Bab 6
SLING bag miliknya dilempar atas katil sebelum tuala yang tersangkut belakang pintu dicapai. Langkah diatur menuju ke arah bilik mandi untuk membersihkan diri. Dua puluh minit kemudian, Uyaina keluar dengan lengkap berpakaian. Tuala nipis membaluti rambut basahnya.
Rasa macam lapar, Uyaina menapak ke arah dapur. Tadi lepas training, dia terus pulang ke sini. Rumah keluarganya. Selalunya dia tak menginap di sini. Dia menginap di sebuah rumah yang dikongsinya bersama Hamimi. Tudung saji diangkat. Keluhan terlepas keluar daripada ulas bibirnya saat matanya cuma terpandangkan sebungkus roti gardenier dan sebotol jem peanut butter.
"Lapar ke? Kalau lapar, masak lah. Masak lebih sikit sebab kita orang pun lapar jugak ni." Entah dari mana, Uyaina disapa satu suara sumbang yang tiba-tiba masuk ke dalam ruang dapur. Uyaina jeling.
"Kalau dah tahu lapar, kenapa tak masak? Kenapa tunggu aku?" soal Uyaina, geram.
"Eh, dalam rumah ni memang kau aje yang reti masak pun. Jadi, kau lah masak!" Umaira, adik kepada Uyaina yang cuma beza dua tahun itu membalas kasar. Dalam rumah ni, ada lima orang penghuni. Campur dia, jadi enam. Encik Murad, Puan Mahira, tiga orang adiknya iaitu Umaira, Zulfan dan Kamelia.
Uyaina peluk tubuh memandang ke arah Umaira yang sedang bersandar pada dinding sambil meneguk air botol kosong.
"Kalau tahu tak reti masak, tak boleh belajar ke macam mana? Pemalas?"
"Aku ni kerja pagi balik malam. Mana sempat nak belajar masak."
"Habis, aku ni tak kerja lah? Terbongkang depan tv macam si Kamelia tu?"
"Apahal nak babitkan nama adik pulak?"
Si bongsu Kamelia tiba-tiba muncul dengan wajah mencuka. Peti ais dibuka sebelum ditutupnya kasar.
"Takde makanan. Kakak tolong masakkan untuk kita orang," dengus Kamelia dengan muka mengalahkan limau masam. Uyaina tahan rasa dalam hati. Ewah, dia orang semua ni ingat dia tukang masak ke apa dalam rumah ni? Dia dah la penat. Sengal-sengal badan sebab training tadi pun masih terasa lagi tau.
"Kalau lapar, masak sendiri. Kalau tak reti, buka youtube. Berlambak-lambak video masakan kat situ. Belajar!" Uyaina angkat kaki meninggalkan ruang dapur kecil itu. Telinga dipekakkan bila telinganya menangkap suara sinis Umaira di belakang.
"Ada kakak pun pemalas!"
Lantak kau orang lah! Aku malas nak layan!
"Uya!"
Uyaina menoleh pantas bila susuk tubuh Encik Murad mula mendekat. Berkerut pelipis Uyaina melihat Encik Murad yang sedang membetulkan butang baju kemeja. Lagak macam nak keluar aje.
"Abah nak pergi mana?" soal Uyaina, pelik. Tengok jam dah nak dekat pukul sepuluh malam.
"Abah nak keluar jumpa kawan. Eh, Uya... abah nak duit. Seratus."
"Seratus? Abah nak buat apa seratus? Baru minggu lepas Uya kasi tiga ratus dekat abah. Takkan dah habis guna?"
Encik Murad dah tayang muka tak suka.
"Alah, bagi aje la. Kenapa banyak bunyi sangat kau ni? Cepat sikit abah nak duit!" Encik Murad tadah tangan. Uyaina geleng kepala.
"Takde. Uya takde duit,"
"Tipu! Duit gaji kau mana?"
"Dah habis bayar duit hutang, duit rumah ni, bil air elektrik semua. Duit belanja dekat abah, mak dengan adik-adik."
"Duit elaun kau?"
"Belum masuk."
"Duit simpanan kau? Ah, takkan tak ada kut!"
Uyaina dah lemas sekarang ni. Duit simpanan dia cuma ada kurang tiga ratus saja dalam poket. Itu pun cukup-cukup sebelum dia dapat duit elaun. Dan sekarang ni Encik Murad sedang menagih lagi.
"Takde, abah. Kalau ada pun, untuk kegunaan Uya. Kalau abah ambil duit Uya, Uya nak makan apa nanti?"
Encik Murad cekak pinggang.
"Eh, kau tu jurulatih atlet negara. Duit kau banyak! Kau tak payah la nak kedekut dengan abah kau sendiri!" Encik Murad mula nak marah-marah. Uyaina hela nafas panjang. Kedekut? Dia bukan nak kedekut. Tapi baru minggu lepas dia berikan tiga ratus untuk Encik Murad. Takkan dah habis guna? Bukan duit tu nak kena bayar duit rumah atau bil pun. Selama ini memang dia yang tanggung belanja rumah ni.
"Uya minta maaf, abah. Uya memang takde duit."
"Kau ni anak derhaka kan, Uyaina!"
"Abah, tolong lah. Jangan paksa-paksa Uya boleh tak? Sikit-sikit anak derhaka! Abah ingat gaji Uya ni berpuluh-puluh ribu ke? Hah?" wajah Uyaina dah terasa panas. Setiap kali dia balik ke rumah ni, memang tak sah kalau dia tak berbalah dengan keluarga sendiri. Kalau tak dengan Encik Murad, mesti dengan Umaira atau Kamelia. Mujur si Zulfan tu jenis buat hal sendiri. Puan Mahira? Emaknya itu juga jenis tak masuk campur hal mereka walaupun mereka ini satu keluarga dan duduk satu bumbung.
Uyaina sendiri tak faham apa masalah keluarganya. Apa dosa dia?
"Itu lah kau. Dulu aku suruh kau kahwin dengan Datuk Razali tu, kau tak nak! Kalau kau kahwin dengan dia, mesti hidup aku senang. Kau ni anak paling bodoh pernah aku ada la Uyaina!" jari telunjuk Encik Murad dah menunjal-nunjal tepi kepala Uyaina, geram. Uyaina gigit bibir bawah bila terasa kolam matanya dah bergenang cecair jernih.
"Uya bukan barang yang boleh dijual-jual! Datuk Razali tu dah ada cucu, cicit. Sanggup abah nak kahwinkan Uya dengan orang tua tu?!" mata merah Uyaina membalas pandangan mata Encik Murad.
"Memang aku sanggup! Asalkan hidup aku mewah, senang." Mencerlung tajam mata Encik Murad memandang wajah Uyaina tanpa belas kasihan. Tak betah berdiri berlama-lama di situ, Uyaina bawa langkah ke kamar. Pintu dihempas kuat sebelum dikuncinya dari dalam. Menonong Uyaina berlari ke arah katil. Wajah disembam pada bantal.
Kenapa dia ditakdirkan mempunyai keluarga seperti ini? Lelaki yang dia harapkan untuk menjadi seorang pelindung, pernah mahu menjualnya kepada seorang lelaki tua berpangkat datuk. Hanya kerana duit! Sayup-sayup telinga Uyaina menangkap bunyi amukan di luar biliknya. Bantal ditarik lalu ditekup ke telinga. Dia tak sanggup!
"LUTH."
Luthfan menoleh memandang Puan Hayati yang melangkah keluar dari ruang dapur.
"Dari mana?" soal Puan Hayati sambil kaki merapati si anak.
"Main futsal dengan kawan," jawab Luthfan, tersenyum nipis. Lengan Luthfan, Puan Hayati peluk lalu ditarik ke arah ruang tamu. Sofa kosong diduduki mereka. Berkerut-kerut pelipis Luthfan memandang tingkah pelik uminya itu.
"Ada apa-apa yang umi nak cakap dekat Luth ke?" terteleng kepala Luthfan ke sisi memandang wajah wanita itu.
"Umi cakap ni, Luth jangan marah eh?"
"Kenapa Luth nak marah pulak?"
"Ini pasal... Elmira dengan Kila."
Dengar aje nama dua beranak itu, Luthfan mula panas punggung. Mula rasa tak selesa dan tak suka bila Puan Hayati membangkitkan tentang dua beranak itu.
"Kenapa dengan dia orang tu? Dia orang tak ada kena mengena dengan keluarga kita, umi." Rengus Luthfan.
"Umi kesiankan Kila. Dia dahagakan kasih seorang papa, Luth."
Luthfan mendengus kasar. Wajahnya sudah berubah tegang dan merah.
"Jadi apa kena mengena dengan Luth? Itu hak umi kalau umi kesiankan dua beranak tu. Luth tak ada hak nak halang umi. Tapi kalau umi nak Luth terima Elmira balik dalam hidup Luth, Luth minta maaf umi. Luth tak mahu," penuh tekad kata-kata Luthfan. Nafasnya turun naik menahan rasa. Puan Hayati hela nafas panjang.
"Elmira dah berubah, Luth. Dia sendiri mengaku dekat umi yang dulu dia buat kesilapan yang paling besar dengan meninggalkan Luth. Dia belum matang lagi masa tu. Dan Kila, dia perlukan papa dalam hidup dia. Mungkin Luth boleh jadi papa dia?"
"Umi, papa si Kila tu masih hidup tau! El tu cerai hidup, bukan cerai mati. Sekalipun dia dah bercerai dengan suami dia tu, suami dia tu tetap papa kandung Kila. Tiada siapa yang boleh gantikan tempat itu. Luth tak nak, umi. Luth tak mahu jadi papa Kila. Dia bukan anak Luth!"
"Kesian Kila..."
"Habis, umi tak kesiankan Luth? Umi tak kesiankan anak umi ni? Umi sedar tak, El yang tinggalkan Luth dulu? El yang putuskan pertunangan kita orang. Sebab apa? Sebab lelaki lain. Konon dia dah jumpa lelaki yang lebih sempurna dari Luth. Sekarang ni, dia datang nak jilat ludah sendiri balik ke macam mana? Tolong lah, umi. Jangan paksa Luth untuk buat sesuatu keputusan. Luth dah dewasa, Luth yang tentukan masa depan Luth sendiri. Luth tak nak ada apa-apa kaitan dengan El dan anak dia tu!" Luthfan angkat punggung dari sofa lantas berlari ke arah tangga. Panggilan Puan Hayati tidak diendahkannya.
Hatinya sakit. Tergamak betul Puan Hayati menerima balik perempuan yang pernah tinggalkan dia hanya gara-gara dia tak sempurna dulu. Sekarang dia dah ada segala-galanya, Elmira kembali muncul menagih simpati. Terbukti, Elmira masih memandang rupa dan luaran semata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro