Bab 15
SETIAP hari Khairul buat panggilan. Memang aku tak jawab. Malas. WhatsApp bukan saja aku tak baca, buka pun tidak. Seminggu ini memang aku tak layan. Sedap beristeri baru, alih-alih cari aku juga. Memang tak fasal aku nak layan.
Sampai pejabat, aku terus ke pantri. Suriani dah WhatsApp mak dia buat pulut kuning sambal kerang pagi ni. Sempena ulang tahun perkahwinan mak ayah dia yang keempat puluh.
"Mari makan."
"Kau ajak kita orang aje ke? Lain tak ajak?" Aku tanya sambil tarik kerusi. Sudah ada Fuzah dan Asila.
"Malaslah. Yang lain tu tak guna dibagi makan. Belakang kutuk juga. Lagipun, dalam pejabat ni muka kita saja yang makan di pantri. Yang lain semua bajet orang kaya." Suriani meluah rasa.
Memang betul pun. Rakan sekerja lain memang bajet orang banyak duit. Makan nak gah belaka. Tapi kami tak ambil peduli pun hal mereka. Kami berempat makan dengan cara kami. Yang penting perut kami kenyang, kerja pun lancar.
"Tadi aku terserempak dengan pengantin baru tu. Boleh pula si suami tanya kau mana? Tak tahulah apa perasaan isteri dia." Fuzah buka cerita.
Sudah masuk kerja rupanya. Tak lama bercutinya. Oh, lupa, tak berbulan madu.
"Seminggu ni memang aku tak layan."
"Padanlah meroyan. Serius aku tak faham. Bercerai, masih ingat bekas isteri. Tak boleh ke diam-diam dengan isteri baru tu?"
"Itulah fasal, Fuzah. Aku lagilah tak faham. Lupakanlah fasal pengantin baru. Jom makan."
Kami bersarapan dengan berselera. Berbual dan bergurau senda. Hal Khairul aku cuba buang jauh-jauh. Kalau begitu cara dia, perkara ini takkan selesai dengan mudah.
Tengah hari itu, Noah budak pejabat kami hantar bungkusan makanan kepadaku.
"Bekas suami akak minta hantar pada akak."
"Awak pergi hantar balik pada dia. Beritahu dia jangan gatal nak hantar apa-apa pada akak. Akak tak suka." Hilang ingatan agaknya. Selama ini tak pernah hantar makanan. Minta belikan makanan pun susah sangat. Alih-alih sekarang sudah pandai berhantar makanan. Sejak nikah baru ni, makin pelik perangai Khairul.
"Terima ajelah, kak. Itu tandanya dia masih sayang akak."
"Takde, takde. Awak hantar balik pada dia. Akak tak nak nanti jadi fitnah. Mulut yang mengata memang ramai. Tak fasal nanti akak kena serang dengan isteri kesayangan dia. Awak tolong akak sama, ya. Tak pun awak bagi saja pada isteri dia. Lebih afdal."
"Baiklah kalau macam tu."
Noah beredar. Tak mahu aku jadi masalah nanti. Tak fasal aku pula yang kena. Orang lain bukan tahu situasi sebenar. Main kutuk sesuka hati saja.
"Bertuahlah dapat bekas suami masih sayang." Fuzah menyindir.
"Sayanglah sangat." Aku balas. Sambil itu jeling Eja. Percayalah cakap aku, kejap lagi sampailah pada Delisha. Silap hari bulan, tuduh aku yang suruh dibelikan makanan.
"Eh! Kau orang tak tahu ke gosip yang sedang beredar? Perempuan tu siap perangkap Khairul tau. Tak tahulah macam mana ceritanya tapi dia ugut Khairul. Kalau Khairul tak kahwin dengan dia, dia akan edarkan gambar bogel mereka." Asila bercakap dari tempat duduknya.
"Astaghfirullah al Azim. Seriuslah. Kita orang tak tahu pun. Ada gambar bogel. Hati-hati Asila. Jatuh fitnah nanti." Fuzah menjawab.
"Delisha tu memang syok habis kat Khairul. Dia memang kecewa gila bila Khairul pilih Tihah jadi isteri. Tapi dia tak putus asa. Dia terus berusaha tapi agaknya dah terlalu cinta sangat dengan Khairul, dia perangkap Khairul dengan cara tu," sambung Asila.
"Sumpah, memang tak tahu pun. Tapi kalau betul memang teruklah. Ini dah tahap perempuan tak ada maruah. Sanggup rendahkan diri semata kerana cinta. Suami orang pula tu." Suriani menyampuk.
"Satu syarikat dah tahu cerita ni. Yang bocor pun kawan baik dia juga. Terlepas cakap sebenarnya."
"Padanlah Khairul macam tak boleh lupakan kau, Tihah. Jadi mangsa rupanya." Fuzah meneka.
"Tapi bertepuk tangan sebelah takkan jadi. Kalau Khairul tak melayan sama kau ingat Delisha boleh perangkap Khairul? Salahnya Khairul juga. Dah tahu orang tu syok sangat kat dia, kenapa tak buat sesuatu?" Aku tetap menyalahkan Khairul. Kalau Khairul berusaha mengelak, takkan jadi semua ini.
"Yang ni aku setuju. Bertepuk tangan sebelah pasti takkan berbunyi. Khairul pun miang sama." Fuzah sokong aku.
"Tapi memang tak sangka perempuan tu tergamak main kotor. Percayalah, dia takkan bahagia. Kau orang tengok sajalah nanti." Suriani seakan-akan menyumpah.
"Memang betul. Aku rasa pun dia takkan bahagia. Macamlah tak ada lelaki bujang. Duda pun selambak. Masih nak suami orang." Fuzah menokok.
Aku tak mahu mengulas lebih lanjut. Benda dah jadi. Tak guna pun nak ungkit lagi. Sekarang adalah masa untuk aku memulakan kehidupan aku. Jadi, tak guna pun nak cerita apa-apa lagi. Tapi kalau betul, nipis juga iman Khairul. Baru digoda sedikit sudah masuk perangkap.
Telefon berbunyi. Jawab sajalah. Dah seminggu aku mengelak.
"Helo, Tihah. Kenapa tak terima nasi yang abang belikan?"
"Tihah tak nak terlibat dengan abang lagi. Tolonglah abang. Abang ni dah kenapa tak habis-habis kacau Tihah?"
"Salah ke abang belikan Tihah nasi? Susah sangat ke nak terima pemberian abang?"
Memang tak faham bahasa langsung. Entah bagaimana lagi caranya untuk aku menjelaskan agar Khairul faham.
"Ini abang nak tanya, kenapa seminggu Tihah tak jawab panggilan abang? WhatsApp pun langsung tak baca. Tihah dah kenapa?" Dia pula tanya aku. Dia sendiri yang cari fasal tak sedar.
"Abang sendiri dah cakap abang cuti seminggu. Siap pesan jangan cari abang,"
"Bila masa abang cakap macam tu? Abang tak cakap pun."
"Kenapa mudah sangat lupa? Abang cakap abang cuti seminggu. Jangan cari abang. Macamlah Tihah nak cari abang. Tihah takkan cari abang."
"Tihah salah faham ni. Bukan abang maksud jangan cari abang. Abang tak nak Tihah tercari-cari abang."
"Samalah tu."
"Mana ada sama."
"Lagipun Tihah tak nak kacau bulan madu abang."
"Tak ada bulan madu pun."
"Takkan tak ada."
"Abang tak ada mood sebab Tihah tak jawab call abang."
Aku buat-buat ketawa. Bodoh punya manusia.
"Okeylah, abang. Nak buat kerja ni."
"Selepas ni kalau tak jawab call abang, abang cari Tihah sampai ke rumah."
"Wei, tanyalah fasal gambar tu?" Asila ingatkan aku. Sebenanrya aku dah lupa.
"Abang, betul ke fasal gambar tu?"
"Errr, mana Tihah tahu?"
"Satu bangunan dah tahu."
"Mana ada. Fitnah tu. Takkanlah abang bodoh sangat."
Cara Khairul menjawab seperti sedang ketakutan.
"Tak apalah kalau macam tu. Betul atau tidak, itu abang kena jawablah nanti."
"Percayalah cakap abang. Abang..."
"Abang nak tidur dengan siapa pun, bukan masalah Tihah lagi. Sekalipun abang berzina, pun tak ada kena-mengena dengan Tihah." Geram sudah.
"Astaghfirullah al Azim. Janganlah percaya semua tu."
"Okey, abang. Assalamualaikum."
Aku matikan saja panggilan. Malas hendak melayan.
"Letih betul nak melayan manusia gila talak ni." Aku merungut sendiri.
"Bukti kenapa dia tak boleh lupakan kau. Aku rasa macam ini, Delisha memang suka habis kat Khairul. Khairul pula layan gitu-gitu aje. Delisha pun perasan habis. Bila dia ajak Khairul nikah, Khairul tak nak. Jadi, dia buat perangkap." Asila mula buat teorinya.
"Setuju. Aku rasa pun macam tu. Akhirnya Khairul masuk perangkap." Fuzah menyokong.
"Memandai saja kau orang ni. Dah mereka suka sama suka. Bukannya Khairul kena paksa pun." Eja membantah. Haruslah dia bantah keras sebab yang kutuk sekarang sahabat baik dia.
"Kau apa tahu, Eja? Dia bukan ke sahabat dunia akhirat kau? Mestilah kau bantah. Cuba buka sikit fikiran kau tu. Kalau perkara buruk takkan kau nak sokong sama?" Asila tempelak Eja.
"Dah memang betul pun. Mereka suka sama suka. Mana boleh nak salahkan Delisha semata."
"Dah, dah. Benda dah jadi. Harap jadi pengajaran buat kita. Jangan kita jadi macam tu. Jadi bodoh hanya disebabkan cinta." Aku jadi orang tengah. Tidak mahu menjadikan suasana bertambah tegang.
"Betul. Sebab cinta sanggup buat apa saja. Sedangkan cinta tu macam pisang goreng saja pun. Sedap masa panas. Dah sejuk jadi lemau, dah tak sedap nak dimakan." Asila membalas.
Begitulah cinta. Namun disebabkan cinta jugalah, manusia jadi sangat buta. Bukan setakat buta mata, buta hati juga.
Kali ini aku biarkan cerita Khairul dan Delisha sebagai teka-teki yang Khairul harus jawab sendiri. Aku sendiri secara peribadi tak perlukan kebenarannya. Itu cerita mereka. Bagaimana mereka hendak menjawab, terserah. Aku hanya berdoa agar tiada sebarang keterlanjuran kerana aku kasihan kepada mereka berdua. Cinta membuat mereka menanggung beban dosa yang sangat besar.
Minta dijauhkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro