
Bab 14
PEJABAT kami sepi. Masing-masing tekun dengan tugas yang telah ditetapkan. Sampai tak sedar sudah menghampiri dua belas setengah tengah hari. Waktu rehat untuk makan tengah hari. Tadi Asila beritahu dia sudah buat pesanan makanan kafe dan kami akan makan di pantri. Seronok bila ada kawan-kawan yang faham keadaan aku. Tapi yang sebenarnya, mereka tak berapa selesa makan di kafe yang sah-sah sesak. Di pantri hanya kami yang ada. Yang lain lebih selesa makan di kafe dan ada yang makan di luar.
"Eh! Eja. Sahabat baik kau tu berbulan madu kat mana?" Asila bertanya sambil bangun. Soalan mencari fasal. Tapi sebenarnya aku pun nak tahu juga ke mana Khairul mahu bawa isterinya.
"Manalah aku tahu," balas Eja. Serupa kurang senang.
"Mustahil kau tak tahu. Mesti kau tahu. Sebab kau BFF dia. Takkan dengan BFF sendiri pun nak rahsia. Lainlah kalau kau kirim macam-macam tapi duit satu sen tak bagi." Asila mengasak dengan sindiran.
"Kalau dia tahu dah lama dia beritahu Tihah. Entah-entah BFF dia tak pergi berbulan madu." Fuzah membalas.
"Betul juga. Kalau BFF dia pergi berbulan madu, sah dah berkompang ke Tihah." Asila ketawa perlahan.
"Itulah fasal." Fuzah menyokong hujah Asila.
"Mereka tak pergi berbulan madu pun." Setelah diasak berkali-kali, akhirnya Eja buka mulut juga.
"Takkanlah tak ada bulan madu. Dengar cerita majlis bukan main gah lagi. Takkan tak berbulan madu langsung. Paling-paling pun Bali. Kau dulu berbulan madu kat mana, Tihah?"
Libatkan aku ini yang malas.
"Phuket." Aku jawab juga soalan Asila.
"Tengok, Tihah pun pergi Phuket. Takkan dengan isteri baru tak pergi mana? Apa barang kahwin tak berbulan madu." Tak sudah Asila menyindir. Kemudian dia tinggalkan ruang pejabat. Pasti mahu ke kafe untuk mengambil pesanannya.
Eja masih duduk di tempatnya. Namun tak seorang pun pedulikan dia.
Telefon berbunyi. Melihat nama Khairul, malas aku nak jawab. Tak habis-habis telefon aku. Hadap sajalah isteri dia, kenapa sibuk telefon aku?
"Kenapa tak jawab?" tanya Fuzah.
"Khairul. Malaslah. Entah apa dia nak."
"Dia nak tanya kau dah makan ke belum. Kalau belum, dia tolong belikan."
"Aku tak mintak pun. Yang wajib dia bagi makan tu isteri dia. Bukannya bekas isteri."
"Tu la fasal. Entah apa-apa."
Telefon berbunyi lagi.
"Kau jawab ajelah. Karang bunuh diri pula kau tak jawab," desak Fuzah.
Terpaksalah aku jawab. Seperti biasa, aku tekan loudspeaker. Sebab aku mahu semua orang mendengar dan saksikan bahawa bukan aku yang kacau dia.
"Kenapa susah sangat nak jawab panggilan abang?" Khairul marah. Marah pula. Suka hati akulah.
"Bukan susah, tapi Tihah sengaja tak nak jawab. Abang ni dah kenapa? Pelik betul perangai. Dah bercerai pun masih kacau Tihah." Aku marah balik. Baru adil.
"Pelik apa pula?"
"Yalah, abang bukan ke sudah menjadi suami orang? Kenapa masih juga nak telefon Tihah. Kalau Tihah berada di tempat isteri baru abang, mesti rasa sakit hati."
"Itu masalah abang. Tak ada kena-mengena dengan dia. Abang nak hubungi siapa pun, suka hati abanglah."
"Abang bergaduh dengan isteri abang ke?" Aku menebak. Lain macam cara bercakap. Kemudian aku pandang Eja yang tentunya pasang telinga.
"Bukan bergaduh, tapi susahlah kalau perempuan yang tak memahami."
Sah bergaduh. Tak cakap pun aku tahu.
"Abang pun satu. Dah tahu isteri kuat cemburu kenapa cari fasal? Kenapa masih telefon bekas isteri? Abang tak ada hati dan perasaan ke? Cuba kalau isteri abang telefon bekas kekasih. Apa abang rasa?"
"Dia tak ada bekas kekasih pun."
"Tihah cakap, kalau. Tihah nak tahu apa perasaan abang kalau diperlakukan begitu. Kalau abang tak nak sakit hati, abang jangan sakiti hati orang lain. Boleh, abang?"
"Tihah dah tak macam dulu yang sentiasa menyenangkan hati abang. Sekarang asyik nak lawan cakap abang saja."
"Memanglah Tihah bukan macam Tihah yang dulu. Tihah sekarang bekas isteri abang. Apa hal Tihah nak senangkan hati abang? Abang sudah ada isteri yang mampu menyenangkan hati abang." Balik-balik aku yang salah. Dia betul saja.
"Tak apalah kalau macam tu." Nada merajuk.
"Tolong jangan telefon Tihah lagi."
Aku matikan panggilan. Percayalah, Khairul tetap akan telefon aku. Dah masak dengan perangai dia.
"Kau dengar kan Eja? Bukan aku yang kacau Khairul."
Eja tak jawab. Bengang agaknya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro