Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

SELESAI urusan di mahkamah, aku terus pulang ke rumah. Bermula idahku yang perlu aku jaga. Walau masih belum biasa dengan aturan semasa di dalam idah, aku cuba untuk lakukan yang terbaik. Walau sesukar mana, aku yakin aku boleh hadapinya.

Tak pernah aku impikan, bakal berhadapan dengan situasi begini. Lima tahun yang sangat indah namun berubah dengan sekelip mata hanya kehadiran orang ketiga. Khairul mengambil keputusan untuk menceraikan aku sedangkan aku sudah beritahu dia aku bersedia untuk bermadu. Tidak terlintas pun untuk bercerai. Namun apalah dayaku kerana kekasih Khairul tidak mahu bermadu. Khairul dipaksa membuat pilihan antara aku dan kekasihnya dan pastinya Khairul memilih untuk bersama kekasihnya.

Huh! Mulut bukan main kata sayang. Konon tetap sayang aku sampai bila-bila, tapi pilih kekasih dia juga. Jangan harap aku akan percaya lagi.

Setibanya di rumah, fikiran kembali kosong dan hambar. Entah kenapa aku langsung tidak boleh menangis. Mungkin rasanya terlalu sakit, jadi air mata juga kering. Untuk apa menangisi sesuatu yang sudah tertulis, belajarlah untuk reda, Fatihah. Hidup ini sangat singkat dan tak perlu ada rasa menyesal. Belajarlah sesuatu dari segala yang sakit itu. Pasti aku akan bertemu penawarnya. Mungkin lambat, tapi tak mengapa. Aku akan lebih kuat nanti.

Buat sementara waktu, aku tidak tahu mahu hubungi siapa untuk memaklumkan perkara ini. Mak, pasti saja sibuk dengan keluarganya. Ayah juga begitu. Selama ini tak pernah ambil tahu tentang aku. Tunggu nak buka sekolah nanti bila masing-masing perlukan duit. Masa itulah mereka akan ingat semula nombor telefon aku.

Tak apalah. Sekarang ini aku perlu jalani hidup aku sendirian. Aku harus kuat. Lebih kuat dari sebelumnya.

Baru hendak baring di sofa, pintu diketuk. Segera aku berjalan ke muka pintu. Mana tahu Khairul mahu ambil barang-barangnya. Khairul sudah tidak tinggal di rumah ini sejak dia failkan perceraian. Lebih kurang tiga bulan yang lalu.

Bukan Khairul tetapi adik bongsu Khairul, Ayuni. Sudah tercegat di muka pintu dengan muka serupa minta penampar. Tak pernahnya manis bila jumpa aku. Dan sekarang aku pun tak perlu maniskan muka aku. Ayuni sudah jadi bekas adik ipar. Bila namanya bekas, sudah tidak ada sebarang hubungan lagi. Kalau dia tak tahu nak hormat aku, tak ada sebab untuk aku hormat dia. Hidup kena adil dan tak ada berat sebelah.

Ayuni masuk tanpa aku pelawa dan terus duduk di atas sofa. Silang kaki macam bos besar. Berlagak sungguh. Kurang ajar pun sama. Buruk betul perangai adik Khairul yang seorang ini.

"Sudah selesai, bukan?" soalnya dengan nada sombong.

Ayuni suri rumah tangga sepenuh masa dan memiliki tiga orang anak, sebaya dengan aku, dua puluh lapan tahun. Sebab itulah dia tak hormat langsung aku sebagai kakak iparnya. Selain sibuk menguruskan rumah tangga dia, sibuk juga menguruskan kehidupan aku. Sejak aku jadi kakak ipar dia, tak pernah dia layan aku dengan baik. Ada sebab kenapa dia begitu. Dia memang tak sukakan aku sebab aku tak pernah nak layan dia. Aku tak ikut langsung kehendak dia dan aku banyak membantah.

"Sudah." Sepatah aku jawab.

Mesti nak tepuk tangan bila berjaya membuatkan rumah tangga aku hancur dan musnah. Kau jangan nak tepuk tangan sangat sebab kau pun ada rumah tangga. Sekelip mata rumah tangga kau boleh hancur juga. Suami dia pun bukan boleh diharap sangat. Kerja tak pernah tetap. Menyusahkan keluarga tapi masih tak sedar diri.

"Apa lagi. Kemaslah barang-barang kau. Berambus cepat."

Senang-senang nak halau aku. Ingat aku akan ikut cakap dia? Memang taklah. Dia juga penghasut utama dalam keretakan rumah tanggaku selain kakak Khairul yang juga bekerja satu syarikat dengan aku dan Khairul.

"Dalam tempoh idah, seorang wanita itu mesti tinggal di rumah yang dia tempati sebelum berlakunya perceraian. Bekas suami juga wajib menanggung semua keperluan wanita tersebut sehingga selesai idahnya. Tahu hukum ke tidak?" Aku balas dengan nada tegas. Anak kelima daripada lima bersaudara ini memang bermulut kurang ajar. Kena lawan balik dan sudah lama aku simpan dendam terhadap Ayuni.

"Dah bercerai tu blah aje. Tak perlu nak tunggu habis idah bagai. Macam tak biasa pula. Tapi tak tahulah kut nak merebut harta abang aku. Kau dengar baik-baik. Rumah ni rumah abang aku. Dia beli sebelum nikah dengan kau lagi, jadi jangan mimpi nak tuntut harta sepencarian bagai."

Siap bagi amaran lagi. Macamlah aku lapar sangat dengan harta abang dia.

"Saya tak tuntut pun. Saya tahu ini rumah dia. Saya hanya menumpang sampai idah saya habis. Itu saja."

"Mengada betullah. Nak tunggu tiga bulan pula." Ayuni keluarkan telefon dia. Segera dia mencari nombor seseorang. Rasa seperti tahu saja siapa yang dia hubungi.

"Helo, abang. Perempuan ni dah kena cerai pun tak nak keluar lagi dari rumah abang ni. Abang sound sikit boleh tak?"

Hurm, mengadu pada abang dia rupanya. Kalau Khairul halau aku, bermakna aku sudah terlepas dari satu dosa.

"Macam mana? Ayu tak faham."

Dahi Ayuni berkerut. Aku tak dengar butir bicara Khairul namun bila melihatkan perubahan wajah Ayuni, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena dan sesuatu itu Ayuni tak berapa berkenan. Kalau tidak, takkan wajah Ayuni mendadak berubah.

"Mana Ayu tahu hukum wanita dalam idah. Ayu tak pernah bercerai. Ayu ada kat rumah abang. Ayu ingat nak halau dia sebab Ayu nak tinggal kat rumah ni."

Padanlah bersungguh halau aku. Nak tinggal di sini rupanya. Memang dasar muka tak tahu malu. Kasihan betul mak mentua aku ada anak macam ni. Menyusahkan orang saja.

"Mana boleh macam tu, abang. Kita adik-beradik. Ayu antara adik abang yang susah. Faham sama kesulitan Ayu."

Makin berkerut dahi Ayuni. Rasanya makin Ayuni tidak berkenan.

"Hesy! Berkira betul."

Ayuni matikan panggilan. Rasanya perbincangan antara dua beradik itu gagal.

"Gila! Sewa sebulan seribu tiga ratus. Deposit pula dua ribu enam ratus. Dengan adik pun nak berkira." Ayuni membebel sendirian.

Rasanya aku yang perlu tepuk tangan. Padan muka. Apa dia ingat kalau aku keluar dari sini dia boleh dapat rumah percuma? Memang tidaklah Khairul nak bagi. Khairul tu kedekut.

"Khairul suruh saya keluar ke?" Sengaja nak ambil tahu. Manalah tahu Khairul suruh pindah.

"Tak. Dia cakap kau boleh duduk di sini selagi kau suka. Aku nak tinggal di sini dia tak bagi pula. Kalau nak juga, kena bayar sewa sebanyak seribu tiga ratus. Gila. Mahal nak mampus. Manalah aku mampu."

"Memanglah sewa di kawasan ni harganya macam itu."

"Masalahnya adik dia kut. Kau pula janda dia boleh tinggal percuma. Bodoh punya abang."

Dia yang bodoh tak sedar.

"Habis macam mana? Jadi ke nak sewa rumah ni?"

"Sewa apa pula? Pandailah nanti aku pujuk mak."

Aku dah agak. Nak duduk percuma saja. Pasti mahu bekas mentua masuk campur. Tapi kalau Khairul cerdik, takkan terpedaya dengan helah Ayuni. Aku tunggu dan lihat sahaja.

"Agaknya Khairul nak tinggal dengan isteri dia."

"Tak, tak. Aku dah hasut Delisha. Jangan tinggal di sini takut abang aku teringat kenangan bersama kau. Biar mereka cari rumah lain."

Licik betul perempuan seorang ini. Dulu-dulu dia bertindak.

"Jadi, apa lagi. Blah la. Saya nak berehat." Giliran aku pula halau dia.

"Berlagak. Berani kau halau aku. Kau tunggu nasib kau nanti. Dasar tak sedar diri."

"Nasib saya dah tertulis begini. Tapi saya masih ada pekerjaan. Gaji saya juga cukup untuk menampung kehidupan saya pada masa akan datang. Tapi awak? Nampak macam merempat sangat."

Rasanya tak salah kalau aku balas balik. Kadang-kadang hidup ni jangan jadi terlalu baik sangat. Sesekali kena tunjuk posisi jahat sama. Baru adil. Kau kenakan aku, aku kenakan kau balik. Kalau dulu aku cukup menjaga hati dan perasaan ipar-duai, sekarang tidak lagi.

"Berlagak nak mampus. Dah kena cerai pun masih tak sedar diri." Ayuni serupa ajak aku bergaduh. Aku pun dah lama tak bergaduh dengan orang.

"Saya cakap yang betul. Sekurangnya saya masih bekerja. Awak pula, rumah pun merempat minta rumah abang. Awak yang tak sedar diri sebenarnya. Makan pun minta dengan mak. Asal hujung bulan, angkut anak-beranak makan di rumah mak. Tak merempat namanya tu?"

Semakin bersemangat mahu kenakan Ayuni. Selama ini aku diamkan dan perhatikan saja perangai buruk Ayuni. Selepas berstatuskan bekas kakak ipar, bolehlah aku mengutuk dia depan-depan.

"Apa masalah kau, perempuan? Aku tumpang makan pun bukan dengan orang lain. Dengan mak aku juga."

"Itulah saya cakap awak tak sedar diri. Mak awak pun anak-anak yang bagi duit. Sepatutnya awak yang kena tanggung mak awak, ini awak pula menyusahkan dia. Menambahkan beban dia. Anak apa macam tu? Baik terjun lombong ajelah. Hidup pun jadi beban keluarga."

Ayuni nampaknya seperti gagal mengawal perasaan. Nafasnya naik turun. Kalau dia lempang aku, aku lempang dia balik.

"Sudah-sudahlah menyusahkan keluarga. Kalau kahwin, semata-mata nak buat anak kemudian merempat, baik tak payah kahwinlah."

"Melampau betul. Kau tunggu. Tahulah apa aku nak buat. Sebelum aku balik, kau baik mengemas cepat. Aku akan pastikan kau kena halau dengan kadar segera."

"Baik saya tunggu. Jangan bimbangkan fasal saya. Bimbangkan fasal hidup awak dulu."

Sempat lagi aku kenakan Ayuni.

Dia tinggalkan rumah Khairul selepas itu. Pasti mahu mengadu kepada adik-beradik dia. Selepas itu berderet adik-beradik Khairul kacau aku. Tapi aku sudah bersedia. Aku sudah tidak takut dengan sesiapa pun.

Rasanya aku semakin berani untuk menghadapi segalanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro