Bab 9
SUARA gelak besar Encik Murad membingitkan telinga pelanggan-pelanggan di warung kecil belakang lorong itu. Apa taknya, menang judi. Beberapa not kertas atas meja bulat itu disauknya ke dalam pelukan dengan gelak yang macam orang gila.
"Rezeki, rezeki!" tutur Encik Murad. Wang kertas dikiranya satu persatu. Hampir lima ratus ringgit.
"Abah!"
Terangkat kepala Encik Murad memandang langkah Uyaina yang mendekat. Wajah anak gadisnya itu dah macam singa kelaparan. Encik Murad bangun dari duduk dengan sengihan panjang.
"Uya, tengok ni. Abah menang!"
"Uya tak peduli la, abah! Menang duit haram!"
Muka Encik Murad berubah. Duit dimasukkan ke dalam poket seluar slack. Anak mata coklat Uyaina ditentangnya tajam.
"Apa masalah kau datang sini, Uyaina?" soal Encik Murad.
"Mak dekat hospital sebab doktor cakap mak terlebih makan dos ubat. Ni mesti disebabkan abah, kan?!"
"Kau nak tuduh aku cuba bunuh mak kau ke apa?!"
"Iya, memang!"
"Kau jangan nak biadap dengan aku, Uyaina! Aku ni abah kau!"
Uyaina genggam buku lima. Matanya dah berair sekarang ni. Kalau di depannya ini bukan bapa kandung sendiri, memang dia tak teragak-agak mahu layangkan tumbukan sulungnya ke wajah itu.
"Apa masalah abah hah? Uya tahu, abah bergaduh dengan mak kan? Sampai mak bertindak telan ubat lebih daripada dos. Apa yang abah dah buat dekat mak?!" soal Uyaina dengan nada suara yang agak tinggi.
"Aku tak buat apa-apa lah dekat mak kau. Kau tanya lah dia sendiri!"
"Mak bertindak macam tu sebab abah! Uya tahu!"
Encik Murad garu kasar kepalanya. Mata dah jeling manusia-manusia yang tengah memandang ke arah mereka. Walaupun tak ada lah ramai orang sangat kat sini, tapi cukup lah buat dia rasa seperti dipandang oleh ratusan manusia.
"Mak kau yang keras kepala tak nak dengar cakap aku. Jadi, bukan salah aku!"
"Abah buat apa dekat mak?"
"Aku... aku tak buat apa-apa lah. Aku mintak duit aje. Salah ke? Aku kan suami dia. Duit dia, duit aku jugak!"
Uyaina pejam mata. Oh, sakit sungguh hatinya dengar jawapan itu. Duit dia, duit aku jugak? Semudah itu?
"Uya dah bagi abah duit kenapa masih ambil duit yang Uya kasi dekat mak?" soal Uyaina, lirih.
"Eh perempuan. Kau ingat tiga ratus tu cukup ke untuk aku? Lain la kalau tiga ribu!"
"Abah ingat Uya ni kaya ke sampai nak kasi tiga ribu dekat abah setiap bulan? Bukannya abah yang bayar duit sewa rumah, bil rumah. Tiga ratus tu cukup la untuk abah guna sebelum elaun Uya masuk!"
Encik Murad mendengus.
"Itu lah kau. Dulu aku suruh kau kahwin dengan Datuk Razali yang kaya raya tu, kau tak nak. Memilih sangat! Tengok sekarang jadi apa? Abah kau dengan adik-adik kau dah macam orang miskin tahu tak? Kau tak kesian ke?!" tengking Encik Murad. Uyaina kesat kasar wajah yang dah basah. Dia sendiri tak tahu berapa ratus kali Encik Murad nak ulang ayat yang sama. Datuk Razali tak habis-habis! Beragak lah dia yang masih 20-an ni berkahwin dengan lelaki tua yang umurnya dah hampir 70 tahun!
"Abah tolong lah jangan buat perangai lagi. Berubah la, abah..." rayu Uyaina. Entah ayat apa lagi yang harus dia guna untuk menyedarkan kembali diri Encik Murad yang sudah jauh terpesong.
"Berubah apa? Eh, sebab kau jugak la aku jadi macam ni tahu tak? Kalau kau dengar cakap aku dulu, aku mesti tak jadi macam ni. Aku takkan main judi hari-hari. Aku takkan minta duit dekat kau. Semua ni salah kau!" dahi Uyaina ditunjalnya. Uyaina tahan rasa. Matanya kembali garang merenung lelaki di hadapannya kini.
"Abah adalah manusia yang paling tak berguna dalam dunia ni!" Uyaina sendiri tak tahu kenapa lidahnya begitu lancang menuturkan ayat itu. Encik Murad dah sakit hati. Laju tangannya naik mahu menampar wajah gadis itu. Uyaina pejam mata erat sebelum dia rasakan tubuhnya ditarik dan disembunyikan di belakang tubuh seseorang.
"Jangan sentuh Uyaina!" Luthfan yang dari tadi lebih banyak memerhati kini masuk campur. Mahu pecah dadanya bila lelaki awal 50-an itu mahu menampar Uyaina. Encik Murad berkerut wajah.
"Eh, kau ni siapa? Teman lelaki anak aku ke? Sejak bila kau ada teman lelaki ni, Uyaina?" soal Encik Murad, garang. Leher dipanjangkan menjengul Uyaina di belakang tubuh lelaki itu. Uyaina diam tak membalas.
"Aku tanya kau ni, Uyaina!"
"Kalau saya ni teman lelaki dia sekalipun, perlu ke dia bagitahu pak cik? Pak cik peduli ke sama ada dia ada teman lelaki atau tak?" soal Luthfan, sinis. Encik Murad genggam buku lima. Rasa nak disepaknya wajah anak muda depan dia ni.
"Aku tak izinkan anak aku bercinta dengan lelaki biadap macam kau ni!" marah Encik Murad. Luthfan gelak sinis.
"Uyaina tak perlukan restu daripada seorang bapa yang macam pak cik ni. Mengaku diri sendiri tu bapa tapi tak tahu tanggungjawab!" tempelak Luthfan lagi, melepaskan apa yang terbuku dalam hati.
"Tak guna punya jantan! Kau ni kan..."
"Cukup! Cukup, abah!" Uyaina menentang wajah Encik Murad. Terbias renungan penuh amarah dan kebencian dalam mata coklat Uyaina. Nafas ditarik lalu dihela panjang. Lutfan dijelingnya dengan hujung mata.
"Kalau apa-apa jadi lagi pada mak disebabkan abah, Uya takkan berdiam diri!" terus Uyaina melangkah laju pergi dari situ. Luthfan jeling sekilas Encik Murad sebelum langkah Uyaina dikejar.
Dengar derap langkah seseorang dari belakang, Uyaina hentikan langkah. Luthfan dibelakang ditenung tajam.
"Cukup lah, Encik Luth. Jangan ikut saya lagi. Saya nak bersendirian."
"Tapi..."
Belum pun sempat Lutfan membalas, sebuah teksi tiba-tiba berhenti di depan. Laju Uyaina menerobos masuk sebelum pacuan empat roda itu menderum pergi. Luthfan hela nafas berat. Sebelah tangan naik meraup wajah.
PINTU rumah ditolak perlahan. Tutup sahaja pintu, Hamimi dah terpacak kat depan. Uyaina senyum hambar.
"Uya, kau okey?" risau pulak Hamimi tengok muka kosong kawan baiknya itu. Tak menjawab soalan Hamimi, Uyaina bawa langkah ke ruang tamu. Tubuh dihempas perlahan atas sofa. Seminit kemudian, Hamimi muncul dengan segelas air sejuk.
"Minum lah dulu."
"Terima kasih."
Licin gelas diteguknya. Uyaina diam menyandarkan tubuhnya pada sofa.
"Mak kau macam mana?" soal Hamimi.
"Alhamdulillah, okey. Mungkin esok lusa dah boleh discharge."
"Mak kau sakit apa?"
"Terlebih overdose ubat. Nasib baik Kamelia cepat-cepat call ambulans."
Terbuka mulut Hamimi mendengarkan itu. Walaupun dia tak rapat dengan Puan Mahira, tapi bila mengetahui keadaan wanita itu, dia rasa sedih juga. Apa-apa pun, Puan Mahira adalah emak kepada kawan baiknya.
"Gaduh dengan abah aku. Mungkin mak aku stress dengan perangai abah aku," belum lagi Hamimi bertanya, Uyaina dah bercerita. Hamimi peluk bahu Uyaina dari tepi. Kepala disandarkan pada kepala Uyaina.
"Kau kena kuat, Uya. Demi keluarga kau, demi adik-adik kau."
"Aku tak tahu sampai bila aku boleh kuat bila berhadapan dengan abah yang macam tu. Kenapa... kenapa abah aku tak macam abah orang lain, Mimi? Kenapa abah aku tak baik, tak penyayang, tak soleh macam abah orang lain? Aku cemburu, Mimi. Aku cemburu dengan orang yang ada abah yang sempurna." Bergetar suara Uyaina. Berkaca-kaca matanya memandang Hamimi di sebelah. Hamimi teguk liur. Air mata yang tiba-tiba mengalir di pipi Uyaina diseka dengan jemari.
"Kau jangan lah cakap macam tu, Uya..."
"Hakikatnya memang betul, Mimi! Abah aku tak macam abah orang lain. Abah aku tak sebaik abah orang lain."
"Tapi kau kena bersyukur, sekurang-kurangnya kau ada abah. Berbanding orang lain yang dah kehilangan abah dia orang..."
"Aku lebih rela kehilangan abah daripada ada abah yang perangai macam tu, Mimi!"
"Astaghfirullahalazim, Uya. Bawa mengucap. Tak baik cakap macam tu."
Uyaina raup wajah yang basah berkali-kali. Sesekali esakan kecilnya kedengaran. Hamimi diam memberi ruang. Sepuluh minit begitu, Uyaina dah sedikit tenang. Terasa badan yang melekit-lekit, Uyaina minta diri masuk ke biliknya.
"Nanti turun tau. Aku masakkan untuk kau," pesan Hamimi.
"Okey."
Hamimi hela nafas. Semoga kau kuat, Uyaina.
LUTHFAN gigit ibu jari sambil mindanya entah melayang ke mana. Peristiwa siang tadi seakan-akan magnet yang mahu menempel setiap saat. Hari ni baru dia tahu siapa bapa kepada Uyaina Balqis. Rupanya, latar belakang keluarga Uyaina tidak lah seindah mana. Luthfan mendengus bila tangis Uyaina tiba-tiba muncul.
"Don't cry, Uyaina. Please, don't cry." Luthfan ramas rambut sendiri. Dia benci dengar bunyi tangis itu. Dia mahu hentikan tangis itu tapi bagaimana? Dia tak tahu caranya. Sedang berperang dengan kata hati sendiri, pintu bilik Luthfan terkuak dari luar. Tajam mata memandang ke arah susuk tubuh Puan Hayati.
"Luth. Jom, turun makan." Ajak Puan Hayati.
"Kejap lagi Luth turun."
"Cepat sikit."
Luthfan bangun dari duduk. T-shirt dicapai sebelum disarung ke tubuh tegapnya. Langkah kaki dibawa ke ruang makan di tingkat bawah. Kelihatan Puan Hayati dan Irdina sedang menunggu. Luthfan tarik kerusi.
"Ada kawan akak cakap dia nampak Luth dekat hospital hari ni. Buat apa kat hospital?" soal Irdina sambil menyenduk nasi.
"Lawat orang sakit."
"Siapa sakit?"
"Ada lah,"
Sudahnya, Irdina mahupun Puan Hayati dah tak buka mulut menyoal. Diam diantara mereka menikmati makan malam ringkas itu. Luthfan angkat pinggan menuju ke arah dapur. Rasa macam tak ada selera nak makan bertambah malam ni bila kepala asyik teringatkan si Uyaina.
"Luth, duduk kejap." Puan Hayati menahan Lutfan dari terus menapak ke tingkat atas. Tak cakap banyak, Luthfan kembali duduk di meja makan. Puan Hayati dengan Irdina masing-masing dah habis makan.
"Umi nak cakap pasal Elmira,"
"Luth tak nak dengar."
"Sekejap aje, Luth. Please." Pinta Puan Hayati penuh berharap. Luthfan diam tidak membalas. Duduk masih statik pada kerusi sambil mata dah pandang ke arah lain. Wajah jelas-jelas menunjukkan yang dia tak suka.
Puan Hayati dan Irdina saling berpandangan.
"Luth tahu kan, El selalu sangat datang sini dengan Kila. Jiran-jiran pun dah mula cakap-cakap pasal tu. Umi jadi tak selesa bila ada orang cakap Elmira selalu datang sini bila Luth ada. Luth faham kan maksud umi?"
"Jadi?"
"Luth kahwin..."
"No! Apa umi merepek ni?" Luthfan dah naik berang. Walaupun Puan Hayati belum habiskan kata, tapi dia tahu apa yang bakal keluar dari ulas bibir uminya itu. Puan Hayati mahu dia kahwini Elmira!
"Umi cuma..."
"Kalau umi tak mahu jiran-jiran bercakap pasal El, umi jangan kasi El datang sini lagi. Disebabkan umi dengan Kak Dina bagi muka sangat dekat perempuan tu, sebab tu dia berani datang sini dengan anak dia tu. Sekarang umi nak Luth kahwin dengan perempuan tu disebabkan jiran dah cakap bukan-bukan. Mengarut aje!" Luthfan mendengus kasar. Puan Hayati hela nafas panjang.
"Luth, El masih sayangkan Luth. Dia masih berharap Luth akan terima dia dengan Kila. El dah berubah, Luth. Dia tak macam dulu lagi."
Luthfan gelak sinis. Tangan naik memicit pelipis.
"Luth pelik tau. Luth ni siapa eh? Anak umi ke? Adik lelaki Kak Dina ke? Empat tahun lepas, El buang Luth macam sampah. Sebab apa? Sebab lelaki lain. Takkan dah lupa? Luth sakit, Luth menangis... kau orang tak ingat ke? Dah lupa ingatan? Sekarang ni umi dengan akak nak Luth terima orang yang dah buang Luth balik? Gila ke apa? Memang tak lah. Luth mati hidup semula pun, Luth takkan pilih Elmira." Bergerak-gerak rahang Luthfan menahan marah. Puan Hayati diam begitu juga dengan Irdina. Mereka mati kata.
"Luth nak kahwin. Tapi bukan dengan Elmira." Tambah Luthfan lagi buat Puan Hayati dan Irdina laju berpandangan sesama sendiri. Wajah masing-masing dah terbias berjuta tanda tanya.
"Luth nak kahwin dengan siapa?" soal Puan Hayati.
"Nanti Luth kenalkan. Yang penting, umi dengan Kak Dina kena tahu yang Luth dah ada orang yang Luth cinta. Luth cuma nak dia dalam hidup Luth. Lepasni, tolong jangan pernah minta Luth kahwin dengan El ataupun jadi papa Kila. Luth tak sudi." Luthfan angkat punggung meninggalkan ruang makan.
Puan Hayati tertunduk manakala Irdina tak habis berfikir. Luthfan dah ada teman wanita ke? Siapa?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro