan, tidur, dan bersiap untuk ke sekolah. Ketika Awraq sakit, dia yang berjaga malam, bukan ibu atau ayah. Dan kini, dia sekali lagi memikul beban menjaga "adik-adik baharu" ini.
Awfa mengeluh perlahan. Kepalanya terasa berat. "Aku tak patut fikir macam ni," bisiknya kepada diri sendiri. Cepat-cepat dia beristighfar, tetapi rasa pedih itu tetap bersarang di hatinya.
Tiba-tiba, salah seorang rakan sekelasnya, Luqman, datang menghampiri. "Awfa, enta okey? Dari tadi ana tengok enta termenung je," tegurnya.
Awfa tersenyum kecil, cuba menyembunyikan perasaannya. "Ana okay. Cuma penat sikit," jawabnya.
Luqman duduk di sebelah, menyilangkan kakinya. "Ana tahu enta banyak fikirkan adik-adik tingkatan satu ni. Tapi enta jangan lupa jaga diri enta juga. Enta terlalu fikirkan orang lain sampai enta lupa jaga diri enta."
Awfa hanya diam, pandangannya jatuh ke lantai surau. Luqman tidak tahu bahawa beban yang dia tanggung bukan sekadar adik-adik tingkatan satu. Ada Awadah, ada Awraq, dan ada luka yang masih berdarah dalam hatinya sendiri.
"Syukran, Luqman, sebab ingatkan ana," jawab Awfa akhirnya. "Ana akan cuba jaga diri ana."
Namun, dalam hatinya, Awfa tahu, itu hanyalah janji kosong yang dia sendiri tidak pasti mampu ditunaikan. Malam itu, dia pulang ke asrama dengan fikiran yang semakin bercelaru. Kegusaran tentang Awraq, tekanan menjaga tingkatan satu, dan rasa tidak puas hati terhadap mama dan abah bercampur menjadi satu, membuatkan tidur malamnya terasa tidak lena.
ᯓ★
Author's note:
Ya, ya, saya tahu tu ayat biasa para fasilitator kem, hehe.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro