Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

RAYBAN berwarna hitam dibetulkan letak duduknya atas pangkal hidung. Mata dia dah merah gara-gara menangis tadi. Sampainya hati Elmira memutuskan pertunangan mereka! Sudah la Elmira satu-satunya gadis yang dia cinta mati.

Luthfan berdiri di tepi jalan, mahu melintas. Di telinganya, masih terngiang-ngiang lagi suara Elmira memutuskan hubungan mereka beberapa jam yang lepas. Luthfan genggam buku lima. Sumpah, kalau dia jumpa lelaki yang menjadi penyebab hubungan mereka terputus begini, dia akan tumbuk muka lelaki itu sepuas hati. Biar bersepai puntung gigi lelaki itu atas tanah. Geram punya pasal.

Luthfan hayun langkah mahu melintas sebelum telinganya disapa bunyi hon yang begitu nyaring. Tubuhnya terasa ditarik ke tepi sebelum terjatuh atas lantai batu. Wajah Luthfan berkerut.

"Awak okey?" soal Uyaina, cemas. Tadi masa dia tengah berjalan di laluan pejalan kaki, matanya terpasak ke arah seorang lelaki yang sepertinya mahu melintas jalan. Membulat matanya bila dari jauh lagi dia dah nampak sebuah pacuan empat roda yang meluncur laju di atas jalan raya. Laju kakinya belari menarik lengan lelaki tersebut. Nasib baik! Nasib baik lelaki itu sempat ditariknya. Kalau tak? Ada juga yang pecah kepala kalau dia lambat beberapa saat tadi.

Di sebalik rayban yang masih utuh di atas pangkal hidung, Luthfan terkebil-kebil memandang gadis berambut pendek dan menyarung topi di atas kepala.

"Nasib baik saya sempat tarik awak, kalau tak... mungkin roh awak dah melayang-layang sekarang ni." Ucap Uyaina lagi. Luthfan teguk liur. Roh dia melayang-layang? Maksud perempuan ni, dia akan mati ke kalau dia tak sempat ditarik tadi?

Gulp!

"Mana tongkat awak?" soal Uyaina. Dahi Luthfan berlapis dulu.

"Tongkat?"

"Haah, tongkat. Takkan selama ni awak berjalan tanpa tongkat awak?"

   Untuk beberapa saat, sel-sel otak Luthfan mula berhubung. Tongkat? Kejap. Perempuan ni ingat dia buta ke gara-gara dia pakai rayban hitam sekarang ni? Lepastu, dengan dia hampir dilanggar tadi. Oh, Luthfan. Memang sah-sah la perempuan ni ingat kau Orang Kurang Upaya!

   Luthfan tenung wajah Uyaina, lama. Bebola matanya bergerak-gerak meratah wajah bersih itu.

"Hey! Okey tak ni?" soal Uyaina, pelik. Laju Luthfan jatuhkan kepalanya berkali-kali.

"O... okey."

"Sini saya tolong awak bangun," Uyaina tarik lengan Luthfan untuk bangun. Lelaki ni badan aje kurus kerempeng, tapi berat dia boleh tahan jugak ni.

"Awak nak pergi mana sorang-sorang tanpa tongkat awak? Bahaya tau tak? Lain la kalau awak ni dah familiar dengan jalan kat sini ataupun dah terror jalan tanpa pakai tongkat. Tadi, sipi-sipi aje awak hampir nak kena langgar, tahu tak?" Uyaina rasa nak membebel. Eei, seriau la bila difikirkan balik yang mungkin dia akan jadi saksi kepada satu kemalangan ngeri depan mata!

"Saya tak tahu nak pergi mana." Balas Luthfan. Rayban dibetulkan kedudukannya. Bila perempuan comel kat sebelah dia ni dah ingat dia ni lelaki buta, rasa macam nak teruskan lakonan aje. Nak tengok apa reaksi perempuan comel ni.

"Awak sesat? Rumah awak kat mana?"

"Alamanda."

"Alamanda?!" mata Uyaina membulat. Dari sini nak ke Alamanda tu ambil masa satu jam lebih perjalanan. Macam mana lelaki OKU macam ni boleh sesat sampai ke sini?

Luthfan gigit isi pipi. Sumpah perempuan ni comel gila!

"Macam mana awak boleh sesat sampai ke sini? Alamanda tu, jauh la!" berkerut-kerut wajah Uyaina membalas. Luthfan geleng kepala sebelum Uyaina pula yang hela nafas panjang. Uyaina liarkan matanya ke sekeliling.

Takkan dia nak biarkan lelaki buta ni sorang-sorang kat sini? Dah la tadi sipi-sipi aje nak kena langgar. Rasa macam kejam pulak kalau dia biarkan lelaki buta ni.

"Jom la saya hantar awak balik." Putus Uyaina.

"Eh, tak payah la. Saya boleh balik sendiri,"

"Awak nak balik macam mana? Dah la tongkat awak takde. Tadi pun sikit aje lagi awak nak kena langgar kereta. Tak apa, saya ikhlas nak tolong. Anggap aje hari ni saya nak buat amal sebab tolong orang yang macam awak ni." Uyaina sengih menampakkan lesung pipit kecil di hujung bibirnya. Luthfan terpaku.

Uyaina selongkar sling bag. Sebatang pen ditarik keluar lalu dihulur.

"Awak pegang pen ni sambil ikut saya jalan eh. Takkan saya nak pegang tangan awak sepanjang masa kut? Tak halal," Uyaina sengih. Luthfan pura-pura menggagau tangannya mencari pen yang dihulur Uyaina. Dapat sahaja pen tersebut, Luthfan pegang erat.

"Jom,"

   Luthfan angguk kepala sambil berjalan perlahan-lahan membuntuti langkah gadis yang entah muncul dari mana itu. Tanpa sedar, hujung bibir Luthfan tersungging satu senyuman. Matanya jatuh memandang ke arah pen yang menjadi 'tongkat'nya itu. Entah kenapa dia rasa comel sangat apa yang sedang berlaku sekarang.

*****

"AWAK duduk sini. Saya beli ais krim. Kering pulak tekak," Luthfan didudukkan di atas bangku sebelum Uyaina berlalu ke arah gerai kecil yang menjual ais krim. Luthfan jeling langkah gadis itu. Tak sampai lima minit, Uyaina kembali dengan dua batang ais krim perisa lemon. Cermat Uyaina mengoyakkan plastik ais krim tersebut sebelum dihulur kepada Luthfan.

"Nah. Saya beli ais krim flavour lemon." Ujar Uyaina. Lambat-lambat hulurannya bersambut. Untuk beberapa minit, kedua-duanya diam menikmati ais krim di tangan. Memang kena betul dengan cuaca sekarang.

"Apa awak buat dekat sini? Maksud saya, macam mana awak boleh sesat sampai ke sini?" soal Uyaina bila baki ais krim dah tinggal separuh.

"Saja jalan-jalan rawat luka di hati." Jawab Luthfan, selamba.

"Hah? Maksud awak?" berkerut pelipis Uyaina pandang lelaki kat sebelah dia ni. Luthfan diam dulu sambil mata lurus memandang ke hadapan. Masih terbayang-bayang lagi wajah ketat dan gelak sinis Elmira tadi. Sakitnya hati.

"Saya baru putus tunang. Dia dah jumpa lelaki yang jauh lebih baik," Luthfan hela nafas panjang. Ais krim di tangan dah mula mencair.

Uyaina terdiam. Luthfan yang dah berubah wajahnya itu ditenung dari sisi. Lekas-lekas Uyaina habiskan ais krim yang dah mula meleleh kat tangan.

"Nasib kita sama," balas Uyaina. Luthfan diam menunggu sambungan gadis itu.

"Kalau awak nak tahu, saya baru aje lepas putus dengan boyfriend saya. Alasan dia nak putus sebab dia rasa kita orang dah takde chemistry. Tapi hakikatnya, dia dah jumpa perempuan lain!" Uyaina kesat tangan yang terasa melekit-lekit itu dengan tisu. Melihatkan ais krim yang dah meleleh mengena tangan si Luthfan, lantas Uyaina ragut ais krim tersebut lantas dibuang ke dalam tong sampah.

"Ais krim awak dah cair." Tak bersalah Uyaina menutur ayat. Tisu diletakkan atas tangan Luthfan. Luthfan kunci mulut.

"Salah ke kalau kita ada kekurangan?" soal Luthfan, lirih. Uyaina diam menghela nafas.

"Tak salah. Yang salahnya, kalau kita tak cuba baiki kekurangan kita tu." Balas Uyaina. Duduk dia ubah menghadap Luthfan di sebelah. Luthfan yang sedang menunduk itu dipandang. Bahu Luthfan ditepuk sekali.

"Saya faham kalau perempuan tu tolak awak hanya disebabkan kekurangan awak yang satu ini. Mungkin dia tak boleh terima lelaki yang tak boleh melihat macam awak. Sebab itu dia pilih lelaki lain," ujar Uyaina. Luthfan genggam buku lima.

"Tapi, saya..."

"Kalau suatu hari nanti Allah takdirkan awak dah boleh melihat semula, awak dah bangun dah ubah diri awak... saya berani potong jari yang bekas tunang awak tu akan menyesal. Menyesal yang tak berkesudahan!"

Tiba-tiba Luthfan jadi bersemengat. Betul apa kata perempuan kat sebelah dia ni. Suatu hari nanti dia pasti akan berubah jauh lebih baik dan bergaya dari sekarang. Saat itu mata dia sendiri akan menjadi saksi Elmira terlopong melihat dia. Elmira akan merayu-rayu mahu kembali ke pangkuannya.

"Dah la, lebih baik kita move on aje. Mana tahu nanti turun putera raja atau puteri raja untuk kita, kan? Setakat dia orang tu, boleh berambus masuk lubang loji!" dengus Uyaina. Luthfan jeling Uyaina dengan hujung mata. Kenapa dia tak nampak riak kesedihan di wajah gadis itu?

"Kenapa awak tak macam sedih pun walaupun awak baru lepas clash dengan boyfriend awak?" soal Luthfan.

"Macam mana awak tahu saya tak sedih?"

Gulp. Luthfan telan liur.

"Saya... saya boleh detect suara awak. Suara awak dengar macam tak sedih aje. Are you okay?" cepat-cepat Luthfan cover diri sendiri. Uyaina senyum nipis.

"Tipu lah kalau tak sedih. Saya ada dengan dia dari dia tak ada apa-apa sampai lah dia berjaya. Susah senang saya dengan dia. Tapi, bila dia dah betul-betul senang... macam tu aje dia tinggalkan saya. Lelaki tak guna! Elok humban masuk gaung orang macam tu." Bicara Uyaina buat Luthfan tergelak kecil.

"Stay strong... eh apa nama awak? Dari tadi lagi saya tak tahu nama awak."

"Uyaina. Uyaina Balqis. Awak?"

"Nama saya Luthfan. Luthfan Razin."

"Sedap nama awak. Luthfan,"

"Awak pun. Belum pernah lagi saya ada kawan nama Uyaina. Mesti awak cantik, kan? Comel."

Uyaina dah lepas gelak.

"Kalau saya cantik, comel... saya tak akan kena tinggal lah dengan jantan tak guna tu. Untuk pengetahuan awak, saya ni perempuan kasar. Saya ni bukan tomboi, tapi personaliti tu agak ke arah kasar sikit la."

"Takde beza ke dengan tomboi? Tomboi tu bukan ke perempuan kasar?"

"Saya kasar. Tapi saya masih reti dress up macam perempuan lain. Saya masih berkawan dengan perempuan dan saya juga masih tahu batas sebagai seorang perempuan. Kasar saya bertahap." Uyaina senyum nipis. Luthfan jeling pakaian yang tersarung di tubuh langsing itu. Jeans hitam, t-shirt lengan pendek yang dilitupi dengan cardigan dan topi jenama Nike di atas kepala. Rambut pendek macam pelakon korea Ku Hye Sun yang berlakon dalam cerita Boys Over Flower tu. Comel.

"Nanti suatu hari nanti awak dah cantik, mesti bekas teman lelaki awak akan melopong tengok awak." Luthfan gelak.

"We'll see. Until the days comes." Kata-kata Uyaina penuh tekad. Irfan, kau akan menyesal!

*****

"DAH sampai." Tutur Uyaina bila mereka berdua dah berdiri terpacak di depan pondok pengawal perumahan Alamanda. Dalam hati, Uyaina dah memuji. Besar juga kawasan perumahan Alamanda ni. Ya, dia tahu rumah-rumah kat Alamanda ni bukan perumahan biasa. Harga rumah paling murah kat sini pun mencecah setengah juta ringgit Malaysia. Serius la Luthfan tinggal kat sini?

"Terima kasih, Uyaina." Ucap Luthfan, ikhlas. Sepanjang mereka berjalan kemudian menaiki grab ke sini, tak lepas-lepas dia pandang gadis itu. Nak tergelak rasanya bila Uyaina mati-mati ingat dia lelaki buta. Padahal, mata dia masih berfungsi dengan elok.

"Sama-sama. Awak tak nak saya hantarkan awak sampai ke dalam?" soal Uyaina, menghulur bantuan. Luthfan geleng kepala.

"Takpe. Saya minta pak cik guard ni hantarkan saya. Saya tak nak susahkan awak lagi."

"Eh, mana ada susahkan."

"Tak apa, Uyaina. Terima kasih."

   Lambat-lambat Uyaina angguk kepala.

"Kalau macam tu, saya pergi dulu. Assalamualaikum," Uyaina berlalu. Baru beberapa langkah, namanya dipanggil. Laju Uyaina menoleh ke belakang memandang Luthfan dengan rayban hitamnya itu. Bukan tak kacak si Luthfan ni, cuma badan tu aje kerempeng!

"Bila kita boleh jumpa lagi?" soal Luthfan. Dalam diam dia berharap akan ada lagi pertemuan dengan si Uyaina Balqis.

"Err bila jodoh mempertemukan kita? Hehe, tak tahu la. Okey la, Luthfan... saya pergi dulu. Awak jaga diri!" nampak saja kelibat teksi, laju Uyaina berlari mendapatkan teksi merah tersebut. Tak sempat Luthfan nak memanggil lagi.

Luthfan hela nafas. Untuk beberapa saat, dia teringatkan sesuatu. Alamak, Luth! Kenapa la kau tak minta nombor telefon dia? Ataupun paling kurang username instagram dia? Luthfan berdecit. Hilang kelibat teksi yang membawa Uyaina, Luthfan tanggalkan rayban yang dari tadi lagi dia pakai. Nafas dihela.

"Eh, Luthfan! Mana kereta?" Pak cik Samad, iaitu pengawal di situ menegur. Luthfan senyum nipis.

"Kereta saya tertinggal."

"Tertinggal? Tertinggal kat mana? Siapa perempuan yang hantarkan Luthfan tadi?"

Luthfan sengih. Pak cik Samad ni kepoh macam mak cik bawang!

"Tadi tu kawan saya, pak cik. Err saya pergi dulu, pak cik. Nak pergi ambil kereta." Tak tunggu balasan Pak cik Samad, Luthfan berjalan ke arah pondok bas. Aplikasi grab dibuka. Gara-gara dia berlakon buta, sampai ke sini Uyaina hantar dia balik. Sekarang ni, tak pasal-pasal dia kena patah balik untuk ambil kereta dia semula.

Tiba-tiba Luthfan gelak. Dia terhibur dengan apa yang berlaku hari ini. Dengan Uyaina, rasa macam hilang terus bayang Elmira yang dah sakitkan sekeping hati lelakinya. Luthfan hela nafas panjang. Uyaina Balqis, moga jodoh mempertemukan kita lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro