Tujuh Belas
"Ginafuwara, apa semua ni?" Wira tak tertahan, geli-geleman, lalu ditanyanya juga soalan.
Mila yang sudah biasa melihat mayat pun mual. Dia menggenggam tangan Wira, risaukan keadaan mereka sekarang. Wira paut bahu Mila, mana tahu kalau Ginafuwara berang, dia perlu lindungi tunangnya.
Mayat-mayat yang bergelimpangan di sekeliling mereka sedia menjadi saksi tak berguna. Namun Ginafuwara tidak berminat untuk bertelagah dengan tawanannya.
"Maaf, Wira, Mila, ini bahagian belakang makmal. Comot sikit. Jom, ke depan. Lebih selesa," ajak Ginafuwara seolah-olah kakinya yang cuma ada empat anak jari itu tidak memijak benda yang sama.
Mila tarik tangan Wira. Dia gila, kita mesti ikut saja dulu rentak dia. Jangan buat dia marah, kita belum tahu lokasi sebenar kita di mana sekarang ni, nasihatnya.
Saya risau Mila. Saya dah cuba hubungi Bob, Sarah dan Luth. Panggilan telepati saya seolah-olah dihalang sesuatu, kongsi Wira senyap-senyap juga.
Ginafuwara melangkah tenang di hadapan mereka. Pasangan kekasih itu ikut saja. Keadaan makin terang. Mereka masuk ke dalam sebuah kebuk, sekeliling mereka penuh batu bata, pasir dan gas berwarna saja.
Analisis otak Wira dengan teknologi Marikh yang ada memberitahu dia yang mereka sedang berdiri di atas sesuatu objek yang sedang bergerak. Gas-gas itu pula, warga Jupiter yang sedang terpukau dek Ginafuwara. Berserakan, mereka bergerak lemah.
"Aku ada makanan Bumi, nak?" tawar Ginafuwara. "Ni, ada donat dan kek pisang. Lemonade, haha. Dulu Sarah pernah buatkan aku minuman ini. Waktu itu aku bodoh. Tak nampak langsung yang dialah yang selama ini menggagalkan rancangan aku. Bayangkan, kami pernah berbual mesra. Ah, tak kisahlah semua itu. Itu tak penting."
"Jadi apa yang penting sekarang, Tuan Puteri? Apa yang Tuan Puteri mahu daripada kami?" tanya Mila perlahan, selembut yang boleh.
"Aku nak Luth," balasnya.
"Maksud Tuan Puteri?" korek Wira pula. Dia dan Mila masing-masing sedang aktif melindungi diri dan pada masa yang sama, cuba meneliti warga Utarid itu. Titik biru di tubuh masing-masing berdesing sedikit.
"DNA Luth. Aku rasa, aku ada cara untuk kembalikan keremajaannya. Lepas tu, bolehlah aku guna!" tawa Ginafuwara.
"Bagaimana nak kembalikan keremajaan Luth?" tanya Mila, berdebar menanti jawapannya.
Ginafuwara yang dari tadi sibuk menuang air lemonade ke dalam tiga gelas kaca yang entah dari mana diseludupnya, membalas pandangan Mila.
"Aku nak campakkan Luth masuk ke dalam lohong hitam yang mendampingi Komet Xie. Luth akan keluar semula sebagai bayi, dan aku akan tuai rambut, kuku, kulit, air mata, air liur, air peluh..." si puteri mula membebel.
Ya, Mila dan Wira sudah sedia nak melaung panggil ibu masing-masing sekarang.
****
"Kamu pasti itu kedudukannya sekarang, Ionus?" tanya Brutus ketua operasi kepada ketua perisikan Zuhal.
"Ya, dia mahu memintas Komet Xie, itu yang kami dapat tahu daripada seorang warga Jupiter yang dapat lari dari cengkamannya kelmarin. Dia asyik menyebut Xie, dan meraban tentang lohong hitam yang mendampingi komet itu," balas Ionus, warga Zuhal yang tubuhnya cuma cahaya putih itu.
"Tapi kenapa dia mahu memintas Komet Xie? Dia nak selamatkan Bumi ke? Bukankah sejarah statistik pacuan Komet Xie tunjukkan yang dia pasti akan mengelak setiap planet yang didekati, macam yang biasa dia buat? Nak kata ada meteor atau komet lain yang berdekatan, tak ada pula. Kalau macam dulu, zaman dinosaur masih ada, mungkinlah dia tersasar sikit," tanya Casiopeia.
"Kami tak pasti, Casiopeia. Ginafuwara macam dah tak berapa betul sikit. Susah nak pastikan sama ada dia sedang buat sesuatu yang serius, atau sedang melayan kecamuk dalam jiwanya," balas Ionus.
Cahaya di tubuh Brutus memancar terang. "Komet Xie ada lohong hitam yang membawa risiko tersendiri. Kita tak boleh mendekatinya tanpa perancangan teliti. Beginilah, tadi Permaisuri Mulianasari ada bekalkan mineral pada kita, kan?"
Al dan Wi mengangguk.
"Mineral ini boleh jadi pengikat. Ionus, ikat sedikit mineral pada tubuh setiap ahli pasukan. Semua warga mesti ada. Kita perlu wujudkan satu tambatan di mana sesiapa yang terasa dirinya mula ditarik mendekati lohong hitam, cuma perlu aktifkan kuasa mineral itu untuk ditarik semula ke pangkalan kapal angkasa ini," arah Brutus.
Luth gelisah di sebelah Sarah. Matanya tak dapat menikmati keindahan semesta yang dihiasi bintang-gemintang.
Seolah-olah dapat merasakan kegelisahannya, Sarah mengaktifkan mineral yang baru saja ditambat ke tubuhnya oleh Ionus. Untuk seketika, saduran mineral itu tampak butirannya. Berkelipan bahu kiri Sarah.
Bahu kanan Luth tiba-tiba bercahaya juga. "Sarah, awak buat apa ni?"
"Saya tambat mineral di badan saya, ke bahu awak juga. Ke mana awak pergi, saya akan terikut juga.. " jelas Sarah yang sudah lama khatam dengan kebolehan barunya sejak diberi teknologi Marikh. "Bijak kan saya?" tambahnya sambil kenyit mata pada suaminya.
"Eleh, 'clingy'," kutuk Luth.
Sarah muncungkan mulutnya dan pandang ke arah lain.
"Merajuk... Heh, saya sayanglah bini saya yang 'clingy' ni," pujuk Luth.
Tersengih-sengih mereka berdua. Ada sesuatu mengganggu jiwa mereka tapi kedua-duanya diamkan sahaja.
****
"Tuan Puteri, tak perlulah buat begitu. Luth bahagia sekarang dengan Sarah. Tuan Puteri pun sudah mereka maafkan. Kan bagus kalau Tuan Puteri berehat saja?" cadang Mila dalam gementar.
Ginafuwara tenang menghirup lemonade. Mereka bertiga sedang duduk di sofa mewah dan makan-makan, seolah-olah mereka dahulu sama universiti dan sedang mengenang kisah lama.
"Aku tak pernah berniat nak susahkan Luth, mahupun Sarah dan Nujum Casiopeia. Aku cuma.. Aku perlukan lonjakan kuasa," terang Ginafuwara.
"Galaksi kita aman, Tuan Puteri. Tak perlulah ganggu kestabilannya," pujuk Wira pula. Dia jamah juga makanan yang disajikan di depannya.
"Ganggu keamanan? Siapa kata aku berniat begitu?" tanya semula Ginafuwara, tak berhenti makan kek pisang.
Mila dan Wira berpandangan. "Er.. bukan ke Tuan Puteri nakkan lonjakan kuasa supaya boleh menawan semua planet dalam Bima Sakti?"
Mengekek Ginafuwara mendengar pertanyaan Mila.
"Alah.. itu cita-cita dulu. Masa saya muda dan bodoh..." balasnya terkekeh lagi.
Makin hairan Mila dan Wira. Tak puas hati, Mila juga capai donut yang entahlah bagaimana Ginafuwara masakkannya.
"Cuba Tuan Puteri cerita betul-betul, kenapa nak sangat DNA Luth. Kami tak faham. Mungkin, kami boleh bantu?" mohon Wira.
Ginafuwara berhenti ketawa. "Kau semua sangka aku pentingkan diri, kan? Ya, mungkin kamu semua betul. Memang saya perlukan DNA Luth, untuk kepentingan diri saya sahaja. Tapi, salah kah? Siapa lagi nak jaga saya, kalau bukan saya sendiri? Ayahanda tak pedulikan saya. Bonda asyik melancong. Saya tak ada adik-beradik. Adik-beradik tiri saya sibuk berebut takhta. Jadi, saya harus jaga diri sendiri, kan?"
Mila terasa ada sesuatu yang dia dan Wira terlepas pandang.
"Maksud Puteri, jaga diri tu, macam mana?"
Ginafuwara pandang tepat ke arah Mila lalu berkata, "Maksud saya, saya akan mati tak lama lagi. DNA Luth lah jawapannya."
Gugur jantung Mila mendengarnya. Wira turut terpana. Perlukan mereka korbankan Luth demi nyawa seorang makhluk asing yang pernah cuba bunuh mereka semua?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro