Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

ISNIN. Hari baru pun bermula. Aku bawa bekas makanan berisi mihun goreng ke pejabat. Nanti makan tengah hari cerita lain. Pesan melalui atas talian juga boleh. Mana yang senang asal aku dapat menghindari pekerja lain yang pastinya sedang rancak bercakap tentang majlis kahwin Khairul. Tak sanggup aku nak dengar.

Fuzah dengan Suriani sudah menunggu di tempat dudukku. Sejak aku tidak makan di kafe, mereka berdua selalu temankan aku makan. Orang kata biar tak ramai kawan, tapi berkualiti. Cukuplah aku ada mereka. Tak perlu ramai.

"Masak apa pagi ni?" tanya Fuzah.

"Mihun goreng."

Fuzah terus peluk aku.

"Aku dah lama nak makan mihun goreng kau. Mihun paling sedap pernah aku makan."

"Benda percuma memang sedap." Aku balas dengan jelingan.

"Serius sedap. Bukan sebab percuma."

Mestilah sedap sebab aku masak ikut resipi mihun goreng Pak Kulop. Gerai yang menyediakan sarapan pagi yang cukup terkenal di kampung aku. Setiap kali pulang ke kampung, Khairul pasti akan bersarapan di situ. Sehingga dia paksa aku minta resipi daripada tuan gerai. Mujur tuan gerai tidak kedekut.

Sebulan mesti dua kali Khairul meminta aku gorengkan mihun Pak Kulop. Aku sumpah, mati hidup semula pun aku tak akan ajar resipinya. Kalau nak makan juga, pergi ke gerai Pak Kulop. Tapi mustahil Khairul nak pergi kampung aku bila sudah tak ada kena-mengena dengan aku lagi.

Kami menjamu selera di pantri. Masing-masing buat air.

"Sedapnya." Fuzah mula memuji sebaik sahaja mihun masuk ke dalam mulut dia. Pujiannya kedengaran ikhlas. Menipu kalau tidak rasa gembira bila dipuji begitu. Hilang segala rasa penat memasak.

"Makan sampai habis. Banyak aku masak." Aku terlupa, tukang makan sudah tak ada. Tukang makan yang biasa sudah menjadi milik orang lain.

Ah! Carik semula perasaan aku. Dari mula aku memasak tadi perasaan sudah sebak. Satu-satu kenangan bersama Khairul terlayar di ruang ingatan.

"Serius sedap." Suriani tak kalah memuji.

Benar-benar puas hati apabila melihat kawan-kawan aku berselera makan.

"Hurm, berkelah rupanya. Maklumlah, hujung bulan, kan. Masing-masing kering. Sebab itulah masing-masing bawa bekal." Eja berdiri di muka pintu pantri.

Ini kalau Fuzah tampar memang sia-sia. Bercakap tak tapis langsung. Sesuka mulut bercakap. Selalunya yang kering tu bukan kami tapi dia. Tak sedar diri.

Kami diam. Langsung tak menjawab. Lebih menikmati sarapan pagi daripada melayan manusia talam banyak muka.

Eja tarik kerusi. Duduk di hadapanku. Jangan harap aku nak ajak makan sekali. Nasiblah.

"Kenapa kau tak pergi majlis perkahwinan Khairul dengan Delisha semalam?"

Eja seperti mahu cari fasal nampaknya. Boleh pula dia tanya soalan bodoh tu. Memang tak sensitif langsung. Tapi sebenarnya Eja hanya mahu menyakiti hatiku. Mahu menambah sengsara yang ada atau dia belum puas melihat aku menderita. Memang ada manusia jenis begitu. Yang tak senang melihat orang gembira sebaliknya tepuk tangan apabila tengok orang menderita.

"Kau bodoh ke apa, Eja? Takkanlah Tihah nak datang majlis bekas suami dia. Kau pun nak sakitkan hati Tihah, agak-agaklah. Cuba bodoh tu simpan sikit. Ini tidak, tunjuk sampai habis." Fuzah menjawab dengan nada kasar.

"Itulah. Bodoh tak reti nak simpan langsung. Tahulah kau baik dengan orang sana. Tapi perlu ke kau sakitkan hati Tihah? Tak boleh nak cakap baik-baik? Tak faham sungguh aku dengan perangai kau ni. Apa masalah kau dengan Tihah sampai selalu sangat sakitkan hati dia?" Suriani turut menyembur.

Jadi, aku tak perlu balas apa-apa sebab Suriani dan Fuzah sudah tolong balas bagi pihak aku. Kalau aku balas, masih berlapik tapi sahabat aku berdua ni kalau bercakap jangan haraplah yang baik-baik.

"Bila masa pula aku sakitkan hati Tihah? Aku tanya aje. Tanya pun tak boleh? Dah kenapa tanya pun tak boleh?" Eja menjawab. Jawapan pentingkan diri sendiri. Tak fikir langsung perasaan aku.

"Kalau kau ada akal, kau tak akan sebut apa-apa fasal Khairul. Diam-diam sudah. Dia nak kahwin ke, dia nak apa ke, lantak dialah. Tak payah kut nak beritahu Tihah. Apa punya kawanlah, tak sensitif langsung."

"Aku rasa aku tak salah apa-apa. Lagipun Khairul tu bekas suami Tihah. Dah tak ada kena-mengena dengan Tihah pun. Tak ada sebab kenapa aku tak boleh nak bercerita tentang Khairul."

"Masalahnya penting ke manusia nama Khairul tu buat kami? Tak perlu kau nak cerita. Kalau kau cerita juga, itu tandanya hati kau busuk. Kau ada masalah jiwa. Faham?"

Aku pegang tangan Fuzah. Tak benarkan dia berlawan cakap lagi. Tak ada faedah pun nak berlawan dengan Eja. Buat sakit hati.

"Memanglah Khairul sudah tak ada kena-mengena dengan hidup Tihah, tapi sekurangnya tak bercerita tentang Khairul buat Tihah tak ingat luka yang telah Khairul berikan pada dia. Faham?"

Fuzah sambung makan.

"Lain kali, bercakap tu guna otak sikit." Suriani menyampuk. Dia buka bekas berisi kek bahulu pandan. Sekaligus aroma kek menyejukkan perasaan.

"Sempat lagi kau membakar." Aku tukar topik.

"Tengah rajin."

Aku ambil sepotong dan suap ke mulut.

"Sedapnya." Saja buat Eja terliur.

"Dengan gebunya, dengan bau pandan yang sebati dengan telur. Serius sedap gila." Tiba jadi pengkritik makanan pula. Nampak Eja telan liur. Sah teringin tu. Nak gelak pun ada.

Telefon berbunyi. Segera aku lihat.

"Kau orang semua jadi saksi tau. Tengok siapa telefon siapa. Siapa yang tak boleh move on." Aku tunjuk skrin telefon aku pada Eja. Lepas tu barulah aku jawab dan tekan loudspeaker. Bagi semua orang dengar.

"Assalamualaikum, Tihah. Selamat pagi."

"Waalaikumussalam." Sepatah aku jawab. Malas nak ucap selamat pagi.

"Tihah kat mana?"

"Pantri. Tengah sarapan dengan Fuzah dan Suriani." Sengaja tak sebut nama Eja. Lagipun dia tak makan apa-apa pun. Nak kata Eja CCTV tak boleh juga. Banyak hal dia tak nampak. Nak kata serupa patung cendana pun tak boleh, sebab berkata-kata.

"Tihah masak apa pagi ni?"

"Mihun Pak Kulop."

"Sedapnya. Abang teringin nak makan. Dah lama abang tak makan. Nanti bila-bila Tihah senang boleh tak masak untuk abang?"

Kirim salamlah. Jangan harap aku nak masakkan untuk dia.

"Suruhlah isteri abang masak. Mesti masakan dia lebih sedap. Tihah mana pandai masak."

"Cuba jangan merendah diri sangat. Sedih abang dengar."

Bukan merendah diri tapi menyindir sebenarnya. Tapi kalau dah tak faham tu sampai sudah tak faham. Letih.

"Abang telefon Tihah ni isteri abang tak marah ke? Baru selesai malam pertama, kan?" Aku pandang semua saling bergilir. Fuzah buat gaya muntah. Eja pula macam bengang. Mahu tak bengang, suami sahabat baik telefon bekas isteri. Sikit masa lagi, sampailah ke pihak sana. Aku juga yang bakal dituduh masih mengharap.

"Tak ada malam pertamanya. Abang balik rumah mak."

"Uiks, takkanlah malam pertama balik rumah mak." Aku ketawa. Tak lawak tapi entah kenapa nak ketawa. Jadi, aku ketawa sajalah walau serupa buat-buat ketawa.

"Mak demam panas. Terpaksalah balik."

Padanlah. Mak Khairul memang macam tu. Sakit sikit saja minta Khairul balik. Aku ingatkan masa zaman aku saja dia buat perangai. Rupanya sama.

Itu baru adil. Mesti isteri baru Khairul bengang. Kena tinggal pada malam pertama. Nampaknya perjuangan Delisha merebut Khairul belum berakhir. Selepas merebut Khairul daripada aku, kena berebut pula dengan mak dia. Rasakanlah.

"Teruk ke demam mak?" Kalau tak tanya tak patut pula.

"Biasa saja. Abang telefon Tihah malam tadi kenapa tak jawab?"

"Tihah tidur awal sekarang ni." Dia telefon dalam pukul sepuluh malam. Sengaja tak jawab.

"Senangnya dia tidur. Serupa tak ada masalah."

"Memang Tihah tak ada masalah. Orang aje yang suka buat masalah." Aku jeling Eja yang masam muka.

"Abang tumpang gembira bila Tihah gembira."

"Kenapa? Abang nak Tihah terus-terusan menderita ke? Abang jangan bimbang, sikit demi sedikit Tihah dah berjaya lupakan abang. Tihah yakin, lama-kelamaan nanti Tihah akan berjaya lupakan abang terus."

"Bukanlah begitu maksud abang. Abang rasa bersalah sangat sebab..."

"Okeylah, abang. Nak sambung makan. Assalamualaikum." Terus aku matikan panggilan. Tak nak berbual lebih lama. Bahaya. Nanti ada pula suara-suara yang tuduh aku kacau suami orang,

"Nampak tak? Kau Eja, jangan tukar cerita pula. Nak ampu kawan baik, sanggup fitnah aku nanti. Kalau kau buat cerita lain, aku takkan maafkan kau sampai bila-bila." Aku beri amaran pada Eja.

"Bukti dah ada. Kita orang boleh jadi saksi. Kalau plot tertukar, tahulah kita orang nak buat macam mana." Fuzah pula bagi amaran.

Eja dengan muka selamba bodoh dia seolah-olah tak mahu terima hakikat yang sebenarnya.

"Serupa gila talak saja," balas Suriani.

"Sejak bercerai memang selalu dia telefon aku. Bagi aku macam-macam. Konon isteri dia tak kesah. Kepala hotak dia tak kesah. Buat cerita macam-macam serupa aku yang gila talak. Agaknya tak boleh terima hakikat yang Khairul masih sayang aku."

Eja langsung tak kata apa. Masih begitu. Terasa mungkin sebab dia antara yang suka fitnah aku.

"Kenapa dia ceraikan kau kalau masih sayang? Kau pun tak kesah nak berpoligami, kan?" Suriani ulang semula kenyataan lama.

"Isteri dia tak nak bermadu. Nak jadi pertama dan terakhir."

"Pirah, tapi jadi penyondol. Yang suka menyondol ni kerja babi aje. Kau Eja, rupanya berkawan dengan babi." Fuzah lepas cakap. Tak tahulah dia berseloroh atau dia geram.

Muka Eja serupa terkejut. Mungkin sebab Fuzah sudah guna nama binatang yang berkaki pendek itu.

"Jangan tuduh aku gila talak sudahlah. Aku sanggup bawa bekal, makan di pantri semata-mata nak mengelak daripada berjumpa dengan dia. Kalau ada yang tuduh aku terhegeh-hegeh nakkan bekas suami aku dan tuduh aku belum move on, aku tak teragak nak buat tindakan di luar dugaan. Jangan main-main dengan aku. Kalau aku dah marah, peduli apa aku."

"Kau jangan bimbang. Aku kenal sorang bomoh power." Fuzah buat lawak tak cerdik. Aku belum gila lagi nak berlaku syirik.

Eja bangun dengan perlahan. Tanpa sepatah kata, dia tinggalkan kami.

"Aku berani bertaruh, perempuan tu mesti akan sampaikan pada kawan baik dia. Entah apa yang dia dapat pun aku tak tahu," kata Fuzah sebaik sahaja Eja hilang dari pandangan.

"Aku tak kesah pun dia nak sampaikan tapi jangan cerita lain. Itu yang aku tak nak."

"Kita dah beri dia amaran. Kita tunggulah. Dia tak kenal kita lagi." Suriani pula menyampuk.

Aku harap Eja lebih matang dalam hal ni. Jangan jadi batu api sangat. Hanya akan memburukkan lagi keadaan. Lagipun tak ada sebarang faedah pun buat dia tapi kalau dia bahagia dengan cara begitu, aku tak boleh kata apa. Cara orang bahagia tak sama.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro