Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2 | AWFA

My head is currently a horrible place to be.

ᯓ★

AWFA berdiri di sudut dewan makan, memantau junior-junior tingkatan satu yang baru tiba minggu ini. Suasana hiruk-pikuk memenuhi ruang itu—ada yang sibuk berebut tempat duduk, ada yang terkial-kial membuka bekas makanan, dan ada yang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan asrama. Gelagat mereka yang bersahaja dan penuh keseronokan sedikit sebanyak mengingatkan Awfa kepada hari pertama dia sendiri menjejakkan kaki ke sini, bertahun yang lalu.

"Abang ketua tingkatan, boleh tolong bukakan tin sardin ni tak?" tanya seorang budak yang kelihatan lebih berani, sambil menghulurkan tin sardin yang belum terbuka. Senyuman nakal di wajahnya mengundang tawa kecil rakan-rakannya yang lain.

Awfa menghela nafas pendek tetapi tetap melayan mereka dengan senyuman. "Sini abang tolong," katanya sambil mengambil pembuka tin. Dia membuka sardin itu dengan cekatan sebelum menyerahkannya semula kepada budak tersebut.

"Terima kasih, abang! Abang pandai buka tin, kan? Mesti sebab selalu buat kerja amal, kan?" Budak itu bergurau lagi, cuba menarik perhatian rakan-rakannya.

Awfa tersenyum sambil menepuk bahu budak itu. "Jangan main-main dengan abang ketua tingkatan ni, tahu? Nanti kena buat lebih banyak kerja amal," balasnya sambil mengenyit mata.

Gelak ketawa terus bergema, namun Awfa hanya mampu tersenyum nipis. Dia memandang gelagat mereka yang riang dan mula menyedari bagaimana wajah-wajah itu mengingatkannya kepada seseorang—Awraq.

Sejak adiknya dihantar ke sekolah baru, fikiran Awfa tidak pernah berhenti memikirkan keadaan Awraq. Dia terbayang wajah adiknya yang ceria, tetapi sering menyembunyikan perasaan sebenar. Apakah Awraq sedang menghadapi hari yang sukar? Adakah dia baik-baik saja?

"Abang, boleh tunjukkan bilik air kat mana tak lepas ni?" Suara seorang junior lain memecahkan lamunannya.

Awfa menoleh dengan senyuman hambar. "Lepas makan abang tunjukkan. Jangan risau."

Namun jauh di lubuk hati, Awfa tidak tenang. Dia tidak dapat menghalang fikirannya daripada memikirkan pelbagai kemungkinan buruk. Macam mana kalau ada yang membuli Awraq? Atau dia tak cukup makan? Atau ...? Awfa menelan air liur. Dia tahu itu semua mungkin hanya bayangan. Tapi apa lagi yang mampu dia lakukan selain risau?

Sambil berdiri di tepi dewan makan, Awfa memerhatikan junior-junior yang sudah selesai makan dan mula berbual sesama sendiri. Riuh rendah suara mereka bercampur gurauan dan tawa kecil. Tapi di tengah suasana meriah itu, dada Awfa terasa sesak. Dia melihat mereka, namun yang ada di dalam fikirannya hanyalah Awraq.

"Abang Awfa, abang okey ke?" tanya seorang junior yang perasan wajah Awfa berubah sedikit muram.

Awfa tersentak. Dia segera mengukir senyuman nipis. "Abang okey. Teruskan makan, ya. Jangan risau fasal abang."

Junior itu mengangguk dan kembali kepada rakan-rakannya. Namun Awfa tidak mampu lagi berpura-pura. Dia melangkah keluar dari dewan makan perlahan-lahan, memastikan tiada siapa yang melihat keresahannya.

Langit malam menyambutnya dengan bintang-bintang yang berkerlipan. Dia menghela nafas panjang sambil memandang ke atas, mencari sedikit ketenangan dalam keheningan malam itu.

"Ya Allah, lindungilah Awraq ... ," bisiknya perlahan.

Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding koridor sambil memejamkan mata. Hatinya benar-benar berat. Sebagai anak sulung, dia tahu tanggungjawab menjaga adik-adiknya bukan tugas yang mudah, tetapi memikirkan sesuatu yang di luar kawalannya membuatkan dia rasa lemah.

Dia teringat saat-saat terakhir mereka sebelum masing-masing dihantar ke sekolah berbeza. Awraq kelihatan bersemangat, tetapi Awfa tahu itu hanya di luar. Adiknya itu sering menyembunyikan kesedihan, sama seperti dia sendiri.

"Awfa, kenapa enta termenung kat sini?" Suara seorang rakan setingkatannya memecah keheningan.

Awfa tersenyum lemah. "Tak ada apa-apa. Cuma nak ambil udara segar."

Rakannya hanya mengangguk, memahami. Mereka berpisah, dan Awfa kembali ke tugasnya, tetapi hatinya masih tertinggal di luar, bersama bayangan Awraq yang semakin jauh.

• • •

Pagi itu, angin segar bertiup lembut, membawa bersama bau embun yang masih melekat pada rumput. Awfa berdiri di hadapan kumpulan pelajar tingkatan satu yang baru mendaftar. Matanya memerhati wajah-wajah baru itu—ada yang teruja, ada yang malu-malu, dan ada juga yang kelihatan takut-takut. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara.

"Baiklah, semua. Hari ini abang-abang tingkatan empat akan bawa kamu semua pusing-pusing kawasan sekolah. Supaya nanti, tak adalah kamu sesat ke mana-mana, kan?" kata Awfa dengan nada tenang, cuba mencairkan suasana tegang.

Terdengar beberapa tawa kecil di kalangan pelajar. Seorang pelajar yang berdiri di barisan depan, dengan raut wajah ceria, segera mengangkat tangan. "Abang, tandas dekat kat mana? Nanti tak adalah sesat cari tandas!"

Awfa tersenyum sambil menepuk bahu pelajar itu. "Sabar, nanti kami tunjukkan. Jangan risau, abang takkan biarkan kamu sesat dalam kawasan tandas," jawabnya, membuatkan tawa pelajar-pelajar lain bertambah.

Bersama beberapa rakan setingkatan, Awfa mula memimpin kumpulan pelajar itu meronda kawasan sekolah. Mereka berjalan melalui dewan besar, tempat perhimpunan rasmi sering diadakan. Beberapa pelajar tingkatan satu kelihatan teruja melihat keluasan dewan itu.

"Wah, dewan ni besar sangat! Kalau main bola kat sini, agak-agak muat tak, abang?" tanya salah seorang pelajar dengan nada bercanda.

"Kalau abang tangkap kamu main bola dalam dewan, kamu akan main bola di padang ... sambil lari sepuluh pusingan!" jawab seorang rakan Awfa, Saif, dengan nada berseloroh. Semua pelajar ketawa.

Kemudian mereka dibawa menuju surau yang terletak di tengah-tengah kawasan sekolah. Surau itu besar dan indah, dihiasi dengan seni bina Islam yang sederhana tetapi memukau. Latar belakang surau itu adalah gunung yang berdiri megah, menambahkan keindahan suasana.

"Masya-Allah ... cantiknya," bisik salah seorang pelajar, terpana melihat panorama alam sekitar yang begitu tenang.

Awfa memandang mereka dengan senyuman puas. "Surau ni tempat yang paling penting di sekolah kita. Di sinilah kita semua akan solat berjemaah, mendengar ceramah, dan ada juga waktu pengajian kitab turath selepas Maghrib. Jadi pastikan kamu semua biasakan diri dengan tempat ni, ya," katanya.

Rombongan mereka diteruskan ke asrama, kantin, padang, dan beberapa blok kelas. Awfa tidak dapat mengelak daripada membandingkan gelagat junior-junior ini dengan Awraq. Pelajar-pelajar baru itu masih penuh dengan semangat, berbeza dengan Awraq yang sering tampak resah dan diam sejak akhir-akhir ini.

"Awfa, enta okey?" tanya Saif sambil berjalan di sebelahnya.

"Ya, ana okey. Cuma teringat adik ana ... tertanya-tanya macam mana keadaan dia," jawab Awfa perlahan, tanpa mengalihkan pandangan daripada pelajar-pelajar yang dia bawa.

Saif mengangguk, memahami kebimbangan itu. "Awraq akan baik-baik saja. Dia kan adik enta, mesti dia kuat macam enta juga."

Awfa tersenyum nipis tetapi tidak menjawab. Dia hanya berharap kata-kata Saif itu benar.

Setelah selesai sesi meronda, kumpulan itu kembali ke dewan untuk mendengar taklimat daripada senior tingkatan lima yang datang seketika untuk membantu. Awfa mengatur junior-junior itu supaya duduk dengan tertib. Walaupun dia keletihan, melihat wajah-wajah penuh harapan itu membuatkan dia merasa puas.

Namun di dalam hatinya, masih ada bayangan Awraq yang terus menghantui fikirannya. Bagaimana keadaan Awraq di sana? Adakah dia mendapat kawan baru? Atau mungkin ...? Awfa menggelengkan kepala, cuba mengusir fikiran buruk itu. Dia tahu dia harus fokus pada tugasnya di sini, tetapi sebagai seorang abang, kerisauan itu tidak pernah hilang.

Ketika duduk sebentar di tepi dewan selepas sesi orientasi tamat, Awfa menyandarkan kepala ke dinding, cuba melepaskan lelah. Namun, fikirannya terus berputar, sarat memikirkan tanggungjawabnya yang melangkaui batas dirinya sendiri.

Belum cukup dengan menjaga pelajar tingkatan satu yang baru sahaja dia bawa meronda, dia masih perlu mengawasi Awadah di sekolah ini. Walaupun mereka bersekolah di institusi yang sama, sistem pengasingan antara pelajar lelaki dan perempuan menjadikan dia hampir tidak mempunyai peluang untuk bertemu adiknya itu. Awadah juga bukanlah seorang yang mudah untuk diuruskan. Sifatnya yang keras kepala dan tidak suka menurut peraturan sering membuatkan Awfa risau.

Dan kemudian ada Awraq. Jauh di sekolah lain, Awfa tidak dapat memastikan adik bongsunya itu baik-baik sahaja. Adakah Awraq sudah mula menyesuaikan diri? Atau adakah dia sedang bergelut dengan cabaran yang tidak diketahui? Fikirannya terus memutar kemungkinan demi kemungkinan.

"Awfa," panggilan suara Saif mengejutkan dia daripada lamunannya. "Enta nampak penat. Rehatlah kejap."

Awfa tersenyum nipis, cuba menyembunyikan kebimbangannya. "Tak apa, ana okey. Banyak benda nak fikir."

Saif duduk di sebelahnya, memandang wajah teman baiknya itu dengan kerutan kecil di dahi. "Enta kena belajar untuk lepaskan, Awfa. Enta tak boleh kendong semua benda seorang diri. Adik-adik enta ada tanggungjawab sendiri juga. Dia orang dah besar."

Awfa menghela nafas panjang. "Ana tahu. Tapi ana ni abang dia orang. Kalau bukan ana, siapa lagi? Kalau sesuatu jadi dekat dia orang, ana yang kena dulu. Macam adik ana yang perempuan tu ... dia tak boleh ditegur sangat. Dan lagi seorang pula ... dia terlalu lembut untuk dunia ni. Ana tak tahu apa yang sedang berlaku dekat dia sekarang."

Saif meletakkan tangannya di bahu Awfa, menepuk lembut. "Enta buat yang terbaik, Awfa. Tapi jangan sampai enta sendiri rebah."

Awfa hanya diam. Dia tahu Saif betul, tetapi kata-kata itu tidak cukup untuk memadamkan rasa tanggungjawab yang terlalu dalam tertanam di hatinya. Matanya kembali melirik ke arah pelajar-pelajar tingkatan satu yang sedang berbual sesama sendiri, wajah mereka ceria dan penuh harapan.

Dalam diam, Awfa berdoa agar adik-adiknya juga sedang melalui detik yang sama—detik di mana mereka merasa selamat, ceria, dan tidak terbeban dengan apa-apa. Namun, hatinya tetap berat, seakan-akan menunggu sesuatu yang tidak pasti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro